Pages

Penulis di Facebook

Sunday, 10 May 2015

(55) 4 Pesanan Hidup, Dari Pakcik Berkopiah Putih

Aircond myvi buat hal. Pulas tombol, habis sampai hujung pun, masih tak sejuk. Nampak gayanya, koyak lagi poket.

Di kedai aircond, selepas berbincang hati ke hati, sah! Kos untuk membaiki aircond meletupkan bom di dalam hati. Takpelah, dah sampai masa.

Sedang mengira-ngira dari mana hendak dikorek duit, nampak seorang pakcik berkopiah putih sedang asyik memerhatikan kereta wajanya dibaiki. Tarik kerusi perlahan, duduk sebelah.

"Servis aircond ke pakcik?" Macam biasa, orang Malaysia memang suka 'state the obvious'. Nasib baik pakcik tu tak jawab, "Tengah latihan praktikal!"

Bermulalah sembang panjang dengan pakcik berkopiah ini. Dari satu topik ke satu topik. Sampailah keretanya siap. Selepas bersalaman, Haji Manaf meminta diri untuk pulang dan meninggalkan 4 pesanan yang diingati sampai hari ini.

1. UKUR BAJU DI BADAN SENDIRI.

Sebagai Pegawai IT di MAS yang mengambil VSS sekitar tahun 2010, dia menerima 15 bulan gaji sebagai pampasan.

Ramai rakannya yang menukar kereta baru, membeli rumah baru, melancong ke luar negara, memulakan bisnes, dan bermacam lagi perubahan gaya hidup yang mendadak.

Akhirnya, kebanyakan mereka kembali bekerja sebagai Pak Guard kerana kehabisan wang, dan bisnes yang diusahakan tidak menjadi.

Pesan Haji Manaf, "Kita tak perlu berlagak, nak menunjuk kita banyak duit, sedangkan kita sendiri tahu kemampuan sebenar kita. Jika nak buat bisnes, biar ada ilmu, jangan sesuka hati terjun macam luncai. Itu bunuh diri.

2. HIDUP JANGAN BERKIRA, BERI LEBIH

Walaupun dia bekerja makan gaji, kerja yang dilakukan sentiasa melebihi daripada gaji yang diberi.
"Saya tolong semua orang yang perlukan bantuan, walaupun bukan skop kerja saya. Lebih banyak kita membantu, Allah lorongkan rezeki melalui jalan yang tidak disangka."

3. CARI ILMU URUS DUIT

Ramai orang bersungguh-sungguh mencari duit, tetapi tidak belajar menguruskan duit. Duit jika tidak diurus dengan betul, kita akan menjadi hamba duit.

"Kita bekerja susah siang malam mencari duit, akhirnya semua masuk akaun orang lain. Tak pandai menyimpan dan melabur, apa yang tinggal untuk kita?"

4. SUKAI KERJA YANG KITA BUAT

Berapa ramai yang bangun pagi, malas pergi kerja? Itu sebab mereka tak suka kerja yang sedang dilakukan.

Kita kena belajar menyukai kerja kita. Apabila suka, barulah kita akan melakukan sepenuh hati dan terbaik.

Jika kita tak mampu menyukai kerja sekarang, carilah kerja yang lebih disukai.

"Saya dulu programmer, walaupun saya hanya bahagian IT yang mengurus penyelenggaraan, tetapi saya berjaya buat sistem yang digunapakai oleh MAS untuk mengesan 'blacklist passenger'. Sebab saya minat dan suka.


>>>

Termenung aku lepas dia pergi. Berkopiah, membawa kereta Waja, memegang Al-Quran kecil di tangan. 'Programmer' rupanya. Masya Allah.

:)

#drMAK

No comments:

Post a Comment