Pages

Penulis di Facebook

Showing posts with label solat. Show all posts
Showing posts with label solat. Show all posts

Friday, 6 November 2015

(95) Jawapan Super Spontan

"Iman, solat Iman!"

Keletung keletang gasing melanggar dinding di ruang tamu.

"Iman, dah solat ke belum tu?

Senyap.

3 minit. Keluar dari bilik.

"Iman dah solat ke belum ni?" Dia gigih dan sibuk melilit gasing.

"Dahh!"

"Abah tak nampak pun Iman solat. Siapa yang tengok Iman solat tadi? Zulfa? Zahraa?"

"Allah!"

>>>

Baiklah Iman. Abah kalah.


‪#‎drMAK‬
‪#‎BudakKripton‬

Sunday, 10 May 2015

(56) Solat Menang Chess Bah. 2

Semua ibu bapa mahukan anak yang rajin solat. Ibu bapa mana yang tidak mahukan anak yang dari kecil, rajin mendoakan kebaikan untuk mereka. Sejuk hati apabila melihat anak boleh solat sendiri tanpa disuruh setiap kali masuk waktu solat fardhu.

Apabila saya mencadangkan Iman untuk solat sungguh-sungguh supaya boleh menang pertandingan 'chess', terdetik di hati, bagaimana jika dia kalah? Hilangkah keyakinannya pada Tuhan? Namun, soalan itu, saya cepat hilangkan dari pemikiran. Tidak perlu berfikir sesuatu yang belum berlaku dan di luar kuasa untuk menentukan. Yang penting, usaha telah dibuat.

"Abah, cuba teka result pertandingan chess Iman?"

Melihat hidung Iman yang kembang kempis, "Iman menang eh?"

"Yayy! Iman menang abah. Tim Iman menang johan lelaki bawah 9 tahun." Mengurut dagu yang belum ada misai.

"Alhamdulillah!" Terus memeluk gembira.

"Ini semua sebab Iman doa sungguh-sungguh pagi tadi," tuturnya yakin.


>>>

Allah! Dari situ saya tersedar. Sebelum anak diyakinkan tentang kekuasaan Allah. Saya sebagai bapa, perlu terlebih dahulu meyakinkan diri bahawa apa sahaja yang berlaku selepas usaha adalah dari Allah. Apapun keputusan, hikmahnya tetap ada. Cuma, sebagai manusia tidak selalunya hikmah dapat difahami.

Apabila anak percaya, Allah bersama mereka. Mereka berusaha tanpa takut dan bimbang. Tiada langsung ragu-ragu. Bersih sungguh hati mereka.

:)

#drMAK

Thursday, 7 May 2015

(46) Solat Menang Chess

Anak-anak, kadangkala liat mahu solat. Disuruh baru bergerak. Bila solat, ekspressnya mengalahkan ERL.

Alhamdulillah, mereka masih mahu solat. Selain doa khusus, tercari juga cara lain yang boleh diusahakan.

Hinggalah satu hari,

"Abah, esok abah doakan Iman menang dalam pertandingan chess kat sekolah tau."

"Oh, Iman bertanding esok ye? Kalau nak menang, Iman kena doa sendiri sungguh-sungguh pada Allah."

"Kenapa abah?"

"Sebab esok, abah tak duduk sebelah iman. Iman bertanding sorang-sorang. Siapa yang sentiasa ada dengan Iman?"

"Allah."

"Haa, kenalah doa pada Allah. Supaya Allah tolong Iman."

>>>

Maka, bermula waktu maghrib itu, mulalah terdengar bacaan Al-Fatihah yang luarbiasa lantang. Sebelum ini hanya berbisik.

Tempoh solat 1 minit melebar ke 5 minit.

Salam ke kiri dan melompat, bertukar kepada salam ke kiri dan istighfar sebelum doa.

------

Manusia, bilamana tiada siapa lagi yang boleh bergantung harap. Secara fitrah, akan kembali kepada Tuhan.

Anak kecil, biasanya akan banyak bergantung pada ibu bapa. Dalam keadaan pertandingan yang tiada ibu bapa. Baru mereka sedar, yang ada, hanya Tuhan.

Itu saat terbaik untuk ibubapa suntik kepercayaan sepenuhnya pada Tuhan.

Ambil peluang ini, bila ia muncul. Lebih kerap diulang, semakin bertambah kepercayaan anak pada Tuhan.

:)

#drMAK

(36) Solat Awal Waktu, Selesai Masalah?

"Aku buntulah. Banyak sangat masalah datang bertimpa-timpa. Semua nak pakai duit. Kereta breakdown nak kena bayar $400. Laptop skrin gelap, kedai nak $350." Dengan wajah murung mendung.

"Maaf, aku pun takde duit nak pinjamkan. Tak cuba pinjam dari famili?"

"Malas nak menyusahkan."

"Macamtu, Allah sahaja yang mampu merungkai masalah ni. Kadang-kadang, kita ni masa senang, selalu terlupa Allah. Bila susah macamni, dapatlah dengar kita mula berdoa semula"

"Mungkinlah. Kebelakangan ni pun, solat selalu lewat."

"Tanpa kita sedar. Kita terlengahkan urusan dengan Allah. Dahulukan urusan dengan manusia. Kita hilang keutamaan."

"Hmm," diam berfikir.

"Cuba solat awal waktu selepas ni. Dahulukan Allah sebelum urusan lain."

"Inshaa Allah, aku cuba."



>>>

"Alhamdulillah, masalah aku hari tu semua selesai dengan mudah. Betul nasihat kau dulu, bila dahulukan Allah, urusan lain dipermudahkan."

"Apa cerita kereta dan laptop kau?"

"Oh, kereta tu, pemilik bengkel sendiri tawar bayar ansuran. Sebulan $100. Laptop tu pula, bila kedai semak semula, masih ada jaminan. Kos baiki jadi percuma."

"Allahu Akbar, Alhamdulillah. Mesti rasa mati hidup kembali."

"Memang." Sambil tersenyum sampai ke telinga.

------

Kita sayang Allah. Kita cinta Allah.
Apa buktinya?
Apabila tiba waktu solat, kita berlumba-lumba mencari rumahNya untuk sujud kepada Allah.
Solat awal waktu amalan mudah,
Bantuan Allah menghapus resah.

:)

#drMAK

(34) Cecah Dahi Di Lantai

Setiap hari,
Paling kurang,
34 kali,
Mencecahkan dahi ke lantai.
Mengangkat punggung,
Lebih tinggi dari kepala.


Masih belum hadir merendah diri.
Masih belum hilang sombong ego.
Masih belum hadir rasa hidup bertuhan.

Apa maknanya?
Perlu semak semula solat.

#drMAK

Monday, 26 January 2015

(15) Ibu Bapa Sepatutnya Dirotan!

Semalam (Sabtu, 24/1/15) ada tajuk berita best. Sampai terbeliak mata membacanya "Rotan anak bakal jadi kesalahan jenayah". Terbayang ibu bapa yang akan digari macam kesalahan jenayah lain. Mungkin ada yang akan menarik baju menyerkup muka agar tidak dikenali.

"Rotan mendidik berbeza dengan rotan mendera"


Yang pasti, ramai terkejut kerana "merotan" adalah "budaya" yang telah sebati dalam masyarakat Malaysia terutama orang Melayu.

Lebih ke hadapan lagi, ada yang terus keras mengecam "ini undang-undang ciptaan Yahudi".

Baik, tulisan ini hanya pandangan seorang pelajar psikologi pendidikan, yang masih belum ada "kertas bukti" telah tamat belajar.

Daripada 'Amru bin Syu'aib, daripada ayahnya, daripada datuknya r.a katanya, sabda Rasulullah saw: "Perintahlah anak-anakmu mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun serta pisahkan tempat tidur mereka". (Hadith riwayat Abu Daud)

Ramai yang membaca hadith di atas dan menafsirkan dengan mudah, bahawa ini membuktikan anak-anak boleh dirotan. Dalil ini digunakan untuk "menghalalkan" merotan anak. Tetapi berapa ramai yang terlepas pandang, dalil ini juga dalil TANGGUNGJAWAB BESAR yang perlu ditunaikan oleh ibubapa.

Seawal anak berumur 7 tahun, ibu bapa telah dianjurkan supaya memerintahkan anak-anak untuk "mendirikan" solat (malah ada yang lebih awal). Bukan hanya sekadar tunggang tonggek solat, tetapi "mendirikan" dengan pemahaman yang jelas kenapa perlunya solat. "Roh" sebenar yang perlu ada dalam solat.

Ibu bapa diberikan 5475 waktu solat fardhu untuk mendidik anak mendirikan solat. 1095 set lengkap 5 kali sehari solat fardhu sebelum tiba umur 10 tahun.

Ibu bapa punya tanggungjawab memujuk, mengajar, menunjukkan, membetulkan, menyemak, memuji, dan mengimamkan mereka mendirikan solat. Berapa ramai yang melakukan itu sebelum merotan dibenarkan?

Malah, rotan yang dianjurkan adalah dalam isu akidah. Isu paling utama sebagai seorang Muslim. Berapa ramai yang hanya merotan apabila anak tak siapkan kerja rumah? Apabila anak bergaduh dengan rakan di sekolah? Apabila anak menolak air dalam cawan tertumpah? Tetapi masih rileks membiarkan anak menonton TV pada waktu Maghrib, sedangkan azan sedang berkumandang di masjid sebelah?

Dalam peringkat umur sebelum 10 tahun, fikiran mereka masih belum matang untuk menafsir ibrah. Cantiknya Islam mengajar kita supaya mengajar, memujuk, menunjukkan, memandu, menasihati, dan membetulkan setiap kali mereka tersilap arah. Hanya selepas semua telah dilakukan dan dicurah, barulah dibenarkan ibu bapa merotan. Malah rotan juga ada tertibnya. Bukan melepas geram sehingga cedera dan menyeksa jiwa.

Jangan dilupa, ibu bapa juga mempunyai 1095 set lengkap untuk menunjukkan kepada anak-anak bahawa mereka juga hamba Allah yang taat melakukan solat. Kerana ibu bapa adalah model paling hampir yang selalu dilihat. Jika ibu bapa juga masih celam celum dan meninggalkan solat. Maka, tangguhkan terlebih dahulu niat merotan. Kerana kemungkinan mereka sebenarnya yang perlu dirotan.

Mungkin hikmah berita ini adalah untuk mengejutkan kita supaya mencari semula apa yang diajar oleh Rasulullah. Apa pun, undang-undang ini tetap perlu diteliti lagi penjelasannya, kerana besar kesannya kepada perubahan sosiobudaya masyarakat.

Saya teringat di sekolah dulu, jika sudah berumur 15 tahun pun masih tidak tahu mengutamakan solat. Bukan sahaja rotan, malah sudah layak dilanggar dengan van kerana tak reti berhenti bermain bolasepak di tengah padang. Sedangkan azan Maghrib sedang berkumandang.

Terima kasih Ustaz.



#drMAK