Pages

Penulis di Facebook

Wednesday, 9 December 2015

(103) Obses Origami

Balik hari ini masih berorigami lagi. Semalam origami. Dari minggu lepas membuat origami. Setiap hari origami. Budak apabila sudah sangat minat dengan satu-satu perkara seakan tidak boleh berhenti.

Petang balik ke rumah, terus campak beg atas sofa, hidupkan PC, buka Youtube, taip ‘origami dinasour’.

Selagi dinasour kertas tak dapat siap, selagi itu, duduk depan PC melipat kertas tanpa berkelip mata.
Sekejap terpusing sana. Sekejap terpusing sini. Sekejap lipat senget. Ada masa, klik semula video youtube untuk patah balik langkah yang terlepas pandang.

“Buat apa lagi tu Iman? Takkan tak siap-siap lagi lipat dinasour?”

“Ini dinasour yang lain pula.” Menarik helaian A4 dari rim kertas yang abah simpan untuk cetak tesis.

“Membazirlah iman kertas abah tu. Nanti dah siap, awak sepah-sepahkan pula.”

Mata tak tahan melihat hasil origami berselerak di ruang tamu. Bawah sofa, atas meja makan, atas rak TV, bawah meja PC, hampir semua ceruk ada.

Senyap. Dia terlampau asyik melipat dengan mulut termuncung-muncung.

Selepas 15 minit.

“Abah, cuba tengok ni, dah siap dinasour Iman.”

“Iman buat sendiri ni? Ini yang Iman tengok youtube tadi?” membelek setiap inci origami.

“Haah. Iman belajar dari youtube. Abah pandai tak buat origami macamni?” tersengih.

“Huish, susah sangat ni Iman. Abah tengok youtube pun belum tentu boleh buat. Bagus awak boleh belajar dengan tiru youtube.”

“Nanti Iman nak buat dinasour lain pula.” Mula mencari video lain.

“Hmmm, buat lagi. Dah selesai, kemas ya.” Harapan positif abah buat kali ke-100.

>>>

Memang tiada perkataan jemu dalam kamus belajar anak-anak sebenarnya. Cuma caranya yang kena betul. Iman saya perasan adalah seorang kanak-kanak yang visual dan kinestetik.

Bagaimana saya tahu?

Kanak-kanak visual tidak memberikan tumpuan apabila kita membebel. Mereka akan memandang ke lantai, pandang tempat lain, tanpa memandang wajah kita.

Itu tidak bermakna mereka biadap. Mereka sedang cuba membayangkan apa yang kita katakan, tanpa perlu melihat wajah kita.

Mengapa saya tahu dia kinestetik? Kerana dia seboleh mungkin akan menyentuh semua benda yang ada di depan mata.

Pernah kami bawa ke pameran inovasi dan teknologi yang mempamerkan pelbagai ciptaan yang menarik. Apabila ditegur jangan menyentuh pameran kerana bimbang rosak, kakak dan adik terus patuh, tetapi dia dengan selambanya menekan-nekan suis! OMG!

Anak tuan dan puan juga begitu?

Anak-anak kinestetik memang perlu menyentuh untuk belajar. Mereka tidak cukup dengan hanya mendengar dan melihat.

Biarkan mereka meneroka, cuma perlu diingatkan dan dipantau sekiranya apa yang ingin dicuba boleh membahayakan.

Perasan tak kanak-kanak suka mengulang-ulang? Mereka boleh menonton cerita sama berulang kali.
Itu memang cara mereka belajar, kerana dalam setiap ulangan, ada sahaja perkara baharu yang mereka akan belajar. Malah, kita yang dewasa juga perlu pada pengulangan.

Kadang-kadang, kita yang rimas melihat mereka membuat perkara yang sama. Pengulangan tidak bermaksud melakukan perkara yang sama berulang kali tetapi mengharapkan hasil yang berbeza.

Tetapi pengulangan yang berkesan ialah kemahiran yang sama diulang dalam konteks yang berbeza.
Dalam contoh Iman tadi, dia memang mengulang-ulang kemahiran origami setiap hari, tetapi dalam konteks menghasilkan dinasour yang berbeza.

Kemahiran yang diulang berkali-kali menyebabkan mereka menyedari terdapat corak sama untuk menyelesaikan sesuatu perkara. Mereka boleh menjangkakan apa yang akan berlaku sekiranya corak yang sama berulang.

Apabila bertemu keadaan yang serupa, secara automatik, sistematik dan lebih pantas mereka dapat menyelesaikan masalah tersebut.

Sebagai contoh, pernah tak kali pertama mereka menumpahkan air dari meja makan, mereka akan panik tidak tahu nak buat apa. Tetapi selepas berkali-kali, mereka akan tahu bahawa mereka perlu mengambil kain buruk dan lap.

Namun, apabila air sirap pula yang tumpah, mereka kantoi kerana lantai jadi melekit-melekit (mereka dah pandai cepat-cepat lap sendiri sebab takut kena marah).

Mereka belajar, jika air sirap, perlu direnjiskan air terlebih dahulu sebelum dilap. Selepas ini, jika air teh yang tumpah, mereka sudah tahu apa yang perlu dilakukan.

Pengulangan kemahiran yang sama dalam konteks yang berbeza ini dinamakan pembelajaran.

Tak mengapalah Iman, rumah bersepah untuk melatih kemahiran melipat origami, asalkan pandai mengemas semula. Dapat latih dua kemahiran, kemahiran melipat dan kemahiran mengemas rumah (tinggi menggunung harapan tu..).
_________

NOTA:
Kemahiran koordinasi jari jemari dan mata adalah kemahiran motor halus (fine motor).

:)

#drMAK
#BudakKripton
_________

Kredit:
Weibell, C. J. (2011). Principles of learning: 7 principles to guide personalized, student-centered learning in the technology-enhanced, blended learning environment.

Monday, 7 December 2015

(102) Kenapa Angkat Tangan Pada Lori Sawit?

Jalan kampung memang sempit. Pada satu-satu masa, hanya sebuah kenderaan sahaja boleh lalu. Dari jauh, lori besar sarat dengan buah sawit yang baru dikait bergerak senget menuju ke arah kami. Selisih dengan lori besar senget yang penuh dengan muatan memang menyeramkan.

Kereta dihentikan dan kami menanti di hujung jalan. Biarkan lori itu bergerak dulu.

Lori senget tadi melintas di sebelah kanan lalu pemandu lori mengangkat tangan.

Saya turut mengangkat tangan sambil tersenyum. Bahagia dapat memudahkan urusan orang lain, walaupun sekadar memberi laluan.

“Kenapa orang tu angkat tangan pada abah? Abah kenal ke?”

“Abah tak kenal.”

“Kenapa dia angkat tangan?”

“Itu tanda terima kasih sebab abah bagi dia jalan dulu.”

“Owhhh..”

>>>

Setuju jika dikatakan ibu bapa adalah model pertama yang membentuk tingkahlaku anak-anak.
Sama ada kita menunjukkan kelakuan yang baik ataupun buruk, mereka tetap belajar melalui pemerhatian. Mereka tidak perlu faham kenapa kita melakukan, mereka hanya meniru.

Kebanyakan orang dewasa kesabarannya akan teruji di atas jalanraya. Apabila memegang stereng, ‘warna’ sebenar akan kelihatan.

Langgar lampu merah, guna lorong kecemasan, buang sampah atas jalan, memotong tanpa signal, hon tak tentu fasal, memotong barisan di tol, dan banyak lagi.

Ketika inilah, peranan ibu bapa sebagai model sangat-sangat teruji. Sejauhmana ibu bapa dapat mempamerkan pemanduan berhemah akan diperhatikan oleh anak-anak. Zaman sekarang mereka telah belajar subjek lalulintas di sekolah, maka, hati-hati.

Sekali mereka sudah rakam apa yang kita lakukan di dalam memori, ianya akan tersimpan lama.
Apa yang kita sebut dan ajar, tidak sama kesannya dengan apa yang mereka lihat. “Iman, pakai seat belt duduk di belakang tu,” sedangkan abah tak pasang seat belt. Memang nasihat itu takkan berkesan.

Jika mereka lakukan sekalipun, ianya hanya sementara. Di saat mereka sudah bebas dari perhatian ibu bapa, mereka akan lakukan sama seperti apa yang mereka lihat. Kuatnya kesan model.

Dalam kajian tentang otak, pengkaji mendapati terdapat sel istimewa di dalam otak yang dinamakan ‘neuron cermin’.

Apa yang berlaku ialah, apabila kita melihat seseorang melakukan satu perbuatan, neuron cermin akan aktif di dalam otak seolah-olah kita sendiri melakukan perbuatan tersebut.

Neuron ini akan bersambung dengan neuron-neuron yang lain dan membentuk maklumat yang baru melalui pengalaman melihat tersebut walaupun sebenarnya bukan diri sendiri yang melakukan.

Tidak hairan jika anak yang berumur 5 tahun mula memarahi adiknya ketika sedang bermain walaupun sebelum itu dia kelihatan biasa sahaja.

Ianya mungkin disebabkan neuron cermin yang diaktifkan ketika melihat ibu atau bapa memarahi pemandu lain yang memotong kenderaan dengan bahaya (walaupun memang patut kita marah).

Itulah sebabnya ibu bapa perlu sentiasa tenang di dalam kereta dan atas jalanraya dalam apa jua keadaan kerana kebanyakan masa, anak-anak ada bersama kita terutamanya apabila pulang ke kampung atau hantar dan pulang dari sekolah.

Melalui model peribadi yang kita pamerkan, anak-anak mendapat maklumat, pengalaman, kemahiran, kepercayaan, nilai, dan sebahagian besar sikap dan tingkahlaku yang menjadi sebati dalam diri mereka.

Bagaimana ibu bapa menangani konflik, menangani tekanan atau ketakutan, dan berkomunikasi dengan orang lain, semuanya akan terjalin melalui neuron cermin mereka.

Sebagai manusia, kita tidak akan terlepas daripada beremosi seperti marah, geram, membentak, menengking, dan sebagainya.

Namun, dengan menyedari kelakuan buruk yang boleh memberi impak kepada peribadi anak-anak, kita perlu cuba sedaya upaya untuk menunjukan contoh terbaik terutamanya dalam mengekalkan hubungan baik sesama manusia. 

:)

#drMAK
#BudakKripton
___________
Kredit:
I Spy Daddy Giving Someone the Finger, By Alan Kazdin and Carlo Rotella, www.slate.com, January 2009.

Friday, 4 December 2015

(101) ‘Crunchie’ Bukan Untuk Dijual

“Hmm.. geramnya Crunchie ni, gebu sangat. Kalau jual ni, berapa boleh dapat kot yang..”

“Huih, mahal kucing parsi ni bang. Hari tu tengok di Petworld DePulze Cyberjaya, kucing macamni harga seribu lebih..”

Zulfa memasang telinga mencuri dengar perbualan mama dan abah.

“Zulfa, kita jual nak Crunchie ni. Boleh dapat duit seribu lebih.” Angkat kening bertubi-tubi.

“Hee, taknaklah, sayanglah Crunchie.” Muncung bibir.

“Ok, Zulfa suka ipad kan? Duit jual Crunchie, kita beli ipad. Nak tak?”

Dia mula memusing-musing bucu baju.

“Memanglah Zulfa suka ipad. Tapi Zulfa sayang Crunchie.”

Dia merangkul Crunchie dari pangkuan abah.

“Takpelah Zulfa takde ipad pun, Zulfa nak Crunchie”. Memeluk ketat Crunchie yang selesa di pangkuan.

Datanglah mengada-ngada Crunchie tu. Nyampah.

>>>

Abah menarik nafas panjang. Lega Zulfa lulus ujian. Dia sudah faham ada yang lebih berharga daripada ipad.

Zulfa mula mengenali kucing sejak berumur 3 bulan lagi. Sejak itu, haiwan kesayangan Nabi itu tidak pernah putus menghuni rumah ini. Ada yang hilang tak kembali. Ada yang mati depan mata.
Tetapi tidak lama, sudah pasti ada pengganti.

Ketika membuat keputusan membela kucing, memang niatnya cuma satu, agar mereka faham erti memberi kasih sayang.

Apa bagusnya kucing di dalam rumah?

1. Harga Diri

Kucing adalah peneman yang baik. Mereka membalas semula kasih sayang tanpa prejudis. Pernah lihat kucing menjauhi budak gemuk dan pilih budak kacak? Pernah lihat kucing lari dari budak comot dan pilih budak cantik?

Mereka tidak memilih untuk bermanja dengan budak yang comel sahaja. Mereka bermanja dengan semua kanak-kanak. Siapa sahaja.

Dalam satu kajian, kucing didapati membantu meningkatkan harga diri kanak-kanak istimewa. Kanak-kanak istimewa biasanya dibantu untuk melakukan sesuatu menyebabkan mereka berasa rendah diri.

Tetapi kehadiran kucing yang menggesel kaki dan meminta makanan menyedarkan mereka bahawa ada hidupan lain yang perlukan bantuan mereka.

Kucing seolah berkata, “Awak sahaja yang boleh membantu saya, tolong berikan saya makanan.” Perasaan dapat membantu, meningkatkan harga diri mereka.

2. Tanggungjawab

Sikap bertanggungjawab tidak hadir tiba-tiba dalam diri anak-anak. Mereka perlukan amalan praktikal untk belajar mengambil berat tentang sesuatu perkara.

Ibu bapa boleh menunjukkan bagaimana cara bertanggungjawab dengan memberi makan kucing dan menguruskan kesihatan kucing.

Istimewanya kucing, ia mengajar kita menjalin hubungan dulu, baru kemudiannya menjalankan tanggungjawab, kerana kucing tidak suka kepada orang asing.

Dalam Kajian Dr. Melson kepada kanak-kanak berumur 3 tahun ke atas, beliau mendapati, dalam tempoh 24 jam, kanak-kanak yang memiliki kucing memperuntukkan 10.3 minit untuk menjaga kucing secara aktif berbanding 2.4 minit sahaja yang diperuntukkan untuk menjaga adik-adik secara aktif (bermain bersama tidak dikategorikan sebagai menjaga).

Ini menunjukkan aktiviti menjaga kucing lebih melatih sikap bertanggungjawab.

Tambah Dr. Melson, memelihara kucing lebih penting untuk anak lelaki kerana ianya tidak kelihatan ala ‘keperempuanan’ seperti bermain susukan bayi, main rumah-rumah, atau main anak patung.

Menjelang umur 8 tahun, anak perempuan lebih terlibat dalam penjagaan bayi (adik mereka) berbanding lelaki. Namun, untuk penjagaan kucing kedua-dua gender masih boleh terlibat sama.

3. Redha

Sedia maklum, kucing mempunyai umur yang lebih pendek dari manusia. Kebiasaannya, pengalaman pertama anak-anak berhadapan dengan kematian adalah apabila perginya kucing tercinta.

Mereka belajar untuk bersedih dan menerima hakikat setiap yang hidup pasti akan mati. Apabila jenazah kucing mereka diuruskan dengan baik, ini adalah pengalaman yang tidak ternilai buat mereka. Mereka belajar untuk redha. Mereka lebih tenang menghadapi peristiwa sama pada masa akan datang.

4. Pembelajaran

Pernah tak melihat anak yang obses dengan kucing? Mereka membacakan buku kepada kucing, tidur bersama kucing, berkelubung selimut dengan kucing, dan main bawah katil dengan kucing.

Menurut Dr. Mary Renck Jalongo, Profesor bidang pendidikan di Indiana University of Pennsylvania, kucing boleh membantu kanak-kanak untuk belajar. Dalam satu studi, kanak-kanak diminta untuk membaca di hadapan rakan-rakan, orang dewasa, dan kucing. Pengkaji mengukur tahap stress mereka dan mendapati kanak-kanak sangat rileks bersama haiwan dan tidak manusia.

Bayangkan anak anda yang masih merangkak-rangkak membaca dan kita berkata, “Jom ambil buku dan baca.” Kita duduk di hadapan. Sudah pasti itu bukan sesuatu yang menarik untuk mereka, berbanding membaca sambil memeluk kucing tanpa sesiapa melihat. Mereka boleh membaca perlahan-lahan tanpa stress.

5. Ketenangan

Dr. Melson bertanya kepada kumpulan kanak-kanak berumur 5 tahun yang memiliki kucing, apa yang mereka lakukan apabila mereka berasa sedih, marah, takut, atau mempunyai rahsia untuk dikongsi.

Lebih 40% secara spontan mengatakan mereka luahkannya pada haiwan peliharaan. “Kanak-kanak yang mendapat sokongan dari haiwan peliharaan dikatakan kurang risau dan kurang merasa tersisih hasil pemerhatian ibu bapa masing-masing.”

6. Hubungan Kekeluargaan

Kucing mampu menyatukan seluruh keluarga. “Apabila ditanya pada kanak-kanak dan ibu bapa adakah kucing adalah sebahagian dari keluarga mereka? Kebanyakan kelihatan terkejut dan hampir melenting kepada soalan itu,” kata Dr. Melson. Kebanyakan akan menjawab, “Mestilah!”

Menjaga kucing kebiasaannya adalah aktiviti yang dikongsi oleh seisi keluarga. Memberi makan, menyikat bulu, melihat mereka berkejaran sesama sendiri, menonton mereka mengejar guli di atas lantai.

Memperuntukkan masa begini menawarkan peluang untuk meredakan ketegangan dalam dunia yang serba memenatkan ini.

Jika orang melihat, pasti ada yang akan bertanya, “sedang buat apa tu?”, dan kita pasti menjawab, “tak buat apa..”

Tetapi dalam zaman anak yang tidak berhenti dengan pelbagai aktiviti dan ibu bapa yang sentiasa sibuk dengan pekerjaan, “tak buat apa” boleh menjadi perkara yang paling penting untuk dilakukan.
:)

#drMAK
#BudakKripton

p/s: Jika terdapat alahan dan sebagainya. Membela kucing mungkin tidak sesuai, dapatkan nasihat doktor berhampiran rumah anda.

Wednesday, 2 December 2015

(100) UPSR Hanya Pembaris

Hari ini, pasti ramai anak-anak bersama ibu bapa yang sedang bergembira dengan keputusan UPSR masing-masing.

Tahniah! Tak salah untuk bergembira kerana usaha keras telah dibuat sebelum, semasa dan selepas peperiksaan (doa)

Eh, kenapa pula adik yang duduk menyendiri itu berduka?

Tak dapat 5A?

Tak mengapa. Apa sahaja keputusannya yang penting adik telah berusaha.

UPSR hanya pembaris.

Apa fungsi pembaris? 

Untuk mengukur panjang sesuatu objek, contohnya kertas, kadbod, kertas warna dan sebagainya.
 Sekali sekala digunakan untuk membuat garisan.

Boleh ke pembaris ukur tinggi adik?

Tak sesuai. Lebih baik gunakan pengukur ketinggian boleh laras biasa dilihat di klinik.

Boleh ke pembaris ukur ukurlilit perut adik?

Tak sesuai. Lebih baik gunakan tali tape yang mak guna untuk menjahit baju.

Boleh ke pembaris ukur panjang jalan?

Tak sesuai. Lebih baik gunakan pembaris gelek beroda yang biasa diguna untuk tar jalan.

Begitu juga UPSR.

UPSR hanya mengukur KEPANDAIAN adik untuk 5 subjek. Ada banyak lagi subjek yang tak dikira dalam UPSR walaupun adik belajar berbelas subjek dalam 6 tahun.

Mungkin kalau subjek UPSR adalah Pendidikan Seni, Muzik, Pendidikan Kesihatan, Pendidikan Islam, dan Bahasa Arab, adik dah dapat 5A!

Tidak dapat A tak mengapa, tetapi pastikan adik BELAJAR.

Adik mungkin tak dapat A matematik, tetapi adik tahu mengira duit baki selepas membeli roti john. Maknanya adik BELAJAR.

Adik mungkin tak dapat A bahasa Melayu, tetapi adik boleh mengirim surat kepada atok opah di kampung. Maknanya adik BELAJAR.

Adik mungkin tak dapat A Sains, tetapi adik tahu torch light yang tidak menyala perlu ditukar bateri. Maknanya adik BELAJAR.

Adik mungkin tak dapat A Bahasa Inggeris, tetapi adik boleh menunjukkan jalan kepada pelancong yang bertanya arah. Maknanya adik BELAJAR.

Menggunakan ilmu lebih baik daripada hanya tersimpan sebagai memori.

Teruskan belajar. Tak kisahlah tiada A sekalipun, kerana ilmu dicari untuk diamal bukan sekadar cantik diusung atas sekeping sijil.

Setuju?

:)

#drMAK

Monday, 30 November 2015

(99) Khutbah Terakhir di Poslaju

Pintu kaca itu ditolak perlahan. Ramai orang sedang beratur. Lambat lagi nampaknya giliran.

Di kaunter hadapan, kecoh seorang amoi menjelaskan sesuatu melalui telefon. Bahasa ibundanya tidak saya fahami. Kakak di sebelahnya yang sedang berurusan menggeleng kurang senang.

Lenguh berdiri, saya menjenguk kaunter sebelah. Kotak tiga segi berdiri tertulis 'Kaunter Tutup'.

Seakan hajat dimakbul, datang seorang petugas, mengangkat kotak itu. Pantas saya menyelinap ke kaunter sebelah.

Kad tuntutan poslaju dan IC dihulurkan.

"Sebentar ye encik." Dia bangun ke stor belakang mencari bungkusan.

Sambil menunggu, mata menggelintar sekitar ruang kerja kaunter yang berselerak. Mata terhenti pada kata-kata yang ditampal pada sisi laci bertingkat.

'Bagusnya kata-kata pesanan ini ditampal dan dibaca petugas ini setiap hari. Mudah-mudahan dia memang mengamalkannya.'

"Encik sign sini." Saya yang sedang mencuri 'gambar' terkejut. Nyaris terlepas handphone.

"Ini barang encik. Terima kasih." Lembut dan senyum.

Alhamdulillah. Dia memang mengamalkannya.

>>>

Kata-kata pesanan itu ada pada bahagian kanan atas.

Saya tuliskan semula,

"Janganlah kamu sakiti sesiapapun sekiranya kamu tidak mahu disakiti."

~Petikan Khutbah Terakhir Rasullullah (Selawat atas Baginda)~

:)

#drMAK

Friday, 27 November 2015

(98) Cantik Yang Kosong

Mendongak ke atas,
Corak awan cantik melukis dinding langit.
Menunduk ke bawah,
Riak ombak perlahan berlari menyapa tebing.
Meninjau ke bilik,
Hiasan cantik, perabot mahal, tilam empuk memanggil untuk baring.

Namun,
Semuanya kosong.
Aku hanya seorang.
Tanpa anak-anak.
Tanpa isteri.
Tanpa keluarga.
Tanpa rakan.
Hanya berteman Tuhan.

Apa gunanya cantik,
Apa gunanya indah,
Jika seorang.
Cantik tak dapat dikongsi,
Indah hanya mata sendiri.
Sepi. Sunyi. Sendiri.

>>>

Mode : Hargai Semua Insan Di Sisi.

#drMAK

Wednesday, 25 November 2015

(97) Konvokesyen Untuk Mak dan Abah

Mak.
Mak guru pertama.
Guru yang mengajar membaca, menulis, dan mengira.

Ketika sibuk di dapur memotong bawang, mengupas kentang, menyiang ikan, disuruh saya membaca buku di meja makan. Satu perkataan demi satu perkataan. Baik bahasa Melayu atau bahasa Inggeris, mak ajar kedua-duanya.

Ketika sibuk menggunting pelan baju, memotong kain, menjahit baju dengan melenggang kaki, mak menguji sifir saya. Entah mengapa, sifir lapan agak susah buat saya, tetapi mak pujuk mencuba.

Ketika menyapu keliling rumah, mak boleh berhenti menepuk punggung saya yang menulis berbaring sambil lewa. Mak membetulkan jari-jari  memegang pensil untuk mencantikkan tulisan saya.

Ilmu dari gedung ilmu ini memang untuk saya, tetapi semangat mencarinya dari mak, kerana mak mengajar erti percaya.

Mak mengajar, percaya bermula dari diri sendiri. Mak sentiasa percaya anak-anaknya mampu belajar tinggi. Mak sentiasa pesan jangan berhenti percaya. Terus percaya diri sendiri.

Selalu dia mengulang-ulang, “Mak tak berpeluang belajar tinggi, tapi anak mak ada peluang belajar tinggi, mak dah cukup gembira.”

Abah.
Abah sumber inspirasi saya. Dialah yang mengajar semangat belajar tanpa henti.

Pagi hingga petang sibuk bekerja, malam abah belajar separuh masa ilmu agama. Kertas-kertas assignment penuh meja. Hujung minggu, berkorban masa yang sepatutnya bersama keluarga.

Pada usia hujung 50-an, abah mendapat ijazah pertama. Saya ingat kata-katanya, “Belajar jangan berhenti. Kalau abah boleh berjaya pada usia begini, anak-anak mesti lebih berjaya.”

Abah mengajar sentiasa dekat dengan yang Maha Esa. Setiap perkara berlaku atas izinNya. Rapat denganNya.

“Atas sekeping kertas engkau berjaya, tetapi jika tidak ingat tuhan tak bermakna.”

>>>

Semalam, saya sarungkan pakaian penghormatan itu pada mak. Mak menolak mulanya. Tetapi saya balas, “Mak pakailah. Dulu mak dah dapat ijazah, sekarang mak dah dapat Master. Kejayaan ini memang milik mak.”

Saya sarungkan jubah. Saya pakaikan hood oren. Saya sarungkan mortar board di kepala.

“Waa mak, mak memang sesuai pakai jubah ni. Mak paling layak sarung jubah ni.”
Mak tersenyum, gembira di mata.

Semalam, saya nikmati saat-saat mereka hadir bersama. Saya raikan gembira.

“Kalau kau buat Dr. Esok, sempat tak mak datang lagi.” Hening.

Selepas mereka pulang, takungan kolam airmata tumpah. Ayat yang ditayang di dada skrin dewan konvo menusuk hati saya berulang-ulang.

“Ibu bapa tidak sempurna, tetapi mereka sedaya upaya memastikan segala-galanya sempurna untuk kita.”

Sangat benar. Sangat benar.

Mereka ibu bapa cemerlang Allah kurniakan buat saya.
Terima kasih Mak, terima kasih abah.

#drMAK

Tuesday, 17 November 2015

(96) Abah Silap – Sangka Buruk Pada Anak

Malam itu, merdu sungguh bacaan imam di Masjid Putra. Alunan surah dibaca imam mendetikkan hati, ‘bacalah lagi, bacalah lagi.’ Perasaan tidak puas apabila imam telah mengangkat takbir untuk rukuk.

Jarang dapat mendengar bacaan semerdu itu. Selepas salam diberi, imam berzikir pendek dan terus mengangkat tangan berdoa.

“Angkat tangan betul-betul Iman. Doa sungguh-sungguh.” Menolak siku Iman ke atas yang melondeh ke peha.

Tamat doa. Cuit Iman, “Bangun solat.”

“Solat apa lagi abah?”

“Solat sunat rawatib.”

“Kenapa kena solat sunat rawatib?” mendongak memandang abah meminta penjelasan tambahan.

“Waktu solat sahaja kita betul-betul dekat dengan Allah. Lebih banyak kita solat, lebih dekat kita dengan Allah. Iman suka tak kalau dekat dengan Allah?”

Hanya mengangguk. Ikut solat.





__________

Esok.
Masih dapat berjemaah di Masjid Putra. Semalam, Iman dapat solat di sebelah abah. Tetapi hari ini, Iman terpaksa solat di saf belakang bersama kanak-kanak lain. Jemaah luar biasa ramai kerana ada pengajian.

Solat di masjid besar, bimbang dia merayau selepas solat. Pesan berkali-kali, “Iman tunggu di sini tau. Jangan ke mana-mana. Abah cari Iman nanti.”

Habis salam ke kiri, abah mengengsot ke belakang dari saf untuk menjenguk Iman. Dia tiada di saf tadi.

“Ah, kemana pula budak ni. Dah pesan tadi. Agak dah, mesti tak dengar cakap.”

Hati menggerutu kegelisahan. Dari ekor mata sebelah kanan, seolah-olah ditarik-tarik untuk menoleh sedikit jauh dari saf tadi.

“Allah...”, hanya itu yang mampu diucapkan dalam hati yang disiat sesalan bertubi-tubi.

Susuk kecil yang dikenali sedang berdiri dan tunduk memandang tempat sujud – solat sunat.

‘Maafkan abah kerana salah sangka.’

>>>

Anak lelaki tunggal ini, semasa kecil lagi sudah cukup menguji kesabaran. Susah mahu ditidurkan – berpusing-pusing. Silap sedikit menangis – berteriakan. Merajuk tak boleh dipujuk – masam berterusan.

Sehingga sekarang pun, disebabkan dia hanya seorang, kelakuannya memang berbeza dari kakak dan adik perempuan. Mengharapkan dia menjadi sopan santun seolah-olah menidakkan ‘kelasakan’ seorang lelaki.

Mungkin pengalaman itu menyebabkan abah sering terbawa-bawa. Apa sahaja yang dibuat, nampak ‘sakit’ di mata abah.

Dia memang nakal, nakal seorang kanak-kanak, nakal kerana mencuba, bukan nakal kerana sengaja. Dalam keadaan tertentu, dia melakukan kebaikan yang tidak terjangka.

Hari ini abah sedar silap abah. Abah lupa satu perkara. Selama ini, abah hanya mengajar dengan kata, tetapi tidak menunjukkan depan mata. Jumlah hadir bersama ke masjid boleh dibilang hanya beberapa.

Malam itu, helaian Tarbiyatul Aulad penuh tompokan air mata. Abah gagal jadi model buat anak-anak. Abah sendiri bersangka-sangka, sedangkan anak itu masih calon syurga.

Anak-anak dari Allah telah sedia putih dan bersih. Abah yang menghitamkannya. Abah conteng tanpa sengaja. Abah leka trofi dunia – pujian majikan, sanjungan rakan, kagumnya lawan, dan dahaga penghargaan.

Abah lupa, abah perlu anak soleh sebagai saham menerangi kubur dan tiket masuk syurga. Manakan wujud sosok anak soleh tanpa model terbaik di hadapan mata.

Maafkan abah yang leka. Abah janji berbaik sangka. Abah janji bersaksi yang esa.

Bapa yang mengajar anak,
Kamu contoh yang menunjuk jalan,
Kamu memberi ubat kepada pesakit,
Supaya dia sihat pulih dari perit,

Tetapi kamu sendiri sebenarnya sakit,
Mulakanlah dengan merawat dirimu,
Cegah diri dari penyakit,
Jika sendiri dapat mencegah,
Bermakna ilmu terbukti dilaksana,

Ada orang menerima nasihatmu,
Ada orang mencontohimu,
Ada orang meyakini ilmumu,
Barulah bermanfaat pengajaranmu.

‪#‎drMAK‬

Friday, 6 November 2015

(95) Jawapan Super Spontan

"Iman, solat Iman!"

Keletung keletang gasing melanggar dinding di ruang tamu.

"Iman, dah solat ke belum tu?

Senyap.

3 minit. Keluar dari bilik.

"Iman dah solat ke belum ni?" Dia gigih dan sibuk melilit gasing.

"Dahh!"

"Abah tak nampak pun Iman solat. Siapa yang tengok Iman solat tadi? Zulfa? Zahraa?"

"Allah!"

>>>

Baiklah Iman. Abah kalah.


‪#‎drMAK‬
‪#‎BudakKripton‬

Wednesday, 4 November 2015

(94) Jawapan Kepada 'Tahap Pendidikan Guru'

Saya tidak tahu hujung pangkal, tetapi tiba-tiba kisah tahap pendidikan seorang guru menjadi viral.

Oh, saya teringat pernah mengadaptasi sebuah kisah yang ditulis dalam bahasa Inggeris ke bahasa Melayu. Mungkin kisah ini relevan untuk dibaca semula.

>>>

Dalam satu majlis graduasi pelajar-pelajar sekolah, seorang pengetua berucap dengan berkobar-kobar sambil jari telunjuk dijulang ke udara.

“Seorang doktor, mahu anaknya juga menjadi seorang doktor. Seorang jurutera, mahu anaknya juga menjadi seorang jurutera. Seorang ahli perniagaan, mahu anaknya bekerja di syarikatnya menjadi seorang CEO.

TETAPI, seorang cikgu?

Seorang cikgu juga mahu anaknya menjadi seperti mereka semua. Tiada seorang pun yang mahu MEMILIH untuk menjadi CIKGU, sangat menyedihkan, tetapi itulah hakikatnya."

Di satu sudut dewan, di meja makan, para tetamu mula kecoh bercerita tentang kejayaan dalam kehidupan.

Seorang CEO membuka mulut berbincang tentang masalah yang berlaku dalam bidang pendidikan.
Dia membuka bicara, “Apa yang seorang kanak-kanak boleh belajar daripada seorang insan yang pencapaian TERBAIK dalam hidupnya hanya mampu menjadi seorang CIKGU?”

Dia berpaling kepada seorang cikgu yang duduk semeja, “Haa, awak seorang cikgu kan Rina? Terus terang, apa yang awak buat di sekolah sebenarnya?”

Cikgu Rina yang terkenal dengan jujur dan lemah lembut tersenyum, “Tuan betul-betul ingin tahu apa yang saya buat?”
(Dia menarik nafas sedalamnya lalu menyambung…)

“Begini, saya membuat kanak-kanak bekerja lebih rajin daripada apa yang mereka percaya.

Saya membuat pelajar yang mendapat gred C+ seperti mendapat No.1 seluruh sekolah atas peningkatan prestasi mereka.

Saya membuat pelajar yang mendapat A- terasa langsung tidak bermakna kerana membazirkan masa saya dengan membuat sambil lewa daripada yang terbaik mampu mereka lakukan.

Saya membuat kanak-kanak memberikan sepenuh perhatian selama 40 minit di dalam kelas semasa saya mengajar. Sedangkan ibu bapa mereka sendiri tak mampu untuk buat mereka duduk walau 5 minit. Saya lakukan tanpa Ipod, Iphone, Ipad, Game, atau menonton TV.

Saya membuat ibu bapa terkejut dan terharu apabila saya menghantar pesanan ringkas whatsapp untuk memberitahu apa yang anak mereka telah lakukan di sekolah. Saya ceritakan bagaimana anak mereka telah berkongsi makanan dengan rakan yang tidak ada wang belanja ke sekolah. Itu adalah tindakan mulia paling sukar untuk saya lihat sekarang.

Saya membuat ibu bapa 'sedar' siapa sebenarnya anak mereka dan apa yang anak mereka mampu lakukan.

Tuan nak tahu apa lagi saya buat?"
(Dia berhenti seketika dan memandang mata setiap orang yang berada di meja tersebut)

“Saya buat anak-anak merasa hebat."
“Saya buat mereka selalu bertanya soalan."
“Saya buat mereka yakin menjawab pertanyaan."
“Saya buat mereka meminta maaf atas kesilapan yang dilakukan dan benar-benar memaksudkannya."
“Saya buat mereka menghormati orang lain dan bertanggungjawab atas setiap tindakan mereka."
“Saya buat mereka membaca, membaca, dan membaca."
“Saya ajar mereka bagaimana nak menulis dan buat mereka menulis dan menulis sehingga mereka tidak akan salah mengeja lagi."
“Saya buat mereka tunjukkan semua kerja rumah matematik mereka. Saya buat mereka gunakan akal yang Allah berikan, bukan kalkulator yang dicipta oleh manusia."
“Saya buat bilik darjah saya sebagai tempat yang paling selamat untuk semua pelajar saya."

“Akhirnya, saya buat mereka benar-benar faham sekiranya mereka menggunakan akal dan bakat yang dikurniakan Allah kepada mereka, bekerja keras, dan mengikut kata hati mereka yang benar, mereka akan berjaya dalam hidup."

(Cikgu Rina berhenti meneguk air dan menyambung)

“Saya yakin dan percaya bahawa duit bukanlah segala-galanya, walaupun semua orang di sekeliling cuba mempertikaikan apa yang saya lakukan.

Saya masih boleh mengangkat muka tegak memandang ke hadapan dan jalan terus tanpa menghiraukan semuanya kerana mereka tidak mengetahui apa yang saya telah buat untuk 'anak-anak' SAYA."

"Tuan nak tahu kenapa saya yakin dengan apa yang saya buat?"
(memandang tepat wajah tuan CEO tanpa berkelip)

“Saya menyentuh dan memberi kelainan dalam kehidupan mereka. Saya mengubah mereka untuk percaya diri dan menjadi yang terbaik mampu mereka lakukan. Mendidik dan menyediakan mereka untuk menjadi seorang Doktor, Jurutera, dan CEO."

“Sekarang, apa pula yang Tuan CEO buat pada mereka?”

Tuan CEO memandang kosong wajah cikgu Rina.

___________

~Diterjemah secara bebas dari puisi Taylor Mali dan diubahsuai dengan sepenuh penghayatan~
‪#‎drMAK‬

Monday, 2 November 2015

(93) Budak suka mengejek!

Perut menyanyikan lagu ‘Awak kat mana, awak-awak kat mana’ bila melihat ketam masak lemak yang terhidang di meja makan. Tangki perut dah kosong sejak tengahari lagi dek kerana menyiapkan kerja bertahap ‘urusan hidup mati’ sehingga tak sempat makan.

“Jom-jom makan malam semua. Cepat-cepat, abah dah kebuluran ni,” memegang perut yang sedang ‘vibrate’.

Duduk mengambil tempat, baca doa makan yang menggerunkan kerana hujungnya bermaksud “Jauhkan kami dari azab api neraka”. Begitu karib hubungan rezeki dan neraka. Masing-masing mula melayan sepit ketam kegemaran.

Sedang abah mengorek isi ketam putih yang padat, mungkin ditangkap ketika bulan penuh, masing-masing mula bercerita. Waktu makan memang waktu ‘pertandingan bercerita’.

“Abah, tahu tak, tadi kat sekolah, kawan Zulfa ejek abah.” Iman melaporkan bagi pihak Zulfa. Sejak bila dah berbakat macam wartawan TV3, entahla.

“Kawan dia ejek abah macamana Iman?” Acuh tak acuh, apalah sangat ejek budak-budak, sekali jentik, nangis panggil mak datang sekolah.

“Kawan dia ejek nama abah. Diorang cakap, Ammma Yatasaaa Aluun... Lepas tu ulang banyak-banyak kali.”

Perut abah yang sekadar vibrate sekali sahaja tadi dah mula vibrate campur snooze. Vibrate berhenti, vibrate berhenti, bergoncang ketam dalam perut. Kelakar pula rasanya.

“Macamtu ke Iman. Hmm.. takpelah, kita maafkan diorang. Abah rasa, diorang sedang cuba hafal surah An-Naba, baguslah, dapat pahala kalau selalu baca.” Sambil mengukir senyuman keikhlasan ala-ala pembaca berita RTM1.




>>>

Kes mengejek ni, bukan kali pertama berlaku dalam sejarah persekolahan. Boleh kata tiap-tiap hari balik sekolah pun memang ada aduan fasal ejek mengejek. Cuma uniknya kali ini, ejekan telah mula menular kepada nama seorang bapa yang hatinya suci ikhlas tidak tahu menahu apa-apa (heheh..).

Ada ke patut? Tak patut kan? Sedangkah abah yang suci itu berada berbatu-batu jauhnya dari kawasan sekolah. Takde kena mengena dengan cerita mereka.

Tapi, itulah budak. Tak sah, jika tak menimba ilmu mengejek di sekolah. Eh? Betul ke mereka mula belajar mengejek di sekolah? Kebiasaannya memang begitu, apabila mula berkawan dan berjumpa rakan-rakan sebaya.

Tetapi cuba semak di rumah. Jika kita ada mengeluarkan dialong, “Eleh, itu pun nak menangis. Macam budak perempuan.” Lagi, “Apa yang jalan macam sotong tu, cuba jalan tegak sikit badan” dan banyak lagi ayat menyindir lain. Kemungkinan besar, mereka juga belajar mengejek dari rumah.

Kenapa budak-budak mengejek? Haa, ini soalan yang baik. Kadang-kadang, dah tak ada kawan nak diejek, adik beradik sendiri pun boleh jadi bahan, kan? Jadi antara penjelasannya,

1. Cubaan Berdikari (kemahiran sosial)
Kanak-kanak akan sentiasa mencuba perkara baharu setiap hari sebagai persediaan untuk mula berdikari. Salah satu daripada kaedah mereka belajar berdikari adalah dengan ‘mengejek’.

Mereka mengejek rakan-rakan untuk melihat respon balas dari mereka dan mengetahui sejauhmana perkataan-perkataan tertentu memberi impak kepada emosi manusia.
Mereka ‘mengukur’ had kepada kata-kata yang dilontarkan.

Dari reaksi rakan-rakan ini mereka belajar kata-kata yang boleh mengubah emosi rakan-rakan. Kata-kata yang menyebabkan marah, sedih, kecewa, menangis, ketawa, gelak terbahak-bahak, semuanya diukur dan dijadikan ‘standard’ apabila mereka meningkat remaja dan dewasa.

2. Rasa Keistimewaan (kumpulan)
Mengejek digunakan untuk mengasingkan mereka yang ‘tahan lasak’ dengan mereka yang ‘hati tisu’.
Berada dalam kumpulan yang berkuasa atau glamor di sekolah adalah impian kanak-kanak. Perasaan 'geng bas sekolah’ itu sangat mengujakan mereka.

Maka, untuk memilih siapa yang layak berada bersama kumpulan mereka, ejekan digunakan sebagai ‘ujian penapisan’. Mereka yang ‘tebal telinga’ secara automatik dianggap layak berada dalam kelompok ‘pelajar kool’ sekolah.

3. Perlu Perhatian
Jika mereka hanya duduk diam, tiada siapa akan mempedulikan mereka. Maka, cara paling mudah adalah dengan mengejek adik sendiri.

Sebagai contoh, apabila Iman mengejek, adik akan mula bising,
“Mama, tengoklah Iman ni, dia kacau Zahraa!” Automatik mama yang penyayang akan pergi pada Iman dan menasihati, “Iman, kenapa ejek adik. Tak eloklah ejek-ejek orang. Nanti, semua orang tak suka kawan. Tak mahu ejek ye,” sambil menggosok belakang badan Iman.

Maka, Iman pun berjaya mendapat perhatian yang dikehendaki. Misi peribadi berjaya!
________

Sekarang, kita dah tahu, mengapa budak suka mengejek, jika kita diejek rakan anak-anak,
“Mak kau ijau!”

Kita akan lebih kool dan rileks tanpa bertukar warna. Haha..

‪#‎drMAK‬
‪#‎BudakKripton‬

Saturday, 31 October 2015

(92) Anak Perempuan Bahagia Di Pundak Ayah

Pagi itu, saya memandu perlahan melewati seorang ayah dan anak yang sedang berjoging di atas jalan kampung yang kecil. Si ayah berjoging perlahan di hadapan, melambai dan memanggil anak yang tertinggal sedikit ke belakang.

Saya kira umur si kecil sekitar 4 atau 5 tahun. Perempuan bertudung pink, berstokin belang, berbadan kecil dan sangat comel. Terkedek-kedek berlari mengejar si ayah.

Hati berbisik, ‘larat ke budak tu nak ikut ayahnya joging. Silap-silap sampai hujung simpang dah penat.’

Kereta menyusur keluar ke jalan utama, baru perasan saya tertinggal kunci rumah. “Aduh, kena patah balik pula.”

Dalam perjalanan berpatah balik mengikut jalan yang sama, dari jauh saya melihat kelibat si ayah dan anak yang sedang berjoging tadi. Saya tersenyum sendirian.

‘Dah agak dah, mesti ayah akan jadi mangsa.’ Si ayah gigih berjoging sambil mendukung si kecil di pundak. Si kecil hanya terkekek-kekek ketawa bahagia digoncang-digoncang seperti menaiki unta lagaknya.

Entah kenapa, saya yang beremosi gembira campur bahagia melihatnya. Sengaja diperlahankan kenderaan dan mengambil gambar mereka dalam rahsia.

‘Tahniah ayah! Anda telah membuat si anak bahagia. Bukan ketika itu sahaja, insya-Allah sampai bila-bila’



>>>

Kasih seorang ayah. Sukar untuk diungkapkan. Kebanyakan masa, mereka bisu seribu bahasa. Entah sayang, entah tidak. Tidak seperti ibu yang mudah mengungkap kata, ayah tidak begitu. Kata-katanya pada tingkahlaku.

Tegasnya itu kegusaran. Marahnya itu perlindungan. Usapnya itu pengharapan. Entah mengapa tidak saja mereka ungkap kegusaran, perlindungan, dan pengharapan dengan perkataan. Tapi, itulah ayah, lelaki misteri yang ada dalam setiap keluarga.

Jika ayah rapat dengan anak lelaki, itu biasa. Ketegasan, kepimpinan, prinsip hidup, harga diri biasanya dipelajari oleh anak lelaki dari karakter seorang ayah.

Melihat ayah yang mendukung anak perempuan membuat hati terpesona dan berfikir lama. Perbuatan mendukung sudah pasti membawa maksud yang dalam. Sepanjang berjalan, saya tidak melihat dia berkata-kata. Tetapi dari senyuman dan kegigihan memikul anak di pundak itu sangat memberi makna. Kebahagiaan si anak jelas terasa.

Ayah seolah ingin memberitahu, “Anak, ayah takkan tinggalkan kamu di belakang. Ayah akan ‘angkat’ kamu walau apapun berlaku. Kamu adalah ‘tinggi’ bagi ayah, seperti tingginya kamu di atas bahu ayah sekarang. Sebagai perempuan, satu hari nanti kamu akan diambil dan dibawa pergi oleh seseorang. Ingatlah saat-saat ini, semoga kamu juga ‘mengangkat’ ayah satu hari nanti. Jangan pernah tinggalkan ayah.”
______________

“Bagaimana seorang ayah mendepani hidup akan menjadi contoh kepada anak perempuan membina kehidupannya sendiri,” ulas Michael Austin, Profesor Madya Falsafah dari Universiti Eastern Kentucky.

Ayah yang tidak kekok menukar lampin anak, memandikan anak, menidurkan anak, menenangkan anak bila menangis adalah permulaan kepada hubungan yang mengukuhkan keberadaan mereka dalam keluarga.

Menurut Austin, Ini adalah masa berkualiti paling penting yang akan menentukan kehidupan anak perempuan dalam peringkat-peringkat hidup seterusnya. Ayah digalakkan meluangkan masa dengan anak perempuan, mengambil berat keperluan mereka dan menyokong ibunya. Apabila anak mula merangkak, ayah juga perlu ‘merangkak’ untuk bermain dengannya.

Penglibatan ayah dalam hidup seorang anak perempuan adalah resepi penting dalam pembangunan harga diri anak. Dorongan lisan, sentiasa ada dalam setiap detik penting hidupnya, sedar dan sensitif dengan perasaannya, mengambil masa untuk mendengar ceritanya, dan menyokong hobinya adalah keperluan si anak. Penglibatan terus dan sokongan berterusan si ayah dapat melenyapkan perasaan tidak selamat anak perempuan dan meningkatkan keyakinan pada keupayaan sendiri.

Hubungan anak perempuan dan ayah turut mempengaruhi hubungan mereka dengan lelaki lain. Seorang ayah yang melayan isteri dengan penuh penghormatan dan kasih sayang, menyanjung tinggi nilai wanita bukan mempergunakan wanita, akan mempengaruhi kepercayaan anak kepada insan yang bernama lelaki.

Anak yang berasa selamat, disokong dan sering berkomunikasi dengan ayah tidak mudah terdedah kepada percintaan awal kerana mereka tidak memerlukan kasih sayang lelaki lain dan disibukkan dengan akademik dan fokus mengejar cita-cita yang dirancang bersama keluarga.

Ayah mempunyai pengaruh yang sangat besar kepada kehidupan anak perempuan, sama ada positif atau negatif. Walapun kebanyakan masa, anak lebih selesa berkongsi hal peribadi dengan mak, tetapi banyak kerugian sekiranya hubungan dengan ayah tidak sama dikuatkan.

Ayah pula, perlu berusaha menjalin hubungan dengan anak perempuan kerana ada sisi hidup mereka yang memerlukan kita. Kipidap ayah!

‪#‎drMAK‬
‪#‎BudakKripton‬

________

Kredit:
How Dads Affect Their Daughters into Adulthood by Linda Nielsen, Family-Studies.org.
The importance of the father-daughter relationship by Elizabeth Weiss McGolerick, SheKnows.com.

Saturday, 17 October 2015

(91) Cikgu Punca Anak Tidak Sabar Ke Sekolah!

Sedang sedap menikmati sarapan di meja makan, Zahraa berteriak mengangkat kedua tangan, “Bestnye sekolah hari ni!”

“Kenapa?” Abah mengerutkan muka. Setiap hari pun biasa je dia pergi sekolah. Cuma kali ni entah apa yang best.

“Sebab hari ni kelas cikgu Zuraini. Zahraa SUKA cikgu Zuraini ajar.”

“Apa yang bestnya kelas Cikgu Zuraini sampai Zahraa suka?”

“Cikgu Zuraini selalu buat aktiviti. Hari ni kan Zahraa kena bawa buah-buahan. Cikgu nak buat main beli-beli.” Menunjukkan buah jambu yang telah siap dibeli petang semalam.

“Oo, patutlah Zahraa suka. Dah, sambung makan. Nanti balik, cerita pada abah, best tak main beli-beli.”

Dia melajukan suapan. Tak sabar ke sekolah lah tu.




>>>

Mendengar anak suka dan sayang pada cikgu adalah satu kelegaan. Kita lega kerana anak berada dalam tangan guru yang baik. Manakan tidak, 1/3 masa dalam satu hari, mereka akan bersama dengan guru-guru di sekolah. Dari sekolah kebangsaannya hinggalah sekolah agama.
Jika dicongak mudah, boleh dikatakan, 1/3 sikap mereka pada masa hadapan ditentukan oleh masa bersama guru, ustaz dan ustazah (bersama kawan-kawan), 1/3 oleh masa bersama ibu bapa, dan 1/3 lagi oleh mimpi-mimpi mereka dalam tidur (otak masih bekerja walapun tidur, cuma filem apa yang dimainkan sebagai mimpi tu kena nonton ‘Inside Out’ heheh.. )

Banyak kajian yang menunjukkan sikap anak terhadap guru akan mempengaruhi minat dan usaha mereka di sekolah. Yelah kan, nama pun minat, mestilah usaha akan jadi lebih. Minat dan usaha yang luar biasa inilah yang membawa kejayaan pada pelajaran, terutamanya subjek yang diajar guru itu.
Macam saya dululah, secara tak semena-mena boleh dapat A bahasa Inggeris dalam ujian (sedangkan sebelum tu C pun payah), hanya disebabkan cikgu praktikal yang ajar (cikgu praktikal kan suka bawa props banyak-banyak dalam kelas + cikgu tu pun comel.. haha..)

Terbalik dengan kisah di atas, jika sikap anak terhadap cikgu, negatif, maka lemahlah minat dan motivasi mereka dalam subjek itu.

Sifirnya mudah, apabila anak PERCAYA cikgu tu best, emosi anak juga seronok dan teruja, maka tindakan akan secara automatiknya aktif. Apabila anak PERCAYA cikgu tu boring, emosi anak juga lemah dan lemau, maka tindakan akan secara automatik pasif. Terutama untuk anak-anak tahap 1 (darjah 1 hingga 3) yang masih belum mampu memotivasi diri sendiri (kadang-kadang sampai darjah 6 pun belum tentu).

Begitulah besarnya peranan guru. Pandangan saya, untuk mewujudkan sekolah penyayang, cikgu tidak perlu menyambut anak-anak murid di pagar sekolah (saya faham, ada pekelilingnya). Subjek masing-masing sudah boleh menjadi ‘magnet’ yang menarik anak-anak ke sekolah.

Cikgu hanya tunggu dan murid berlari mencari cikgu, “Cikgu, cikgu jom cepat belajar.” Indah kan? (saya cuma kasihan pada cikgu yang perlu menyambut ratusan atau setengahnya ribuan anak murid di pagar sekolah)

Pengalaman melayan 3 orang anak yang bersekolah, ada beberapa tanda menunjukkan cikgu mereka cikgu yang best!

1. Anak bersemangat ke sekolah – Bangun pagi hanya perlu kejut sekali sahaja, terus bersiap. Tiada lemah lutut depan pintu kereta atau perlu didukung walaupun kaki dah cecah lantai.

2. Anak sentiasa bercerita tentang apa cikgu kata – Setiap kali berbual, ada saja madah-madah pujangga cikgu kesayangan yang akan di’quote’. Cikgu cakap macamni, cikgu cakap macamtu.

3. Anak risau bila kerja rumah cikgu tidak disiapkan – Jika kerja rumah cikgu lain, mereka boleh rileks je. Tetapi kalau cikgu feveret ni, memang dia akan kelam kabut siapkan. Mereka mahu kelihatan ‘bagus’ di mata cikgu ini.

4. Anak ingin beri hadiah semasa hari guru – Anak-anak merayu ke kedai buku untuk beli hadiah cikgu. Mereka telah ada senarai cikgu yang bakal dapat hadiah.

5. Anak cari kelab yang dikendali cikgu itu – waktu aktiviti ko-kurikulum, seboleh mungkin mereka akan pilih kelab yang cikgu feveret ajar. Mereka menjadi ‘kipas susah mati’ cikgu itu.


Oh, saya tambahkan sikit lagi, saya juga perhatikan, terdapat beberapa persamaan pada ciri-ciri cikgu best!

1. Melayan lemah lembut – Mereka tahu bila anak-anak murid memerlukan belaian. Apabila ada yang merajuk atau berkecil hati, mereka pandai memujuk. Saya pernah melihat, cikgu yang berlutut untuk memujuk murid yang sedang menangis kerana keputusan rendah. Win!

2. Kreatif mempelbagaikan PDP – Ada sahaja aktiviti menarik dalam kelas. Tanam pokoklah, buat kraftanganlah, jual buah-buahanlah, padahal subjek Bahasa Malaysia. Menarik!

3. Tidak memalukan murid – Hanya murid yang markah cemerlang ditunjukkan sebagai contoh untuk diikuti. Yang markah rendah tidak dipaparkan, tetapi diberitahu secara peribadi untuk terus usaha memperbaiki keputusan. Mereka tahu, kanak-kanak juga ada maruah diri.

4. Tidak garang tetapi tegas – Anak saya selalu sebut, “Cikgu Nazira takde marah-marah pun, tapi kalau dia suruh buat sesuatu, semua orang cepat-cepat buat. Dia cuma cakap sambil berdiri tegak.” (yang saya faham, tegaslah kot)

5. Guru sentiasa ada cerita positif tentang anak – Setiap kali bertemu cikgu best! Cerita yang akan diceritakan mesti cerita-cerita yang best. Jarang akan dengar mereka merungut tentang anak-anak. Dalam setiap perbualan, cikgu best! akan mulakan dengan kebaikan anak-anak di sekolah.

Jika dalam cerita sekolah anak-anak kita terdapat kisah cikgu-cikgu yang ada ciri-ciri disebutkan, berbaik-baiklah dengan cikgu itu. Santuni mereka. Memang mengajar itu tugas mereka, tetapi personaliti dan usaha mereka itu wajar diangkat di tempat yang tinggi.

Insya-Allah, mereka akan rasa sangat dihargai.

:)

‪#‎drMAK‬

Wednesday, 14 October 2015

(90) Projek Gagal, Tetapi Raih Penghormatan

Malam itu. Dia berjalan longlai memasuki rumah setelah pintu dibuka anak-anak. Wajahnya kusam tidak bercahaya. Beg pakaian hanya diangkat setakat muka pintu bilik. Kemudian, sofa dihenyak perlahan.

Baru pulang selepas tiga hari outstation menguji sistem baharu. Mungkin kepenatan.

“Macamana project testing?”

Tiada jawapan. Mata memandang dinding. Wajah yang kusam bertukar kemerahan. Akhirnya yang ditahan, berderai.

Dari ‘hujan’ itu, dapat diagak apa jawapannya. Biarlah dia. Keadaan itu sangat tidak sesuai untuk diasak soalan lain. Biarkan dia bersendirian.

Anak-anak juga seakan memahami. Masuk ke bilik menyambung aktiviti.

Selepas bertenang, dia mula bersuara, “Esok kena buat post-mortem. Mesti semua orang akan menyalahkan satu sama lain. Projek dah gagal macamni, siapa yang nak bertanggungjawab. Mesti semua lepas tangan.” Masih ada ombak di dada.

Dia menyambung, “Dahlah ini KPI tahun ni. Habislah performance tahun ni.”

“Tak boleh ke minta extend lagi tempoh projek?” Cuba mengendurkan ketegangan.

“Entahlah.” Jawapan separuh tidak yakin.

“Apa kata buat cara lain masa mesyuarat esok. Tak perlu buat post mortem. Tetapi buat Hansei.” Mengutarakan cadangan yang boleh membantu.

“Hansei tu apa?” menunggu penjelasan selanjutnya.

Hansei diterangkan secara ringkas kerana yang mencadangkan juga belum pernah melakukan.

“Hmm.. ada ke orang yang nak mengaku salah sendiri?”

“Cubalah. Belum cuba, belum tahu.”

__________

Esoknya.

Di bilik mesyuarat, setiap seorang diberikan stick notes. Masing-masing pelik dan memandang satu sama lain sambil mengunjuk-unjukkan stick notes masing-masing. Terpinga-pinga apa yang perlu dibuat. Ini mesyuarat atau kursus?

“Sekarang, saya bagi masa 5 minit untuk fikir tentang apa yang berlaku pada projek kita semalam. Cuba fikir untuk diri masing-masing. Apa kelemahan diri kita yang menyebabkan peristiwa semalam berlaku.

Tulis dan tampal di dinding sebelah sana.” Sambil menunjukkan dinding putih di sebelah kiri.
Kelihatan masing-masing memandang satu sama lain kehairanan. Namun, bungkusan plastik stick notes terus dikoyak dan ada yang telah mula menulis walapun agak terkejut mulanya.

“Ada sesiapa yang nak tampal dulu?” Memandang ahli mesyuarat dari kiri ke kanan.
“Baiklah, saya tampal saya punya.” Dia bangkit dan bergerak menampal stick notes di dinding.
Yang kedua mula mengikuti, diikuti seorang demi seorang dan semakin ramai yang bangun menampal stick note masing-masing.

Mula kedengaran bunyi-bunyi keceriaan. Dah lama tidak menampal agaknya.

“Baik, sekarang, jom kita semua bangun dan lihat ke dinding. Cuba baca, apa punca yang menyebabkan rakan kita tidak boleh melaksanakan tugas mereka.

Kita boleh hentam mereka kerana kelemahan mereka atau kita boleh bantu mereka. Pilihan di tangan kita. Tetapi pilihan pertama tidak akan membawa apa-apa makna.

Sekarang, kita telah pun tahu kelemahan masing-masing. Sebagai satu pasukan, kita cuba bantu satu sama lain.”

Semua mula bercakap antara satu sama lain. Selang beberapa minit, semua sudah kembali duduk di meja mesyuarat.

“Mulai hari ini, kita dah tahu kekuatan dan kelemahan rakan-rakan kita. Kita fikir ke depan. Untuk kegagalan semalam, biar saya yang berhadapan dengan CEO.

Semua yang tertampal di dinding itu, akan saya tanggung sebagai satu pasukan. Saya akan berjumpa CEO bersama Pengurus projek.”

___________

Petang itu, pengurus projek memanggil dia dan semua ahli projek. Masing-masing berdebar menunggu keputusan CEO tentang projek mereka.

Pengurus projek kelihatan menarik nafas panjang sebelum menuturkan kata.

“Sepanjang saya menguruskan projek di syarikat ini, tidak pernah saya jumpa ketua projek yang berani menanggung kegagalan projek di hadapan CEO.

Kebanyakannya akan menuding jari dan menyalahkan anak buah masing-masing apabila projek tidak mencapai sasaran.

Tetapi dia, tanpa ragu meletakkan seluruh kegagalan projek atas bahunya.

Saya tidak tahu dari mana dia mendapat kekuatan. Tetapi anda semua beruntung mendapat ketua projek yang begini.

Disebabkan itu, CEO bersetuju memanjangkan lagi tempoh 2 bulan untuk projek ini diselesaikan juga.”

Tanpa dipaksa. Semua ahli berdiri memberi tepukan dan bersalaman mengucap tahniah.

Ketua projek ‘hujan’ lagi.

>>>



HANSEI

Semua ahli mesyuarat ‘bertaubat’ dan menginsafi kesilapan dan kesalahan masing-masing sebelum memulakan mesyuarat.

Apabila mesyuarat bermula, masing-masing menceritakan kesilapan masing-masing dan memberi cadangan bagaimana dapat melakukan ‘kaizen’ (penambahbaikan) dalam tugasan seterusnya.
Semua ahli berfikir untuk ‘jalan terus’ bagi memastikan projek berjaya dan tidak mengenang kesilapan terlalu lama.

Kaedah ini mengelakkan hentam menghentam dan saling menyalah satu sama lain seperti amalan ‘post-mortem’ hingga menjejaskan keharmonian antara ahli pasukan.

__________

Kisah ini berlaku di luar jangkaan saya. Saya ‘Hujan’ juga.

‪#‎drMAK‬

Monday, 12 October 2015

(89) Sebungkus Keropok Untuk Makan Malam

Petang itu, memandu kereta pulang dari ‪#‎Seminar3P‬ agak kelam kabut kerana masih belum menunaikan solat Asar. Warna langit semakin gelap.

Alhamdulillah, dalam laluan menghala ke Ampang kelihatan papan tanda besar stesyen minyak Petronas. Petronas Lot 279, Ulu Klang.

Kereta dibelok ke kiri, berhenti dan keluar berjalan laju mencari surau melintasi makcik menjual keropok yang bersandar di dinding luar kedai Mesra memerhati orang lalu lalang di hadapannya.

Selesai salam terakhir, barulah lega dan tenang kerana solat telah dilaksana. Dari sudut tersorok dinding surau, makcik keropok masih duduk di tempatnya.

Saya mengeluarkan dompet dan membelek wang yang tinggal. Tidak berapa banyak tunai yang tinggal. Keputusan dibuat, tak perlu membeli.

Walau bagaimanapun, mahu tak mahu, saya perlu melintas makcik keropok untuk ke kereta.
Saya berjalan menunduk kepala melintasinya kerana bimbang disapa, tetapi entah kenapa saya memusing kepala untuk melihat wajah makcik keropok dan tiba-tiba dia mengangkat kepala yang sedang tunduk lalu terseyum meleret. ‘Ah sudah, nak buat muka macamana ni.’

Dengan malu-malu saya menyapa, “Makcik jual keropok jenis ikan apa eh?” itulah soalan terbaik saya rasa untuk memulakan perbualan.

“Oh, ada ikan parang dengan ikan tamban. Kalau yang nipis, ikan parang. Kalau nak rasa ikan lebih, ikan tamban.”



Saya mengangguk-angguk. Otak ligat berfikir, apa soalan seterusnya.

“Keropok tak banyak jual hari ni dik. Sekejap lagi nak kena balik dah. Suami datang ambil. Belilah satu. Boleh kami buat belanja makan malam,” senyum memujuk separuh rayu.

Dalam beberapa saat, entah datang dari mana, terngiang di telinga, ‘orang yang menjual di jalanan ni, bukan berniaga untuk kaya. Apa yang mereka jual, hanya cukup untuk makan dari hari ke hari.’
Allah.. benar rupanya kisah yang saya baca sebelum ini.

“Bagi ikan parang sebungkus kak eh.” Menghulurkan not RM10 terakhir dari beg duit. Tak mengapalah, ATM ada di dalam kedai Mesra, boleh keluarkan duit.

“Terima kasih banyak dik. Akak jual eh.” Wang bertukar keropok. Senyum lebarnya membahagiakan.
Saya terus masuk ke kedai Mesra mencari ATM.

Keluar dari kedai, makcik keropok telah tiada. Dia berkata benar.

Berjalan ke kereta, saya masih terfikir, 'makan apakah mereka malam ini.'

>>>

Sampai hari ini, masih terkenang peristiwa itu. Saya telah membuat keputusan untuk tidak membeli awalnya, tetapi akhirnya tanpa fikir panjang, saya terus membeli.

Benarlah Allah 'memegang' hati-hati manusia. Benarlah Allah Maha memberi rezeki.
Digerakkan hati saya menoleh supaya dapat memberi, kerana wang yang diberi itu memang rezeki mereka.

Begitulah juga pengalaman saya selama dan saat ini.

Ketika sedang berhajatkan sesuatu, digerakkan hati-hati insan yang baik untuk membantu dan menyokong, walaupun tidak pernah kenal sebelumnya dan entah dari mana datangnya.
Saya percaya, mereka 'bantuan' Allah untuk saya.

Subhanallah.
_________

SALAM EIDUL ADHA Buat Semua Rakan Pembaca yang dikasihi Allah.

‪#‎drMAK‬

Saturday, 10 October 2015

(88) Satu Autograf, Membakar Semangat Membaca

Kebiasaannya, balik dari sesebuah program di luar, anak-anak akan menanti apakah ‘hadiah’ yang akan dibawa balik untuk mereka. Sampai sahaja di rumah selepas menghadiri seminar 3P anjuran Legacy Publishing, masing-masing menerkam kaki abah. Ibarat sudah seminggu tidak berjumpa lagaknya, sedangkan baru seharian.

“Zahraa, abah ada buku best untuk zahraa. Zahraa mesti suka.” Menyelak-nyelak dan mengeluarkan sebuah buku dari dalam beg.

“NUDIN’S? Buku fasal apa ni abah?” membelek-belek kulit buku dan membuka helaian demi helaian.

“Haa, nak tahu cerita fasal apa, Zahraa kenalah baca sendiri. Nanti Zahraa ceritakan pada abah. Comel tak watak Nudin ni?” menunjukkan watak robot hijau bertopi yang sering menyebut Beep! Boop!

“Comelnya abaahh.. Eh! Abah, kenapa kat depan ni ada tulis nama Zahraa?
Zahraa, Sihat + Aktif = Comel Selalu.” Diikuti autograf ‘diterbangi kupu-kupu’ di atasnya.

“Haa, buku ni, kawan abah yang tulis, dia autograf untuk Zahraa. Sengaja abah tak cakap awal-awal, surprise!”

“Yeayy! Bestnyee, esok, Zahraa nak bawa pergi sekolah, nak baca, lepas tu nak tunjuk pada kawan Zahraa.” Melompat masuk ke dalam bilik mencari beg sekolah untuk buku disimpan.

Abah lega. Nasib baik simpan. Kalau dibawa tidur, lunyailah buku.

Kisah esoknya, lihat gambar.. heheh..



>>>

Mendorong anak membaca kadangkala tidak perlu kepada ‘disuruh-suruh’. Ini menyebabkan minda anak mengaitkan membaca + paksaan = Tak seronok!

Tabiat membaca perlu datang secara semula jadi untuk kekal selama-lamanya. Keseronokan membaca itu yang perlu dipupuk. Membaca yang seronok akan menerbitkan mood yang syok.
Bagaimana seronok membaca? Jadikan buku sesuatu yang ‘istimewa’.

Buku yang ‘dihadiahkan’ atas sebab apapun, biasanya lebih teruja untuk dibaca. Ditambah pula, buku yang mempunyai autograf penulis.

Antara cara yang saya lakukan, cari ‘event’ yang dihadiri oleh penulis. Paling mudah, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur setiap tahun dan dapatkan autograf penulis.

Mohon penulis tulis nama anak, bersama kata-kata menggalakkan membaca. Setakat ini, Alhamdulillah, mereka semangat membaca.

Boleh cuba, insya-Allah.
______
NOTA:
Terima kasih Puan RuQayyah Muhd kerana sudi autograf Nudin’s untuk Zahraa.
Terima kasih Legacy Publishing (Tuan Zam Legacy & Puan Atie Zam) kerana menerbitkan komik yang ‘mesra sayur’, heheh..
Terima kasih Puan Lily Moha, Puan Suri Mawarne Kaidar, Mizi & Anhaz yang membentuk tim hebat menghasilkan Nudin’s.


‪#‎drMAK‬

Thursday, 8 October 2015

(87) Facebook Di Alam Realiti

Di kalangan rakan-rakan saya di FB ini, ada yang berniaga online. Macam-macam produk ada. Sekali sekala saya baca juga iklan-iklan mereka.

Dah lama saya simpan dalam hati kisah berniaga di facebook ni. Masih boleh bersabar dan tersenyum. Tetapi terasa menarik juga jika dijadikan topik penulisan pagi ni. Lari dari topik ‘parenting’ yang biasa menghiasi status. Sekurang-kurangnya pembaca tahu, saya manusia normal. Haha..

~Messenger~
Hantar mesej personal. “Maaf Ammar, saya ni kawan awak di facebook. Saya ada menjual produk ni. Jika awak minat nak beli produk ni, bolehlah beli dari saya. Boleh tolong kawan-kawan. Anything, inform me ok.”

Ini cara yang paling saya suka dan hormati. Bertanya dengan sopan terus kepada saya dan lebih penting, saya tahu hujung pangkal. Jika berminat, saya akan balas, jika tidak berminat atau masih tidak perlu, saya akan jawab dengan sopan. Kedua-dua pihak puas hati.

~Invite Like Page~
Ada antara mereka yang menghantar jemputan untuk like page mereka.
Seolah-olah mereka berkata, “Ammar, kami baru buka kedai dekat Alamanda, Putrajaya, jemputlah datang ke kedai eh. Cubalah tengok-tengok kot ada produk kami yang kau minat, bolehlah beli dari kami. Kalau nak beli, belilah. Kalau taknak pun takpe.”

Bagi saya, cara ini juga sopan, beretika, dan boleh diterima. Saya suka. Jika saya perlu produk itu, saya like, jika tidak, saya biarkan sahaja. Doa saya, orang lain tetap akan singgah ke kedai mereka.

~Tag Gambar Iklan~
Ada yang tag nama saya pada gambar iklan perniagaan masing-masing.
Saya yang sedang berjalan dengan santai di hadapan lot kedai, tiba-tiba terasa seolah-olah ditarik tangan masuk ke dalam kedai yang saya tidak kenal pun siapa owner kedai, lepas tu tunjuk poster dekat muka saya. “Belilah produk ni.” Huih, kuss semangat. Tanjat boboi.

Bila kita kata tak nak belilah (remove tag), yang tarik tangan tadi akan cakap, “Pandai-pandailah cari pintu keluar eh (suruh remove sendiri), padahal tadi, siapa yang tarik kita masuk kedai? Aduih..

~Tag Di Kotak Komen~
Ini pun menarik. Kedai orang lain yang sedang buat jualan, tapi kawan kita ni rasa nak beli sama-sama dengan kita, maka disebutnya pada penjual tu (tag kita dalam komen), “si Ammar ni nak beli kot produk awak ni”.

Dalam hati saya, ‘Eh, tak pernah pun kau cakap apa-apa dengan aku, tiba-tiba cakap aku nak beli, apahal!?”

~Masukkan Dalam Group~
Ini paling epik. Hahah.. Kita tak kenal orang yang jual. Kita tak kenal orang yang ajak. Tahu-tahu kita dah diculik masuk dalam guni dan bila ikatan dibuka, kita dah duduk dalam kedai.
Bahagian pakaian wanita pulak tu! Aduhhh tolonglahh.. “Weii, aku ni lelaki, siapa yang letak aku dalam ni.” Kita meronta-ronta hendak melepaskan diri.

Bila kita cuba nak lari (leave group), ‘penculik’ akan tarik balik duduk di tempat tu. Huihh.. main kasar nampak. Untuk lepaskan diri, kita perlu lari sejauh-jauhnya dan report polis (unfriend dan report).

~Poke~
Ini paling best. “Bang-bang, nak beli tak?” Cuit bahu saya, lepas tu bila saya toleh, dia pandang tempat lain, apahalll?!!



>>>

Kisah ini hanya perasaan saya sahaja, supaya peniaga-peniaga online tahu apa yang pelanggan rasai. Jika ‘tersentuh di hati’, maaf ye.


‪#‎drMAK‬

Monday, 21 September 2015

(86) Ayah Sentap Dengar Kucing Degil

“Zulfa, awak buat apa pada kucing tu!” Menegur Zulfa yang menimang-nimang badan Emet (anak kucing belaan) yang baru nak melabuhkan punggung untuk berbaring.

Tiada respon. Malah Zulfa meneruskan perlakuan.

Emet yang dipegang kuat mula tidak selesa dan menggeliat melepaskan diri. Mengiau tidak berhenti.

“Ooo, degil eh, degil budak nih.” Zulfa berceramah sambil menggoncang-goncang tubuh kecil Emet yang pasti tidak faham bahasa manusia.

“Tak eloklah Zulfa, sebut degil pada Emet.”

“Hari tu, Zulfa dengar abah sebut degil masa marah Snow (ibu Emet)?” Mata terkebil-kebil meminta penjelasan.

Abah sunyi.


>>>

Silap saya.

Pada waktu tertentu, ketika marah, penat, bengang, ada perkataan yang terlepas keluar dari mulut. Tidak sengaja, tetapi tetap berbisa. Sedar, anak-anak mengikut apa yang ibu bapa sebut. Kata-kata yang keluar dari mulut anak-anak, ada sebahagiannya adalah cerminan kepada apa yang ibu bapa tuturkan di rumah.

Kata-kata ibu bapa membentuk karakter anak-anak bukan sahaja dari segi luaran seperti tutur kata, tingkah laku, dan perbuatan mereka, malah, layanan lemah lembut (bahasa sopan) menyebabkan mereka rasa dihargai, dihormati, dan dimuliakan dalam hati. Harga diri (self-esteem) mereka meningkat.

Penggunaan bahasa kasar, kesat, dan lucah seolah-olah ibu bapa melakukan ‘jenayah terancang’ di rumah. Jenayah ini tidak dapat didakwa di mahkamah, tetapi kesannya akan dirasai apabila anak-anak meningkat dewasa. Ibu bapa akan rasa ‘terhukum’ apabila anak-anak mula ‘berwirid’ dengan bahasa itu.

Ketika itu, nasi mungkin telah menjadi bubur. Teringat kata-kata yang diucapkan oleh Saidina Umar Bin Al-Khattab r.a. kepada bapa yang mengadu perihal derhaka anaknya,

“Kamu datang kepadaku, mengadu tentang anakmu yang derhaka, walhal kamulah yang menderhakainya terlebih dahulu sebelum dia menderhakaimu. Kamu juga yang berkelakuan buruk terhadapnya, sebelum dia berkelakuan buruk terhadapmu!”

Allah.. Kita tidak mahu anak yang setiap hari memikirkan untuk lari dari rumah, atau merasai lebih baik dia mati dari hidup, atau lebih menakutkan, mengharapkan kematian kita (ibu bapa) lebih baik dari hidup. Nauzubillah.

Imam Abu Daud dan At-Tirmidzi merekodkan daripada Rasulullah (selawat atas Baginda) , baginda menerangkan (mafhumnya):
“Orang yang penyayang dikasihi yang Maha penyayang, maka sayangilah orang-orang di bumi, kamu akan disayangi oleh yang di langit.”

_____

Didoakan rakan ibu bapa yang membaca, adalah insan yang sentiasa menyayangi insan lain di bumi, disayangi makhluk di langit, dan yang sangat diingini, disayangi Allah Maha Penyayang. Aamiin.

Suka saya berkongsi kata-kata menarik dari seorang rakan pembaca di Facebook, Puan Syarifah Annurin,



NOTA:
Saya marah Snow kerana tidak pandai 'berinstinjak' di tempat yang betul, selepas berkali-kali diajar. Itu saja. Alhamdulillah, sekarang dah pandai.
 
 
Inspirasi Tarbiyatul Aulad Fil Islam, Dr. Abdullah Nasih Ulwan.
 
#drMAK
 
 

Wednesday, 16 September 2015

(85) 4D Senjata UPSR

Hari ini, semua anak-anak tahun 6 mula menjalani UPSR di seluruh negara.
Allah permudahkan mereka dan limpahkan 'sinar' di hati dan minda untuk menjawab dengan lancar. Insya-Allah.

Teringat dulu, mak dan abah melakukan 4D sebagai 'penguat semangat' kami menghadapi peperiksaan.



1. DORONG
Mak dan abah memberikan kata-kata semangat tanpa tekanan.
"Kita telah berusaha, selebihnya terserah pada Allah. Buat yang terbaik."
Pesan mak abah lagi, baca selawat, baca doa penerang hati, baca Al-Fatihah, jangan lupa mulakan menjawab dengan Basmalah. Saya rasa tenang dan ikut semua nasihat ini.

2. DAKAP
Sebelum berlari menaiki bas yang sedia menunggu, mak dan abah akan mendakap erat. Lebih 5 saat. Seumpama magis, degupan jantung yang mulanya cepat dan tiada ritma, kembali teratur. Emosi tenang. Serius, ini magik.

3. DHUHA
Tamat kertas pertama. Saya menelefon mak menggunakan telefon awam masuk syiling (ada lagi ke?).
"Mak, Alhamdulillah, kertas BM tadi boleh buat. Mak tengah buat apa tu?".
"Alhamdulillah, mak baru lepas solat."
Ketika itu, saya memang pelik, solat apa lagi yang ada selepas subuh. Sekarang saya faham, solat ini saya namakan 'solat keajaiban' kerana saya sendiri pernah rasai kesaktiannya.

4. DOA
"Kenapa mak solat waktu dah dekat tengahari ni?"
"Mak DOAKAN anak mak mudah menjawab dan diterangkan hati oleh Allah."
Saya terdiam. Patutlah semacam ada 'kuasa ghaib' yang menghilangkan ragu apabila timbul ketidakyakinan. Kuatnya doa seorang ibu.

>>>

Baru saya tahu, mengambil peperiksaan bukan sekadar belajar, belajar, dan belajar kemudian ambil peperiksaan.
Baru saya tahu, yang mengambil peperiksaan bukan hanya saya.
Baru saya tahu, peperiksaan bukan sekadar sedia mental, malah emosi.

Mak dan abah lebih 'bersedia' untuk mengambil peperiksaan daripada saya yang masih mentah tak tahu apa. Mereka 'dekat' dengan Allah, ketika saya yang lebih memerlukan pertolongan Allah.
Terima kasih Mak dan Abah, kerana ajari ini.
Saya tahu, ibu bapa yang membaca status ini juga begitu. Terbaik!

:)

#drMAK

Sunday, 13 September 2015

(84) Anak Sedih, Mama Ke China

Memori ini, semasa Zulfa darjah 3.

Dia memang tiada facebook.

Tetapi dia ada 'Wall' sendiri untuk meluahkan perasaan.




Catatan inilah yang menyedarkan kami, dalam diam, anak-anak ada dilemanya sendiri. Ada amukan rasanya sendiri.

Walaupun bagi kami, kami bekerja keras mencari lebih wang demi untuk membahagiakan mereka.
Namun, bagi mereka, kebahagiaan adalah apabila kami berada di sisi, pada saat mereka meraikan peristiwa penting dalam hidup mereka.

Mudah saja erti KEBAHAGIAAN bagi mereka, tidak seperti yang kami sangka.

Sejak itu, kami belajar melihat kebahagiaan dari mata mereka.

Apabila mereka menyertai mana-mana pertandingan, kami akan sentiasa 'ada' bersama mereka.

Apabila mereka menyertai apa-apa persembahan, kami di hadapan bertepuk tangan untuk mereka.

Apabila mereka sedih mengalami kekalahan, kami sedia untuk memeluk mereka.

Bagi kami, usaha mereka tidak sia-sia sekalipun kalah. Hanya hasilnya belum tiba.

Sewaktu bersama rakan-rakan Zulfa dalam satu pertandingan, terdengar bisikan rakannya.
"Awak untung, family awak datang tengok. Ayah saya hantar saya, selepas tu balik. Nanti dah habis baru suruh telefon." Sugul riak wajahnya.

Terusik juga hati saya. Jika ayahnya tahu, kebahagiaan anaknya hanya dengan duduk dan melihat anaknya 'bertarung'. Pasti dia akan tunggu dan terus tunggu.

Kami sedar,
Kebahagiaan itu murah caranya, tetapi tinggi nilainya, bukan mahal caranya, tetapi rendah nilainya.
Jika Kebahagiaan punya matawang untuk dibeli, bukan RM yang diperlukan, tapi KS yang lebih bermakna.

"Kasih Sayang"

>>>

Sementara mereka masih menagihnya dari kita, berikan saja,
Apabila sampai saat mereka sudah penat menantinya dari kita,
Ketika itu, mereka sudah semakin jauh dari kita.

#drMAK
___________

NOTA:

Saya tertarik dengan perkongsian rakan FB Puan Permata Ku, sangat menyentuh hati.




Wednesday, 9 September 2015

(83) Stroller Penyebab Anak Menangis

Kedengaran tangisan membentak yang kuat atas jalanraya depan rumah.

Dari jauh, saya melihat seorang bapa sedang membawa bayi kecil bersiar-siar dengan menolak stroller diiringi abangnya yang sedang bising merengek-rengek.

“Abah, nak tolak, nak tolak,” meraung dan terus duduk di atas jalan tar.

“Tak boleh! Jatuh nanti.” Ayahnya tegas.

Dari saiz stroller yang hendak ditolak, saya sendiri hampir setuju dengan ayahnya.

Budak itu masih tidak berputus asa memujuk, “Abang boleh tolaklah abah, abang boleh. Bagilah abah.”

Dia terus memujuk. Suara itu semakin lama semakin sayup hingga akhirnya hilang di hujung jalan.



>>>

Itulah kanak-kanak. Kita semua pernah melalui umur itu. Zaman tiada kerisauan tentang apa-apa. Hanya fikir tentang nak main apa esok hari.

Menariknya zaman itu, kita percaya kita boleh melakukan semua perkara. Ya, semua perkara! Selagi tidak dilarang, selagi itu kita akan terus mencuba ‘idea gila’.

Kita percaya kitalah ‘superman’ hanya dengan mengikat kain selimut di tengkuk dan lompat dari atas pokok untuk terbang. Kita percaya kitalah ‘ultraman’ dengan memasang balung di kepala dan pukul rakan berbadan besar yang disuruh berlakon sebagai raksasa. Kita percaya kita ‘terlebih hensem’ sehingga dengan yakin mengorat cikgu maktab yang praktikal! (Eh! Kenapa jauh sangat lari contoh yang ini). Kita percaya banyak lagi.

Semasa kecil, kita hampir mempercayai semua yang kita ingin percayai. Seperti abang yang hendak menolak adiknya di atas stroller tadi. Saya yakin, dia sangat percaya dia mampu menolak stroller itu, walaupun dia mungkin tidak berjaya. Dia hanya perlu PERCAYA BOLEH!

Namun, apa yang berlaku. Semakin meningkat remaja, apa yang dipercayai boleh dilakukan semakin berkurangan. Mereka percaya, mereka tidak boleh melukis kerana ibu bapa diam apabila lukisan ditunjukkan. Mereka percaya, mereka tidak boleh bercakap di hadapan ramai kerana percakapan mereka tidak dihiraukan. Mereka percaya, mereka tidak boleh menjadi pelajar cemerlang kerana diasingkan duduk di kelas belakang.

Albert Bandura dalam Teori Kognitif Sosial mencadangkan salah satu dari sumber kepercayaan kepada kebolehan ialah dari ‘pengalaman melakukan sendiri’. Setiap perkara yang pernah dicuba akan memberikan peningkatan kepercayaan kepada potensi melakukan perkara itu dengan lebih baik.

Baiknya jika dibiarkan saja anak tadi mencuba menolak stroller. Pada usia kecil, mungkin kudratnya menyebabkan dia tidak berjaya. Namun, sekurang-kurangnya dia merasai pengalaman gagal setelah mencuba. Tidaklah dia gagal hanya disebabkan tiada siapa percaya!

Berikan peluang dia menolak stroller kerana setiap kepercayaan memerlukan peluang! Peluang membuktikan apa yang dia percaya! Percaya bahawa dia sememangnya boleh!

______

Yang pasti, kita buka peluang mereka mencuba perkara yang baik. Perkara buruk dan berdosa, tutup rapat-rapat!

Saya suka beberapa maklum balas dari rakan FB yang memberi peluang anak-anak 'mencuba'. Hasilnya sangat menarik!




:)

#drMAK