Pages

Penulis di Facebook

Showing posts with label kucing. Show all posts
Showing posts with label kucing. Show all posts

Friday, 4 December 2015

(101) ‘Crunchie’ Bukan Untuk Dijual

“Hmm.. geramnya Crunchie ni, gebu sangat. Kalau jual ni, berapa boleh dapat kot yang..”

“Huih, mahal kucing parsi ni bang. Hari tu tengok di Petworld DePulze Cyberjaya, kucing macamni harga seribu lebih..”

Zulfa memasang telinga mencuri dengar perbualan mama dan abah.

“Zulfa, kita jual nak Crunchie ni. Boleh dapat duit seribu lebih.” Angkat kening bertubi-tubi.

“Hee, taknaklah, sayanglah Crunchie.” Muncung bibir.

“Ok, Zulfa suka ipad kan? Duit jual Crunchie, kita beli ipad. Nak tak?”

Dia mula memusing-musing bucu baju.

“Memanglah Zulfa suka ipad. Tapi Zulfa sayang Crunchie.”

Dia merangkul Crunchie dari pangkuan abah.

“Takpelah Zulfa takde ipad pun, Zulfa nak Crunchie”. Memeluk ketat Crunchie yang selesa di pangkuan.

Datanglah mengada-ngada Crunchie tu. Nyampah.

>>>

Abah menarik nafas panjang. Lega Zulfa lulus ujian. Dia sudah faham ada yang lebih berharga daripada ipad.

Zulfa mula mengenali kucing sejak berumur 3 bulan lagi. Sejak itu, haiwan kesayangan Nabi itu tidak pernah putus menghuni rumah ini. Ada yang hilang tak kembali. Ada yang mati depan mata.
Tetapi tidak lama, sudah pasti ada pengganti.

Ketika membuat keputusan membela kucing, memang niatnya cuma satu, agar mereka faham erti memberi kasih sayang.

Apa bagusnya kucing di dalam rumah?

1. Harga Diri

Kucing adalah peneman yang baik. Mereka membalas semula kasih sayang tanpa prejudis. Pernah lihat kucing menjauhi budak gemuk dan pilih budak kacak? Pernah lihat kucing lari dari budak comot dan pilih budak cantik?

Mereka tidak memilih untuk bermanja dengan budak yang comel sahaja. Mereka bermanja dengan semua kanak-kanak. Siapa sahaja.

Dalam satu kajian, kucing didapati membantu meningkatkan harga diri kanak-kanak istimewa. Kanak-kanak istimewa biasanya dibantu untuk melakukan sesuatu menyebabkan mereka berasa rendah diri.

Tetapi kehadiran kucing yang menggesel kaki dan meminta makanan menyedarkan mereka bahawa ada hidupan lain yang perlukan bantuan mereka.

Kucing seolah berkata, “Awak sahaja yang boleh membantu saya, tolong berikan saya makanan.” Perasaan dapat membantu, meningkatkan harga diri mereka.

2. Tanggungjawab

Sikap bertanggungjawab tidak hadir tiba-tiba dalam diri anak-anak. Mereka perlukan amalan praktikal untk belajar mengambil berat tentang sesuatu perkara.

Ibu bapa boleh menunjukkan bagaimana cara bertanggungjawab dengan memberi makan kucing dan menguruskan kesihatan kucing.

Istimewanya kucing, ia mengajar kita menjalin hubungan dulu, baru kemudiannya menjalankan tanggungjawab, kerana kucing tidak suka kepada orang asing.

Dalam Kajian Dr. Melson kepada kanak-kanak berumur 3 tahun ke atas, beliau mendapati, dalam tempoh 24 jam, kanak-kanak yang memiliki kucing memperuntukkan 10.3 minit untuk menjaga kucing secara aktif berbanding 2.4 minit sahaja yang diperuntukkan untuk menjaga adik-adik secara aktif (bermain bersama tidak dikategorikan sebagai menjaga).

Ini menunjukkan aktiviti menjaga kucing lebih melatih sikap bertanggungjawab.

Tambah Dr. Melson, memelihara kucing lebih penting untuk anak lelaki kerana ianya tidak kelihatan ala ‘keperempuanan’ seperti bermain susukan bayi, main rumah-rumah, atau main anak patung.

Menjelang umur 8 tahun, anak perempuan lebih terlibat dalam penjagaan bayi (adik mereka) berbanding lelaki. Namun, untuk penjagaan kucing kedua-dua gender masih boleh terlibat sama.

3. Redha

Sedia maklum, kucing mempunyai umur yang lebih pendek dari manusia. Kebiasaannya, pengalaman pertama anak-anak berhadapan dengan kematian adalah apabila perginya kucing tercinta.

Mereka belajar untuk bersedih dan menerima hakikat setiap yang hidup pasti akan mati. Apabila jenazah kucing mereka diuruskan dengan baik, ini adalah pengalaman yang tidak ternilai buat mereka. Mereka belajar untuk redha. Mereka lebih tenang menghadapi peristiwa sama pada masa akan datang.

4. Pembelajaran

Pernah tak melihat anak yang obses dengan kucing? Mereka membacakan buku kepada kucing, tidur bersama kucing, berkelubung selimut dengan kucing, dan main bawah katil dengan kucing.

Menurut Dr. Mary Renck Jalongo, Profesor bidang pendidikan di Indiana University of Pennsylvania, kucing boleh membantu kanak-kanak untuk belajar. Dalam satu studi, kanak-kanak diminta untuk membaca di hadapan rakan-rakan, orang dewasa, dan kucing. Pengkaji mengukur tahap stress mereka dan mendapati kanak-kanak sangat rileks bersama haiwan dan tidak manusia.

Bayangkan anak anda yang masih merangkak-rangkak membaca dan kita berkata, “Jom ambil buku dan baca.” Kita duduk di hadapan. Sudah pasti itu bukan sesuatu yang menarik untuk mereka, berbanding membaca sambil memeluk kucing tanpa sesiapa melihat. Mereka boleh membaca perlahan-lahan tanpa stress.

5. Ketenangan

Dr. Melson bertanya kepada kumpulan kanak-kanak berumur 5 tahun yang memiliki kucing, apa yang mereka lakukan apabila mereka berasa sedih, marah, takut, atau mempunyai rahsia untuk dikongsi.

Lebih 40% secara spontan mengatakan mereka luahkannya pada haiwan peliharaan. “Kanak-kanak yang mendapat sokongan dari haiwan peliharaan dikatakan kurang risau dan kurang merasa tersisih hasil pemerhatian ibu bapa masing-masing.”

6. Hubungan Kekeluargaan

Kucing mampu menyatukan seluruh keluarga. “Apabila ditanya pada kanak-kanak dan ibu bapa adakah kucing adalah sebahagian dari keluarga mereka? Kebanyakan kelihatan terkejut dan hampir melenting kepada soalan itu,” kata Dr. Melson. Kebanyakan akan menjawab, “Mestilah!”

Menjaga kucing kebiasaannya adalah aktiviti yang dikongsi oleh seisi keluarga. Memberi makan, menyikat bulu, melihat mereka berkejaran sesama sendiri, menonton mereka mengejar guli di atas lantai.

Memperuntukkan masa begini menawarkan peluang untuk meredakan ketegangan dalam dunia yang serba memenatkan ini.

Jika orang melihat, pasti ada yang akan bertanya, “sedang buat apa tu?”, dan kita pasti menjawab, “tak buat apa..”

Tetapi dalam zaman anak yang tidak berhenti dengan pelbagai aktiviti dan ibu bapa yang sentiasa sibuk dengan pekerjaan, “tak buat apa” boleh menjadi perkara yang paling penting untuk dilakukan.
:)

#drMAK
#BudakKripton

p/s: Jika terdapat alahan dan sebagainya. Membela kucing mungkin tidak sesuai, dapatkan nasihat doktor berhampiran rumah anda.

Wednesday, 18 February 2015

(22) Abah pernah merangkak tak?

Sedang tertonggeng-tonggeng mengintai anak kucing yang baru belajar merangkak di bawah katil.

Tengok kucing merangkak pun boleh khayal!


Iman tiba-tiba menyoal dari belakang, "Abah pernah merangkak tak masa kecik dulu?"

"Mestilah pernah Iman. Takkanlah abah terus berjalan je." Tergelak kecil. Soalan tak logik, tapi itulah budak.

Dalam tertawa, fikiran jauh melayang. Monolog.

>>

Bukan dulu je Iman. Ikutkan, sekarang pun abah masih merangkak Iman.

Dulu, merangkak untuk berdiri.
Sekarang, merangkak untuk membina legasi.

Dulu, masa mula nak merangkak, bersusah payah mencari kerusi sofa untuk pegang berdiri.
Sekarang, nak mencapai impian perlu bersusah payah, mencari sokongan membina potensi diri.

Dulu, masa mula merangkak, ramai yang suka. Ramai yang bertepuk tangan memberi semangat.
Sekarang, bukan semua orang suka. Jika jatuh, lebih ramai bertepuk tangan.

Dulu, jika tersungkur ke lantai, ada opah tolong angkatkan.
Sekarang, jika terjatuh, doa opah yang boleh membangkitkan.

Dalam hidup, setiap satu pusingan, kita akan merangkak semula Iman.
Masa kecil.
Masa kanak-kanak.
Masa remaja.
Masa dewasa.
Masa tua.

Kita sentiasa merangkak sebelum berlari.
Merangkak bukan bermakna kita orang lemah Iman.
Merangkak bermakna kita orang normal.
Kerana tidak ada orang yang terus berlari.

>>

Oh! hanya monolog rupanya.
Takpelah Iman, satu hari, Iman akan faham,
Bila baca ini.

~Ammar Muhamad~
#drMAK

Monday, 27 October 2014

(13) Saat paling menyedihkan bagi pemilik kucing!

[Kenapa aku menitiskan airmata]

Teruskan membaca, jika anda suka atau peminat kucing.

~3/9/14~

Jiran sebelah rumah memberi seekor anak kucing yang baru sahaja kematian ibu. Ketika itu, dari 7 beradik, 3 telah mati, 3 masih sihat, dan seekor sedang nazak. Kami setuju ambil yang sihat. Zulfa namakannya blackie, kerana warnanya yang kehitaman, walaupun ada sedikit campuran coklat.
Walaupun sihat, seekor anak kucing yang baru berusia 2 minggu bukannya mudah dijaga. Makan, minum, buang air besar dan kecil, semua perlu diperhati.

Blackie sangat istimewa, hanya sehari latihan, dia telah mampu buang air di tempat sepatutnya. Kami lega. Makan dan minum lebih mudah. Dia makan apa saja yang disua. Kadangkala, dia boleh tertidur di mangkuk makan (gambar).



Blackie membesar dengan sihat. Dia sangat suka bermain dengan jiggy yang 10x lebih besar saiznya. Datang geram jiggy, jika digigit, berdecit dia kesakitan. Kemudian, main semula. (gambar)


Disebab tak pernah dapat kasih sayang ibu, jiggy kucing jantan dianggap maknya. Dia suka tidur di atas badan jiggy yang berbulu tebal itu. Mungkin karpet pakistan perasaannya. (gambar).



Minggu lepas, blackie diserang kurap. Walaupun disapu ubat, tak sampai seminggu, kurap telah merebak ke keseluruhan badan. Kurapnya dicuci dengan ubat sehingga tanggal. Kemudian disapu ubat pada luka. Namun, hari demi hari, tiada tanda positif pemulihan.

Malam tadi, selepas JDT vs Felda (aku membelai blackie sambil menonton tak dirancang), dapat dirasa, terdapat kelainan pada dirinya. Keadaannya semakin lemah. Bangun melangkah, rebah. Bangun lagi, rebah. Mengiau tersangkut di kerongkong, tak sampai ke telingaku. Seksa dia. Mata telah mula kuyu. Perut tidak lagi buncit.

Ketika nak masuk tidur, aku memandang blackie yg duduk di birai pintu. Aku tak boleh benarkan dia masuk. Jika mengiau, mengganggu tidur. Tinggal saja dia dikuar. Bercakap dengannya, "Esok, kita makan ubat lagi ye". Hari ini. Pagi ini. Aku bangkit awal seperti selalu. Melihat dia masih di pintu. Getus hatiku, "Biarlah, nanti dah solat baru tengok". Usai solat, aku menjenguk blackie di celah kerusi makan. Senyap. Aku tolak badan. Senyap. Usik kepala. Senyap. Aku tak sedap hati. Aku angkat, "nyiauu".. Alhamdulillah.. masih hidup.. tapi sangat lemah.. Aku tatang blackie ke dapur, sangka dia mungkin nak minum.. dirikan di tepi mangkuk air.. tersembam.

Segera capai picagari, masukkan air, buka mulutnya, suapkan air. Semuanya mengalir keluar. Penolakan. Apa lagi. Fikir lagi. Ambil ubat yg Dr. kata vitamin. Cuba suapkan, juga mengalir keluar.
Kejutkan isteri dan anak-anak. Aku bisik "Blackie Nazak". Semua bingkas bangun. Semua di dapur. Kelilingi dia yg terjelepok. Panggil namanya, masih menyahut, "Nyiauu".. mata pejam..
Aku balut dengan kain dan lihat pernafasan di perutnya. Lemah. Lemah. Lemah. Semakin lemah.
Aku tatang kepala dan badan. Tiba-tiba, terkulai kepalanya. Pandangan matanya kosong.
Blackie dah tiada. Aku maklumkan anak-anak. Semua dah mula kemerahan mata.

Pengkebumian.
Aku gali seluas yang boleh. Supaya tidak siksa badannya. Dalam menggali, aku cuba tidak fikir apa-apa, supaya tiada emosi. Sesudah siap lubangnya, Zulfa, Iman, dan Zahraa mengiringi pengebumian. Aku timbus perlahan. Selesai. Aku sangka, berjaya. Tiada airmata.
Tiba-tiba, zahraa hulurkan pokok kertas, penanda kubur blackie. Aku cucuk. Baru baca. (gambar).

=========================
Assalamualaikum Blaky,
Semoga berseronoklah di syurgamu bersama ibumu.
Dan berdoalah untuk kami, zulfa, mama, abah, iman, dan zahraa, jiggy dan adik beradikmu.
Kami sayang blaky, jangan lupakan kami.
Terima kasih.
Zulfa, Zahraa, Iman, Abah, mama, jiggy, love Blaky.
=========================



Aku tewas. Ini bukan doa biasa, ini doa keyakinan anak-anak pada Allah. Serentak aku tewas, mereka juga tewas.

Aku tak pernah menulis panjang sebegini. Tapi, aku menulis hari ini, supaya ada tercatat peristiwa ini, untuk anak-anak kenang bila mereka dewasa nanti. Jika sekarang yakini Allah, mudah-mudahan anak-anakku yakini Allah ke hujung nyawa.

~Semoga Allah suburkan kasih sayang dalam diri semua anak-anak rakan-rakan yang membaca~
Kongsikan, supaya doa anak-anak saya untuk Blaky diaminkan ramai.

~26/10/14~