Pages

Penulis di Facebook

Showing posts with label rakan karib. Show all posts
Showing posts with label rakan karib. Show all posts

Friday, 14 October 2016

(127) Ayah Pening Melayan Anak Terlalu Rapat Dengan Geng BFF

“Tengah hari ini, abang ambil Zulfa boleh? Tak larat lagi rasanya ni.” Mengusap perut yang masih senak keracunan makanan.

“Hmm, ok. Ambil Zulfa saja kan?” Bangun lemah dari sofa mencari kunci di bilik.

“Biasanya, geng BFF dia akan ikut sekali. Dalam 6 orang semuanya.” Serentak dengan sebutan BFF, terpacul ketawa kecil dari mama.

“Oo, yeke. Itu yang segan tu. Takpelah, nanti abang ambil semua sekali.” Mula membuka pintu rumah dan melambai pada mama tanda sudah mahu pergi.

_____

Titit! Pintu kereta bahagian tepi automatik menggelongsor dan terbuka. Sekumpulan kanak-kanak perempuan terjengul di muka pintu untuk masuk.

“Abah, kawan-kawan Zulfa ajak abah pergi Petronas. Dia orang nak beli makanan sebelum masuk kelas petang ini.”

Tersenyum-senyum menyampaikan pesan mohor besar kawan-kawan sebaya yang ramai-ramai berdiri di belakang dengan senyuman manis seperti mahu bernasyid. Aduh, kalah abah begini.

“Yelah, jom masuk dulu.”

Seronok mereka tolak menolak mengambil tempat duduk. Bergerak saja kenderaan, mereka sudah mula becok bersembang satu sama lain.

Menambah lagi kegamatan, boleh pula beramai-ramai menyanyikan lagu Harris J yang berjudul ‘I Promise’ itu. Abah pun apa lagi, turut serta jadi Harris K (sebab lepas huruf J, huruf K. Ok, tak lawak.)

Sampai saja Petronas, semua sudah tidak sabar mahu turun.

“Ok, ada duit ke masing-masing nak pergi membeli ni.” Berpusing ke belakang bertanya.

“Ada!” Masing-masing sudah bingkas bangun dan turun dari kereta.

“Zulfa, mari sini sekejap. Nah, ambil duit ini. Bayar untuk semua kawan-kawan nanti.” Bertutur perlahan tanpa didengari oleh kawan-kawan lain.

Tahu-tahu mereka sudah kecoh di luar kereta, “Yeay! Abah Zulfa belanja weii!”

Lalu bergerak berbondong-bondong masuk ke kedai Mesra seperti mendapat Dinar emas dari Ali Baba.

Habis membeli, masuk semula dalam kereta, masing-masing tersenyum simpul. Seronok sungguh bersama ais krim masing-masing.

Senyap sebentar. Ais krim dah penuh dalam mulut, mana nak dengar nyanyian lagu Harris J lagi. Lega telinga.

“Ok, kita dah sampai KAFA. Belajar elok-elok ye semua.”

“Terima kasih pakcik.” Seorang demi seorang bergilir-gilir turun sambil mengulang ucapan yang sama.

>>>

Jika tidak kerana mama Zulfa tak dapat nak ambil di sekolah tengah hari itu, memang abah tak pernah berpeluang nak kenal dengan geng BFF Zulfa.

Orang selalu cakap, susah jaga anak perempuan ni. Baik jaga lembu sekandang daripada anak perempuan seorang.

Bukan nak maksudkan anak perempuan tu lembu. Tidak sama sekali. Anak perempuan ni susah nak jaga kerana perlu cermat dan berhati-hati. Jiwa mereka halus. Fizikal mereka pun lembut. Bukan boleh dikasari sesuka hati.

Anak lelaki kalau kena rotan pun, steady lagi buat badan macam ‘Son Goku’ ala-ala kebal ada power. Anak perempuan ni, cubit sikit pun, kulit dah merah 3 hari tak hilang macam kena ruam.

Anak perempuan yang dah masuk awal remaja ni, kawan-kawan mereka memang ‘nyawa’ mereka. Fasa inilah wujudnya puak-puak bertelagah seperti geng BFF ke, geng cemolot ke, geng hug ketat-ketat ke, apa-apa geng sajalah.

Yang pasti, tujuannya adalah berkongsi minat, hobi, suka duka persekolahan dan mungkin ada yang dah mula cenderung ‘aku suka budak tu’, ‘kau suka siapa?’ atau apa saja persoalan yang menjurus kepada hati dan perasaan.

Fasa ini, jika mama dan abah tak kamceng sebagai kawan. Memang jawabnya banyak rahsia yang terpendam. Banyak perkara yang akan ketinggalan.

Semua rahsia hanya diceritakan pada kawan, kerana abah dan mama dilihat tidak ‘sehati sejiwa’ dengan mereka (bukan ke ini slogan hari kemerdekaan, macam mana boleh sampai sini).

Memang abah syukur sangat dapat kenal kawan-kawan Zulfa. Baik-baik semuanya. Siapa ada anak perempuan memang tahulah perasaan ini. Kita akan rasa tenang apabila anak perempuan berkawan dengan rakan-rakan yang tahu hormat orang tua.

Memang nampak kolot. Tetapi, dalam zaman ramai budak yang cakap main lepas sekarang ini, jika terselit yang berbudi bahasa, kita patut sujud syukur dua rakaat (jangan ikut pulak, mana datang sujud syukur ada rakaat).

Oh, bercerita tentang anak-anak yang mempunyai BFF, Amanda Rose penyelidik dari Miami University mendapati, kewujudan geng BFF ini boleh menjadi penyebab kepada kemurungan anak-anak.

Kemurungan itu boleh berlaku disebabkan oleh apa yang dipanggil co-rumination (tiada kaitan dengan ramen atau kamen rider).

Co-rumination ini bermaksud, perbuatan anak-anak yang sentiasa bercerita masalah dan perkara negatif dengan rakan-rakan. Mereka berkongsi masalah masing-masing namun berkisar kepada gosip, rungutan, komplen dan tiada langsung membincangkan cara penyelesaian.

Cerita-cerita negatif ini menyebabkan fikiran dan emosi mereka bertambah teruk. Jiwa yang kacau mengakibatkan kemurungan.

Namun, geng BFF ini, ada juga kesan positifnya.

Menurut kajian di University of Virginia diketuai oleh Joseph P. Allen dalam ‘Psychological Science’, Jurnal yang diterbitkan oleh Association for Psychological Science.

Anak-anak yang mempunyai geng BFF didapati;

1. Boleh menjadi orang dewasa yang mempunyai kesihatan yang lebih baik.

2. Boleh menjadi orang dewasa yang kurang stress.

Ini disebabkan interaksi sosial yang mengajar mereka tentang perbezaan keperluan setiap individu yang pelbagai ragam dan pengalaman mendahulukan keperluan rakan lain melebihi kepentingan sendiri apabila berada dalam kumpulan (geng).

Pengalaman ini membolehkan mereka lebih fleksibel dan bertolak ansur apabila menjadi orang dewasa.

Malah, Allen turut menjangkakan, anak-anak yang menghadapi masalah untuk mencari rakan baik mempunyai risiko mengalami masalah kesihatan (stress, depression, anxiety) apabila mereka menjadi orang dewasa.

Namun kedua-dua kajian hanya dapatan kepada sejumlah kecil remaja dan tidak mewakili remaja secara keseluruhan (kajian dijalankan di US).

Walau apapun, untuk melepaskan anak-anak bebas berkawan, ibu bapa dicadangkan cakna dengan siapa anak-anak menjalinkan hubungan.

Sebarang perubahan tingkah laku, perlu diperhatikan dan dihulurkan sokongan emosi untuk mengelakkan mereka mengalami tekanan atau kemurungan.

>>>

“Geng BFF Zulfa, Jom Wefie.”

“Yeayy! Sporting aah, abah Zulfa (abah kripton).”

'Dah dapat ais krim. Memanglahhh...'

#BudakKripton

Wednesday, 5 August 2015

(72) Mencari Rakan Hilang, Rupanya...

Minggu lepas, seorang rakan karib menelefon nun jauh dari Perlis. Saya kagumi rakan ini. Walaupun lama tidak ketemu asbab jarak yang jauh, tetapi rajin berhubung untuk bertanya khabar.

Wei, lama hang tak menulis di FB fasal apa?

Haha, aku menulis bila perlu je bro. Bila ada perkara yang bebaloi untuk dikongsi. Kalau senyap lama tu, mungkin sedang mencari bahan baru.

Tula, hang dah set standard tinggi. Hang punya post mesti ada ‘isi’ yang nak disampaikan. Aku dok tunggu. Tapi bila lama takdak, tertanya gak, mana hang pi? Kotla tak sihat.

Hang tunggu ka? Soryla, inshaa Allah, aku usahakan untuk menulis.

------

Semalam, seorang lagi sahabat dari Soton (Southampton), UK telefon ketika hampir waktu berbuka puasa. Ini juga sahabat yang dikagumi kerana gigih membawa keluarga ke sana untuk mencapai cita-cita akademik tertinggi.

Wei, mana hang pi bulan puasa ni?

Ada ja. Aku baru sebulan masuk kerja. Banyak benda nak kena adjust.

Ooo, aku dok tunggu gak, mana ‪#‎drMAK‬ dah lama tak menulis. Boleh jadi motivasi aku yang dok jauh ni.

Hang pun tanya benda yang sama. Nampaknya, aku kena usaha sungguh-sungguh ni. Tak boleh mengecewakan peminat, rasa tak syok. Hahaha.. (gelak kerana perkataan ‘peminat’ itu, sangat syok sendiri)

Baguihla, tulis tau.

(Kedua-dua mereka, rakan sama-sama memulakan kehidupan di Kedah dulu, jadi, maafkanlah jika dialog banyak berbunyi utara celup)



>>>

~Hakikatnya~

Dulu, memang saya update status di FB hanya untuk suka-suka. Tiada sebarang matlamat khusus yang ditetapkan. Tetapi lama kelamaan, terfikir betapa membazirnya masa yang dihabiskan ke FB jika tiada matlamat akhir. Pernah terfikir untuk deactivate saja dan tumpukan pada kehidupan sebenar.

Namun, selepas hadir Seminar FB menjadi Buku di Wisma Sejarah. Pandangan saya sedikit berubah. FB adalah alat, seperti pisau yang digunakan untuk memotong buah dan dimakan. Begitu juga FB, jika digunakan dengan betul, ianya akan menghasilkan ‘buah’ yang tak habis makan.

Beberapa eksperimen ‘kapal selam’, saya lakukan untuk mengkaji tingkahlaku pembaca di FB dan mencuba tips-tips yang diberikan. Ternyata, hasilnya luar biasa.

Saya pernah update status di FB, ‘more followers come with great responsibilities’. Saya serius! Update status bukan lagi bila teragak di hati, tetapi perlu sangat berhati-hati. Saya sedar dan ‘menggigil ketakutan’ memikirkan beban tanggungjawab atas apa yang ditulis.

Tanggungjawab itu yang menyebabkan tangan tidak ‘lancang’ seperti biasa. Sekali status telah di’post’, tali di tengkuk telah dipegang.

Memang ada yang kata, FB aku, suka hati akulah nak tulis apa! Memang FB kita, suka hati kita nak tulis apa. Tapi saya seolah-olah dibisik Malaikat Atid di telinga, “Buku amalan kau, suka hati akulah nak tulis apa”. Meremang tengkuk.

Saya sedar hidup ini bertuhan Allah, bukan bertuhan hantu.

Ini antara perkara yang saya amalkan di FB,

1. Hentikan Rungutan. Kasihan rakan yang baca status saya di FB, penat baca keluh kesah saya nanti. Elok mood baik, boleh ‘swing’ satu hari, sebab baca status saya.

2. Sebarkan Ilmu. Banyak ilmu yang dipelajari seharian tak sempat hendak disebar. Dengan adanya FB, gunakan untuk berkongsi. Jadikan rakan yang tak tahu, tahu. Manfaat pada mereka, pahala pada kita.

3. Rakan-rakan positif. Kita ada pilihan. Siapa kita, turut ditentukan oleh dengan siapa kita berkawan. Di alam realiti, atau alam FB, sama sahaja. Bukan bermakna memilih kawan. Boleh sahaja berkawan dengan semua orang, tetapi pilih yang selesa untuk dirapati. Jika kawan 24 jam kerja mencarut je, sesak dada nanti.

4. Henti Viralkan Kebodohan. Kata orang, senang nak glamour zaman sekarang. Buat sahaja benda bodoh, ramailah yang akan viralkan. Jika boleh, hentikan memberi tumpuan kepada kebodohan, kerana secara tak sedar, kita seolah-olah diperbodohkan juga.

Inshaa Allah, saya akan kembali dengan ‘content’ lebih berisi selepas ini. Doakan saya.

:)

#drMAK