Saya tidak tahu hujung pangkal, tetapi tiba-tiba kisah tahap pendidikan seorang guru menjadi viral.
Oh, saya teringat pernah mengadaptasi sebuah kisah yang ditulis dalam
bahasa Inggeris ke bahasa Melayu. Mungkin kisah ini relevan untuk dibaca
semula.
>>>
Dalam satu majlis graduasi
pelajar-pelajar sekolah, seorang pengetua berucap dengan berkobar-kobar
sambil jari telunjuk dijulang ke udara.
“Seorang doktor, mahu
anaknya juga menjadi seorang doktor. Seorang jurutera, mahu anaknya juga
menjadi seorang jurutera. Seorang ahli perniagaan, mahu anaknya bekerja
di syarikatnya menjadi seorang CEO.
TETAPI, seorang cikgu?
Seorang cikgu juga mahu anaknya menjadi seperti mereka semua. Tiada
seorang pun yang mahu MEMILIH untuk menjadi CIKGU, sangat menyedihkan,
tetapi itulah hakikatnya."
Di satu sudut dewan, di meja makan, para tetamu mula kecoh bercerita tentang kejayaan dalam kehidupan.
Seorang CEO membuka mulut berbincang tentang masalah yang berlaku dalam bidang pendidikan.
Dia membuka bicara, “Apa yang seorang kanak-kanak boleh belajar
daripada seorang insan yang pencapaian TERBAIK dalam hidupnya hanya
mampu menjadi seorang CIKGU?”
Dia berpaling kepada seorang cikgu
yang duduk semeja, “Haa, awak seorang cikgu kan Rina? Terus terang, apa
yang awak buat di sekolah sebenarnya?”
Cikgu Rina yang terkenal dengan jujur dan lemah lembut tersenyum, “Tuan betul-betul ingin tahu apa yang saya buat?”
(Dia menarik nafas sedalamnya lalu menyambung…)
“Begini, saya membuat kanak-kanak bekerja lebih rajin daripada apa yang mereka percaya.
Saya membuat pelajar yang mendapat gred C+ seperti mendapat No.1 seluruh sekolah atas peningkatan prestasi mereka.
Saya membuat pelajar yang mendapat A- terasa langsung tidak bermakna
kerana membazirkan masa saya dengan membuat sambil lewa daripada yang
terbaik mampu mereka lakukan.
Saya membuat kanak-kanak memberikan
sepenuh perhatian selama 40 minit di dalam kelas semasa saya mengajar.
Sedangkan ibu bapa mereka sendiri tak mampu untuk buat mereka duduk
walau 5 minit. Saya lakukan tanpa Ipod, Iphone, Ipad, Game, atau
menonton TV.
Saya membuat ibu bapa terkejut dan terharu apabila
saya menghantar pesanan ringkas whatsapp untuk memberitahu apa yang anak
mereka telah lakukan di sekolah. Saya ceritakan bagaimana anak mereka
telah berkongsi makanan dengan rakan yang tidak ada wang belanja ke
sekolah. Itu adalah tindakan mulia paling sukar untuk saya lihat
sekarang.
Saya membuat ibu bapa 'sedar' siapa sebenarnya anak mereka dan apa yang anak mereka mampu lakukan.
Tuan nak tahu apa lagi saya buat?"
(Dia berhenti seketika dan memandang mata setiap orang yang berada di meja tersebut)
“Saya buat anak-anak merasa hebat."
“Saya buat mereka selalu bertanya soalan."
“Saya buat mereka yakin menjawab pertanyaan."
“Saya buat mereka meminta maaf atas kesilapan yang dilakukan dan benar-benar memaksudkannya."
“Saya buat mereka menghormati orang lain dan bertanggungjawab atas setiap tindakan mereka."
“Saya buat mereka membaca, membaca, dan membaca."
“Saya ajar mereka bagaimana nak menulis dan buat mereka menulis dan menulis sehingga mereka tidak akan salah mengeja lagi."
“Saya buat mereka tunjukkan semua kerja rumah matematik mereka. Saya
buat mereka gunakan akal yang Allah berikan, bukan kalkulator yang
dicipta oleh manusia."
“Saya buat bilik darjah saya sebagai tempat yang paling selamat untuk semua pelajar saya."
“Akhirnya, saya buat mereka benar-benar faham sekiranya mereka
menggunakan akal dan bakat yang dikurniakan Allah kepada mereka, bekerja
keras, dan mengikut kata hati mereka yang benar, mereka akan berjaya
dalam hidup."
(Cikgu Rina berhenti meneguk air dan menyambung)
“Saya yakin dan percaya bahawa duit bukanlah segala-galanya, walaupun
semua orang di sekeliling cuba mempertikaikan apa yang saya lakukan.
Saya masih boleh mengangkat muka tegak memandang ke hadapan dan jalan
terus tanpa menghiraukan semuanya kerana mereka tidak mengetahui apa
yang saya telah buat untuk 'anak-anak' SAYA."
"Tuan nak tahu kenapa saya yakin dengan apa yang saya buat?"
(memandang tepat wajah tuan CEO tanpa berkelip)
“Saya menyentuh dan memberi kelainan dalam kehidupan mereka. Saya
mengubah mereka untuk percaya diri dan menjadi yang terbaik mampu
mereka lakukan. Mendidik dan menyediakan mereka untuk menjadi seorang
Doktor, Jurutera, dan CEO."
“Sekarang, apa pula yang Tuan CEO buat pada mereka?”
Tuan CEO memandang kosong wajah cikgu Rina.
___________
~Diterjemah secara bebas dari puisi Taylor Mali dan diubahsuai dengan sepenuh penghayatan~
#drMAK
No comments:
Post a Comment