Pages

Penulis di Facebook

Thursday, 7 May 2015

(41) Ibu Kecewa Dengan Keputusan Peperiksaan Anak, Tetapi Kisah Kuda Ini Memotivasikan Diri

"Zulfa dapat 2A je dalam peperiksaan baru-baru ini. Macamana nak dapat kedudukan tertinggi dalam kelas. Lebih-lebih lagi nak naik ke kelas depan," getus mama dengan nada kecewa.

"Subjek lain dapat gred apa?" Abah bertanya sambil mengalih pandangan dari laptop.

"Lagi 3 subjek dapat B. Ada peningkatan daripada sebelum ini. Sebelum ini dapat C."

"Oo, ada peningkatan, baguslah tu. Boleh usaha dan meningkat lagi."

"Yelah. Tapi kawan dia lain semua dapat 3A ke atas. Yang 4A pun ramai."

"Tak mengapa, biarkan dia 'mengawal kuda' sendiri. Yang penting, dia melompat dan berlari semakin pantas." Sambil senyum melihat mama yang memandang keliru perlu lebih penjelasan.


>>>

Semua ibu bapa inginkan anak yang mendapat tempat pertama di dalam kelas. Anak berada di kelas tertinggi seluruh darjah. Perasaan bertanding untuk menjadi yang terbaik di dalam kelas memang baik.

Namun, ia boleh mengakibatkan tekanan yang melampau kepada anak-anak. Ibu bapa boleh menerapkan mindset sukan ekuesterian berbanding badminton dalam situasi ini.

Dalam sukan badminton, walau bagaimana gigih persiapan yang dilakukan, kemenangan hanya boleh dipastikan dengan menewaskan lawan untuk menjadi pemenang. Setiap pemain berusaha untuk mengkaji strategi lawan dan membaca kelemahan supaya dapat digunakan untuk mendapat mata.
Elemen pertandingan ini kadangkala merosakkan psikologi atlit sekalipun yang berada di ranking pertama dunia, menurut Gallwey. Mereka terdesak untuk mempertahankan ranking yang dihuni daripada dirampas lawan.

Berbeza dalam sukan ekuesterian (show jumping), atlit berlumba dengan diri mereka sendiri untuk mencari masa terpantas dan paling kurang melakukan kesilapan semasa lompatan. Semasa kuda berlari melompat halangan, semakin pantas masa yang dicatatkan dan kurang mata penalti yang dikenakan, akan meletakkan mereka di tempat teratas.

Kemahiran membaca gerak tubuh kuda, menenangkan kuda, dan mengendalikan kuda, semuanya bergantung pada diri mereka sendiri. kemenangan bukanlah dengan mencari strategi menewaskan orang lain, tetapi memikirkan cara terbaik melakukan tunggangan dan lompatan sempurna dengan masa terpantas.

Dengan mindset ekuesterian, anak diajar untuk melupakan pertarungan menentang orang lain dan menumpukan perhatian kepada meningkatkan kualiti diri sendiri ke tahap terbaik.

Pada saat mereka melupakan saingan rakan lain, tekanan akan berkurangan, dan mereka akan meningkat dengan perlahan-lahan mendaki ke puncak kejayaan. Tekanan yang berkurangan akan menyediakan ruang memori lebih luas untuk minda berfikir lebih lancar.

Mengukur pencapaian anak semata-mata berdasarkan kedudukan di dalam kelas dan kedudukan kelas di dalam darjah (streaming) adalah tidak relevan. Malah, ia mungkin boleh merosakkan dan memberi kefahaman yang silap kepada mereka tentang erti kejayaan.

Bagaimana dia berkembang sebagai individu, itu yang lebih baik untuk ibu bapa perhati dan berikan galakan.

------

Jika ada ibu bapa yang risau, ceritakan kisah ekuesterian ini pada mereka.
Anak memang berbeza, mereka akan cemerlang dengan cara dan dalam bidang yang berbeza.

Sebagai ibu bapa, raikan perbezaan!

:)

#drMAK
 
Kredit kepada The Inner Game of Tennis, Timothy Gallwey
 
 

No comments:

Post a Comment