Pages

Penulis di Facebook

Thursday, 20 October 2016

(128) Gunakan Ular, Meningkatkan Keberanian atau Menambah Trauma?

Kisah ‘fear factor’ budak-budak diuji keberanian dengan dicampakkan ular ke dalam kolam buatan menyebabkan saya membelek semula tesis yang ditulis tahun lepas.

Kebetulan saya pernah membaca, bagaimana teori Albert Bandura digunakan untuk ‘mengawal’ fobia seseorang kepada ular.

Ular! Sebut pun dah meremang bulu roma. Bukan semua orang boleh dengan senang hati menyentuh reptilia berkulit sejuk dan mata tajam ini.

Jika tidak kerana takut sekalipun, orang tidak menyentuh makhluk ini kerana ada yang rasa menggelikan.

Senang cerita, jika tiada sebab kukuh, kebanyakan kita pasti memilih untuk biarkan saja ular itu dengan ketenangannya menyusur akar.

Bandura memperkenalkan istilah 'self-efficacy' (efikasi kendiri) yang lebih mudah difahami sebagai kepercayaan seseorang kepada kebolehan diri mereka untuk melakukan sesuatu.
Mudah faham lagi, Yakin Boleh!

Bandura merumuskan, empat (4) perkara yang boleh mempengaruhi persepsi seseorang untuk akhirnya berasa, saya boleh!

i) Pengalaman merasai sendiri
(Mastery experience)

ii) Pengalaman melihat orang lain melakukan (Vicarious experience)

iii) Pujukan sosial (Social Persuasion)

iv) Keadaan emosi (Emotional State)

Dalam isu ular ini, jika penganjur mahu melatih keberanian dalam diri budak-budak itu, keempat-empat faktor ini sebaiknya diambil kira.

Bayangkan senario begini,

Apabila dicampakkan ular secara mengejut, mestilah emosi budak-budak itu rasa terganggu. Seolah-olah disuruh berlari sebelah menyebelah dengan singa di savannah Afrika.

Emosi takut tahap kalut gila babas takkan membolehkan mereka berfikir secara normal. Memang huru-hara jadinya.

Penyudahnya, bukan keberanian yang mereka dapat. Fobia pula yang bertambah, malah bonus dengan Trauma sekali.

Cadangan,

Penganjur boleh bermula dengan membawa seekor ular yang ‘kelihatan’ tidak ganas atau tergolong dalam golongan ular tidak berbahaya (jika asyik berdesir je lepas tu jelir-jelir lidah, seram juga wei!).

Saiz ular digunakan mungkin kecil dan sesuai dipegang oleh kanak-kanak (bawa ular sawa ukur lilit macam batang kelapa, saya pun pengsan!).

Letakkan saja ular itu pada satu tempat dan jurulatih sendiri boleh tunjukkan betapa ‘mesranya’ ular itu melingkar di pergelangan tangan mereka (macam yang di zoo selalu buat tu. Suka hati ular tu nak masuk dalam baju keluar ikut bawah seluar ke, terpulang!).

Biarkan kanak-kanak ini memerhati. Inilah dipanggil ‘vicarious experience’ (pengalaman melihat dengan mata sendiri).

Apabila menyaksikan sendiri jurulatih berada dalam keadaan selamat dari dibelit atau dipatuk ular, kepercayaan kanak-kanak ini akan meningkat sedikit dan mula menerima bahawa ular tidaklah sangat membahayakan seperti digambarkan dalam cerita Anaconda atau ‘Snake on Flight’.

Tetapi jika secara tiba-tiba ular mematuk jurulatih dan kemudian pengsan. Memang tamat di situ sajalah modul itu (yang pasti masa itu, budak-budak dah bertempiaran lari!).

Selepas jurulatih berjaya menunjukkan contoh, cari kanak-kanak yang paling berani. Jika boleh, budak yang sukarela mahu pegang ular itu.

Apabila kawan sebaya mereka yang berani ini berjaya mengendalikan ular itu dengan baik, kepercayaan mereka akan naik setahap lagi kepada, “eh, mamat tu boleh, takkan aku tak boleh.”

Ini juga adalah ‘vicarious experience’, malah impaknya lebih tinggi kerana dilakukan oleh budak yang sebaya dengan mereka. Semasa jurulatih buat tadi, mereka mungkin akan kata, “Elleh, orang dewasa bolehlah!”

Sambil rakannya bermain dengan ular, jurulatih boleh mula memberikan fakta-fakta menarik tentang ular yang mungkin jarang diketahui oleh kanak-kanak.

Contohnya, tidak semua ular berbisa dan membahayakan. Untuk menyokong kata-kata jurulatih, fakta di dalam buku seperti ensiklopedia boleh ditunjukkan.

Kanak-kanak akan mula menerima logik apa yang diceritakan dengan apa yang disaksikan di hadapan mata. Ketika ini, jurulatih boleh mula meyakinkan mereka (bercakap) bahawa mereka juga boleh menyentuh ular tanpa sebarang risiko. Pengalaman ini dinamakan ‘social persuasion’.

Selepas melihat sendiri, mengetahui fakta, dipujuk pula dengan contoh di depan mata, keadaan emosi kanak-kanak ini akan berkurang dari ketakutan kepada ‘curiosity’ (ingin tahu).

Ketika ini, mereka berada dalam ‘emotional state’ yang stabil dan kemungkinan mula mahu mencuba.

Apabila mereka membuat keputusan untuk memegang ular dan merasai sendiri pengalaman itu, peristiwa memegang ular tanpa sebarang insiden menakutkan akan menjadi ‘mastery experience’ pertama kanak-kanak ini.

Pengalaman pertama yang berlangsung dengan baik, akan meningkatkan keyakinan kanak-kanak ke tahap tertinggi dan mereka dengan yakin akan berkata, “Saya dah cuba dah. Memang ok je. Tak jadi apa pun. Sempoi weh!” lebih kurang begitulah kata-kata poyo, budak yang sudah terlebih yakin.

Apa pun, kanak-kanak itu sudah dapat keberanian yang cuba diterapkan dalam diri mereka.

Walaupun begitu, tiada yang salah dengan emosi takut. Ketakutan memang diciptakan Tuhan untuk manusia menjaga keselamatan diri. Ia bukan sesuatu yang perlu dihilangkan. Ia adalah sesuatu yang perlu dikawal.

Ketakutan masih diperlukan di tempat tertentu. Jika ular tedung selar warna hitam dengan tengkuk mengembang seperti kuali masuk ke dalam rumah dan anak-anak kita masih duduk selamba siap "chut, chut, chut" seperti panggil kucing. Itu sudah pasti sangat membahayakan.

Ketika itu, ketakutan memang perlu ada sebagai mekanisme pertahanan diri.

Saya sebenarnya tidak nampak kaitan antara keberanian berhadapan dengan ular dapat menaikkan motivasi menuju kejayaan (kecuali memang mahu mencipta rekod dunia, tidur bersama ular).

Mungkin ada kajian, kebanyakan orang berjaya hari ini, tidak takut ular!
Entah!

#BudakKripton

https://www.facebook.com/ammarkamilin

Friday, 14 October 2016

(127) Ayah Pening Melayan Anak Terlalu Rapat Dengan Geng BFF

“Tengah hari ini, abang ambil Zulfa boleh? Tak larat lagi rasanya ni.” Mengusap perut yang masih senak keracunan makanan.

“Hmm, ok. Ambil Zulfa saja kan?” Bangun lemah dari sofa mencari kunci di bilik.

“Biasanya, geng BFF dia akan ikut sekali. Dalam 6 orang semuanya.” Serentak dengan sebutan BFF, terpacul ketawa kecil dari mama.

“Oo, yeke. Itu yang segan tu. Takpelah, nanti abang ambil semua sekali.” Mula membuka pintu rumah dan melambai pada mama tanda sudah mahu pergi.

_____

Titit! Pintu kereta bahagian tepi automatik menggelongsor dan terbuka. Sekumpulan kanak-kanak perempuan terjengul di muka pintu untuk masuk.

“Abah, kawan-kawan Zulfa ajak abah pergi Petronas. Dia orang nak beli makanan sebelum masuk kelas petang ini.”

Tersenyum-senyum menyampaikan pesan mohor besar kawan-kawan sebaya yang ramai-ramai berdiri di belakang dengan senyuman manis seperti mahu bernasyid. Aduh, kalah abah begini.

“Yelah, jom masuk dulu.”

Seronok mereka tolak menolak mengambil tempat duduk. Bergerak saja kenderaan, mereka sudah mula becok bersembang satu sama lain.

Menambah lagi kegamatan, boleh pula beramai-ramai menyanyikan lagu Harris J yang berjudul ‘I Promise’ itu. Abah pun apa lagi, turut serta jadi Harris K (sebab lepas huruf J, huruf K. Ok, tak lawak.)

Sampai saja Petronas, semua sudah tidak sabar mahu turun.

“Ok, ada duit ke masing-masing nak pergi membeli ni.” Berpusing ke belakang bertanya.

“Ada!” Masing-masing sudah bingkas bangun dan turun dari kereta.

“Zulfa, mari sini sekejap. Nah, ambil duit ini. Bayar untuk semua kawan-kawan nanti.” Bertutur perlahan tanpa didengari oleh kawan-kawan lain.

Tahu-tahu mereka sudah kecoh di luar kereta, “Yeay! Abah Zulfa belanja weii!”

Lalu bergerak berbondong-bondong masuk ke kedai Mesra seperti mendapat Dinar emas dari Ali Baba.

Habis membeli, masuk semula dalam kereta, masing-masing tersenyum simpul. Seronok sungguh bersama ais krim masing-masing.

Senyap sebentar. Ais krim dah penuh dalam mulut, mana nak dengar nyanyian lagu Harris J lagi. Lega telinga.

“Ok, kita dah sampai KAFA. Belajar elok-elok ye semua.”

“Terima kasih pakcik.” Seorang demi seorang bergilir-gilir turun sambil mengulang ucapan yang sama.

>>>

Jika tidak kerana mama Zulfa tak dapat nak ambil di sekolah tengah hari itu, memang abah tak pernah berpeluang nak kenal dengan geng BFF Zulfa.

Orang selalu cakap, susah jaga anak perempuan ni. Baik jaga lembu sekandang daripada anak perempuan seorang.

Bukan nak maksudkan anak perempuan tu lembu. Tidak sama sekali. Anak perempuan ni susah nak jaga kerana perlu cermat dan berhati-hati. Jiwa mereka halus. Fizikal mereka pun lembut. Bukan boleh dikasari sesuka hati.

Anak lelaki kalau kena rotan pun, steady lagi buat badan macam ‘Son Goku’ ala-ala kebal ada power. Anak perempuan ni, cubit sikit pun, kulit dah merah 3 hari tak hilang macam kena ruam.

Anak perempuan yang dah masuk awal remaja ni, kawan-kawan mereka memang ‘nyawa’ mereka. Fasa inilah wujudnya puak-puak bertelagah seperti geng BFF ke, geng cemolot ke, geng hug ketat-ketat ke, apa-apa geng sajalah.

Yang pasti, tujuannya adalah berkongsi minat, hobi, suka duka persekolahan dan mungkin ada yang dah mula cenderung ‘aku suka budak tu’, ‘kau suka siapa?’ atau apa saja persoalan yang menjurus kepada hati dan perasaan.

Fasa ini, jika mama dan abah tak kamceng sebagai kawan. Memang jawabnya banyak rahsia yang terpendam. Banyak perkara yang akan ketinggalan.

Semua rahsia hanya diceritakan pada kawan, kerana abah dan mama dilihat tidak ‘sehati sejiwa’ dengan mereka (bukan ke ini slogan hari kemerdekaan, macam mana boleh sampai sini).

Memang abah syukur sangat dapat kenal kawan-kawan Zulfa. Baik-baik semuanya. Siapa ada anak perempuan memang tahulah perasaan ini. Kita akan rasa tenang apabila anak perempuan berkawan dengan rakan-rakan yang tahu hormat orang tua.

Memang nampak kolot. Tetapi, dalam zaman ramai budak yang cakap main lepas sekarang ini, jika terselit yang berbudi bahasa, kita patut sujud syukur dua rakaat (jangan ikut pulak, mana datang sujud syukur ada rakaat).

Oh, bercerita tentang anak-anak yang mempunyai BFF, Amanda Rose penyelidik dari Miami University mendapati, kewujudan geng BFF ini boleh menjadi penyebab kepada kemurungan anak-anak.

Kemurungan itu boleh berlaku disebabkan oleh apa yang dipanggil co-rumination (tiada kaitan dengan ramen atau kamen rider).

Co-rumination ini bermaksud, perbuatan anak-anak yang sentiasa bercerita masalah dan perkara negatif dengan rakan-rakan. Mereka berkongsi masalah masing-masing namun berkisar kepada gosip, rungutan, komplen dan tiada langsung membincangkan cara penyelesaian.

Cerita-cerita negatif ini menyebabkan fikiran dan emosi mereka bertambah teruk. Jiwa yang kacau mengakibatkan kemurungan.

Namun, geng BFF ini, ada juga kesan positifnya.

Menurut kajian di University of Virginia diketuai oleh Joseph P. Allen dalam ‘Psychological Science’, Jurnal yang diterbitkan oleh Association for Psychological Science.

Anak-anak yang mempunyai geng BFF didapati;

1. Boleh menjadi orang dewasa yang mempunyai kesihatan yang lebih baik.

2. Boleh menjadi orang dewasa yang kurang stress.

Ini disebabkan interaksi sosial yang mengajar mereka tentang perbezaan keperluan setiap individu yang pelbagai ragam dan pengalaman mendahulukan keperluan rakan lain melebihi kepentingan sendiri apabila berada dalam kumpulan (geng).

Pengalaman ini membolehkan mereka lebih fleksibel dan bertolak ansur apabila menjadi orang dewasa.

Malah, Allen turut menjangkakan, anak-anak yang menghadapi masalah untuk mencari rakan baik mempunyai risiko mengalami masalah kesihatan (stress, depression, anxiety) apabila mereka menjadi orang dewasa.

Namun kedua-dua kajian hanya dapatan kepada sejumlah kecil remaja dan tidak mewakili remaja secara keseluruhan (kajian dijalankan di US).

Walau apapun, untuk melepaskan anak-anak bebas berkawan, ibu bapa dicadangkan cakna dengan siapa anak-anak menjalinkan hubungan.

Sebarang perubahan tingkah laku, perlu diperhatikan dan dihulurkan sokongan emosi untuk mengelakkan mereka mengalami tekanan atau kemurungan.

>>>

“Geng BFF Zulfa, Jom Wefie.”

“Yeayy! Sporting aah, abah Zulfa (abah kripton).”

'Dah dapat ais krim. Memanglahhh...'

#BudakKripton

Tuesday, 29 March 2016

(126) #Pray4Turkey

Di Turki itu,
Tidak ada keluarga saya.
Tetapi mereka saudara kita.
Saudara seIslam.

Sama seperti di Syria.
Di Palestin, di Gaza.

Kesejahteraan mereka,
Kebahagiaan kita,
Keamanan dunia sejagat.

Sempena hari Jumaat yang mulia.
Zahraa lukis ini.



Zahraa mohon sampaikan mesej ini kepada seluruh rakyat Malaysia.
Sama-sama berdoa untuk mereka.
‪#‎Pray4Turkey‬

>>>

Tuan Khairul Hakimin Muhammad, Zahraa nak join Ain.
Dia kata nak ada semangat macam Ain.
Terima kasih kerana memulakannya.

Monday, 28 March 2016

(125) Satu Hari, Abah Akan Jadi Penulis

Cikpuan editor mohon semak pruf akhir buku sebelum boleh dihantar ke kilang untuk cetakan.

Saya kurang yakin untuk menyemak dalam komputer. Lebih suka cara konvensional. Cetak dan semak.

Selesai mencetak, setiap helaian mula diselak dan dibaca. Mana yang tersilap, segera ditanda dan ditulis pembetulan.

Zahraa datang duduk di tepi rusuk sedang saya khusyuk menekuni setiap muka surat satu persatu.

"Abah buat apa tu?"

"Abah tengah semak cerita-cerita yang abah tulis."

"Tebalnya abah print. Ini semua cerita yang abah tulis ke?"

"Haah, ini semua abah tulis. Insya Allah nanti jadi buku."

"Zahraa rasa, satu hari nanti, abah mesti akan jadi PENULIS."



>>>

Nampaknya Zahraa belum dapat baca 'between the lines'.

Doa untuk abah ye Zahraa.

Sunday, 27 March 2016

(124) Mak Ada Facebook

Insan bergelar mak memang luar biasa kasih sayangnya. Cara mak mengambil berat menyentuh hati.
Dalam perjalanan mencapai cita-cita yang diimpikan, sokongan dan dorongan yang kuat dari insan-insan terdekat sangat diperlukan.

Apabila status dalam gambar di bawah lalu dalam newsfeed saya. Jujurnya saya terpempan, kaku sedikit sebak.



Mak antara insan yang sentiasa follow setiap status saya. Pernah lama mak tidak sedekahkan 'like' pada post saya. Fikir saya, mak tidak suka. Rupanya, kabel internet di kampung dicuri orang. Suspen.

Tak ramai ibu sebaya mak ada facebook. Namun, untuk sokong anak, mak gigih belajar, hanya untuk baca tulisan saya.

Ada waktu, abah sampai bertanya, "Apa yang dok baca facebook je tu."

"Baca apa yang anak kita tulis nilah.." Mak meneruskan bacaan.

Masa dapat berita ‪#‎BudakKripton‬ lulus terbit, pagi-pagi saya telefon mak. Mak paling gembira. Canang pada adik beradik. Ajak semua pakat beli nanti.

Mak tahu anak mak cita-cita tinggi. Banyak benda dia cuba dari dulu, tak semua berjaya. Tetapi kali ini, mak betul-betul ada rasa. Redha mak ada bersama.

Terima kasih mak. Ini sangat berharga. Maklah sumber kekuatan tungkus lumus ini semua. Mudah-mudahan mak dapat lihat hasilnya nanti depan mata.

Doakan usaha ini dihitung syurga.

Saturday, 26 March 2016

(123) 3 Usaha Anak Soleh dan Solehah

Syakh Yawar Baig berpesan;
"Mendidik anak seperti menanam pokok. Kita mengharapkan pokok itu berbuah dan memberi manfaat pada orang lain.

Pastikan tanahnya subur, benihnya baik, dan disiram setiap hari.

Insya-Allah, pokok akan tumbuh dengan baik."

>>>



Tanah adalah persekitaran yang baik untuk anak-anak. Tidak perlu mewah, cukup sekadar ada tempat untuk belajar. Lebih penting, kasih sayang, perhatian diberikan, dan ketenangan emosi yang berterusan.

Benih terbaik semestinya diadun dengan baja yang bagus. Diberi ilmu pengetahuan. Diasah asas kemahiran. Diasuh akhlak menawan.

Siraman air adalah airmata yang tumpah setiap kali memohon kepada tuhan. Hanya Allah tempat memohon segala bantuan dan pengharapan.

Mudah-mudahan usaha kita semua diberkati Tuhan.

Friday, 25 March 2016

(122) Bangla Comel

Hujung minggu je, ada program. Hujung minggu je, ada kursus. Lalang tepi rumah dah meninggi semula. Silap haribulan kalau cari Harimau Malaya yang tinggal 11 ekor tu pun boleh jumpa agaknya.

Mengambil tanggungjawab sebagai warganegara yang patriotik. Kebiasaannya kerja-kerja memotong rumput ni, si “Namu” yang buat. Tapi sejak isu kawan-kawan dia 1.5 juta ditangguhkan masuk Malaysia, tak nampak pula batang hidungnya. Merajuklah tu. Ah, lantak dia. Boleh buat sendiri kerja-kerja ‘Dirty’ ni.

Tarik je tali pemula mesin rumput, enggg! enggg! Terus hayun ke kiri ke kanan menumbangkan lalang yang tumbuh liar di tepi rumah.

Pelik juga, lalang ni pun macam geng bangla. Rumput karpet yang tanam ni punyalah susah nak hidup, tapi dia senang je hidup, siap tolak tepi rumput karpet.

Potong, punya potong, akhirnya sampailah ke bahagian akhir di depan rumah.

Rupanya, dalam keadaan ‘pekak’ sekejap akibat bunyi mesin rumput yang kuat, Zahraa dah bawa keluar kucing, seekor demi seekor ke laman parking untuk tunjuk pada anak jiran sebelah.

Budak-budak ni pantang tengok kucing, habis digomolnya.
Perhatikan jelah dari tepi laman rumah. Nak habiskan sikit je lagi rumput ni.

Baru nak mula memulas pendikit minyak mesin rumput, datang anak perempuan jiran hujung taman naik motor berhenti betul-betul depan pagar bahagian luar.

“Comelnyaaa..”

Macam terdengar dia menyebut sesuatu dari gerak bibirnya. Bunyi mesin diperlahankan sikit.

“Comelnyaa..,” melihat ke arah saya.

Saya tersenyum je, mengangguk-angguk, mungkin suka tengok saya yang dah siap berspek mata besar ni.

“Eee, comelnya kucing tu..,” dia mengalihkan pandangan ke arah budak-budak yang ramai tu.

‘Cis, benda melibatkan perasaan ni jangan buat main boleh tak?’

Letak mesin. Terus masuk rumah, buat air sirap!



>>>

Ingat ya, kecomelan itu biasanya pada kanak-kanak atau binatang. Jarang berlaku pada manusia dewasa.

Ammar Kamilin
Potong rompot boleh, Cat romah boleh.
P/s: Cerita dalam ‪#‎BudakKripton‬ banyak lagi kisah macamni.

Thursday, 24 March 2016

(121) Siapa Selain Abah?

Budak berbaju putih berkain coklat beramai-ramai keluar dari surau. Abah memanjangkan kepala keluar tingkap kereta mengintai jika ada Zulfa muncul dari celah-celah keramaian. Dari jauh lagi, wajah manis itu sudah nampak tersenyum-senyum.

“Ok, belajar hari ini?”

“Ok,” pendek saja sambil membuka pintu belakang dan masuk sebagai ‘big boss’ yang perlu dibawa pulang.

Dalam kereta berdua. Teringat pesanan Tuan Fakhri Hamzah (Cool Mom Super Dad), ibu bapa perlu peruntukkan masa one-to-one untuk bercakap dengan setiap anak.

Jika ada 3 orang anak, setiap daripada mereka perlu ada ‘sesi luahan’ masing-masing. Dah alang-alang adik-adik lain tiada. Inilah peluang untuk bercakap dengan Zulfa.

Sejak dia menginjak remaja ni, memang jarang abah dapat bersembang hati ke hati. Banyak bertanya hal-hal sekolah sahaja.

Abah sedar, tidak lama lagi dia akan masuk fasa menanggung dosa-dosanya sendiri. Besar sudah anak dara abah yang dulu dibawa bersiar-siar petang atas bakul motor.

“Zulfa ada apa-apa masalah nak cerita pada abah?”

“Hmm.. takde..”

“Semua ok?”

“Semua ok.”

“Zulfa ada tak apa-apa yang tak seronok kat rumah sekarang ni?”

“Takde. Zulfa seronok. Zulfa suka je, happy..”

(hening semula)
___________

Zulfa ada suka sapa-sapa tak di sekolah?”

“Takde.”

“Ada kawan lelaki yang suka pada Zulfa tak?”

“Takde. Tapi ada orang lain suka ejek Zulfa kononnya suka kat lelaki tu.”

“Zulfa memang suka ke lelaki yang diorang ejek tu?”

“Tak.”

“Lelaki yang diorang ejek nak Zulfa tu, suka Zulfa tak?”

“Takde pun. Diorang yang saja nak ejek. Lelaki tu pun tak suka.”

“Entah entah, yang ejek tu suka Zulfa.”

“Tak juga. Dia suka orang lain.”

“Hmm.. Zulfa tak perlu lelaki lain kan?”

“Haah.. Zulfa ada abah.”

(abah terdiam..)
_____________

“Kalau Zulfa diberi pilihan, Zulfa nak tak orang lain jadi abah Zulfa?”

“Tak nak. Zulfa nak abah yang ni.”

“Kenapa nak abah yang ni?”

“Abah baik.”

“Itu je?”

“Abah dah tak garang. Abah buat Zulfa happpy. Kat syurga nanti pun, Zulfa nak dengan abah yang ni.”

“Mari sini kat abah.”

Bangkit dari duduk di kerusi belakang, Zulfa merapatkan diri dan menyangkutkan dagu di atas bahu kiri.

Abah pegang pipi kiri Zulfa dan berpusing untuk memberi ciuman pada pipi kanan lama hingga basah air mata.

Kami hanyut begitu beberapa saat. Indah. Sangat indah perasaan ini.

>>>

Semasa International Parenting Conference baru-baru ini, Shaykh Yawar Baig, melontar persoalan yang sampai hari ini tidak habis saya fikirkan.

Ada ibu bapa sibuk memilih untuk anak-anak. Menentukan jalan untuk anak-anak berdasarkan apa yang mereka sendiri mahu, tanpa pernah bertanya apa yang anak-anak mahu.

Mereka mahu anak jadi ini, mahu anak jadi itu. Mahu anak cemerlang seperti ini, berjaya seperti itu. Sekiranya anak kurang berjaya mengikut kehendak mereka, mereka membandingkan anak dengan anak orang lain.

Mereka seolah-olah tidak gembira dengan anak sendiri.

Bagaimana jika anak-anak pula membandingkan mereka dengan ibu bapa lain? Adakah mereka akan menjadi ibu bapa pilihan anak-anak?

Pernah tak kita bertanya, jika anak-anak diberi pilihan, adakah mereka mahu kita sebagai ibu bapa mereka? (Walaupun hakikatnya, anak-anak tetap tiada pilihan)

Bukan mereka yang memilih untuk berkahwin, bukan mereka yang memilih untuk memiliki anak. Kita, kita yang mahu berkahwin, kita yang mahu ada anak. Dan Allah hadiahkan mereka pada kita. Mereka tidak punya pilihan, tetapi kita yang memilih.

Kita diamanahkan Allah untuk mencorakkan anak-anak mengikut keistimewaan mereka, bukan memenuhi keinginan kita yang mungkin sebelum ini tidak tercapai.

‪#‎drMAK‬
‪#‎BudakKripton‬

Wednesday, 23 March 2016

(120) Anak-anak Boleh Baca Emosi Ibu bapa

Ada masanya kita sangat sibuk dan punyai masa yang sangat terhad bersama anak-anak.

Adakah wujud cara yang pantas untuk menzahirkan kasih sayang pada anak?

Bagaimana kita boleh memanfaatkan masa berkualiti bersama anak ke tahap maksimum sehingga anak berasa puas dapat bersama dengan kita?

Kajian terkini menunjukkan manusia lebih cepat mentafsir emosi seseorang melalui tingkah laku orang tersebut seperti ketawa, menangis, tersenyum, masam muka dan sebagainya berbanding jika emosi itu hanya diungkapkan dengan kata-kata.

Semasa sedang bermain, anak-anak akan merasai kegembiraan ibu bapa apabila kita gelak ketawa bersama mereka tanpa perlu kita katakan, “Abah seronok betul dapat main dengan Iman hari ini.”.

Ketika tidak mendengar panggilan kita, anak-anak menjiwai kesedihan seorang ibu apabila kita menangis di hadapan mereka tanpa kita kata, “Mama sedih sangat korang taknak dengar cakap mama.”

Selepas mengoyak sehelai kertas dari buku sekolah, anak-anak merasai kemarahan kita apabila kita tenung wajah mereka dengan mata besar dan muka serius tanpa perlu kita kata, “Kan abah dah pesan jangan koyak buku, kenapa koyak juga?”

Jadi, bagi ibu bapa yang sibuk dan kurang masa bersama anak. Jaga air muka dan gerak bahasa badan kita. Tanpa kata-kata sekalipun, semua emosi yang bersarang dalam dada kita akan dapat dibaca oleh anak-anak.

Apabila bergembira bersama mereka, zahirkan kegembiraan dengan gelak ketawa, geletek menggeletek, dukung mendukung, peluk memeluk, tanpa perlu kita sebutkan langsung kita gembira. Mereka tetap faham.

Cadangan kata-kata yang boleh digantikan dengan tindakan.

“Jaga diri baik-baik di sekolah.” – Cium pipi kiri dan kanan.

“Abah sayang Zahraa.” – peluk erat 10 saat.

“Abah ambil berat kerja rumah.” – duduk di tepi ketika mereka siapkan kerja. Dengan melihat saja kadangkala sudah mencukupi.

“Terima kasih tolong mama.” – usap kepala mereka. Dari atas membawa ke muka.

Bayangkan jika kita tidak berbicara, tetapi melakukan tindakan begitu. Insya Allah, mereka masih memahami maksudnya.







 

#drMAK

Tuesday, 22 March 2016

(119) "Eh bila tukar nama?"

Ada rakan-rakan yang sedar dan menegur perubahan nama saya di FB.
Niat di hati, nak menulis panjang. Disebabkan ini tak penting pada sesiapa, saya ringkaskan saja.
_________


Kisahnya,
Sejak awal 2015 lagi saya mencari nama yang sesuai di FB.
Balik seminar facebook jadi buku, saya gunakan nama 'Ammar Muhamad' sebagai nama pena setelah cubaan menggunakan nama sebenar tidak berjaya.

Jika facebook wujud zaman 90-an, mungkin saya tiada saingan. Tetapi selepas 'kebangkitan' nama 'Ahmad Ammar' yang harum namanya dengan segala kebaikan ('kematian yang menghidupkan'). Nama ini dipilih ramai ibu bapa untuk menamakan anak.

Group whatsapp kelas anak saya saja ada 5 orang ibu bapa yang anaknya 'Ammar'. Setiap kali mereka bertanya cikgu hal anak mereka, saya yang terperasan. Huh!
___________

Selepas 1 tahun, siapa sangka, nama 'Ammar Muhamad' membawa saya mengenali ramai rakan baharu seperti hari ini.

Namun, dalam mengumpul ramai kenalan. Ada juga keresahan dalam hati yang lama bersarang.
Saya cemburu melihat rakan-rakan yang menggunakan nama bapa. Saya juga ingin seperti mereka.

TETAPI,

Bermula dari sinilah 'pertarungan jiwa' berlaku.
Ramai yang selama ini mengenali saya dengan nama 'Ammar Muhamad'.
Jika menukar nama, mungkin ada yang akan keliru dan saya bakal kehilangan pembaca.
Lalu, niat itu dipendamkan sahaja.

Namun, 'pertarungan jiwa' itu tercetus semula baru-baru ini.
Abah dapat panggilan ceramah di sebuah sekolah. Tapi tidak dapat dipenuhi atas faktor jadual yang sudah penuh.

"Ammar, abah dapat jemputan ceramah parenting ni. Boleh ke gantikan abah?"

"Boleh ke bah? Abah sesuailah ceramah, sudah terbukti pengalaman dan didikan abah. Amai (nama manja) ni, langsung takde kejayaan apa-apa."

"Pergilah, mungkin ini rezeki dari Allah melalui abah untuk luaskan lagi rangkaian. Allah yang lorongkan semua, insya Allah ada hikmah."

Tanpa sedar. Menitis airmata.

Saya ragu-ragu untuk tukar nama di FB hanya semata-mata takut hilang pembaca.

Tetapi abah tanpa sebarang keraguan melorongkan jalan ke pintu yang sedang luas terbuka untuk anaknya.

Allah seolah-olah memberi peringatan. Engkau belum ke mana-mana, tetapi sudah mula menyisih keluarga. Bagaimana jika engkau benar-benar di puncak? Di mana engkau campak mereka?

'Allah, derhakakah saya?'

Setelah 'bertanya Allah' dan merujuk pandangan kenalan rapat yang dipercayai.

Saya tiada keraguan lagi. Jika saya ditakdirkan dikenali seluruh Malaysia, biarlah nama abah saya dikendong bersama.

Jika kerana nama baharu ini saya tidak ke mana, sekurang-kurangnya saya bukan dari golongan 'mereka yang lupa'.

>>>

Ini cuma kisah meletak nama abah di FB.

Jika difikirkan, apa yang besar sangat?

Besar bagi saya.

Cuba tanya anak yang tiada nama ayah untuk diBinkan.

‪#‎drMAK‬

Monday, 21 March 2016

(118) Ibu bapa Pakar Motivasi

Anak-anak tidak perlu orang lain sebagai pakar motivasi.
Ibu bapa di rumah sudah cukup untuk menaikkan motivasi dalaman mereka.

Ibu bapa hanya perlu melakukan 3 perkara ini dengan konsisten,

1. Menyokong Kegigihan
Setiap perkara baik yang dilakukan oleh anak-anak terutamanya yang diusahakan dengan gigih perlu disokong. Contoh, mereka gigih berlatih bermain roller blade walaupun berkali-kali jatuh. Angkat mereka dan pegang tangan untuk meneruskan cubaan.

2. Iktiraf Kejayaan Kecil
Apabila mereka mula menunjukkan boleh meluncur walaupun hanya 2 meter, sokong dan puji kegigihan itu. Semangat kejayaan kecil akan mendorong kejayaan lebih besar.

3. Galakkan minat
Motivasi akan mati apabila minat tidak disokong. Sokong minat mereka dengan sentiasa bersama setiap kali mereka mencuba. Anak yang ditemani ibu bapa lebih bersemangat mencuba daripada anak yang dibiarkan bersendirian.






Anda ibu bapa yang hebat. :)

Sunday, 20 March 2016

(117) Salah Sangka Dalam Tren

Tren ke Butterworth bergerak perlahan masuk ke platform dan berhenti di hujung landasan. Beg ditarik laju mencari koc yang tertera di atas tiket.

Sudah lama tidak menaiki tren. Kali terakhir semasa ke Langkawi tahun 1997 dengan menaiki tren yang berhenti di stesen Arau. Dari Arau menaiki teksi ke Kuala Perlis mengambil feri ke Langkawi.
Sedang berjalan perlahan di laluan tengah sambil meninjau nombor tempat duduk, seorang budak lelaki sekitar 7 tahun berlari melanggar peha dan mencelah lolos ke hadapan. Ah budak ni, nak cepat ke mana agaknya.

“Maafkan anak saya encik, dia seronok dapat naik tren,” bapanya yang menurut dari belakang mengangkat tangan dan tersenyum sumbing.

“Takpelah, budak memang macamtu,” melegakan hati bapa yang dilanda rasa bersalah.

‘Haa, itu dia,’ terus menyelit duduk berhampiran tingkap dan beg sandang diletakkan di celah kaki.

Pooooonnnn! Tren mula bergerak perlahan menuju utara. Masing-masing melayan perasaan di tempat duduk.

Ada yang termenung memandang luar tingkap. Ada yang membaca novel. Ada yang bersembang dengan jiran sebelah tempat duduk. Sesekali kedengaran rengekan bayi menangis. Lapar susu barangkali. Tak lama kemudian senyap.

Leka melihat pemandangan di luar tingkap yang berlalu pantas.


Menyelusuri landasan ini, rencam aktiviti dan kehidupan masyarakat dapat dilihat. Dalam negara yang dikatakan maju, masih lagi ada keluarga yang hidup daif di atas tanah setinggan. Malah, di sesetengah tempat, rumah buruk dibina atas rezab landasan. Anak kecil yang belum bersekolah melambai-lambai tren yang lalu sehingga hilang dari pandangan.

Melihat satu demi satu bangunan melepasi pandangan, mata mula mengantuk. Ketika hampir terlelap, terkejut mendengar nyaring suara kanak-kanak kerusi depan bersoal jawab dengan bapanya. Oh, anak yang berlari tadi dan bapanya duduk selang satu baris.

Bermula dari satu soalan, soalannya semakin bertambah. Jika bercakap perlahan tidak mengapa, masalahnya kenyaringan suara jelas mengganggu penumpang lain yang mahu tidur. Jiran sebelah menyebelah mula mendengus masam mencuka.

Hilang terus mengantuk. Mula memasang telinga, apa sebenarnya yang dikecohkan budak ni.

“Abah, abah, itu apa?” sambil menunjuk ke langit.

“Itu awan.”

Budak itu leka mendongak melihat awan.

“Abah, abah, itu apa tu?” menunjuk ke arah banjaran beralun sebelah landasan.

“Itu gunung.”

Dia mengangguk-angguk. Hanya dia yang tahu mengapa.

“Abah, abah, itu apa tu?” menunjuk ke arah deretan pokok yang tumbuh di tepi landasan.

“Itu pokok.”

Penumpang berdekatan ada yang mula kegelisahan tidak dapat tidur diganggu suara pertanyaan yang kuat. Ada yang berbisik, ‘takkan itu pun tak tahu.’

“Abah, abah, tengok tu, tengok tu,” makin kuat suara budak itu.

“Apa dia?”

“Pokok-pokok tu lari pergi belakang kereta api.”

Bapanya hanya memeluk, “Abah sayang Iman.”

Selang 5 minit, budak itu menjerit lagi,

“Abah, abah, tengok tu, kereta api ni kejar awan tu.”

“Abah sayang Iman,” ayahnya memeluk lagi.

Lelaki duduk bersebelahan mereka mengangkat jari telunjuk ke bibir, diajukan kepada anak itu.
Ayahnya mengangguk-angguk faham.

“Abah, abah, dari tadi kereta api jalan, gunung besar tu tak pergi pun. Ada je ikut kita.”

Budak itu berteriak lagi. Nampaknya, budak tetap budak. Dia belum cukup matang untuk memahami.
Bapanya memeluk lebih erat sambil meletakkan jari telunjuk pada bibir anaknya. Bimbang dimarahi penumpang lain yang sudah mula tak senang duduk.

“Abah sayang Iman, abah sayang Iman.”
________________

Selepas menunaikan hajat, terhoyong hayang berjalan kembali ke tempat duduk mengikut ritma goncangan tren.

Dari jauh, anak tadi sudah lena di pangkuan bapanya.

Senyum pada bapanya, “Tuan, ini kali pertama ke dia naik kereta api?” menunjuk pada anaknya yang lena tidur.

“Dia kali pertama melihat semua ni.” Bapanya tersenyum nipis.

“Maksud tuan?”

“Anak saya ni buta sejak lahir encik. Baru 2 minggu lepas kami ke Kuala Lumpur untuk pembedahan mata. Alhamdulillah, pembedahan berjaya. Hari ini, hari pertama dia melihat semuanya selain dari apa yang ada di hospital.”

Duduk di tempat. Hujan mula turun di luar. Dalam hati juga.

~Adaptasi kisah ditulis Stephen R. Covey~

‪#‎drMAK‬
‪#‎BudakKripton‬

Saturday, 19 March 2016

(116) Lewis Hamilton Tolong Wanita Sarat Mengandung

Aduh, lambat dah hari ni! Dah pukul 7.25 pagi. Biasa kalau keluar rumah waktu macamni memang jawabnya merahlah punch card.

Cepat-cepat pulas kunci pintu rumah. Manggakan grill. Tutup pintu pagar besar. Masuk kereta, pusing kunci, tekan klac, masuk gear, jalan. Roh Lewis Hamilton meresap perlahan-lahan.
Lepas baca doa selamat perjalanan, tekan butang on radio. Ustaz Don sedang memberi motivasi tentang ‘never too late’.

Dia bercerita tentang pengasas IBM, Porsche, KFC, yang semuanya lewat memulakan perniagaan ketika umur sudah agak tua. Ikut adat, nak buat apa lagi susah payah nak tubuh syarikat. Bukan boleh kaya lama pun, tetapi mereka buat juga.

Tapi tengok jelah KFC, sampai hari ni masih wujud. Malah serata dunia ada KFC. Rasanya Uncle Kolonel Sanders tu buat KFC bukan untuk bagi diri dia jadi kaya raya, tetapi kepuasan diri supaya semua orang dapat merasai kesedapan ayam goreng dia. Itu bezanya mindset orang berjaya.
Sambil mendengar celoteh Ustaz Don yang suka gelak sorang-sorang tu, pedal minyak tetap tekan rapat, tak main brake dah, pakai drop gear je. Pemandu F1 katakan.

Masuk perkarangan ofis, lalu jalan sehala nak ke tempat parking, kiri kanan penuh kereta dah siap parking. Laluan sempit. Tak boleh nak laju, dah beberapa kereta ‘patah telinga’ kawasan ni. Sekejap karang tengok dah ada yang terkulai side mirror.

Dalam mengintai ruang kosong untuk parking, nampak seorang kakak susah payah mendukung anak dengan macam-macam barang penuh kiri kanan dijinjing. Pampers ada, botol susu ada, nak hantar anak ke nurseri kot. Kereta diperlahan, berhenti. Hayun tangan bagi isyarat suruh melintas dulu.
Kakak ni terus melintas depan kereta sambil angkat tangan dan tersenyum. Tengok depan kak, karang terlanggar kereta parking kat tepi jalan tu.

Nampak ada parking kosong. Biasa kereta memang parking mengundur, nak mudah keluar masa balik nanti. Ini tak sempat dah, jap lagi dok sibuk undur belakang ke depan, undur belakang ke depan, habis masa terus.

Lambat dah ni. Jam kereta, 7.58.

Berjalan laju ke arah lif. Ikut hati, nak berlari, tapi nanti orang kata, bagusnya dia, tak sabar-sabar nak masuk ofis. Taknaklah tunjuk sangat. Tapi langkah memang 2 kali ganda lebih besar dari biasa, dekat selekoh, dapat potong seorang akak yang tengah sarat mengandung. Termengah-mengah akak ni berjalan. Tak boleh nak tolong apa, jalan jelah.

Depan lif. Tekan butang naik. Kurang 30 saat, pintu lif terbuka. Lompat dalam lif, ingat nak terus tekan butang tutup. Terdengar dengusan akak yang mengah tadi, sayup je. Tapi tak muncul-muncul depan pintu lif. Aduh, cepatlah, lambat dah ni.

Bunyi makin dekat, rupanya akak tadi berjalan menyeret kaki. Sangat tak larat sangat nampaknya. Ikut pengalaman, kepala baby dah masuk mangkuk dah ni. Tunggu masa je. Nampak pintu lif masih terbuka, dia gagah mengheret kaki, “Sekejap ye encik.”

Selamat je seluruh badan masuk dalam lif, terus tanya, “Akak nak ke tingkat berapa?”

“Tingkat 9. Terima kasih.”

Lif naik dengan laju, tetapi terasa sangat perlahan. Pintu lif ternganga di tingkat 7, “Saya keluar dulu kak.”

Terus berlari mengejar punch card, cabut kad dari slot di dinding, masukkan dalam mesin, kreet, dan akhirnya, MERAH! 8.05 minit. Hahaha, tapi hairan, kenapa rasa tenang je?

Oh, teringat pesan Ustaz Don, “It’s never too late.”

Membuat kebaikan memang tiada istilah terlambat. Selagi ada bulan dan bintang, ruang kebaikan sentiasa terbuka luas.

(Banyak cantik muka kau, ko tu dah lambat, kebaikanlah sangat, nanti jawab dengan boss.)

Saturday, 6 February 2016

(115) Waktu Tidur Anak, Punca Lemah Membaca

Semasa anak-anak berumur 3 tahun, mereka masih belum bersekolah. Disebabkan itu, ada ibu bapa yang membiarkan saja anak-anak menonton TV, bermain ipad dan sebagainya sehingga lewat malam.

Apabila sudah terbiasa tidur dalam waktu yang tidak menentu, tabiat itu terbawa-bawa sehingga mereka bersekolah. Itulah yang menyebabkan berlaku keadaan tidak cukup tidur.

Tidur adalah waktu khas untuk otak berehat. Kekurangan jam tidur boleh menyebabkan kecelaruan fungsi otak.

Kajian dilakukan terhadap anak-anak berumur 3 tahun dan mereka dijejaki semula semasa berumur 7 tahun.



Ya, ini hanya kajian kepada 11,000 kanak-kanak. Mungkin kesannya tidak kelihatan pada anak kita.

Namun, baik juga sekiranya dapat diamalkan waktu tidur yang tetap untuk anak-anak, supaya mereka mendapat rehat yang cukup dan otak mereka lebih sihat dan cerdas.

Insya Allah.

‪#‎drMAK‬
‪#‎BudakKripton‬

Wednesday, 3 February 2016

(114) Kasih Minyak Gamat

Biasalah budak. Jika duduk diam, sopan santun bersimpuh, memang bukan budak namanya. Masa kanak-kanak inilah kreativiti mereka naik bertingkat-tingkat. Setiap masa, ada je benda nak buat. Suruh baca buku memang susah kerana perlu duduk setempat. Tak pernah jumpa lagi yang membaca sambil melompat-lompat.

Serupa macam kita semasa kecil dulu. Kalau boleh, apa yang terlintas di kepala semua nak buat. Cuma kadang-kadang memang apa yang dibuat merepek sangat. Siapa yang tak pernah kena pukul kira hebat.

Yang peliknya, pukullah macamana pun, libaslah macamanapun, bebellah macamanapun. Itu jugalah yang kita buat. Macam tak serik dan tak rasa nak bertaubat.

Anehnya, bila dah besar, sedikit dewasa, barulah faham kenapa orang marah apa yang dibuat. Baru nampak apa yang dibuat boleh bawa mudharat. Barulah setiap tindak tanduk kita ambil berat dan berfikir cermat.

Dulu, saya percaya, pukulan abah memang berkesan. Pukul yang menyebabkan saya ‘jadi orang’. Tetapi apabila difikirkan semula, jika betul pukul itu boleh mengubah sikap, kenapa saya dipukul berkali-kali untuk kesalahan yang sama?

Bukan sekali dua, malah banyak kali sehingga keliru, ‘aku ini tidak disayangi kah? Aku ini memang dibenci kah?’

Siapa yang tak takut dipukul. Apabila buat salah, mak menakutkan nak report abah, awal-awal sudah buat-buat tidur. Entah kenapa, saya fikir, tidak ada ayah yang mengejutkan anaknya semata-mata untuk dipukul.

Diimbas semula kenangan dulu, baru saya faham, bukan pukul yang mengubah sikap. Kasih sayang yang ditunjukkan selepas itu yang memberi kesan.

Pernah badan berliang-liang luka libasan, akibat solat maghrib dilewat-lewatkan. Ketagih main bola sampai terabai laungan azan.

Dalam menahan kesakitan, cuba juga pejam mata supaya sakit dapat dilupakan. Tak sangka, abah datang perlahan-lahan, bawa minyak gamat di tangan. Dilumur sapu mana yang luka di badan. Usapan yang nikmat tak tergambarkan. Mana ada benci yang sebegitu diungkapkan. Siapa kata abah tak sayang.




>>>

Pukul boleh digunakan untuk memberi amaran tetapi tidak sehingga mencederakan. Pukul melepas geram hanya memberi kesakitan, tidak keinsafan. Malah, pukul yang teruk boleh menghilangkan kepercayaan.

Tidak hairan jika anak berahsia tidak mahu berkongsi rasa. Bimbang jika tersalah cakap akan dipukul tanpa tanya. Anak, kebanyakan masa, mereka membuat kesalahan kerana fikiran singkat mereka. Namanya pun budak, memang tak sedalam fikir orang dewasa.

Menurut ahli psikologi, setiap kali mereka dijerit atau ditengking, yang timbul dalam diri anak adalah ketakutan. Jeritan adalah sesuatu yang automatik ditafsirkan oleh manusia sebagai ‘ada ancaman’.
Contohnya, orang akan terkejut dan mengelak sekiranya ada orang menjerit “Kereta!!” Saat itu, kita hanya pentingkan keselamatan.

Begitu juga anak-anak, mereka sibuk melindungi diri. Perasaan ketakutan menutup minda mereka untuk mendengar sebarang leteran atau bebelan. Mereka tidak dengar apa yang kita cakapkan. Itulah sebabnya, kesalahan sama tetap berulang.

Ambil pelajaran dari anjuran Baginda Nabi dalam mendidik anak sembahyang. Yang membenarkan dirotan itu dosa ingkar kepada Tuhan. Dibolehkan rotan itupun selepas diajar 5 kali sehari untuk solat sepanjang umur 7-10 tahun. Tanda berulang-kali nasihat dan latihan diperlukan untuk mengubah kebaikan menjadi tabiat.

Bersabar mendidik anugerah Tuhan, mereka tiket ke syurga yang menjadi idaman.

‪#‎drMAK‬
‪#‎BudakKripton‬

Monday, 1 February 2016

(113) Bercinta Tutup Pintu

Penat betul balik kerja petang itu. Gambaran tilam yang dilapisi cadar warna maroon terbayang-bayang di ruang mata. Dengan haruman lavender memenuhi ruang bilik, dapat bergolek-golek sambil meregangkan tulang belakang memang seronok ni.

Buka je pintu rumah, terus meluru ke dalam bilik. Letak beg dan terus menghempaskan diri ke atas tilam seperti gaya Loo Kum Zee bekas atlit lompat tinggi Kebangsaan melepasi palang.

Sedang leka memandang siling, berkhayal indahnya hidup jika tidak perlu bekerja dengan orang, bunyi kereta kedengaran di tepi tingkap.

Tanda isteri dan anak-anak telah pulang dari sekolah. Bising di ruang tamu mereka berebut-rebut berlumba siapa yang dapat masuk ke dalam rumah dahulu.

Isteri masuk ke bilik dan menurunkan beg sandang ke atas meja tulis. Dia duduk di birai katil sambil menceritakan kisah-kisah konflik di pejabat.

Zahraa tiba-tiba masuk menerjah pintu, duduk bersama dengan mama untuk mendengar cerita.

“Zahraa, abah nak sembang dengan mama ni. Hal kerja. Budak kecik tak boleh dengar.”

“Kenapa budak kecik tak boleh dengar?”

“Yelah, nanti Zahraa pergi cerita kepada kawan-kawan Zahraa, tak eloklah. Ini rahsia abah dengan mama. Zahraa keluar pergi mandi dulu. Nanti abah dengan mama keluar, kita solat Maghrib sama-sama.”

“Elleh, macam Zahraa tak tahu, nak bercintalah tu!”

Dengan selamba berlalu sambil menekan kunci tombol dan menutup pintu.

(Hishhh!)

>>>

Waktu Maghrib ke Isyak memang waktu yang agak kritikal bagi ibu bapa yang bekerja. Ketika itulah masa terlampau suntuk. Hendak memasak makan malam, bertegang urat leher menyuruh anak-anak menutup TV dan bersiap untuk solat Maghrib, berebut bilik air dengan anak-anak, dan menemani mereka menyiapkan kerja sekolah.

Dalam keadaan begitu, ibu bapa juga pastinya memerlukan masa berehat dan bertenang untuk diri sendiri.

Anak-anak perlu diajar adab untuk memasuki bilik ibu bapa dengan mengetuk pintu supaya mereka faham tentang menghormati privasi dan memberi ruang kerehatan kepada ibu bapa.

Al-Quran dalam Surah An-Nur, ayat 58, jelas menerangkan waktu-waktu yang kurang sesuai untuk anak-anak masuk ke bilik.

3 waktu larangan itu ialah;

1. Sebelum Solat Subuh
Waktu ini kemungkinan besar ibu bapa memang sedang nyenyak tidur (ada ketika, kedengaran bunyi-bunyian seperti ngauman harimau di hutan atau enjin jengkaut tanah hampir kehabisan minyak).
Dibimbangi waktu ini, gaya tidur ibu bapa yang pelbagai contohnya mengerekot seperti ulat gonggok menyebabkan aurat terbuka dan menimbulkan aib kepada anak-anak.

2. Sebelum Waktu Zohor
Waktu ini digalakkan oleh Nabi Muhammad s.a.w untuk ‘Qailulah’ iaitu tidur sebentar sebelum solat Zohor. Kemungkinan ada ibu bapa yang mengamalkan amalan sunnah tersebut. Maka, bimbang mengganggu tidur dan rehat mereka.

3. Selepas Isyak
Waktu ini biasanya, ibu bapa sudah mula-mula bersiap untuk tidur. Kemungkinan berlangsung ‘Pilo Toq’ yang berat tentang hal ehwal hubungan suami isteri atau isu anak-anak. Ini adalah rahsia yang perlu dilindungi dari pengetahuan anak-anak.




__________

Terdapat satu kisah dimana, seorang kanak-kanak lelaki sekolah rendah telah mencabul kehormatan rakan perempuannya di hadapan rakan-rakan lain tanpa rasa bersalah.

Apabila dilakukan siasatan, didapati anak ini masih tidur di dalam bilik ibu bapa walaupun sudah berumur melebihi 7 tahun! Budak ini tidak mengetahui apa yang dilakukan salah. Ini berpunca dari kecuaian ibu bapa mengasingkan tempat tidur anak-anak seawal mungkin.

Antara cara mengasingkan tempat tidur anak-anak;

1. Cat bilik baharu anak-anak dengan warna yang disukai oleh mereka. Hiasi bilik tidur dengan dekorasi yang ceria dan menarik seperti memasang cadar kartun, menampal dinding dengan lukisan-lukisan seni yang mereka sendiri conteng, dan diletakkan meja studi bersama kata-kata motivasi di dinding.

2. Maklumkan anak dengan nada memujuk, mengapa mereka perlu tidur di bilik sendiri. Peringkat permulaan, salah seorang ibu atau bapa boleh menemani anak hingga mereka tertidur atau tidur bersama. Lama kelamaan, mereka akan biasa tidur sendiri.

3. Jadualkan waktu tidur awal yang tetap. Waktu tidur yang tetap menyebabkan mereka mula mengantuk pada waktu yang sama setiap hari. Ini memudahkan mereka ke bilik tidur pada waktu ibu bapa masih berjaga. Selepas terlena, barulah lampu tidur ditutup dan kebiasaannya mereka akan nyenyak sehingga pagi.

4. Bacakan buku cerita kisah-kisah Nabi atau inspirasi terjemahan surah lazim dalam Al-Quran sebelum tidur agar minda mereka memikirkan perkara yang baik-baik dan tidak berkhayal perkara menakutkan sebelum tidur.

5. Tidak sekali-kali menakutkan anak-anak dengan kisah-kisah hantu atau bahaya kegelapan. Ketakutan ini yang akan terbawa-bawa sehingga sukar melelapkan mata sebelum tidur. Jika boleh, buang istilah hantu dalam hidup mereka, ingatkan bahawa itu adalah kejahatan syaitan. Ajar mereka, syaitan boleh dihalang dengan A’uzubillah atau Bismillah.

Friday, 29 January 2016

(112) Boss Kami Allah

Tengahari tadi berjumpa dengan rakan-rakan hebat seperguruan NLP Malaysia di pinggir tasik Masjid Putra.

Macam-macam dibincangkan. Dari hal ummah kepada macam-macam hal. Sebab semua nak bercakap. Ini akibat kawan semua trainer.

Syok sangat sembang, sampai terlajak waktu. Saya perlu bergegas balik pejabat.

Naik dari eskelator, saya bersalam-salaman dengan semuanya.

Rakan PU menegur,

"Eh, taknak solat zohor di masjid dulu?"

"Takpelah, nak kena cepat, nanti boss cari."

"Oh, takpelah. Boss kami ALLAH."

"Dushummmm!!"

Saya terpaksa dipapah ke kereta, terlampau hiba.

‪#‎SesatDunia‬
‪#‎VersiOriginal‬

Wednesday, 27 January 2016

(111) Perangkap 40 Minit

Sebagaimana kebiasaan pulang dari kerja,
petang semalam saya memasuki lif untuk turun ke tingkat bawah.

Apabila melangkah masuk,
saya tersenyum pada lelaki yang sedang bersembang dengan anak lelaki yang petah.
Di sudut lain, seorang perempuan sedang leka membelek handphone.

Saya mengambil sudut yang menghadap panel kawalan lif.
Tekan butang B1 untuk turun ke tempat letak kereta. Butang 1 sudah sedia menyala, saya mengagak ada antara mereka yang akan turun di tingkat 1.

Apabila pintu tertutup, tiba-tiba lif bergerak dengan kelajuan lebih laju dari biasa.
"Gangg.." Terhenti.


Pintu lif kelihatan renggang.

Masing-masing terpinga-pinga apa yang sebenarnya sedang berlaku.

Saya menekan butang kecemasan berkali-kali. Mengharapkan ada yang menjawab.

Tiada jawapan.

Ikut SOP, loceng hanya perlu ditekan 2 saat. Tidak berpuashati, saya menekan lebih lama sehingga bergema.

Masih tiada jawapan.

Saya mengetuk pintu lif berkali-kali. Senyap.

Cuba ketuk lagi untuk kali ke-2. Tiba-tiba terdengar suara memanggil dari luar.

"Ada orang di dalam ke tu??"

"Ada. Kami ada di dalam." Saya menjerit sekuat hati.

Terdengar suara cemas dari luar.

"eh, ada orang kat dalamlah. Panggil maintenance cepat. Orang terperangkap ni."





Keadaan kembali senyap.

Perempuan dalam lif berkali-kali merintih.

"Takutnya. Lemah lutut dah ni."

Keadaan sedikit reda, apabila ayah dan anak bersembang menduga perasaan anaknya yang sedang terperangkap.

"Ini sebab adiklah ni, berat. Tengok kita dah sangkut."

"Aya lagi berat." Kami hanya mampu tersenyum untuk melegakan hati masing-masing.

Saya menghantar whatsapp kepada group rakan-rakan pejabat. Berharap ada yang membaca dan menyedari kami dalam kecemasan.

Ada yang membalas. Mereka juga mula mencari maintenance untuk tindakan segera. Ada yang memberi kata-kata sokongan.

Ada yang mencadangkan untuk bersandar pada bar besi dinding lif dan bengkokkan kaki untuk bersedia dengan apa-apa kemungkinan.

Saya menghantar mesej kepada isteri. Dia terkejut. Dia memaklumkan juga pada anak-anak.

Yang bongsu, rapat dengan saya, sudah mula menangis memandang tingkap kereta. Mereka dalam perjalanan pulang ke rumah.

Sudah 10 minit. Keadaan mula panas. Kipas, hanya tinggal satu yang berfunngsi. Mujur lampu kekal menyala.




  
 Sudah 20 minit menunggu bantuan. Masing-masing mula kepanasan dan penat berdiri.

Si ayah mengetuk lebih kuat pintu lif kerana tiada kedengaran lagi suara orang.

"Sabar ye encik. Maintenance sedang dalam perjalanan." Rupa-rupanya mereka masih menunggu dengan penuh setia di luar.

"Cepatlah sikit. Panas dah ni." Sedikit menjerit.

"Abah ni, cakaplah elok-elok. Kan orang tu nak tolong kita."

"Memanglah abah kena jerit, mana diorang boleh dengar dari dalam ni kalau cakap perlahan. Takkan nak cakap, tolong.. tolong.. mengajuk suara halus perempuan."

Kami terhibur dengan gelagat #BudakKripton di depan saya. Cerdik.

Kami mula duduk bersila. Masing-masing melayan perasaan.





 Selepas 30 minit, baru nampak tanda-tanda penyelamatan. Bunyi orang memanjat di bahagian atas lif. Pintu di luar juga mula bergerak.

Pintu lif terkuak sedikit, abang pasukan RELA menjenguk, "Sabar ye encik, kami sedang berusaha."

Kami mula lega.

Keadaan di luar agak kecoh. Orang semakin ramai. Kebanyakan mula membayangkan jika mereka di tempat kami.





 Pintu lif akhirnya terbentang luas.

Budak lelaki tadi yang mula-mula diangkat keluar. Kemudian si ayah. Perempuan yang tak berhenti bersyukur turut segera ke depan.

Saya mengikuti dengan melangkah turun dari lif. Lif tersangkut tidak sama paras dengan lantai lobi. Sedikit tinggi.

Masing-masing diurut kelegaan. Semasa bersembang, semuanya mengakui kali pertama merasai pengalaman terperangkap.

Alhamdulillah.

Allah masih sayang kepada kami.

Kesimpulan LANGKAH yang boleh diambil:-

1. Bertenang dan tidak panik.

2. Baca SOP yang ditampal.

3. Tekan loceng kecemasan untuk maklumkan technician maintenance.

4. Jika tiada respon, ketuk pintu lif dengan harapan didengari oleh orang yang lalu. (Kami berjaya peringkat ini)

5. Jika masih tiada respon. Telefon nombor tertera pada dinding lif.

6. Tiada juga, telefon bomba.

7. Hantar mesej pada group whatsapp agar ada yang membaca. Sukar untuk mesej seorang demi seorang. Sekurang-kurangnya, jika habis bateri handphone, mereka sudah tahu lokasi kita.

8. Kurangkan gugup dengan bersembang perkara lain luar topik. Tak perlu fikirkan kemungkinan buruk yang lebih menakutkan.

9. Bersandar pada beam dengan kaki bengkok untuk sebarang kemungkinan.

10. Jimatkan bateri handphone. Gunakan apabila benar-benar terdesak.

11. Akhir sekali, dari permulaan musibah, doa tanpa henti pada Allah. Hanya Dia yang berkuasa atas sesuatu.

Insyaa Allah.

#drMAK


 

Monday, 25 January 2016

(110) Perjalanan Masuk Dunia Penulis

Bangun pagi itu, badan seperti bateri dicas penuh, sangat bertenaga 100%. Minda terlajak positif. Namun di dalam hati, hari ini sangat mendebarkan.

Selalu pesan pada anak buah, “Its ok untuk rasa nervous for the 1st time in everything we do. Everything have it 1st time. So, enjoy that feeling.”
Sekarang kata-kata tu setepek kena atas dahi, ‘sekarang, kau enjoylah.’

Ditemani jurupandu waze yang agak seksi suaranya, saya berturn right, berturn left mengikut arahan. Taat dan patuh, seperti taatnya mendengar khutbah Jumaat.

Sampai di satu persimpangan, saya buruk sangka kepada waze kerana melihat signboard menunjukkan arah ke tempat tujuan sedikit berbeza. Lagipun selalu terbaca, waze menyesatkan orang. Ingatkan syaitan je. Waze pun sama.

Semakin jauh bergerak, ternyata jalan yang saya pilih, salah. Mulalah dalam hati menyumpah diri sendiri. Inilah namanya bisikan hati. Kerja syaitan ni. Dah elok ikut waze tadi, gatal nak ikut signboard.

Mujur waze ini tak pandai merajuk. Perempuan tadi tolong juga cari jalan lain untuk saya. Diarahnya saya dengan penuh sopan. Akhirnya, tiba juga ke destinasi dituju.

“Tuan, saya sudah di depan pejabat tuan. Saya confuse ni, ini pejabat ke rumah? Cantik sangat pintunya.” Saya menghubungi tuan pejabat.

Pintu pejabat dibuka, “Jemput masuk tuan. Alhamdulillah, sampai juga ke sini. Inilah pejabat kecil kami.”

‘Wah, sucinya ofis ni. Putih bersih. Yang menyambut pun semua senyum manis. Nasib baik semut tak hurung.’ Ngumpat dalam hati.

“Tuan ada appointment di mana-mana lagi?” Puan pejabat mesra menyapa.

“Takde puan. Saya cuti, khusus untuk jumpa tuan dan puan berdua.”

“Subhanallah, terharunya kami. Terima kasih tuan.”

“Terima kasih juga sudi terima saya sebagai tetamu.”

Terus jalan beriringan masuk ke bilik tuan dan puan pejabat sambil tertawa seperti sudah kenal dari dalam perut.



“Apa yang sebenarnya tuan ingin tulis?”

“Saya masih merancang-rancang apa yang saya akan tulis. Cuma, saya yakin, saya ada sebab yang kuat untuk menulis.

Saya mahu meninggalkan legasi untuk dibaca oleh anak-anak saya. Baik, itu mungkin bukan sebab untuk orang lain membeli buku saya.

Tetapi, kisah-kisah benar yang saya lalui bersama anak-anak, saya selitkan sedikit pengetahuan psikologi yang saya ada untuk dimanfaatkan oleh ibu bapa lain.

Menyebar kebaikan itu yang menjadi kekuatan saya untuk terus menulis.”

“Hmm.. apa rancangan tuan?”

“Apa nasihat puan kepada saya?” seperti budak sekolah, menyoal kembali.

“Apa kata jika tuan mulakan dengan bahan yang sedia ada di tangan?”

“Maksud puan?”

“Status tuan di facebook.”

“Ada ke orang yang nak baca?”

Puan penerbit cuma tersenyum.


_________

Puan penerbit cuma senyum.
Saya cukup faham.
Hati manusia, Allah yang menggerakkan.
Alangkah baik jika saya tahu jawapan kepada soalan itu.

Monday, 11 January 2016

(109) Meja Banquet Pelapik Tidur

Ruang IKSB. Tertera di papan tanda.

Sampai juga ke tempat latihan ini dipandu aplikasi Waze. Kawasan Mutiara Damansara ini memang asing bagi saya. Setakat IKEA memang dah khatam 7 kali. Ulang suara, hanya IKEA. 

Tidak lama menunggu, pasangan penganjur tiba bersama ‘Si Kecil Lisa’. Berbalam bayang di atas cermin, kelihatan anak comel sedang lena tidur di pangkuan ayahnya.

Beberapa kali mengengsot barulah si ayah dapat menggendong keluar si anak dari tempat duduk penumpang untuk dibawa masuk ke bilik latihan.

Lutut diturunkan perlahan, si ayah meletakkan anak comel tersorok di celah meja bahagian belakang bilik latihan. Hanya hamparan selimut nipis melapik tubuh dari lantai karpet.

Sedang mundar mandir mencari soket di dinding untuk menghidupkan laptop, terdengar rengekan,

“Ibu.. Ibu.. Ibu..” halus memanggil.

Saya menjenguk ke bawah meja.

Mengangkat telapak tangan,

“Kejap ye, nanti acik panggil ayah.”

Seperti ada ‘naluri pengesan istimewa’, si ayah menjenguk dari tirai pintu masuk bilik latihan.

“Tuan, dia mencari ibunya.” Saya menunjukkan ke arah anak comel yang merintih perlahan.

Si ayah senyum mengangguk. Terus mendapatkan si anak yang mula terpisat-pisat mengalih badan baru terjaga.
_______

Tengahari.

Si ibu sibuk menunjukkan arah ke tempat makan kepada peserta-peserta kursus di bahagian luar bilik latihan.

Anak comel ini mula berjalan ke hadapan ke belakang bilik mencari ibunya.

“Ibu.. Ibu..” lembut seperti suara yang didengari pagi tadi. Jelas di wajah bersarang bimbang.

Saya menyelak tirai untuk keluar dari bilik latihan. Anak comel beriring jalan bersama.

Kelihatan si ibu baru hendak menutup pintu utama. Pantas anak comel ini berjalan mendapatkan ibunya.

“Sayang betul dengan ibu. Pantang lepa sikit. Terus cari ibu.”

“Haah, dia memang macamtu.” Si ibu mengiakan.
_______

Petang.

Anak comel ini sangat aktif.

Sekejap di atas pentas bersama penceramah bermain selimut tidur. Sekejap berlari ke belakang sambil menjerit kecil memanggil ibu. Sekejap menjenguk si ayah yang sedang melatih sekumpulan anak muda melukis komik.

Badan kecilnya menyusup berlari di celah-celah meja bersama biskut di tangan. Bimbang juga terlanggar bucu meja yang tajam. Namun, dia bersahaja lari tanpa gusar.

Sedang khusyuk belajar, saya perasan sesuatu. Suara kecil tadi sudah hilang.

Saya memanjangkan leher meninjau sekeliling, ke mana pula pergi anak comel tadi.

Oh, itu dia, sudah lena terbaring di atas meja banquet keras. Sedap berselimut dalam dingin.


 

>>>

Dulu, semasa jahil, saya agak rimas mendengar panggilan anak yang tak berhenti-henti.
Baru nak bergerak sedikit, dah terpanggil-panggil. Nak buat apapun susah. Tak bebas. Rimas.

Apabila mereka semakin membesar, baru tersedar, betapa berharganya panggilan itu.
Panggilan itu menandakan abah ini masih diperlukan dan wujud dalam hidup mereka. Perasaan diperlukan itu, sangat membahagiakan.

Sekarang, mereka masih memanggil lagi. Tetapi semakin berkurangan.

Sudah banyak perkara mereka lakukan sendiri. Mereka mula berdikari dan pandai menyendiri.

Satu hari nanti, apabila suara memanggil itu tidak didengari lagi, sedarlah saya, mereka semakin dewasa membawa diri. Ada kehidupan sendiri. Keluarga sendiri.

Seingat saya, waktu mereka kecil, anak tidak pernah meminta-minta saya jadi kaya dan hidup selesa. Memang tidak pernah. Saya yang mahu memberi mereka selesa.

Mereka hanya mahu saya ‘ada’ ketika mereka hendak tidur.

Membacakan doa, menyelimutkan badan dan bercerita kisah-kisah baik sehingga mereka lelap berdengkur.

Walau hanya atas meja banquet yang keras. Itu sahaja sudah cukup buat mereka, asal kita ‘ada’.
Jelas bagi saya, mereka memilih ‘ada’ berbanding selesa.
_______

Nota:

Ini adalah kisah Afia, anak comel pasangan gigih berusaha Puan Husna Adnan dan Tuan Nazry Salam (Skuad Misi).

Kisah ini mendapat keizinan untuk disiarkan.
Pesanan beliau sebelum saya siarkan,
“Boleh je tuan, cuma beritahulah, yang waktu dia tidur atas meja tu, saya jaga di tepinya. Kang masyarakat kecam, ibu membahayakan nyawa anak, tidur atas meja kecik tu.”
Seloroh yang mendalam kan?
Saya setuju.

‪#‎drMAK‬
‪#‎BudakKripton‬

Saturday, 9 January 2016

(108) Mirip Penulis Selebriti

Hujung minggu lepas, berkesempatan hadir satu bengkel asas in design.

In design ni, software yang digunakan untuk buat layout buku.
Ok, itu bukan kisahnya.

Kisahnya,
Waktu solat zohor, saya dapat solat di surau Mutiara Damansara.

Selesai solat. Bergegas keluar surau kerana perlu berjalan semula ke tempat latihan.
Rupanya, saya diperhatikan. Bukan calang-calang yang memerhatikan.

Angkat sahaja kepala selepas menyarung kasut putih ke kaki, saya ditegur.

"Tengok dari jauh, tuan ni ada gaya-gaya Ramlee Awang Murshid."

Automatik saya ketawa tertahan-tahan.

"Betul. Cara sikat rambut. Cara bergerak. Betul tak? Pernah tak orang cakap begini pada tuan?"

Saya tak tahu, mahu memberi reaksi bagaimana. Terkejut ala Miss Colombia salah diisytihar sebagai pemenang.

"Tuan orang pertama cakap begitu. Saya memang pembaca novel-novel RAM, tetapi tak sangka pula ada karakter seperti penulis hebat itu.

Jauh sangat tahap saya dan dia."

Kami ketawa beriringan menelusuri lorong-lorong kedai ke tempat latihan.

>>>

Kesimpulannya?
Kadang-kadang, kita sendiri tidak sedar, diri kita ini bagaimana.
Benar kata motivator,
Diri kita ini ada tiga,
Diri kita yang kita kenali,
Diri kita yang orang kenali,
Diri kita yang sebenar (hanya Allah yang tahu).

‪#‎drMAK‬
_______
P/s: Yang menegur itu juga penulis hebat yang saya ambil semangat dari bukunya sebelum nekad menulis.
Terima kasih Tuan Nimoiz T Y

Friday, 8 January 2016

(107) Masalah Komunikasi Selesai Selepas Bersukan

Andy Driska dari Michigan State University telah melakukan kajian terhadap perasaan dan sikap 89 orang remaja sebelum dan selepas menyertai kem intensif sukan selama 2 minggu.

Kajian Andy mendapati, aktiviti bersukan telah meningkatkan kemahiran hidup seperti disiplin, komitmen, dan keyakinan fizikal remaja secara semulajadi.

Keyakinan diri remaja turut meningkat. Mereka mula memasang impian yang tinggi untuk diri sendiri. Mereka lebih proaktif mencari penyelesaian masalah.

Seorang anak yang sebelum itu tidak bercakap dengan ibu bapa apabila mempunyai masalah, telah berubah sikap dengan duduk berbincang bersama mereka.

Apa yang berlaku ialah, mereka mengalihkan pengalaman merangka strategi dalam aktiviti bersukan kepada aspek lain dalam kehidupan.

Lebih menarik, sikap dan perubahan itu terus kekal walaupun selepas 9 bulan kem intensif itu tamat.

telegram.me/budakkripton
‪#‎drMAK‬
‪#‎BudakKripton‬

Wednesday, 6 January 2016

(106) Tangis Depan Quran

Dia mengaji tersangkut-sangkut. Nafas pendek. Bacaan dari ayat ke ayat terputus-putus.

“Baca Quran tak boleh putus-putus iman. Baca Quran kena dalam satu nafas.”

Dia meneruskan bacaan. Masih mencungap di tengah bacaan apabila menyambung dari satu ayat ke satu ayat.

“Iman.. tengok dulu, mana tempat Iman nak berhenti. Baca dalam hati, dari mula ayat, sampai tempat nak berhenti. Selepas tu baru baca kuat. Insya-Allah, akan lagi lancar.”

Petua diikuti. Tetapi masih tersangkut-sangkut.

“Iman, dah darjah dua kan? Patut boleh lebih lancar.”

Air mata mula bertakung di kolam kelopak mata. Quran mula dihujani titik basah. Satu demi satu.

“Haa.. itulah, baca Quran je menangis, buat benda lain tak pernah pula nak menangis. Main game, tengok TV, buat lego, berjam-jam pun takpe. Buka Quran, tak sampai 5 minit, menangis!”

Henjutan badan semakin kuat. Namun, esakan tersekat di kerongkong. Bacaan terhenti.

“Bacalah, tunggu apa lagi!” Serentak singgah tamparan ke bahu belakang hingga tercondong bahu ke depan.

Habis basah satu muka surah Al-Baqarah yang sedang di baca.

“Abah tak marah pun tadi, abah hanya suruh baca je. Pergi menangis buat apa. Kan dah kena!”
Hilang kesabaran abah apabila menangis depan Al-Quran.

Memandang dia menangis hingga tergeleng-geleng kepala. Hingus meleleh ke baju. Rasa sesal mula bersarang di dada. Abah tersedar abah tak perlu memukul. Tetapi apakan daya, tangan lebih laju.

Abah menunggu dia tenang. Tangisan mula reda.

Dia memulakan semula bacaan. Kali ini, sebutan patah perkataan lebih lancar bersambung. Abah diam membiarkan, walaupun ada sedikit yang perlu diperbetul.

Abah rasa bersalah memukul tadi. Abah sedar dia akan benci pada abah kerana memaksa. Tetapi abah lebih rasa bersalah jika dia benci Al-Quran kerana abah.

Habis dia membaca. Abah tidak tunggu lama. Abah tarik badan Iman, rangkul sekuatnya.

“Abah bukan sengaja sakitkan Iman. Abah cuma risau Iman tak reti membaca Al-Quran. Abah sayang Iman. Iman jangan benci abah. Abah nak kita sama-sama masuk syurga.”

Dia menangis semula. Dalam tangis, dia perasan sesuatu.

Melepaskan diri dari kedap pelukan, dia berpusing dan melihat muka abah, hairan melihat abah pula sedang menangis.

“Kenapa abah menangis?”

“Sebagai anak lelaki, abah sangat berharap pada Iman. Bila abah takde nanti, abah harap Iman boleh bacakan Quran untuk abah. Boleh mohon Allah ampunkan dosa abah. Kalau Iman tak pandai membaca. Siapa akan terangkan kubur abah.

Abah takkan marah kalau Iman tak pandai matematik. Abah takkan marah kalau Iman tak dapat no. 1 dalam kelas. Tapi abah sangat risau kalau Iman tak lancar baca Quran.

Maafkan abah terpaksa pukul Iman. Iman nak benci abah, bencilah. Tapi jangan benci Al-Quran. Iman belajar baca Quran sungguh-sungguh ye.”

Isyak itu, kedua-duanya menangis berpelukan. Apalah agaknya doa mama depan rumah Allah sehingga kami berdua begini malam ini.

>>>

Dialog kisah ini tiada elemen psikologi. Ada masa, saya juga manusia normal yang bercakap terdorong emosi.

‪#‎drMAK‬
‪#‎BudakKripton‬

Monday, 4 January 2016

(105) Muka Tekup Bantal

Isteri sedang mencari 'cinta sejati' di Tanah Suci.
Saya izinkan dia pergi, kerana saya tidak memilikinya.
Dia hanya dipinjamkan untuk saya jaga sementara.
Dia sedang bahagia mencari cinta pemilik dirinya yang sebenar.

>>>



Mesej ini peribadi, tetapi mengapa saya berkongsi?
Saya hanya ingin kongsikan dengan anda,
bagaimana jauh seorang ibu pergi, yang pertama dalam fikirannya, sudah pasti anak-anak.
________

Dia tak tanya keadaan saya,
tetapi saya jawab sekali,
"Anak-anak ok dan baik-baik sahaja. Abah diorang pun ok." Muka tekup bantal.

‪#‎drMAK‬
‪#‎BudakKripton‬

Friday, 1 January 2016

(104) Air Sejuk Anak Penghilang Dahaga

Tanah tepi rumah ni memang sekangkang kera. Tetapi jika naik lalang, memang semak samun. Hati menengok pun jadi semak.

Biasanya aBangla rajin mengintai depan pagar rumah, “Abang, kasi potong rumput abang?” Ini dah lama pula tak nampak batang hidung si mancung. Adalah tu, dapat job di tempat lain. Biasanya mereka ni buruh kontrak pemaju perumahan.

Bukan tiada mesin rumput di rumah. Tetapi jarang digunakan. Ada 2 sebab, kadang-kadang minyak petrol yang dah habis atau yang selalunya kerajinan yang dah habis, tinggal malas.

Hari itu, gagahkan diri membeli minyak dan top-up sikit kerajinan. Bermulalah operasi memesin rumput. Mesin dah berbulan tak hidup, memang tercabut urat kentut nak hidupkan. Tarik punya tarik, akhirnya sentapan ke-25 baru nak hidup.

Bergemalah raungan mesin rumput yang bersemangat ingin menamatkan riwayat lalang-lalang yang angkuh bermaharajalela selama ini.

Seorang lelaki gagah bertopi baseball, spek besar menutup mata, glove kain di tangan, kasut boot masuk hutan di kaki, dan memakai ‘niqab’ menutup muka memulakan operasi. Terhoyong hayang ke kiri ke kanan menghayun mesin.

“Fuh, baru sedap mata memandang. Lapang je.” Duduk bersandar di dinding menikmati pemandangan indah tanpa sehelai lalang. Baru tamat fasa 1, fasa memotong. Fasa ke-2, fasa mengais rumput yang dipotong, masuk plastik dan buang. Tarik nafas dalam. Minum dululah.

“Iman! Iman! Tolong abah Iman.” Melaung dari pintu belakang yang berkunci tetapi masih jelas kedengaran dialog kartun Ice Age dari corong TV dalam rumah.

Tak lama, pintu terbuka. “Kenapa Abah?”

“Iman tolong ambil air dalam gelas penuh-penuh. Abah nak minum, haus.”

Dia bergegas menurut arahan. Menuang air sejuk yang diambil dari peti ais.

“Nah abah,” sambil menghulurkan gelas yang dipenuhi air.

“Abah tak boleh pegang gelaslah Iman. Tangan kotor. Boleh tak Iman suapkan abah minum?”

Dia tersengih-sengih. Tetapi dicuba juga suakan gelas ke mulut abah.

Abah lahap. Habis air segelas dalam satu nafas tanpa waqaf.

“Terima kasih Iman.”

“Sama-sama.”

“Nanti Iman besar, masa tu abah dah tua, dah tak larat nak minum sendiri. Iman suap macamni boleh?”

Dia mengangguk tidak memandang muka bergegas meletak cawan di sinki.

Abah pula yang tiba-tiba sesak dada. Mana tidak, itu satu-satunya anak lelaki. Baik pun dia, nakal pun dia. Boleh pula masa begini nak berdrama.



>>>

Entah kenapa. Anak lelaki yang ini lebih rapat dengan mak. Terbalik dengan adik perempuan yang rapat dengan abah. Mungkin kerana sikap abah yang tidak memanjakan anak lelaki.

Abah sedar, masa kecil inilah hendak rapat dengan anak. Apabila esok dah besar, belum tentu mereka nak rapat dengan abah. Tengok pengalaman orang lain, anak dah besar susah nak ikut famili ke mana-mana. Jika dah berkawan, lebih membesarkan kawan.

Termenung sesekali, entah abah ni, abah yang baik atau tidak. Abah sendiri tak pasti. Abah hanya mencuba. Abah tidak pernah diajar bagaimana menjadi seorang ayah.

Abah hanya lihat atuk. Abah percaya, atuk, ayah yang baik. Segala yang abah buat, abah contohi atuk.

Tetapi ada masa, abah rasa, abah bukan ayah dalam ertikata sebenar.

Kadangkala abah hanya seperti hakim yang menjatuh hukum.

“Tunggu abah balik nanti, mama bagitahu abah.”

“Hah, abah dah sampai, nak dengar cerita apa diorang buat?”

Abah hanya mendengar cerita dan memutuskan hukuman. Itukah seorang ayah?

Pada lain masa, abah tak lebih seperti pendengar setia.

“Abah nak dengar cerita tak? Iman tolong cikgu kat sekolah hari ni.”

Dia pun bercerita tanpa henti, dengan tangan dihayun ke sana ke sini.

Tetapi abah hanya dengar, angguk, dan masuk ke bilik. Abah penat. Ayahkah itu?

“Abah, tengok report card Iman.”

Abah ambil, baca, tutup kad, dan ucap tahniah.

Abah hanya pembaca laporan.

Bila masa abah wariskan kebaikan pada anak-anak? Bila kelebihan yang abah ada digunakan untuk membantu anak-anak? Adakah abah masih relevan dalam keluarga?

Abah seolah-olah hanya pergi kerja, beri 100% pada kerja, dapat gaji, dan akhir bulan,
“Nah belanja untuk korang.” Itu sahaja.

Adakah yang namanya abah itu hanya untuk bekerja, bekerja dan bekerja.

Balik ke rumah hanya untuk tinggal bersama keluarga tetapi tidak ‘hidup’ besama keluarga?

Abah diukur berdasarkan apa sebenarnya?

Kekayaan yang dibawa pada keluarga atau kejayaan hidup berkeluarga?

Abah seolah-olah berada dalam dunia lain. Abah bukan lagi ‘hidup’ di rumah.

Janganlah sampai Iman merasa seolah-olah hidup tanpa bapa. Harapnya kenangan bermain bersama, solat bersama sudah cukup untuk dia rasa sentuhan seorang ayah.

Jika mencontohi atok dan opah, ada 4 orang anak lelaki. Harapan atok, anak-anak lelaki boleh uruskan sendiri bila dia pergi. Anak-anak boleh angkat setiap penjuru mengiringi atok nanti.

Tetapi abah ni hanya ada seorang anak lelaki, tak mungkin Iman boleh angkat abah seorang diri. Harap-harap dia berkawan dengan kawan yang baik, yang boleh sama-sama tolong dia angkat abah nanti.


‪#‎drMAK‬
‪#‎BudakKripton‬