Tanah tepi rumah ni memang sekangkang kera. Tetapi jika naik lalang, memang semak samun. Hati menengok pun jadi semak.
Biasanya aBangla rajin mengintai depan pagar rumah, “Abang, kasi potong
rumput abang?” Ini dah lama pula tak nampak batang hidung si mancung.
Adalah tu, dapat job di tempat lain. Biasanya mereka ni buruh kontrak
pemaju perumahan.
Bukan tiada mesin rumput di rumah. Tetapi
jarang digunakan. Ada 2 sebab, kadang-kadang minyak petrol yang dah
habis atau yang selalunya kerajinan yang dah habis, tinggal malas.
Hari itu, gagahkan diri membeli minyak dan top-up sikit kerajinan.
Bermulalah operasi memesin rumput. Mesin dah berbulan tak hidup, memang
tercabut urat kentut nak hidupkan. Tarik punya tarik, akhirnya sentapan
ke-25 baru nak hidup.
Bergemalah raungan mesin rumput yang bersemangat ingin menamatkan riwayat lalang-lalang yang angkuh bermaharajalela selama ini.
Seorang lelaki gagah bertopi baseball, spek besar menutup mata, glove
kain di tangan, kasut boot masuk hutan di kaki, dan memakai ‘niqab’
menutup muka memulakan operasi. Terhoyong hayang ke kiri ke kanan
menghayun mesin.
“Fuh, baru sedap mata memandang. Lapang je.”
Duduk bersandar di dinding menikmati pemandangan indah tanpa sehelai
lalang. Baru tamat fasa 1, fasa memotong. Fasa ke-2, fasa mengais rumput
yang dipotong, masuk plastik dan buang. Tarik nafas dalam. Minum
dululah.
“Iman! Iman! Tolong abah Iman.” Melaung dari pintu
belakang yang berkunci tetapi masih jelas kedengaran dialog kartun Ice
Age dari corong TV dalam rumah.
Tak lama, pintu terbuka. “Kenapa Abah?”
“Iman tolong ambil air dalam gelas penuh-penuh. Abah nak minum, haus.”
Dia bergegas menurut arahan. Menuang air sejuk yang diambil dari peti ais.
“Nah abah,” sambil menghulurkan gelas yang dipenuhi air.
“Abah tak boleh pegang gelaslah Iman. Tangan kotor. Boleh tak Iman suapkan abah minum?”
Dia tersengih-sengih. Tetapi dicuba juga suakan gelas ke mulut abah.
Abah lahap. Habis air segelas dalam satu nafas tanpa waqaf.
“Terima kasih Iman.”
“Sama-sama.”
“Nanti Iman besar, masa tu abah dah tua, dah tak larat nak minum sendiri. Iman suap macamni boleh?”
Dia mengangguk tidak memandang muka bergegas meletak cawan di sinki.
Abah pula yang tiba-tiba sesak dada. Mana tidak, itu satu-satunya anak
lelaki. Baik pun dia, nakal pun dia. Boleh pula masa begini nak
berdrama.
>>>
Entah kenapa. Anak lelaki yang ini
lebih rapat dengan mak. Terbalik dengan adik perempuan yang rapat dengan
abah. Mungkin kerana sikap abah yang tidak memanjakan anak lelaki.
Abah sedar, masa kecil inilah hendak rapat dengan anak. Apabila esok
dah besar, belum tentu mereka nak rapat dengan abah. Tengok pengalaman
orang lain, anak dah besar susah nak ikut famili ke mana-mana. Jika dah
berkawan, lebih membesarkan kawan.
Termenung sesekali, entah abah
ni, abah yang baik atau tidak. Abah sendiri tak pasti. Abah hanya
mencuba. Abah tidak pernah diajar bagaimana menjadi seorang ayah.
Abah hanya lihat atuk. Abah percaya, atuk, ayah yang baik. Segala yang abah buat, abah contohi atuk.
Tetapi ada masa, abah rasa, abah bukan ayah dalam ertikata sebenar.
Kadangkala abah hanya seperti hakim yang menjatuh hukum.
“Tunggu abah balik nanti, mama bagitahu abah.”
“Hah, abah dah sampai, nak dengar cerita apa diorang buat?”
Abah hanya mendengar cerita dan memutuskan hukuman. Itukah seorang ayah?
Pada lain masa, abah tak lebih seperti pendengar setia.
“Abah nak dengar cerita tak? Iman tolong cikgu kat sekolah hari ni.”
Dia pun bercerita tanpa henti, dengan tangan dihayun ke sana ke sini.
Tetapi abah hanya dengar, angguk, dan masuk ke bilik. Abah penat. Ayahkah itu?
“Abah, tengok report card Iman.”
Abah ambil, baca, tutup kad, dan ucap tahniah.
Abah hanya pembaca laporan.
Bila masa abah wariskan kebaikan pada anak-anak? Bila kelebihan yang
abah ada digunakan untuk membantu anak-anak? Adakah abah masih relevan
dalam keluarga?
Abah seolah-olah hanya pergi kerja, beri 100% pada kerja, dapat gaji, dan akhir bulan,
“Nah belanja untuk korang.” Itu sahaja.
Adakah yang namanya abah itu hanya untuk bekerja, bekerja dan bekerja.
Balik ke rumah hanya untuk tinggal bersama keluarga tetapi tidak ‘hidup’ besama keluarga?
Abah diukur berdasarkan apa sebenarnya?
Kekayaan yang dibawa pada keluarga atau kejayaan hidup berkeluarga?
Abah seolah-olah berada dalam dunia lain. Abah bukan lagi ‘hidup’ di rumah.
Janganlah sampai Iman merasa seolah-olah hidup tanpa bapa. Harapnya
kenangan bermain bersama, solat bersama sudah cukup untuk dia rasa
sentuhan seorang ayah.
Jika mencontohi atok dan opah, ada 4 orang
anak lelaki. Harapan atok, anak-anak lelaki boleh uruskan sendiri bila
dia pergi. Anak-anak boleh angkat setiap penjuru mengiringi atok nanti.
Tetapi abah ni hanya ada seorang anak lelaki, tak mungkin Iman boleh
angkat abah seorang diri. Harap-harap dia berkawan dengan kawan yang
baik, yang boleh sama-sama tolong dia angkat abah nanti.
#drMAK
#BudakKripton
No comments:
Post a Comment