Pages

Penulis di Facebook

Showing posts with label rasulullah. Show all posts
Showing posts with label rasulullah. Show all posts

Monday, 30 November 2015

(99) Khutbah Terakhir di Poslaju

Pintu kaca itu ditolak perlahan. Ramai orang sedang beratur. Lambat lagi nampaknya giliran.

Di kaunter hadapan, kecoh seorang amoi menjelaskan sesuatu melalui telefon. Bahasa ibundanya tidak saya fahami. Kakak di sebelahnya yang sedang berurusan menggeleng kurang senang.

Lenguh berdiri, saya menjenguk kaunter sebelah. Kotak tiga segi berdiri tertulis 'Kaunter Tutup'.

Seakan hajat dimakbul, datang seorang petugas, mengangkat kotak itu. Pantas saya menyelinap ke kaunter sebelah.

Kad tuntutan poslaju dan IC dihulurkan.

"Sebentar ye encik." Dia bangun ke stor belakang mencari bungkusan.

Sambil menunggu, mata menggelintar sekitar ruang kerja kaunter yang berselerak. Mata terhenti pada kata-kata yang ditampal pada sisi laci bertingkat.

'Bagusnya kata-kata pesanan ini ditampal dan dibaca petugas ini setiap hari. Mudah-mudahan dia memang mengamalkannya.'

"Encik sign sini." Saya yang sedang mencuri 'gambar' terkejut. Nyaris terlepas handphone.

"Ini barang encik. Terima kasih." Lembut dan senyum.

Alhamdulillah. Dia memang mengamalkannya.

>>>

Kata-kata pesanan itu ada pada bahagian kanan atas.

Saya tuliskan semula,

"Janganlah kamu sakiti sesiapapun sekiranya kamu tidak mahu disakiti."

~Petikan Khutbah Terakhir Rasullullah (Selawat atas Baginda)~

:)

#drMAK

Thursday, 30 July 2015

(67) Bergurau Dengan Kanak-kanak, Akhlak Rasulullah s.a.w

Duduk melangut di pusat servis kereta sememangnya membosankan jika tidak diisi sebarang aktiviti. Siaran TV Astro yang terpasang seperti biasa adalah ulangan cerita yang dah basi. Mujur ipad dibawa bersama, boleh juga mengisi masa dengan hobi menulis yang baru berbunga.

Sedang asyik menekan papan kekunci comel yang dihubung ‘gigi biru’ ke ipad, tiba-tiba lengan saya dicuit berkali-kali oleh orang sebelah.

"Ayah, ayah, nak main game ni.” Jari telunjuk kecil menuding ikon aplikasi game di skrin telefon pintar Samsung.

"Nak main game yang mana satu?" Sambil buat-buat menjenguk telefon pintar yang dipegang.

Anak kecil berusia sekitar 3 tahun ini berpusing memandang. Matanya bulat memandang wajah saya yang sedang tersenyum. Baru tersedar, suara ayahnya berbeza. Dia tersipu-sipu.

"Haa, silap ayah ye.." Saya mengusik.

Rupanya tersalah cuit. Ayah duduk di sebelah kanan, yang dicuit di sebelah kiri.

Cepat-cepat berpusing ke kanan, mencuit ayah yang sebenar. Ayah tersenyum melihat anak yang malu-malu kucing.

Tidak puas hati agaknya termalu, dia menoleh merenung wajah saya.

Terus senyum meleret. Sangat comel.


>>>

Dalam kesibukan menjalankan tugas sebagai seorang pekerja, menjalankan perniagaan, atau apa sahaja pekerjaan, masihkah kita punya masa untuk bergurau dengan anak-anak?

Gurauan meninggalkan kesan emosi yang sangat baik untuk anak-anak. Imej wajah ibu bapa yang tersenyum dan bergelak ketawa semasa bergurau akan kekal sebagai kenangan bahagia yang melekat di dalam memori anak-anak sehingga dewasa.

Sekurang-kurangnya, ketika kita sedang melalui fasa pekerjaan yang sangat sibuk dan tiada masa untuk bergurau dengan mereka, mereka akan lebih memahami dan boleh bergantung sementara kepada kebahagiaan yang pernah mereka alami.

Agak-agak, bila kali terakhir kita bergurau dan mencium anak-anak?

Abu Hurairah R.A meriwayatkan, suatu ketika Baginda Rasulullah s.a.w mencium cucu Baginda, Hassan, dan ketika itu Al-Afra bin Habis At-Tamimi ada duduk bersama Baginda s.a.w. Al-Afra lalu berkata, “Aku ada sepuluh orang anak, tetapi aku tidak pernah mencium seorang pun daripada mereka. Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda, “Sesiapa yang tidak menyayangi anak-anak, tidak akan disayangi dan dirahmati Allah.”

Ramai ibu bapa yang mengamalkan mencium anak ketika menghantar dan pulang dari sekolah. Ini memang amalan yang sangat baik. Sebagai tambahan, ibu bapa boleh bergurau saat itu untuk menghiburkan hati anak-anak, malah ibu bapa juga boleh terhibur dengan keletah anak-anak.

Kita bekerja untuk kebahagiaan keluarga. Jika pekerjaan menghakis perhatian dan masa kepada keluarga, dari mana datangnya keluarga bahagia?

:)

#drMAK