Pages

Penulis di Facebook

Sunday, 10 May 2015

(58) Mampukah aku? - Sempena Hari Ibu

Semasa kecil dulu,

Semasa aku tidak pantas berjalan,
Mak memegang dua tangan dan memimpinku tatih berjalan.

Semasa aku berterabur nasi makan sendiri,
Mak menyuap hingga kenyang dan membersih mulutku.

Semasa aku tak tahu memasak makanan kegemaran,
Mak memasak dan membekalku makan, setiap pagi ke sekolah.

Semasa aku terkial-kial mengikat tali kasut,
Mak tunduk penuh kasih mengikat tali dengan kemas.

Semasa aku tersarung tangan ke lubang kepala mengenakan baju,
Mak sabar membetulkan dan memakaikan butang satu persatu.

Semasa aku menulis seperti cakaran ayam,
Mak sabar mengenggam tangan, mengerakkan pensel menulis huruf satu persatu.

Semasa aku merangkak-rangkak membaca,
Mak tekun menyebut dahulu satu persatu, untuk aku ikuti.

Semasa aku terbaring sakit dan demam,
Mak memujuk ingat Allah, menekap kain basah ke kepala, memberi ubat agar cepat sembuh.

Sekarang,

Mak masih boleh berjalan,
Mampukah aku memimpin mak, ketika mak sudah uzur dan perlukan aku untuk berjalan.

Mak masih makan sendiri,
Mampukah aku suapkan mak, ketika mak sudah tidak mampu mengepal nasi.

Mak masih memasak,
Mampukah aku memasakkan makanan kegemaran mak, ketika mak sudah tidak mampu berdiri lama di dapur.

Mak masih menyarung kasut sendiri,
Mampukah aku sarungkan kasut ke kaki mak, ketika mak sudah tidak mampu tunduk memakai kasut.

Mak masih memakai baju sendiri,
Mampukah aku memakaikan mak baju, ketika mak sudah makin perlahan membutang baju.

Mak masih menulis,
Mampukah aku menulis untuk emak, ketika tangannya sudah semakin bergetar.

Mak masih membaca,
Mampukah aku membacakan pada mak, ketika matanya sudah semakin kabur.

Mak masih sihat,
Mampukah aku memujuk hati, membelai emak, menjaga emak sebaiknya, ketika sakit singgah padanya nanti.

Mak,
Mak sentiasa doakan anak mak ini, diampun dosa dan dimasukkan ke syurga, setiap hari.

Semoga anakmu juga terus berdoa, ampunkan dosa mak, kasihanilah mak, sepertimana mak mengasihiku semasa aku kecil.
Masukkan mak ke syurga.

Amiin.



#drMAK
10 Mei 2015


(57) Ekstrovert Menulis

Dulu,
Masa ramai pelajar di sekeliling,
Seronok.
Bila-bila masa boleh melontar idea.
Mereka pun sudi mendengar.
Walaupun dengar sambil tutup telinga dengan earphone Dr. Dre gred AAA.
Adalah juga depan mata.
Aku memang cikgu ekstrovert.


Sekarang,
Bila dah tiada anak murid.
Sunyi juga.
Idea nak diluah, tak tahu mana nak ditumpah,
Akhirnya,
Aku menulis.
Setakat ni hanya disini. FB.
Aku jadi ekstrovert menulis.

Entah kenapa,
Aku rasa,
Best juga jadi ekstrovert menulis,
Daripada ekstrovert bercakap.



:)

#drMAK

(56) Solat Menang Chess Bah. 2

Semua ibu bapa mahukan anak yang rajin solat. Ibu bapa mana yang tidak mahukan anak yang dari kecil, rajin mendoakan kebaikan untuk mereka. Sejuk hati apabila melihat anak boleh solat sendiri tanpa disuruh setiap kali masuk waktu solat fardhu.

Apabila saya mencadangkan Iman untuk solat sungguh-sungguh supaya boleh menang pertandingan 'chess', terdetik di hati, bagaimana jika dia kalah? Hilangkah keyakinannya pada Tuhan? Namun, soalan itu, saya cepat hilangkan dari pemikiran. Tidak perlu berfikir sesuatu yang belum berlaku dan di luar kuasa untuk menentukan. Yang penting, usaha telah dibuat.

"Abah, cuba teka result pertandingan chess Iman?"

Melihat hidung Iman yang kembang kempis, "Iman menang eh?"

"Yayy! Iman menang abah. Tim Iman menang johan lelaki bawah 9 tahun." Mengurut dagu yang belum ada misai.

"Alhamdulillah!" Terus memeluk gembira.

"Ini semua sebab Iman doa sungguh-sungguh pagi tadi," tuturnya yakin.


>>>

Allah! Dari situ saya tersedar. Sebelum anak diyakinkan tentang kekuasaan Allah. Saya sebagai bapa, perlu terlebih dahulu meyakinkan diri bahawa apa sahaja yang berlaku selepas usaha adalah dari Allah. Apapun keputusan, hikmahnya tetap ada. Cuma, sebagai manusia tidak selalunya hikmah dapat difahami.

Apabila anak percaya, Allah bersama mereka. Mereka berusaha tanpa takut dan bimbang. Tiada langsung ragu-ragu. Bersih sungguh hati mereka.

:)

#drMAK

(55) 4 Pesanan Hidup, Dari Pakcik Berkopiah Putih

Aircond myvi buat hal. Pulas tombol, habis sampai hujung pun, masih tak sejuk. Nampak gayanya, koyak lagi poket.

Di kedai aircond, selepas berbincang hati ke hati, sah! Kos untuk membaiki aircond meletupkan bom di dalam hati. Takpelah, dah sampai masa.

Sedang mengira-ngira dari mana hendak dikorek duit, nampak seorang pakcik berkopiah putih sedang asyik memerhatikan kereta wajanya dibaiki. Tarik kerusi perlahan, duduk sebelah.

"Servis aircond ke pakcik?" Macam biasa, orang Malaysia memang suka 'state the obvious'. Nasib baik pakcik tu tak jawab, "Tengah latihan praktikal!"

Bermulalah sembang panjang dengan pakcik berkopiah ini. Dari satu topik ke satu topik. Sampailah keretanya siap. Selepas bersalaman, Haji Manaf meminta diri untuk pulang dan meninggalkan 4 pesanan yang diingati sampai hari ini.

1. UKUR BAJU DI BADAN SENDIRI.

Sebagai Pegawai IT di MAS yang mengambil VSS sekitar tahun 2010, dia menerima 15 bulan gaji sebagai pampasan.

Ramai rakannya yang menukar kereta baru, membeli rumah baru, melancong ke luar negara, memulakan bisnes, dan bermacam lagi perubahan gaya hidup yang mendadak.

Akhirnya, kebanyakan mereka kembali bekerja sebagai Pak Guard kerana kehabisan wang, dan bisnes yang diusahakan tidak menjadi.

Pesan Haji Manaf, "Kita tak perlu berlagak, nak menunjuk kita banyak duit, sedangkan kita sendiri tahu kemampuan sebenar kita. Jika nak buat bisnes, biar ada ilmu, jangan sesuka hati terjun macam luncai. Itu bunuh diri.

2. HIDUP JANGAN BERKIRA, BERI LEBIH

Walaupun dia bekerja makan gaji, kerja yang dilakukan sentiasa melebihi daripada gaji yang diberi.
"Saya tolong semua orang yang perlukan bantuan, walaupun bukan skop kerja saya. Lebih banyak kita membantu, Allah lorongkan rezeki melalui jalan yang tidak disangka."

3. CARI ILMU URUS DUIT

Ramai orang bersungguh-sungguh mencari duit, tetapi tidak belajar menguruskan duit. Duit jika tidak diurus dengan betul, kita akan menjadi hamba duit.

"Kita bekerja susah siang malam mencari duit, akhirnya semua masuk akaun orang lain. Tak pandai menyimpan dan melabur, apa yang tinggal untuk kita?"

4. SUKAI KERJA YANG KITA BUAT

Berapa ramai yang bangun pagi, malas pergi kerja? Itu sebab mereka tak suka kerja yang sedang dilakukan.

Kita kena belajar menyukai kerja kita. Apabila suka, barulah kita akan melakukan sepenuh hati dan terbaik.

Jika kita tak mampu menyukai kerja sekarang, carilah kerja yang lebih disukai.

"Saya dulu programmer, walaupun saya hanya bahagian IT yang mengurus penyelenggaraan, tetapi saya berjaya buat sistem yang digunapakai oleh MAS untuk mengesan 'blacklist passenger'. Sebab saya minat dan suka.


>>>

Termenung aku lepas dia pergi. Berkopiah, membawa kereta Waja, memegang Al-Quran kecil di tangan. 'Programmer' rupanya. Masya Allah.

:)

#drMAK

Thursday, 7 May 2015

(54) Ipad Boleh Memberi Kebaikan, Tetapi Ibu Bapa Perlu Tahu 3 Keburukannya!

Selepas perkongsian tentang kebaikan ipad (games) yang boleh ditiru oleh ibu bapa untuk 'merampas' perhatian anak-anak kembali kepada mereka. Saya sedikit bimbang sekiranya artikel itu disalah erti.

Fokus utama artikel tersebut adalah bagaimana ibu bapa boleh 'meniru' ipad dalam MENARIK PERHATIAN anak-anak. Saya tidak berniat menggalakkan ibu bapa membiarkan anak-anak terus bermain ipad. Jika itu yang difahami, mohon ibu bapa perbetulkan segera.

Tidak dapat dinafikan, menurut kajian-kajian bidang pendidikan, ipad memberi kesan baik kepada beberapa subjek seperti matematik, sains, dan bahasa seperti Bahasa Inggeris. Namun, ipad juga mempunyai kesan sampingan yang menakutkan sekiranya tidak dihadkan masa penggunaannya. Kata kuncinya ialah 'had masa'.

Seperti mana makanan diperlukan untuk kesihatan badan, tetapi memudaratkan jika berlebihan, begitu juga ipad. Penggunaan dalam tempoh yang panjang akan memberi kesan sampingan.



Antara kemudaratan yang disebabkan oleh penggunaan ipad dalam tempoh yang lama ialah;

1. LEMAH DERIA
Manusia mempelajari sesuatu dengan menggunakan 5 deria yang utama iaitu Visual (lihat), Auditori (dengar), Kinestetik (sentuh/rasa), Olfactory (hidu), Gustatory (rasa lidah). Apa yang mampu diberikan oleh ipad, hanya visual dan auditori.

Walaupun, games di ipad memerlukan sentuhan, tetapi sentuhan ini hanya bersifat 'olok-olok'. Bukan pergerakan sebenar yang perlu dilakukan. Sebagai contoh, untuk memukul kayu golf, badan perlu dihayunkan untuk memukul, tetapi di ipad, hanya perlu tekan lama-lama dan lepaskan.

Olfactory dan gustatory sememangnya langsung tidak dirangsang (kecuali bayi yang menjilat ipad ibunya). Disebabkan itu, penggunaan yang terlalu lama, tanpa pendedahan kepada latihan fungsi deria yang sebenar, boleh mengakibatkan 'kebutaan' kepada deria yang tidak digunakan (deria menjadi lemah).

2. LEMAH DAYA TUMPU
Pergerakan games yang dimainkan biasanya pantas dan cepat berubah paparannya. Ini yang menyebabkan anak tidak bosan untuk bermain, tidak kira berapa lama. Di mana bahayanya?

Disebabkan anak telah terbiasa melihat sesuatu yang pantas bergerak dan sentiasa berubah, jika sekiranya mereka melihat sesuatu perkara yang sama dalam tempoh yang lama. Mereka tidak mampu memberi perhatian. Contohnya, bila cikgu hanya bercakap dan menulis di papan putih, ketika itulah simptom kurang daya tumpu akan berlaku.

3. LEMAH SOSIAL
Akibat kebanyakan masa dihabiskan bermain ipad. Anak-anak kehilangan peluang untuk menyertai aktiviti-aktiviti permainan luar seperti berbasikal, kejar kejar, police entry, dan sebagainya. Jika permainan sebegini memberi peluang anak-anak melatih kemahiran berkomunikasi dan bergaul dengan rakan, ipad tidak menawarkan peluang itu.

Malah, anda perlu berhati-hati jika mereka mula bercakap dengan ipad, kerana kemungkinan mereka sudah mula 'chat' dengan orang yang tidak dikenali.

>>>

*Terima kasih Puan Fauziah Sirat atas pandangan dari perspektif berbeza.

:)

#drMAK

(53) Bapa bertanya tentang Ipad, Jawapan anak mengejutkan!

“Abah, Iman nak main ipad boleh? Abah potong markah ‘family gamebook’ Iman.” Memujuk dengan gigi 2 batang menyeringai.

“Iman boleh main, sebelum tu, abah nak tanya soalan dulu. Apa yang menyebabkan Iman suka main ipad?” Sambil buat muka serius Jalaluddin Hassan.

“Sebab, seronok!’” Pendek je jawapan.

“Apa yang menyebabkan main ipad tu seronok?” Soalan bernilai 500 ribu ringgit.

“Sebab, makin lama main, makin BEST!” Dah mula garu kepala.

“Apa yang menyebabkan makin lama main, makin best?” Soalan bernilai 1 Juta ringgit.

“Sebab, bila habis level 1, rasa berjaya. Pastu level 2, makin mencabar, kena main lagi. Berjaya lagi, pastu level 3 pulak. Camtulah!”

(Abah terkejut! Sama dengan hasil kajian)



>>>

Menurut kajian-kajian tentang psikologi ‘games’, kanak-kanak sangat melekat dengan games di ipad disebabkan antaranya oleh 3 faktor.

1. BERJAYA
Kanak-kanak menikmati perasaan ‘berjaya’ apabila dapat menghabiskan setiap level dalam games. Setiap 1 level yang dilepasi memberi kepuasan diri kepada kanak-kanak, apabila berakhir dengan “You, Win!”. Anak-anak diraikan pada setiap kejayaan kecil.

Games bermula dengan paling mudah, dan semakin mencabar dalam level seterusnya. Ini merangsang ‘daya inkuiri’ mereka yang sedia tinggi untuk mencuba dan mengetahui, apa cabaran dalam level seterusnya.

Itu sebabnya, anak kita sukar untuk berhenti. Games telah memetik ‘suis itu’.

2. ULANG
Kanak-kanak diberi peluang untuk mengulang level yang gagal. Mereka boleh mencuba berkali-kali tanpa ‘dimarahi’ oleh sesiapa. Kanak-kanak memang tidak mengenal erti putus asa. Selagi diberi peluang, mereka akan terus mencuba.

3. SKOR
Kanak-kanak berlumba untuk mencatat skor terbaik peribadi. Selagi mereka yakin mampu mencapai skor yang lebih tinggi. Mereka akan terus mencuba, walaupun pada level yang sama. Games mencatat rekod peribadi terbaik mereka setiap kali rekod lama dipecahkan. Itulah sebabnya games meletakkan "Your Best Score!".

------

Apa yang boleh kita PELAJARI dan TIRU daripada ciri-ciri yang ada pada games/ipad untuk anak-anak MELEKAT pada kita?

1. Raikan setiap kejayaan kecil yang mereka capai. Perkara yang kelihatan kecil bagi kita, biasanya sangat besar bagi mereka. "Mama, Iman dapat buat lego twin tower.". Maka, pujilah USAHA mereka membangunkan twin tower itu. Puji USAHA bukan HASIL.

2. Beri peluang mereka mencuba hingga berjaya. Kesilapan atau kesalahan bukanlah kegagalan, ia hanya maklum balas yang diperlukan untuk membuat LEBIH BAIK! Elakkan menghukum atas kesilapan atau kesalahan. Peluang untuk mengulang sehingga berjaya sangat dihargai oleh anak-anak.

3. Biarkan mereka bertanding dengan pencapaian terbaik peribadi. Plotkan markah yang diperolehi setiap kali ujian. Tunjukkan bagaimana pretasi mereka. Tunjukkan turun naik markah diperolehi. Berikan nasihat atas prestasi mereka sendiri. Elakkan membanding dengan rakan mereka yang lain.

Inshaa Allah, jika tips-tips ini dilakukan, anak berkemungkinan besar lebih 'melekat' dengan kita, berbanding games.

*Nota:
Family gamebook adalah games aktiviti keluarga yang saya adaptasi dari perkongsian Tuan Fazrul Ismail (Akademi Sinergi). Gamebook ini digunakan untuk mengawal masa bermain ipad, menonton TV, dan melayari internet.

KEMASKINI PENTING:
Artikel ini tidak bermaksud menggalakkan anak-anak bermain games di ipad, tetapi bagaimana ibu bapa perlu MENIRU apa yang dilakukan oleh ipad untuk menarik semula perhatian anak-anak.

#drMAK

(52) Gurau-gurau Remaja Dalam ERL

Dalam ERL,
Semasa tren meluncur laju ke KL Sentral.

Saya perhatikan gelagat gurau senda adik-adik remaja di hadapan saya.
2 lelaki, 2 perempuan.

Dari tali tag di leher,
Mereka bertugas di PBAKL,
Sama tempat tuju dengan saya.

Salah seorang perempuan tiba-tiba bersuara kepada kawan lelaki,
"Weii, macamana ko boleh masuk dalam ERL ni. Kalau ikut, tak boleh ni." Sambil menunjuk 'gambar tanda larangan' ditampal pada cermin.

Yang lelaki 'speechless'. Tak tahu nak membalas.

Aku pun ikut tertawa kecil.


>>>

Boleh tahan gurau adik ni. Jika dulu, susah nak jumpa lawak ganas macamni. Yang bagusnya, kawan dia seorang yang kool. Kalau tidak, mau kena tumbok.

(51) Aku, Buku, dan Penulis (Adventura Booku)

Hampir 8 tahun aku tidak ke Pesta Buku Antarabangsa, KL.
Sebagai 'bibliofil', aku tak tertarik dengan diskaun buku. Aku membeli buku hampir setiap bulan, malah hampir setiap kali terjumpa kedai buku. Setiap kali itu, aku memang membeli yang berdiskaun.

Lalu, apa yang menyebabkan aku ghairah ke sana? sehingga mengangkut satu keluarga ber'adventura'.

Semuanya kerana MEREKA. Mereka yang kumaksudkan adalah rakan-rakan penulis yang baru kukenali melalui 'mukabuku'. Aku memilih untuk bersahabat dengan mereka. Mereka juga sudi menerima aku sebagai sahabat.

Ramai berkata, "Buat apa bersesak-sesak ke Pesta Buku, diskaunnya sama sahaja, bagi yang biasa membeli buku.

Aku senyum menjawab, "Aku hadir sebagai SAHABAT. Sahabat yang menyokong sahabat yang lain."

Alhamdulillah! Aku sama sekali tidak dapat mendustakan nikmat yang Allah berikan ini. Erti sebenar 'persahabatan'.

*NOTA
Ramai lagi yang ingin kutemui. Semoga Allah merestui hajat ini.

PROF MUHAMAD KAMIL IBRAHIM

Buku pertama karya Prof Kamil yang dibeli ialah 'Travelog Haji'. Buku yang sangat baik membantu saya bersedia semasa mengerjakan Umrah pada tahun 2013.

Pertemuan ini kali pertama, sangat sederhana orangnya. Beliau mencadangkan buku 'Nota Dari Madinah' untuk dimiliki.




TUAN SHAMSUDDIN KADIR

Buku pertama karya Tuan Shamsuddin Kadir yang saya beli ialah 'Projek Anak Luar Biasa'.

Ini kali pertama bertentang mata dengan beliau. Sangat ramah dan merendah diri orangnya.

Saya terus dapatkan 'Rancang Wang Sejak Jatuh Cinta'. Bukan untuk saya, tetapi anak saya (walaupun lama lagi).





UMMU NAUFAL

Kisah Ummu Naufal dibukukan dalam 'Balqis Di Mata Kami, Di sisi-Nya'. Kekanda kepada rakan saya Sofurah Faiz.

Ketabahan membesarkan seorang 'anak syurga' sangat memberi inspirasi. Saya 'cadang tinggi' untuk dimiliki semua ibu.
 




 PEKOMIK NAZRY SALAM FEEQRY


Detektif Fateh, Misi 4 Flat, Misi Straight A, dan banyak lagi komik berkualiti telah dihasilkan Skuad Misi.

Afiq & Nazry sangat berbakat dan berwawasan. Mereka membuat kanak-kanak dan remaja membaca komik yang 'ada isi'. Semoga mereka terus aktif berkarya.




 NOVELIS SEJARAH ISLAM

"Pak Latip, saya Ammar"

"Ammar yang mana pulak ni?" tertawa.

"Muhamad Ammar, yang pasti lebih tua dari Ahmad Ammar." Membalas gurauan.

Ammar, bersama buku Ahmad Ammar, dan Penulis buku Ahmad Ammar. Epik!


 BAHRUDDIN BEKRI


Dari jauh, aku menangkap kelibatnya. Dia bersahaja membetul-betulkan dan menyusun buku di reruai PTS.

Ramai yang lalu di sekelilingnya, tetapi mungkin tidak perasan, beliau seorang penulis.

Saya bertuah, kerana baju dipakai, sama warna dengan profile pic beliau di FB. Senang cam.

Ternyata, beliau mudah didekati dan lembut pertuturannya. Sempoi.




 SALIZAM SALIO

"Tuan Ammar Muhamad," sapanya bila saya menghulurkan salam. Tak sempat saya membuka mulut.

Dari situ, saya membaca, hebat susuk ini. Beliau 'orang kuat' Legacy Publishing. Banyak yang kami bincangkan, seputar topik pendidikan.

Jika tidak kerana membawa keluarga, saya mungkin boleh ajak beliau ngeteh. Banyak idea menarik untuk dicambahkan.


WARDAH ABDULLAH

Pertama kali berjumpa penulis, Kak Wardah Abdullah semasa Bengkel Penulisan bersama Tuan Zamri Mohamad.

Ini perjumpaan kali kedua, dan dia masih tak cam saya. Tetapi bila disebut nama, Alhamdulillah ingat. Dah masuk geng 111 yang pertama.

Sangat mesra dan peramah orangnya. Isteri berjaya habiskan baca buku beliau dalam satu malam. Ini rekod dunia isteri saya!


HUSNA ADNAN

Inilah kali pertama saya berjumpa Puan Husna Adnan, salah seorang penulis Cermuz NOT. Menariknya, beliau adalah tulang belakang Skuad Misi di belakang karya-karya Tuan Nazry dan Afiq.
Sepertimana di FB, begitulah juga di alam realiti. Ramah bersahaja. Semoga Skuad Misi terus memandaikan anak bangsa.




 YUSUF ISLAM @ CAT STEVENS

Adventura Booku ditutup dengan peristiwa paling diingati.

Saya menyangkakan Yusuf Islam akan berada di MPH Alamanda pada Hari Sabtu, sedangkan saya di PBAKL.

Hari Ahad, demi mengisi stok barang dapur yang kehabisan, kami ke Alamanda. Rupanya, sesi bertemu beliau adalah pada hari Ahad.

Maka, gambar ini menjadi sejarah. Bagaimana seorang Ammar mendapatkan autograf Brother Yusuf Islam.

Semoga Allah merahmati beliau.





 HASIL TANGKAPAN

Hasil 'tangkapan' didominasi oleh buku-buku indie. Tak hairan, kalau sehari dua ni, aku menulis 'lepas' je. Tapi masih 'lepas bertapis'.

Aku boleh membaca buku begini, tetapi menulis begini, 'tak pasti'.

Aku baca, sebab nak menyelami dunia anak-anak murid aku, maklumlah, diorang kan 'liar dan angkuh'.

*Anak murid aku baik-baik je semua, aku yang kadangkala angkuh.


 :)

#drMAK

 

(50) Selamat Hari Ibu

Tengah dok membelek buku dubook mana yang nak mula baca,

Tiba-tiba,
Ting!
Reminder.


"HARI IBU"

Terus panggil anak-anak,
"Wei korang, jom wish mama hari ibu."

"Selamat Hari Ibu mama."
Mama dah mula merah pipi, tersenyum-senyum, dapat wish anak-anak.

"Ehh, Jap! Laa, salah tarikh, bukan hari ni, 10 Mei laa, ini reminder 1 minggu sebelum."
"Hahahaha.. "


>>>
Sebenarnya, itu reminder untuk tulis "luahan" untuk ibu.
Amik mood.

:)

#drMAK


(49) Didukung Brothers!

Siapa sezaman dengan aku,
Akan tahu 'Teman Sejati'.
Lagu ni,
Lagu budak agama nak ngorat muslimat satu jemaah.
Lagu ni,
Lagu sukaramai bila habis minggu orientasi unibersiti.

Tapi aku ada kenangan lain,
Aku pernah buat show satu pentas dengan Yasin.
Sebab grup kami, 'pesaing' utama Mirwana (nama sebelum diorang mufaraqah jadi brothers).

Aku pernah didukung Faiz,
Masa kursus sama-sama di SMKA Simpang Lima, Sabak Bernam.
Aku kena buli, sebab form 1 masa tu. Paling kecik dan ringan.
Depa dah macho, aku beringus lagi.

Diorang nak buat sajak sakaratulmaut,
Aku yang jadi mangsa kena balut kain kapan, jadi jenazah.
Konon, feeling lebih.
Depa tak tau aku imsomnia teruk lepas tu. Tak boleh tengok cadar putih.

Apapun,
Tadi,
Aku 'tertengok' diorang perform LIVE di PBAKL.

Aku 'terdengar' lagu ni,
'Demi Cinta'

5 saat,
Aku terus beli CD.

Ada 2 sebab,
1. Sedap di telinga aku.
2. Diorang memang Lejen!


>>>
Sory,
Bukan niat aku nak tunjuk kaitan aku dengan diorang.
Cuma bila teringat masa silam, emosi aku terlebih. Sebak pulak aku. Jauh dah aku 'berjalan'.
-------
Update:
Siapa yang lahir hujung 70-an, 80-an,
Selain beli "Tora Datang Lagi" di Dubook Press,
Korang HARUS beli album ni kalau nak balik ke masa lepas! Mesin masa nih!

:)

#drMAK


(48) Alamanda Mengawan

Jalan-jalan dalam Alamanda ni,
Seronook tengok couple bergurau senda,
Ketawa gembira.
Cubit sana sini.
Belek uban itam.

Tapiii,

Bila muka tiba-tiba diphotoshop jadi muka anak aku,

Allahhh!
Jauhkanlah anak aku dari perbuatan mendekati 'mengawan' ini.

Gigil!




>>>

Aku teringin nak tegur mesra,

"Dik, pernah belai rambut mak?"


#drMAK

 

(47) Mitos Pelajar Psikologi

"Woo, bahaya dia ni, boleh baca minda orang."

"Kau perati aku ni, mesti nak baca apa-apa kan?"

"Kau mesti tahu kelemahan aku kan, sebab pandai baca orang"

-----

"Bang, kalau habis semua saya baca, Tuhan letak mana?




>>>

Saya belajar Psikologi, bukan Telepati.

Psikologi mengkaji elemen dalaman manusia seperti fikiran, emosi, yang mempengaruhi tindakan.

Andaian yang dibuat, hanya berdasarkan 'pattern' sekelompok manusia yang dikaji. Tidaklah 'tepat' untuk semua orang.

*Nota

Belajar psikologi, bukan untuk baca orang dan dimanipulasi. Tetapi memahami orang supaya hubungan mudah serasi.


:)

#drMAK

 

(46) Solat Menang Chess

Anak-anak, kadangkala liat mahu solat. Disuruh baru bergerak. Bila solat, ekspressnya mengalahkan ERL.

Alhamdulillah, mereka masih mahu solat. Selain doa khusus, tercari juga cara lain yang boleh diusahakan.

Hinggalah satu hari,

"Abah, esok abah doakan Iman menang dalam pertandingan chess kat sekolah tau."

"Oh, Iman bertanding esok ye? Kalau nak menang, Iman kena doa sendiri sungguh-sungguh pada Allah."

"Kenapa abah?"

"Sebab esok, abah tak duduk sebelah iman. Iman bertanding sorang-sorang. Siapa yang sentiasa ada dengan Iman?"

"Allah."

"Haa, kenalah doa pada Allah. Supaya Allah tolong Iman."

>>>

Maka, bermula waktu maghrib itu, mulalah terdengar bacaan Al-Fatihah yang luarbiasa lantang. Sebelum ini hanya berbisik.

Tempoh solat 1 minit melebar ke 5 minit.

Salam ke kiri dan melompat, bertukar kepada salam ke kiri dan istighfar sebelum doa.

------

Manusia, bilamana tiada siapa lagi yang boleh bergantung harap. Secara fitrah, akan kembali kepada Tuhan.

Anak kecil, biasanya akan banyak bergantung pada ibu bapa. Dalam keadaan pertandingan yang tiada ibu bapa. Baru mereka sedar, yang ada, hanya Tuhan.

Itu saat terbaik untuk ibubapa suntik kepercayaan sepenuhnya pada Tuhan.

Ambil peluang ini, bila ia muncul. Lebih kerap diulang, semakin bertambah kepercayaan anak pada Tuhan.

:)

#drMAK

(45) Menulis, Menggalakkan Anak Berfikir Aras Tinggi

Libby Rees menghasilkan karya buku pertama beliau 'Help, Hope, & Happiness' pada usia 9 tahun.

Kanak-kanak comel ini menulis tentang strategi yang digunakan beliau untuk mengatasi kesukaran hidup dalam keluarga yang mengalami perceraian.

Pengalaman hidup direkodkan sebagai buku untuk membantu ribuan kanak-kanak lain yang senasib dengan beliau (Save The Children).

>>>

Saya bertanya 1 soalan kepada Tuan Zamri Mohamad,

Bagaimana menggalakkan anak untuk yakin menulis?






Cadangan beliau,

1. Mulakan dengan membuat ulasan buku-buku yang dibaca.

2. Taip ulasan tersebut di blog. Kekalkan gaya bahasa kanak-kanak. Hanya pastikan tatabahasa betul.

3. Lama-kelamaan, anak akan mendapat gaya penulisan sendiri.

4. Sekalipun, ulasan buku tidak memungkinkan anak menulis buku. Tetapi ulasan yang dibuat, secara separa sedar akan melatih anak-anak memahami ciri-ciri cerita yang 'best' dan 'tak best' untuk dibaca oleh mereka.

5. Apabila anak-anak tahu apa yang 'best'. Anak akan mula menulis mengikut plot yang dia rasakan 'best'.

6. Selepas satu tempoh, anak-anak boleh menulis dengan lancar dengan gaya tersendiri.

7. Untuk merangka plot, anak-anak perlu berfikir aras tinggi. Mewujudkan watak, memakaikan karakter, mencipta konflik, kesudahan penyelesaian. Waktu ini, pengalaman mengulas buku akan membantu.

-------

Perasan tak?
Sebelum menulis, kena membaca.
Iqra'


:)

#drMAK

 

(44) Kura-kura di Mesin ATM

Oo.. Hari ni hari gaji..
Patut orang beratur panjang.

Tapi,
Keluar duit mesti hari pertama gaji eh?
(belum jumpa jawapan)

Then,
Sampai dah picit password,
Baru fikir berapa duit nak keluar eh?
(belum jumpa jawapan)

Lagi,
Bila baca resit,
Memang kena depan-depan mesin ATM eh?
(pun belum jumpa jawapan)




>>>

Tips:

1. Elakkan keluar duit pada tarikh gaji. Confirm beratur dan buang masa (kecuali boleh selfie dan update insta)

2. Amaun duit nak keluar, dah kira siap-siap dari rumah. Sampai ATM, tekan tanpa was-was.

3. Nak belek resit. Boleh ketepi dulu. Bagi laluan orang lain. Dah duduk tepi, nak cium resit pun boleh (maklumla baki banyak lagi).


:)

#drMAK

 

(43) Tanda Kita Benar-benar Memahami Ilmu

Beberapa hari lepas,
Saya bertemu pelajar KUIS yang menjadi mutawwif semasa mengerjakan umrah tidak lama dulu.

Kami masih rapat kerana dia banyak berkongsi kisah dan masalahnya di kampus.

Sebagai pelajar, saya memahami dan pernah merasai setiap dilema yang anak muda ini lalui.

---

"Bang, saya susah betul nak menghafal nota bila nak exam. Makin dekat exam, makin tersumbat otak saya."

"Adi menghafal ke? Kenapa?"

"Yelah, saya nak jawab sama macam apa yang ada dalam nota."

"Jawab exam tak perlu menghafal. Adi jawab ikut apa yang Adi faham."

"Boleh dapat markah penuh ke macamtu?"

"Apa tak boleh pula. Adi jawab ikut apa yang Adi faham dan pastikan kata kunci tidak ditinggalkan. Inshaa Allah, dapat markah penuh."

"Tapi macamana saya nak pastikan saya betul-betul faham?"

"Haha. Abang ada satu tanda."

"Tanda? Macamana?"

"Jika Adi boleh terangkan apa yang Adi belajar pada budak-budak dan mereka faham. Itu maknanya Adi dah betul-betul faham."

"Oh, camtu eh. Menarik." Senyum terangguk-angguk.

 



>>>

Nampak mudah, tetapi siapa yang pernah cuba menjelaskan sesuatu pada budak-budak, pasti tahu bagaimana kesukarannya.



:)


#drMAK



(42) Tentera Bersenjata dan Tentera Malam

Sewaktu bersiap dalam cubaan hendak menawan Kota Constantinople, seorang ulama Nizam al-Mulk berkata kepada Raja Malik Shah.

"Saya telah menyediakan satu angkatan tentera yang dipanggil 'tentera malam'. Apabila tentera bersenjata tidur, merekalah yang akan menjadi tentera tuanku dengan berdoa ke hadrat Allah bersama linangan airmata dan lidah yang tidak henti berzikir kepada Allah"





>>>

Dalam kesibukan hidup memperkemaskan 'tentera bersenjata' dalam diri kita. Iaitu, pengetahuan, kemahiran, dan sikap positif untuk meraih kejayaan cemerlang di dunia.

Bertambah beruntung jika dapat perkemaskan 'tentera malam' yang sentiasa menangis, merintih, merayu, dan memohon ampun serta ditunjukkan jalan lurus. Jalan dirintis mereka yang diberikan nikmat oleh Allah di akhirat nanti.


:)

#drMAK

 

(41) Ibu Kecewa Dengan Keputusan Peperiksaan Anak, Tetapi Kisah Kuda Ini Memotivasikan Diri

"Zulfa dapat 2A je dalam peperiksaan baru-baru ini. Macamana nak dapat kedudukan tertinggi dalam kelas. Lebih-lebih lagi nak naik ke kelas depan," getus mama dengan nada kecewa.

"Subjek lain dapat gred apa?" Abah bertanya sambil mengalih pandangan dari laptop.

"Lagi 3 subjek dapat B. Ada peningkatan daripada sebelum ini. Sebelum ini dapat C."

"Oo, ada peningkatan, baguslah tu. Boleh usaha dan meningkat lagi."

"Yelah. Tapi kawan dia lain semua dapat 3A ke atas. Yang 4A pun ramai."

"Tak mengapa, biarkan dia 'mengawal kuda' sendiri. Yang penting, dia melompat dan berlari semakin pantas." Sambil senyum melihat mama yang memandang keliru perlu lebih penjelasan.


>>>

Semua ibu bapa inginkan anak yang mendapat tempat pertama di dalam kelas. Anak berada di kelas tertinggi seluruh darjah. Perasaan bertanding untuk menjadi yang terbaik di dalam kelas memang baik.

Namun, ia boleh mengakibatkan tekanan yang melampau kepada anak-anak. Ibu bapa boleh menerapkan mindset sukan ekuesterian berbanding badminton dalam situasi ini.

Dalam sukan badminton, walau bagaimana gigih persiapan yang dilakukan, kemenangan hanya boleh dipastikan dengan menewaskan lawan untuk menjadi pemenang. Setiap pemain berusaha untuk mengkaji strategi lawan dan membaca kelemahan supaya dapat digunakan untuk mendapat mata.
Elemen pertandingan ini kadangkala merosakkan psikologi atlit sekalipun yang berada di ranking pertama dunia, menurut Gallwey. Mereka terdesak untuk mempertahankan ranking yang dihuni daripada dirampas lawan.

Berbeza dalam sukan ekuesterian (show jumping), atlit berlumba dengan diri mereka sendiri untuk mencari masa terpantas dan paling kurang melakukan kesilapan semasa lompatan. Semasa kuda berlari melompat halangan, semakin pantas masa yang dicatatkan dan kurang mata penalti yang dikenakan, akan meletakkan mereka di tempat teratas.

Kemahiran membaca gerak tubuh kuda, menenangkan kuda, dan mengendalikan kuda, semuanya bergantung pada diri mereka sendiri. kemenangan bukanlah dengan mencari strategi menewaskan orang lain, tetapi memikirkan cara terbaik melakukan tunggangan dan lompatan sempurna dengan masa terpantas.

Dengan mindset ekuesterian, anak diajar untuk melupakan pertarungan menentang orang lain dan menumpukan perhatian kepada meningkatkan kualiti diri sendiri ke tahap terbaik.

Pada saat mereka melupakan saingan rakan lain, tekanan akan berkurangan, dan mereka akan meningkat dengan perlahan-lahan mendaki ke puncak kejayaan. Tekanan yang berkurangan akan menyediakan ruang memori lebih luas untuk minda berfikir lebih lancar.

Mengukur pencapaian anak semata-mata berdasarkan kedudukan di dalam kelas dan kedudukan kelas di dalam darjah (streaming) adalah tidak relevan. Malah, ia mungkin boleh merosakkan dan memberi kefahaman yang silap kepada mereka tentang erti kejayaan.

Bagaimana dia berkembang sebagai individu, itu yang lebih baik untuk ibu bapa perhati dan berikan galakan.

------

Jika ada ibu bapa yang risau, ceritakan kisah ekuesterian ini pada mereka.
Anak memang berbeza, mereka akan cemerlang dengan cara dan dalam bidang yang berbeza.

Sebagai ibu bapa, raikan perbezaan!

:)

#drMAK
 
Kredit kepada The Inner Game of Tennis, Timothy Gallwey
 
 

(40) Saat Darah Menyerbu Muka!

Bayang begini,

20 tahun tidak berjumpa,
Guru-guru semasa di sekolah,

Yang dulunya,
Gerun untuk memandang,
Takut untuk bertentang,
Segan untuk bersembang,
Kerdil untuk memegang,

Hari ini,
Aku pandang penuh sayang,
Aku mencari di celah orang,
Aku peluk semahu-mahunya,
Aku tanya khabar sihatnya,
Aku pegang lama tangannya.

Allah.

Berkaca airmata bergenang.
Sungguh aku sangat sayang.
Semua guru-guru terbilang.




>>>

Mereka mungkin tidak dipanggil sifu, mentor kejayaan, atau life coach, tetapi bagi aku, merekalah insan teristimewa yang menyediakan "batu asas" sebagai tapak untuk aku letakkan batu-batu seterusnya.

Agar batu bata yang disusun menjadi asas kukuh membina "rumah impian" di Syurga.

Doa buat semua guru kita.


#drMAK

 

(39) Isteri Separuh Masa Vs Isteri Sepenuh Masa

Saya berkali-kali melihat "teaser" drama 'Isteri Separuh Masa' walaupun saluran yang sedang ditonton ialah Astro Oasis.

Tak berminat nak menonton. Walaupun aura Emma Maembong "menarik-narik" untuk ditonton.
Semuanya kerana kurang setuju dengan drama yang seolah-olah "mempermainkan" kesucian sebuah perkahwinan.

Terdetik di hati, drama ini jika ditonton anak-anak, pasti meresapi minda mereka dan diterima sebagai nilai yang boleh "dianut" bila besar nanti.

Tepat! Pagi ini semasa sedang sarapan,

"Abah, isteri separuh masa tu apa maksud dia?"

(Dalam hati, soalan bernilai RM 1 Juta ni, tenenenenggg, tiba-tiba, Who wants to be a millionaire. Allah, please help me)

"Oh, sebenarnya, itu tajuk cerita je Iman. Mana ada isteri separuh masa. Semua isteri sepenuh masa. Cuba Iman tengok mama. Sepenuh masa ada dengan kita."

Angguk kepala. "Tapi, Iman tahu apa maksud dia abah."

'Huih, apa pulak yang budak ni tahu'

"Isteri separuh masa tu, isteri yang suami dia tak suka sangat kat dia kan?"

"Oo, haah, yelah kot." Abah angguk sambil buat-buat minum kopi nak tutup muka.

(Dalam hati, itu macam 'suami separuh hati' Iman. Takpelah, nanti Iman faham)




>>>

Hakikatnya,
TV,
Penyebar kepercayaan dan nilai palsu paling berjaya di dunia.
Dan 'dia' terconggok duduk dalam rumah kita.
Termasuk rumah saya.
Bahaya.


:)

#drMAK

 

(38) Bila Ladybird Bertemu Semut!

Oh, anak perempuan bongsu ini agak terserlah bakat melukis dan penulisannya, walaupun baru darjah satu.

Pernah melihat dia melukis 'terus dari imaginasi' yang saya sendiri tak terfikir.

Balik bertalaqqi dengan Tuan Zamri Mohamad sabtu lepas, dia menarik saya ke bilik tanpa sempat duduk.

Dia tunjukkan karya ini.

Rakan-rakan boleh baca mengikut kronologi sendiri.









>>>

Siapa yang boleh buat kita tersenyum bila penat?

Anaklah.


:)

#drMAK

 

(37) Diri dihantui Hantu Kak Limah

Ya, Hantu Kak Limah cuma filem seram hiburan santai yang membuatkan kita tidak kering gusi menontonnya.

Namun, saya baru menyedari abang Mamat Khalid mewujudkan Hantu Kak Limah untuk 'menyindir' orang 'penakut bayang' seperti saya.

Entah berapa kali dalam hidup. Setiap kali menanam impian untuk mencapai matlamat yang lebih besar. Otak berbisik ke telinga "Boleh ke ni? Betul ke ni? Orang suka ke ni? Boleh jalan ke idea ni? Orang tak marah ke?

Sama seperti Hantu Kak Limah yang 'menghantui' orang kampung dengan kehantuannya, walaupun dia sebenarnya hanya sakit mental.

Momok itu dicipta sendiri oleh orang kampung. Yang sangat suka bersangka-sangka. Tetapi, bila tahu hal sebenar, "Ooo macamtu ke..."

Hantu Kak Limah dalam minda beberapa kali berjaya memomokkan saya dengan sangka-sangka yang direka sendiri!

Oh, tersirat sungguh nilai sindiran abang Mamat. Selepas 5 tahun, baru nampak kemerahan pipi yang ditampar.

Kita pasti pernah melalui situasi serupa. Kan? Pesan untuk diri saya dan anda,
"Jangan biarkan diri kita dipeluk Hantu Kak Limah selama-lamanya, tak perlu takut, kerana dia sebenarnya bukan hantu!"



>>>

Dalam NLP, ini dipanggil 'self-limiting belief', meletak penghadang minda dari mencapai kemampuan sebenar diri sendiri.

-----

Terima kasih Tuan Zamri Mohamad yang menyalakan banyak 'mentol' dalam minda saya sepanjang seminar semalam.

*Al-Fatihah buat Azwan Annuar yang meninggal dunia semalam. Beliau membawa watak Wan Kaswi, lelaki yang dipeluk 'Hantu Kak Limah'.

#drMAK

(36) Solat Awal Waktu, Selesai Masalah?

"Aku buntulah. Banyak sangat masalah datang bertimpa-timpa. Semua nak pakai duit. Kereta breakdown nak kena bayar $400. Laptop skrin gelap, kedai nak $350." Dengan wajah murung mendung.

"Maaf, aku pun takde duit nak pinjamkan. Tak cuba pinjam dari famili?"

"Malas nak menyusahkan."

"Macamtu, Allah sahaja yang mampu merungkai masalah ni. Kadang-kadang, kita ni masa senang, selalu terlupa Allah. Bila susah macamni, dapatlah dengar kita mula berdoa semula"

"Mungkinlah. Kebelakangan ni pun, solat selalu lewat."

"Tanpa kita sedar. Kita terlengahkan urusan dengan Allah. Dahulukan urusan dengan manusia. Kita hilang keutamaan."

"Hmm," diam berfikir.

"Cuba solat awal waktu selepas ni. Dahulukan Allah sebelum urusan lain."

"Inshaa Allah, aku cuba."



>>>

"Alhamdulillah, masalah aku hari tu semua selesai dengan mudah. Betul nasihat kau dulu, bila dahulukan Allah, urusan lain dipermudahkan."

"Apa cerita kereta dan laptop kau?"

"Oh, kereta tu, pemilik bengkel sendiri tawar bayar ansuran. Sebulan $100. Laptop tu pula, bila kedai semak semula, masih ada jaminan. Kos baiki jadi percuma."

"Allahu Akbar, Alhamdulillah. Mesti rasa mati hidup kembali."

"Memang." Sambil tersenyum sampai ke telinga.

------

Kita sayang Allah. Kita cinta Allah.
Apa buktinya?
Apabila tiba waktu solat, kita berlumba-lumba mencari rumahNya untuk sujud kepada Allah.
Solat awal waktu amalan mudah,
Bantuan Allah menghapus resah.

:)

#drMAK

(35) Ada yang tidak suka?

Kita gerak dengan tertib,
Kita cakap lemah lembut,
Kita layan sopan santun,
Pendek kata,
Tiada sebab orang tidak suka.

Tapi,
Masih ada yang tidak suka.
Gerak kita dimemek.
Cakap kita dibangkang.
Gaya kita diejek.
Kita tegak nan sebatang,
Pun!
Orang masih mengata.

Sakit hati?
Tak perlu.
Manusia paling sempurna,
Rasulullah (Selawat atas Baginda)
Juga ada yang tidak suka.
Apa sangatlah kita,
Yang tidak semulia pohon tamar (nyanyian Da'mie) sekalipun.

Jalan terus!
Tinggalkan yang tidak suka.
Raikan yang suka.

:)

#drMAK

(34) Cecah Dahi Di Lantai

Setiap hari,
Paling kurang,
34 kali,
Mencecahkan dahi ke lantai.
Mengangkat punggung,
Lebih tinggi dari kepala.


Masih belum hadir merendah diri.
Masih belum hilang sombong ego.
Masih belum hadir rasa hidup bertuhan.

Apa maknanya?
Perlu semak semula solat.

#drMAK

(33) Terkejut check timeline FB?

Buka FB.
Scroll timeline.
Bandingkan status ditulis 3 tahun dulu dengan tahun ini.

Jika reaksi kita,
#1 Macamanalah dulu aku boleh tulis macamni?
-Kita telah berubah.

#2 Eh! Kenapa sama je benda yang aku rungutkan dari dulu sampai hari ni.
-Kita masih di takuk lama.

Ukur di mana kedudukan kita.
Buat sesuatu.
Ke arah lebih baik pastinya.

:)

#drMAK

(32) Bapa ini mahu anak-anak menghafal doa, dia teruja berjumpa ini!

Anak saya suka bermain game di dalam handphone. Kadang-kadang terfikir, alangkah baik jika ada apps yang mengajar tentang asas agama seperti berdoa.

Tidak disangka, rakan saya Hazleen Ahmad & Alip Jalil berkongsi hasil FYP pelajar Diploma di ILP Kuala Langat yang menghasilkan apps ini.

Karakternya comel.
Animasi menarik.
Mudah digunakan.
Bacaannya jelas.
Ada tulisan.
Lebih penting,
Bahasa Melayu Malaysia.

Wow!
Anak saya suka.



Ibu bapa boleh cuba.
Sokong usaha pelajar ini.
Tinggalkan komen memberi semangat di playstore.
Semoga lebih banyak apps islami di playstore.
https://play.google.com/store/apps/details…

Nota:
Buat masa ini, Apps ini hanya untuk Android. Tiada versi IOS (Ipad & Iphone).
Cc: Tahniah! Anne Sempoi & Nur Amira Yasmin. Boleh buat apps lain pula. Parents love this!

:)

#drMAK

(31) Bila Allah Berbicara

Tak perlu habis beribu mencari bicara manusia hanya untuk menangis dan menaikkan semangat.
Buka sahaja tafsir Al-Quran buruk yang lama tersimpan cermat.
Baca tafsiran dan makna,
Rasai seolah-olah Allah berbicara,
Menasihati,
Memujuk,
Menegur,
Mengingat,
Menunjuk,
Memberi semangat,
Pada kita.
Baru terasa,
Allah itu dekat.
Apabila Allah dekat,
Apa lagi yang terasa berat?

#drMAK

(30) Anak Sudah Sarapan Belum?

"Abah, kenapa kita kena makan pagi?" Sambil mengunyah roti sapu nutella.
"Oo, supaya tak lapar masa nak belajar dalam kelas nanti. Biasa, kalau Iman lapar, apa Iman buat?"
"Iman pegang perut, sebab rasa pedih. Macam bunyi krook krook"
"Iman ada rasa nak cari makan tak?"
"Haah, rasa nak keluar pergi kantin. Cari makan dulu."
"Kalau macamtu, Iman boleh belajar?"
"Tak boleh. Tak tahan perut lapar sangat."
"Sebab tu kena makan pagi. Perut kenyang, baru boleh belajar." Sambil geletek perut Iman yang dah penuh roti campur nutella.

>>>

Dalam Teori Keperluan Maslow. Keperluan fisiologi seperti makanan, minuman, tidur yang cukup, rehat, dan keselesaan badan adalah yang pertama perlu dipenuhi.

Orang sanggup melakukan apa saja untuk mendapatkan semua perkara di atas. Mereka akan kehilangan motivasi sekiranya perkara ini tidak dipenuhi.

Tidak hairan, jika anak-anak tak boleh nak fokus dan hilang motivasi belajar sekiranya mereka sedang lapar! Tambah lagi tak cukup tidur! Tambah lagi kelas panas!

Nampak je kelas lain dah rehat awal, terus tak dengar dah apa yang cikgu cakap. Membayangkan nugget makcik kantin.

:)

#drMAK


(29) Hargai Pengorbanan Isteri

Selepas lelah menamatkan belajar sebagai pelajar "istimewa" (dikelilingi Gen Y yang amazing!)
Saya menghantar foto penghargaan dan terima kasih pada Mak dan Abah dalam grup wassap keluarga. Walau berkeluarga, mereka berdua sentiasa diutamakan.

Abah balas, "Jangan lupa ucap terima kasih pada isteri dan anak-anak. Banyak masa yang sepatutnya hak mereka telah dikorbankan untuk habiskan belajar."
Tak sedar mata berair, 'abah sedang mengajar menghargai sayap yang membuat aku terbang.'

>>>

Dalam usaha menggapai impian, pasti ada pengorbanan.

1. Sedar diri. Kejayaan bukan kerana kita hebat. Tetapi kerana orang yang membantu dan menyokong lebih hebat.
2. Hargai semua. Walau hanya ucapan pendek "All the best!" Itu tanda mereka di belakang kita.
3. Ibu bapa, tetap No.1 di hati. Tetapi isteri, No.1 disisi. Hargai kedua-duanya.
Apapun, segalanya dari Allah. Maha Hebat!

#drMAK

(28) Ibrah Butang "Shift" Pada Keyboard Komputer

Untuk mendapat huruf besar dan karakter "special" semasa menaip, kita perlu menekan butang "Shift".

Begitulah kehidupan,
Kita perlu menekan diri, "shift" dari kehidupan biasa dan kecil, sebelum mendapat sesuatu yang besar dan istimewa.

Tiada pencapaian besar dan istimewa jika kita tidak melakukan anjakan.

Shift!

:)

#drMAK


(27) Kisah Guru Yang Mengoyak Hati

"Abah, masa sekolah tadi, Iman kena marah dengan cikgu."
"Cikgu marah kenapa?"
"Cikgu tu cikgu ganti. Dia suruh semua orang diam kat tempat masing-masing. Jangan buat bising, jangan cakap-cakap."
"Habis tu?"
"Iman main teka-teki dengan kawan sebelah. Dia tercakap kuat suruh bagi jawapan. Dia give up tak tahu jawab."
Cikgu cakap, "Siapa bising-bising tu?? Bodoh! Bangang! Kan cikgu dah cakap suruh diam!"
"Takkanla cikgu nak cakap macamtu Iman..."
"Satu kelas dengar, semua terdiam."

>>>

Saya sangat menghormati profesyen guru. Saya juga bekerja mirip guru. Saya cuma "terkoyak" hati untuk 3 perkara.

1. Meminta budak-budak berumur 8 tahun untuk duduk diam lebih dari 5 minit adalah salah satu keajaiban dunia. Jika ada guru boleh buat, tolong maklumkan saya. Saya perlu kaji rahsianya, supaya boleh dikongsi bersama. Betul-betul DIAM, sampai habis slot 35 minit.
2. Mengeluarkan perkataan "bodoh", "bangang", adalah penderaan abadi kepada kanak-kanak yang masuk melalui gegendang telinga dan akan merodok hati mereka hingga cedera parah sampai ke tua. Jangan ingat lagu dangdut je tahu "sakitnya tu disini".
3. Jika mengganti kelas sekadar untuk suruh semua diam. Elok hantar pakcik tukang kebun untuk masuk kelas dan bercerita tentang cara-cara menanam pokok. 100x ganda lebih berfaedah.
~~~
Nota:
* Saya bercerita HANYA tentang guru ini. Saya tabik kepada ramai lagi guru yang setiap hari dipuji oleh anak saya. (Anak-anak pandai menilai guru)
* Saya terima jika anak saya bersalah. Saya telah tegur dia, "Lain kali, diam, jangan buat cikgu marah." (Saya sendiri masih ragu, betulkah nasihat ini).

(26) Kisah A dalam SPM

Dulu,
Saya fikir,
Banyak A,
Hidup telah sampai kemuncaknya.

Rupanya tidak.
A tak memberi makna apa-apa,

Jika;
1. Rasa pandai, hingga memilih hanya berkawan orang pandai.
2. Rasa pandai, hingga menutup telinga mendengar nasihat orang.
3. Rasa pandai, hingga sesuka hati menghina pandangan orang.
4. Rasa pandai, hingga menyombong tak pandang orang.
5. Rasa pandai, hingga percaya tak perlu bantuan orang.

Ilmu Allah seluas lautan,
Yang ada di dunia hanya setitis,
Berapa besar SPM..? Ntah!

#drMAK