Pages

Penulis di Facebook

Showing posts with label buli. Show all posts
Showing posts with label buli. Show all posts

Monday, 2 November 2015

(93) Budak suka mengejek!

Perut menyanyikan lagu ‘Awak kat mana, awak-awak kat mana’ bila melihat ketam masak lemak yang terhidang di meja makan. Tangki perut dah kosong sejak tengahari lagi dek kerana menyiapkan kerja bertahap ‘urusan hidup mati’ sehingga tak sempat makan.

“Jom-jom makan malam semua. Cepat-cepat, abah dah kebuluran ni,” memegang perut yang sedang ‘vibrate’.

Duduk mengambil tempat, baca doa makan yang menggerunkan kerana hujungnya bermaksud “Jauhkan kami dari azab api neraka”. Begitu karib hubungan rezeki dan neraka. Masing-masing mula melayan sepit ketam kegemaran.

Sedang abah mengorek isi ketam putih yang padat, mungkin ditangkap ketika bulan penuh, masing-masing mula bercerita. Waktu makan memang waktu ‘pertandingan bercerita’.

“Abah, tahu tak, tadi kat sekolah, kawan Zulfa ejek abah.” Iman melaporkan bagi pihak Zulfa. Sejak bila dah berbakat macam wartawan TV3, entahla.

“Kawan dia ejek abah macamana Iman?” Acuh tak acuh, apalah sangat ejek budak-budak, sekali jentik, nangis panggil mak datang sekolah.

“Kawan dia ejek nama abah. Diorang cakap, Ammma Yatasaaa Aluun... Lepas tu ulang banyak-banyak kali.”

Perut abah yang sekadar vibrate sekali sahaja tadi dah mula vibrate campur snooze. Vibrate berhenti, vibrate berhenti, bergoncang ketam dalam perut. Kelakar pula rasanya.

“Macamtu ke Iman. Hmm.. takpelah, kita maafkan diorang. Abah rasa, diorang sedang cuba hafal surah An-Naba, baguslah, dapat pahala kalau selalu baca.” Sambil mengukir senyuman keikhlasan ala-ala pembaca berita RTM1.




>>>

Kes mengejek ni, bukan kali pertama berlaku dalam sejarah persekolahan. Boleh kata tiap-tiap hari balik sekolah pun memang ada aduan fasal ejek mengejek. Cuma uniknya kali ini, ejekan telah mula menular kepada nama seorang bapa yang hatinya suci ikhlas tidak tahu menahu apa-apa (heheh..).

Ada ke patut? Tak patut kan? Sedangkah abah yang suci itu berada berbatu-batu jauhnya dari kawasan sekolah. Takde kena mengena dengan cerita mereka.

Tapi, itulah budak. Tak sah, jika tak menimba ilmu mengejek di sekolah. Eh? Betul ke mereka mula belajar mengejek di sekolah? Kebiasaannya memang begitu, apabila mula berkawan dan berjumpa rakan-rakan sebaya.

Tetapi cuba semak di rumah. Jika kita ada mengeluarkan dialong, “Eleh, itu pun nak menangis. Macam budak perempuan.” Lagi, “Apa yang jalan macam sotong tu, cuba jalan tegak sikit badan” dan banyak lagi ayat menyindir lain. Kemungkinan besar, mereka juga belajar mengejek dari rumah.

Kenapa budak-budak mengejek? Haa, ini soalan yang baik. Kadang-kadang, dah tak ada kawan nak diejek, adik beradik sendiri pun boleh jadi bahan, kan? Jadi antara penjelasannya,

1. Cubaan Berdikari (kemahiran sosial)
Kanak-kanak akan sentiasa mencuba perkara baharu setiap hari sebagai persediaan untuk mula berdikari. Salah satu daripada kaedah mereka belajar berdikari adalah dengan ‘mengejek’.

Mereka mengejek rakan-rakan untuk melihat respon balas dari mereka dan mengetahui sejauhmana perkataan-perkataan tertentu memberi impak kepada emosi manusia.
Mereka ‘mengukur’ had kepada kata-kata yang dilontarkan.

Dari reaksi rakan-rakan ini mereka belajar kata-kata yang boleh mengubah emosi rakan-rakan. Kata-kata yang menyebabkan marah, sedih, kecewa, menangis, ketawa, gelak terbahak-bahak, semuanya diukur dan dijadikan ‘standard’ apabila mereka meningkat remaja dan dewasa.

2. Rasa Keistimewaan (kumpulan)
Mengejek digunakan untuk mengasingkan mereka yang ‘tahan lasak’ dengan mereka yang ‘hati tisu’.
Berada dalam kumpulan yang berkuasa atau glamor di sekolah adalah impian kanak-kanak. Perasaan 'geng bas sekolah’ itu sangat mengujakan mereka.

Maka, untuk memilih siapa yang layak berada bersama kumpulan mereka, ejekan digunakan sebagai ‘ujian penapisan’. Mereka yang ‘tebal telinga’ secara automatik dianggap layak berada dalam kelompok ‘pelajar kool’ sekolah.

3. Perlu Perhatian
Jika mereka hanya duduk diam, tiada siapa akan mempedulikan mereka. Maka, cara paling mudah adalah dengan mengejek adik sendiri.

Sebagai contoh, apabila Iman mengejek, adik akan mula bising,
“Mama, tengoklah Iman ni, dia kacau Zahraa!” Automatik mama yang penyayang akan pergi pada Iman dan menasihati, “Iman, kenapa ejek adik. Tak eloklah ejek-ejek orang. Nanti, semua orang tak suka kawan. Tak mahu ejek ye,” sambil menggosok belakang badan Iman.

Maka, Iman pun berjaya mendapat perhatian yang dikehendaki. Misi peribadi berjaya!
________

Sekarang, kita dah tahu, mengapa budak suka mengejek, jika kita diejek rakan anak-anak,
“Mak kau ijau!”

Kita akan lebih kool dan rileks tanpa bertukar warna. Haha..

‪#‎drMAK‬
‪#‎BudakKripton‬

Tuesday, 1 September 2015

(79) Diejek Di Sekolah, Bapa Ajar Taktik

Abah fokus mengorek isi ketam masak lemak yang sangat tebal. Sedap. Anak-anak sibuk bermain kepit ketam masing-masing. Bagi budak-budak, kepit yang tiada isi itu pula yang lebih menarik.

“Abah, tadi kat sekolah, kawan Iman ejek. Diorang ejek Iman ramai-ramai.” Mengadu sambil bersusah payah menghisap isi di dalam penyepit ketam.

“Diorang ejek Iman apa?” Mengalih pandangan dari ketam yang tergolek dalam pinggan.

“Iman tak usik diorang pun. Diorang kata Iman kentut busuklah. Apalah. Macam-macam lagi merepek.” Berkerut wajah tidak puas hati.

“Ala Iman, memang semua orang kentut busuk pun. Mana ada yang wangi. Rilekslah.” Tenang menjawab.

“Esok, mesti diorang ejek Iman lagi.” Kelihatan runsing di wajah. Memikirkan kejadian sama akan berulang esok.

“Macamni Iman. Kalau diorang ejek lagi. Iman pandang diorang, kembangkan hidung, muncungkan mulut, buat macam hidu bau busuk. Selepas tu, Iman pusing, terus pergi tempat lain”.

Pecah gelak tawa di meja makan melihat memek muka abah menunjukkan contoh.

______

Esoknya,

“Abah! Jadilah cara abah ajar semalam. Kawan Iman pelik pastu terkejut tengok muka Iman. Diorang terdiam. Terus Iman pergi. Diorang tak kacau dah.” Senyum puas.

“Bagus. Macamtulah. Iman kool je. Diorang tergamam tu, tak tahu nak balas apa.” Abah menepuk bahu.

‘Nasib baik menjadi’, getus hati.



>>>

Ejek mengejek ini memang biasa berlaku di sekolah. Sejak zaman P.Ramlee pun dah ada. “Ini kepala bapa kau, ini kepala bapa dia, sekarang pijak,” kata-kata batu api dalam filem Do Re Mi.
Siapa yang tak bengang bila nama bapa atau mak diejek-ejek. Sanggup bertumbuk demi mempertahankan maruah.

Ejek atau usikan ni terbahagi kepada dua jenis. Ada yang sihat dan ada yang sakit. Usikan yang sihat boleh mengeratkan hubungan. Contoh, “Karipap ni sikit sangat, esok bawalah lebih ye.” Usikan sebegitu tanda persahabatan yang erat. Ejekan yang menyakitkan tidak perlu pada contoh, terlalu banyak.

Apa yang menyebabkan ada kanak-kanak suka mengejek?

1. Perhatian – Mereka mahu dilihat. Dirasai kehadiran di kalangan rakan-rakan. Bagi mereka, perhatian negatif (tindak balas dari yang diejek) lebih baik daripada tidak diberi perhatian langsung.

2. Meniru – Mereka kerap diejek oleh adik beradik yang lain atau cara layanan ibu bapa yang kasar dan mempelekehkan mereka di rumah.

3. Kuasa – Mereka ingin rasa berkuasa atas sesuatu. Menjatuhkan orang lain membuat mereka rasa berkuasa.

4. Penerimaan – Mereka mahu diterima oleh kumpulan yang paling popular di sekolah. Kebiasaannya kumpulan popular di sekolah adalah sekumpulan pelajar yang membuli pelajar lain.

5. Perbezaan – Mereka masih tidak memahami perbezaan. Melihat rakan yang ‘istimewa’, mereka hanya nampak ‘keanehan’ yang boleh diketawakan.

Ibu bapa tidak perlu melatah dalam hal ejek mengejek ini (pergi ke sekolah dan pukul pengejek, Jangan!). Yakin bahawa anak kita mampu mengendalikan situasi ini. Ini adalah cara mengasah kemahiran sosial yang sangat diperlukan bila dewasa nanti. Apa yang perlu dilakukan, ajari mereka cara mengendalikan ejekan.

Antara strategi yang boleh diajar;

1. Fikir, betul atau tidak apa yang diejekkan? – Jika betul, apa nak dimarahkan, rileks je terima. Jika salah, lagilah tak perlu peduli. Tiada kesan apa-apa pada kita. Pendek kata, “Rileks sudah.”

2. Buat selamba – Muka ‘stone’ boleh menyebabkan pengejek lemau. Reaksi membalas dengan kemarahan akan menggalakkan ejekan, maka, buat ‘toye’ sudah.

3. Aura Pelindung – Ini mungkin kelihatan kartun sedikit. Tetapi boleh dicuba. Beritahu anak, bayangkan mereka ada pelindung sekeliling mereka, ala-ala duduk dalam balang kaca. Apabila diejek, semuanya akan terpantul. Seperti Superman tak lut peluru.

4. Kejutan – Balas dengan ‘punch line’, “Haah, memang kentut aku busuk. Bapa aku pun cakap macamtu.” Senyum (ini penting) dan pergi.

Pengejek perlukan reaksi balas dari anak kita untuk ‘berjaya’. Melihat emosi anak kita ‘tidak lut’ akan mengecewakan mereka. Anak kita tidak akan dicari lagi.

Berbalik kepada kisah tadi, apa yang berlaku adalah ‘element of surprise’, kejutan yang berlaku menyebabkan pengejek terkaku sebentar. Belum sempat mereka pulih dari ‘frozen’, anak kita telah berlalu pergi. Kool!

:)

#drMAK


______
Kredit kepada Freedman, Judy S. (1999, Spring). Easing the teasing: How parents can help their kids cope. EARLY CHILDHOOD.

Friday, 24 July 2015

(60) Bila Hati Telah Hitam!

Kau senior,
Kau rasa kau paling besar,
Kau paling sasa,
Sampai lupa yang Maha Esa.


Dendam kau genggam sampai lebam,
Kesumat kau gelap seperti malam,
Hambur kata tidak bersalam,
Bongkak seolah diri takkan padam.

Kau pandang manusia seakan sampah,
Kau pijak lumat sebesar zarah,
Kau pukul jasad parah,
Tidak henti walau tumpah berdarah.

Ini bukan engkau,
Ini syaitan memperkuda amarah,
Bila kau sedar dari sasau,
Malaikat maut berlalu sudah.

#drMAK