Pages

Penulis di Facebook

Sunday, 10 May 2015

(58) Mampukah aku? - Sempena Hari Ibu

Semasa kecil dulu,

Semasa aku tidak pantas berjalan,
Mak memegang dua tangan dan memimpinku tatih berjalan.

Semasa aku berterabur nasi makan sendiri,
Mak menyuap hingga kenyang dan membersih mulutku.

Semasa aku tak tahu memasak makanan kegemaran,
Mak memasak dan membekalku makan, setiap pagi ke sekolah.

Semasa aku terkial-kial mengikat tali kasut,
Mak tunduk penuh kasih mengikat tali dengan kemas.

Semasa aku tersarung tangan ke lubang kepala mengenakan baju,
Mak sabar membetulkan dan memakaikan butang satu persatu.

Semasa aku menulis seperti cakaran ayam,
Mak sabar mengenggam tangan, mengerakkan pensel menulis huruf satu persatu.

Semasa aku merangkak-rangkak membaca,
Mak tekun menyebut dahulu satu persatu, untuk aku ikuti.

Semasa aku terbaring sakit dan demam,
Mak memujuk ingat Allah, menekap kain basah ke kepala, memberi ubat agar cepat sembuh.

Sekarang,

Mak masih boleh berjalan,
Mampukah aku memimpin mak, ketika mak sudah uzur dan perlukan aku untuk berjalan.

Mak masih makan sendiri,
Mampukah aku suapkan mak, ketika mak sudah tidak mampu mengepal nasi.

Mak masih memasak,
Mampukah aku memasakkan makanan kegemaran mak, ketika mak sudah tidak mampu berdiri lama di dapur.

Mak masih menyarung kasut sendiri,
Mampukah aku sarungkan kasut ke kaki mak, ketika mak sudah tidak mampu tunduk memakai kasut.

Mak masih memakai baju sendiri,
Mampukah aku memakaikan mak baju, ketika mak sudah makin perlahan membutang baju.

Mak masih menulis,
Mampukah aku menulis untuk emak, ketika tangannya sudah semakin bergetar.

Mak masih membaca,
Mampukah aku membacakan pada mak, ketika matanya sudah semakin kabur.

Mak masih sihat,
Mampukah aku memujuk hati, membelai emak, menjaga emak sebaiknya, ketika sakit singgah padanya nanti.

Mak,
Mak sentiasa doakan anak mak ini, diampun dosa dan dimasukkan ke syurga, setiap hari.

Semoga anakmu juga terus berdoa, ampunkan dosa mak, kasihanilah mak, sepertimana mak mengasihiku semasa aku kecil.
Masukkan mak ke syurga.

Amiin.



#drMAK
10 Mei 2015


No comments:

Post a Comment