Pages

Penulis di Facebook

Showing posts with label anak-anak. Show all posts
Showing posts with label anak-anak. Show all posts

Monday, 21 September 2015

(86) Ayah Sentap Dengar Kucing Degil

“Zulfa, awak buat apa pada kucing tu!” Menegur Zulfa yang menimang-nimang badan Emet (anak kucing belaan) yang baru nak melabuhkan punggung untuk berbaring.

Tiada respon. Malah Zulfa meneruskan perlakuan.

Emet yang dipegang kuat mula tidak selesa dan menggeliat melepaskan diri. Mengiau tidak berhenti.

“Ooo, degil eh, degil budak nih.” Zulfa berceramah sambil menggoncang-goncang tubuh kecil Emet yang pasti tidak faham bahasa manusia.

“Tak eloklah Zulfa, sebut degil pada Emet.”

“Hari tu, Zulfa dengar abah sebut degil masa marah Snow (ibu Emet)?” Mata terkebil-kebil meminta penjelasan.

Abah sunyi.


>>>

Silap saya.

Pada waktu tertentu, ketika marah, penat, bengang, ada perkataan yang terlepas keluar dari mulut. Tidak sengaja, tetapi tetap berbisa. Sedar, anak-anak mengikut apa yang ibu bapa sebut. Kata-kata yang keluar dari mulut anak-anak, ada sebahagiannya adalah cerminan kepada apa yang ibu bapa tuturkan di rumah.

Kata-kata ibu bapa membentuk karakter anak-anak bukan sahaja dari segi luaran seperti tutur kata, tingkah laku, dan perbuatan mereka, malah, layanan lemah lembut (bahasa sopan) menyebabkan mereka rasa dihargai, dihormati, dan dimuliakan dalam hati. Harga diri (self-esteem) mereka meningkat.

Penggunaan bahasa kasar, kesat, dan lucah seolah-olah ibu bapa melakukan ‘jenayah terancang’ di rumah. Jenayah ini tidak dapat didakwa di mahkamah, tetapi kesannya akan dirasai apabila anak-anak meningkat dewasa. Ibu bapa akan rasa ‘terhukum’ apabila anak-anak mula ‘berwirid’ dengan bahasa itu.

Ketika itu, nasi mungkin telah menjadi bubur. Teringat kata-kata yang diucapkan oleh Saidina Umar Bin Al-Khattab r.a. kepada bapa yang mengadu perihal derhaka anaknya,

“Kamu datang kepadaku, mengadu tentang anakmu yang derhaka, walhal kamulah yang menderhakainya terlebih dahulu sebelum dia menderhakaimu. Kamu juga yang berkelakuan buruk terhadapnya, sebelum dia berkelakuan buruk terhadapmu!”

Allah.. Kita tidak mahu anak yang setiap hari memikirkan untuk lari dari rumah, atau merasai lebih baik dia mati dari hidup, atau lebih menakutkan, mengharapkan kematian kita (ibu bapa) lebih baik dari hidup. Nauzubillah.

Imam Abu Daud dan At-Tirmidzi merekodkan daripada Rasulullah (selawat atas Baginda) , baginda menerangkan (mafhumnya):
“Orang yang penyayang dikasihi yang Maha penyayang, maka sayangilah orang-orang di bumi, kamu akan disayangi oleh yang di langit.”

_____

Didoakan rakan ibu bapa yang membaca, adalah insan yang sentiasa menyayangi insan lain di bumi, disayangi makhluk di langit, dan yang sangat diingini, disayangi Allah Maha Penyayang. Aamiin.

Suka saya berkongsi kata-kata menarik dari seorang rakan pembaca di Facebook, Puan Syarifah Annurin,



NOTA:
Saya marah Snow kerana tidak pandai 'berinstinjak' di tempat yang betul, selepas berkali-kali diajar. Itu saja. Alhamdulillah, sekarang dah pandai.
 
 
Inspirasi Tarbiyatul Aulad Fil Islam, Dr. Abdullah Nasih Ulwan.
 
#drMAK
 
 

Friday, 6 February 2015

(16) Anak-anak suka membaca? Tips galakkan lagi!

“Mar, hari tu, aku ada baca kau tulis pasal "multiple intelligence". Tapi masa tu kau just bagitau macamana tanda-tanda budak tu ada kepandaian yang pelbagai. 

Tapi macam aku ni, aku nampak anak aku memang suka sangat baca buku. Kalau dapat pegang buku, memang dia boleh hadap sampai khatam dalam sehari je”, Siti memandang aku tak berkelip.


“Baguslah macamtu, membaca kan jambatan ilmu. Orang bijak pandai cakap, kalau nak jadi bijak, kena banyak baca buku”, aku tersenyum.


“As parents, kalau dah tahu macamtu, apa kita kena buat eh?”, Siti kelihatan bersungguh.

Dah suka membaca, galakkan lagi!



“Ok, aku kongsi apa aku buat eh, tak semestinya berjaya, tapi kita usaha”, aku cuba membantu.



1. Jika tiba-tiba anak bertanya tentang sesuatu yang kita sendiri kurang arif. Kita boleh tolong carikan buku yang boleh menjawab soalan tu. Sebagai contoh, kalau anak bertanya tentang kisah Baginda Rasulullah, kita cari buku tentang Baginda Rasulullah yang mudah dihadam oleh kanak-kanak. Sekarang dah banyak buku-buku sirah yang sesuai untuk pemahaman kanak-kanak, berwarna-warni, ada ilustrasi. Hadiah pada dia untuk dibaca. Tak perlu diceritakan, minta dia baca dulu. 


2. Katakanlah dah habis baca satu kisah, minta dia ceritakan semula kisah yang dia telah baca. Lebih baik jika dia bercerita sambil menggayakan ala pertandingan bercerita di sekolah tu. Selain mendengar apa yang dia faham, boleh asah bakat bercerita sekali. Kita hanya jadi pendengar dan penepuk tangan yang setia. Sebab, bila kita rajin mendengar, dia akan semakin seronok bercerita. Bila kehabisan cerita, dia akan minta lebih buku untuk dibaca. Lebih banyak buku dibaca, lebih banyak ilmu ditimba.


3. Sekali skala, elok juga diberikan buku pantun, saja, gurindam, kisah klasik Melayu untuk pelbagaikan kosa kata dia. Sebab bahasa Melayu tinggi ni semakin pupus dah sekarang. Eloklah kalau kita kenalkan. Kalau kita tak faham, boleh minta dia bertanya pada cikgu di sekolah. Dari situ, kita mengajar “cara mencari jawapan”. 


4. Jika ada pesta buku, terutamanya yang besar seperti PBAKL atau BBW. Bawa dia memborong buku bersama. Kebiasaannya dia ada kecenderungan genre tertentu. Tapi elakkan novel cinta yang merapu seperti ikan bawal bercinta dengan ikan kerapu. Tak sama taraf, bla bla bla. Jauhkan. Pandu untuk dia memilih novel motivasi atau kehidupan realiti yang lebih memberi kesan kepada jati diri.


5. Jika dia minat penulis buku, contoh Ain Maisarah ke. Cubalah cari peluang untuk bertemu penulis. Bawa dia berhadapan, berinteraksi, dapatkan tandatangan penulis. Pengalaman interaksi akan membakar semangat. Tidak mustahil, dia juga akan mula menulis. Chop! Satu lagi, sekarang ni dah ada facebook. Bantu dia cari penulis diminati, galakkan dia memberi komen tentang buku yang dibaca kepada penulis. Jika dibalas penulis, ini juga motivasi besar untuk dia.


6. Jika dia dah mampu menulis, kita galakkan lagi dia menulis. Mula dengan menulis dalam FB sendiri pun boleh (kena pantaulah). Minta dia tulis komen tentang buku yang dia baca. Biar dia guna ayat dia sendiri. Mula-mula memang banyak kekurangan, nanti lama-lama mesti improve. Jika dah sedap dibaca, boleh bantu dia hantar penulisan ke mana-mana majalah, macam dewan pelajar ke. Jika disiarkan, bertambah-tambah lagi motivasi.


7. Jika dia minat dengan pementasan di sekolah. Galakkan dia menulis skrip-skrip drama. Kita ajar sikit ilmu penceritaan sinetron yang kita selalu tengok (kalau tak nonton sinetron, boleh nonton filem yang gred A). Minta dia tulis babak demi babak. Kita nasihatkan apa yang perlu ditambah atau dibuang. Satu hari, boleh menulis skrip drama bercorak keislaman yang nampaknya kurang di TV sekarang.


“Nampak macam susah nak buat je?”, kerut Siti.


“Mula-mula memang susah. Lama nanti, jadi senang. Kesan dia jangka panjang. Kita buat sikit-sikit, inshaa Allah”, aku senyum meyakinkan.

~Ammar Muhamad~