Pages

Penulis di Facebook

Showing posts with label Chess. Show all posts
Showing posts with label Chess. Show all posts

Sunday, 10 May 2015

(56) Solat Menang Chess Bah. 2

Semua ibu bapa mahukan anak yang rajin solat. Ibu bapa mana yang tidak mahukan anak yang dari kecil, rajin mendoakan kebaikan untuk mereka. Sejuk hati apabila melihat anak boleh solat sendiri tanpa disuruh setiap kali masuk waktu solat fardhu.

Apabila saya mencadangkan Iman untuk solat sungguh-sungguh supaya boleh menang pertandingan 'chess', terdetik di hati, bagaimana jika dia kalah? Hilangkah keyakinannya pada Tuhan? Namun, soalan itu, saya cepat hilangkan dari pemikiran. Tidak perlu berfikir sesuatu yang belum berlaku dan di luar kuasa untuk menentukan. Yang penting, usaha telah dibuat.

"Abah, cuba teka result pertandingan chess Iman?"

Melihat hidung Iman yang kembang kempis, "Iman menang eh?"

"Yayy! Iman menang abah. Tim Iman menang johan lelaki bawah 9 tahun." Mengurut dagu yang belum ada misai.

"Alhamdulillah!" Terus memeluk gembira.

"Ini semua sebab Iman doa sungguh-sungguh pagi tadi," tuturnya yakin.


>>>

Allah! Dari situ saya tersedar. Sebelum anak diyakinkan tentang kekuasaan Allah. Saya sebagai bapa, perlu terlebih dahulu meyakinkan diri bahawa apa sahaja yang berlaku selepas usaha adalah dari Allah. Apapun keputusan, hikmahnya tetap ada. Cuma, sebagai manusia tidak selalunya hikmah dapat difahami.

Apabila anak percaya, Allah bersama mereka. Mereka berusaha tanpa takut dan bimbang. Tiada langsung ragu-ragu. Bersih sungguh hati mereka.

:)

#drMAK

Thursday, 7 May 2015

(46) Solat Menang Chess

Anak-anak, kadangkala liat mahu solat. Disuruh baru bergerak. Bila solat, ekspressnya mengalahkan ERL.

Alhamdulillah, mereka masih mahu solat. Selain doa khusus, tercari juga cara lain yang boleh diusahakan.

Hinggalah satu hari,

"Abah, esok abah doakan Iman menang dalam pertandingan chess kat sekolah tau."

"Oh, Iman bertanding esok ye? Kalau nak menang, Iman kena doa sendiri sungguh-sungguh pada Allah."

"Kenapa abah?"

"Sebab esok, abah tak duduk sebelah iman. Iman bertanding sorang-sorang. Siapa yang sentiasa ada dengan Iman?"

"Allah."

"Haa, kenalah doa pada Allah. Supaya Allah tolong Iman."

>>>

Maka, bermula waktu maghrib itu, mulalah terdengar bacaan Al-Fatihah yang luarbiasa lantang. Sebelum ini hanya berbisik.

Tempoh solat 1 minit melebar ke 5 minit.

Salam ke kiri dan melompat, bertukar kepada salam ke kiri dan istighfar sebelum doa.

------

Manusia, bilamana tiada siapa lagi yang boleh bergantung harap. Secara fitrah, akan kembali kepada Tuhan.

Anak kecil, biasanya akan banyak bergantung pada ibu bapa. Dalam keadaan pertandingan yang tiada ibu bapa. Baru mereka sedar, yang ada, hanya Tuhan.

Itu saat terbaik untuk ibubapa suntik kepercayaan sepenuhnya pada Tuhan.

Ambil peluang ini, bila ia muncul. Lebih kerap diulang, semakin bertambah kepercayaan anak pada Tuhan.

:)

#drMAK

Sunday, 15 February 2015

(18) Bapa Bakal Ditinggal Anak

Sebelum Maghrib, aku baru pulang dari berjumpa pensyarah di Universiti. Berjalan longlai dalam keadaan penat fizikal dan mental.

Tiba-tiba disapa anak. "Abah, malam ni, jom main catur dengan Iman nak?". Sambil memegang pergelangan tangan abah.



"Abah penat ni Iman. Sakit kepala. Esok esoklah." Tanpa memandang wajah anak, terus masuk ke bilik.

Aku terdengar perbualan perlahan di luar bilik,  "Mama, abah taknak main. Iman nak berlatih dengan siapa?".

Isteri masuk ke bilik. "Abang tak tengok ke muka dia penuh harapan nak main dengan abang?".

Allah. Aku tersedar. Di bibir, kata menyokong. Tapi perbuatan, tidak mendorong.

Dengan wajah bersalah. "Iman, abah mandi, kita solat Maghrib sama. Lepas tu, kita main."

Sambil tersenyum, "Terima kasih abah". Iman mula mencari papan catur. Semangat semula.

Terdetik di hati. "Allah, semoga dia tidak menolak aku semasa hari tua nanti."

~Ammar Muhamad~
#drMAK