Tren ke Butterworth bergerak perlahan masuk
ke platform dan berhenti di hujung landasan. Beg ditarik laju mencari
koc yang tertera di atas tiket.
Sudah lama tidak menaiki tren.
Kali terakhir semasa ke Langkawi tahun 1997 dengan menaiki tren yang
berhenti di stesen Arau. Dari Arau menaiki teksi ke Kuala Perlis
mengambil feri ke Langkawi.
Sedang berjalan perlahan di laluan
tengah sambil meninjau nombor tempat duduk, seorang budak lelaki sekitar
7 tahun berlari melanggar peha dan mencelah lolos ke hadapan. Ah budak
ni, nak cepat ke mana agaknya.
“Maafkan anak saya encik, dia
seronok dapat naik tren,” bapanya yang menurut dari belakang mengangkat
tangan dan tersenyum sumbing.
“Takpelah, budak memang macamtu,” melegakan hati bapa yang dilanda rasa bersalah.
‘Haa, itu dia,’ terus menyelit duduk berhampiran tingkap dan beg sandang diletakkan di celah kaki.
Pooooonnnn! Tren mula bergerak perlahan menuju utara. Masing-masing melayan perasaan di tempat duduk.
Ada yang termenung memandang luar tingkap. Ada yang membaca novel. Ada
yang bersembang dengan jiran sebelah tempat duduk. Sesekali kedengaran
rengekan bayi menangis. Lapar susu barangkali. Tak lama kemudian senyap.
Leka melihat pemandangan di luar tingkap yang berlalu pantas.
Menyelusuri landasan ini, rencam aktiviti dan kehidupan masyarakat
dapat dilihat. Dalam negara yang dikatakan maju, masih lagi ada keluarga
yang hidup daif di atas tanah setinggan. Malah, di sesetengah tempat,
rumah buruk dibina atas rezab landasan. Anak kecil yang belum bersekolah
melambai-lambai tren yang lalu sehingga hilang dari pandangan.
Melihat satu demi satu bangunan melepasi pandangan, mata mula mengantuk.
Ketika hampir terlelap, terkejut mendengar nyaring suara kanak-kanak
kerusi depan bersoal jawab dengan bapanya. Oh, anak yang berlari tadi
dan bapanya duduk selang satu baris.
Bermula dari satu soalan,
soalannya semakin bertambah. Jika bercakap perlahan tidak mengapa,
masalahnya kenyaringan suara jelas mengganggu penumpang lain yang mahu
tidur. Jiran sebelah menyebelah mula mendengus masam mencuka.
Hilang terus mengantuk. Mula memasang telinga, apa sebenarnya yang dikecohkan budak ni.
“Abah, abah, itu apa?” sambil menunjuk ke langit.
“Itu awan.”
Budak itu leka mendongak melihat awan.
“Abah, abah, itu apa tu?” menunjuk ke arah banjaran beralun sebelah landasan.
“Itu gunung.”
Dia mengangguk-angguk. Hanya dia yang tahu mengapa.
“Abah, abah, itu apa tu?” menunjuk ke arah deretan pokok yang tumbuh di tepi landasan.
“Itu pokok.”
Penumpang berdekatan ada yang mula kegelisahan tidak dapat tidur
diganggu suara pertanyaan yang kuat. Ada yang berbisik, ‘takkan itu pun
tak tahu.’
“Abah, abah, tengok tu, tengok tu,” makin kuat suara budak itu.
“Apa dia?”
“Pokok-pokok tu lari pergi belakang kereta api.”
Bapanya hanya memeluk, “Abah sayang Iman.”
Selang 5 minit, budak itu menjerit lagi,
“Abah, abah, tengok tu, kereta api ni kejar awan tu.”
“Abah sayang Iman,” ayahnya memeluk lagi.
Lelaki duduk bersebelahan mereka mengangkat jari telunjuk ke bibir, diajukan kepada anak itu.
Ayahnya mengangguk-angguk faham.
“Abah, abah, dari tadi kereta api jalan, gunung besar tu tak pergi pun. Ada je ikut kita.”
Budak itu berteriak lagi. Nampaknya, budak tetap budak. Dia belum cukup matang untuk memahami.
Bapanya memeluk lebih erat sambil meletakkan jari telunjuk pada bibir
anaknya. Bimbang dimarahi penumpang lain yang sudah mula tak senang
duduk.
“Abah sayang Iman, abah sayang Iman.”
________________
Selepas menunaikan hajat, terhoyong hayang berjalan kembali ke tempat duduk mengikut ritma goncangan tren.
Dari jauh, anak tadi sudah lena di pangkuan bapanya.
Senyum pada bapanya, “Tuan, ini kali pertama ke dia naik kereta api?” menunjuk pada anaknya yang lena tidur.
“Dia kali pertama melihat semua ni.” Bapanya tersenyum nipis.
“Maksud tuan?”
“Anak saya ni buta sejak lahir encik. Baru 2 minggu lepas kami ke Kuala
Lumpur untuk pembedahan mata. Alhamdulillah, pembedahan berjaya. Hari
ini, hari pertama dia melihat semuanya selain dari apa yang ada di
hospital.”
Duduk di tempat. Hujan mula turun di luar. Dalam hati juga.
~Adaptasi kisah ditulis Stephen R. Covey~
#drMAK
#BudakKripton
No comments:
Post a Comment