Malam itu, merdu
sungguh bacaan imam di Masjid Putra. Alunan surah dibaca imam
mendetikkan hati, ‘bacalah lagi, bacalah lagi.’ Perasaan tidak puas
apabila imam telah mengangkat takbir untuk rukuk.
Jarang dapat mendengar bacaan semerdu itu. Selepas salam diberi, imam berzikir pendek dan terus mengangkat tangan berdoa.
“Angkat tangan betul-betul Iman. Doa sungguh-sungguh.” Menolak siku Iman ke atas yang melondeh ke peha.
Tamat doa. Cuit Iman, “Bangun solat.”
“Solat apa lagi abah?”
“Solat sunat rawatib.”
“Kenapa kena solat sunat rawatib?” mendongak memandang abah meminta penjelasan tambahan.
“Waktu solat sahaja kita betul-betul dekat dengan Allah. Lebih banyak
kita solat, lebih dekat kita dengan Allah. Iman suka tak kalau dekat
dengan Allah?”
Hanya mengangguk. Ikut solat.
__________
Esok.
Masih dapat berjemaah di Masjid Putra. Semalam, Iman dapat solat di
sebelah abah. Tetapi hari ini, Iman terpaksa solat di saf belakang
bersama kanak-kanak lain. Jemaah luar biasa ramai kerana ada pengajian.
Solat di masjid besar, bimbang dia merayau selepas solat. Pesan
berkali-kali, “Iman tunggu di sini tau. Jangan ke mana-mana. Abah cari
Iman nanti.”
Habis salam ke kiri, abah mengengsot ke belakang dari saf untuk menjenguk Iman. Dia tiada di saf tadi.
“Ah, kemana pula budak ni. Dah pesan tadi. Agak dah, mesti tak dengar cakap.”
Hati menggerutu kegelisahan. Dari ekor mata sebelah kanan, seolah-olah ditarik-tarik untuk menoleh sedikit jauh dari saf tadi.
“Allah...”, hanya itu yang mampu diucapkan dalam hati yang disiat sesalan bertubi-tubi.
Susuk kecil yang dikenali sedang berdiri dan tunduk memandang tempat sujud – solat sunat.
‘Maafkan abah kerana salah sangka.’
>>>
Anak lelaki tunggal ini, semasa kecil lagi sudah cukup menguji
kesabaran. Susah mahu ditidurkan – berpusing-pusing. Silap sedikit
menangis – berteriakan. Merajuk tak boleh dipujuk – masam berterusan.
Sehingga sekarang pun, disebabkan dia hanya seorang, kelakuannya memang
berbeza dari kakak dan adik perempuan. Mengharapkan dia menjadi sopan
santun seolah-olah menidakkan ‘kelasakan’ seorang lelaki.
Mungkin pengalaman itu menyebabkan abah sering terbawa-bawa. Apa sahaja yang dibuat, nampak ‘sakit’ di mata abah.
Dia memang nakal, nakal seorang kanak-kanak, nakal kerana mencuba,
bukan nakal kerana sengaja. Dalam keadaan tertentu, dia melakukan
kebaikan yang tidak terjangka.
Hari ini abah sedar silap abah.
Abah lupa satu perkara. Selama ini, abah hanya mengajar dengan kata,
tetapi tidak menunjukkan depan mata. Jumlah hadir bersama ke masjid
boleh dibilang hanya beberapa.
Malam itu, helaian Tarbiyatul
Aulad penuh tompokan air mata. Abah gagal jadi model buat anak-anak.
Abah sendiri bersangka-sangka, sedangkan anak itu masih calon syurga.
Anak-anak dari Allah telah sedia putih dan bersih. Abah yang
menghitamkannya. Abah conteng tanpa sengaja. Abah leka trofi dunia –
pujian majikan, sanjungan rakan, kagumnya lawan, dan dahaga penghargaan.
Abah lupa, abah perlu anak soleh sebagai saham menerangi kubur dan
tiket masuk syurga. Manakan wujud sosok anak soleh tanpa model terbaik
di hadapan mata.
Maafkan abah yang leka. Abah janji berbaik sangka. Abah janji bersaksi yang esa.
Bapa yang mengajar anak,
Kamu contoh yang menunjuk jalan,
Kamu memberi ubat kepada pesakit,
Supaya dia sihat pulih dari perit,
Tetapi kamu sendiri sebenarnya sakit,
Mulakanlah dengan merawat dirimu,
Cegah diri dari penyakit,
Jika sendiri dapat mencegah,
Bermakna ilmu terbukti dilaksana,
Ada orang menerima nasihatmu,
Ada orang mencontohimu,
Ada orang meyakini ilmumu,
Barulah bermanfaat pengajaranmu.
#drMAK
No comments:
Post a Comment