Petang itu, memandu kereta pulang dari #Seminar3P agak kelam kabut kerana masih belum menunaikan solat Asar. Warna langit semakin gelap.
Alhamdulillah, dalam laluan menghala ke Ampang kelihatan papan tanda
besar stesyen minyak Petronas. Petronas Lot 279, Ulu Klang.
Kereta dibelok ke kiri, berhenti dan keluar berjalan laju mencari surau
melintasi makcik menjual keropok yang bersandar di dinding luar kedai
Mesra memerhati orang lalu lalang di hadapannya.
Selesai salam
terakhir, barulah lega dan tenang kerana solat telah dilaksana. Dari
sudut tersorok dinding surau, makcik keropok masih duduk di tempatnya.
Saya mengeluarkan dompet dan membelek wang yang tinggal. Tidak berapa
banyak tunai yang tinggal. Keputusan dibuat, tak perlu membeli.
Walau bagaimanapun, mahu tak mahu, saya perlu melintas makcik keropok untuk ke kereta.
Saya berjalan menunduk kepala melintasinya kerana bimbang disapa,
tetapi entah kenapa saya memusing kepala untuk melihat wajah makcik
keropok dan tiba-tiba dia mengangkat kepala yang sedang tunduk lalu
terseyum meleret. ‘Ah sudah, nak buat muka macamana ni.’
Dengan
malu-malu saya menyapa, “Makcik jual keropok jenis ikan apa eh?” itulah
soalan terbaik saya rasa untuk memulakan perbualan.
“Oh, ada ikan parang dengan ikan tamban. Kalau yang nipis, ikan parang. Kalau nak rasa ikan lebih, ikan tamban.”
Saya mengangguk-angguk. Otak ligat berfikir, apa soalan seterusnya.
“Keropok tak banyak jual hari ni dik. Sekejap lagi nak kena balik dah.
Suami datang ambil. Belilah satu. Boleh kami buat belanja makan malam,”
senyum memujuk separuh rayu.
Dalam beberapa saat, entah datang
dari mana, terngiang di telinga, ‘orang yang menjual di jalanan ni,
bukan berniaga untuk kaya. Apa yang mereka jual, hanya cukup untuk makan
dari hari ke hari.’
Allah.. benar rupanya kisah yang saya baca sebelum ini.
“Bagi ikan parang sebungkus kak eh.” Menghulurkan not RM10 terakhir
dari beg duit. Tak mengapalah, ATM ada di dalam kedai Mesra, boleh
keluarkan duit.
“Terima kasih banyak dik. Akak jual eh.” Wang bertukar keropok. Senyum lebarnya membahagiakan.
Saya terus masuk ke kedai Mesra mencari ATM.
Keluar dari kedai, makcik keropok telah tiada. Dia berkata benar.
Berjalan ke kereta, saya masih terfikir, 'makan apakah mereka malam ini.'
>>>
Sampai hari ini, masih terkenang peristiwa itu. Saya telah membuat
keputusan untuk tidak membeli awalnya, tetapi akhirnya tanpa fikir
panjang, saya terus membeli.
Benarlah Allah 'memegang' hati-hati manusia. Benarlah Allah Maha memberi rezeki.
Digerakkan hati saya menoleh supaya dapat memberi, kerana wang yang diberi itu memang rezeki mereka.
Begitulah juga pengalaman saya selama dan saat ini.
Ketika sedang berhajatkan sesuatu, digerakkan hati-hati insan yang
baik untuk membantu dan menyokong, walaupun tidak pernah kenal
sebelumnya dan entah dari mana datangnya.
Saya percaya, mereka 'bantuan' Allah untuk saya.
Subhanallah.
_________
SALAM EIDUL ADHA Buat Semua Rakan Pembaca yang dikasihi Allah.
#drMAK
No comments:
Post a Comment