Ada masanya kita sangat sibuk dan punyai masa yang sangat terhad bersama anak-anak.
Adakah wujud cara yang pantas untuk menzahirkan kasih sayang pada anak?
Bagaimana kita boleh memanfaatkan masa berkualiti bersama anak ke tahap
maksimum sehingga anak berasa puas dapat bersama dengan kita?
Kajian terkini menunjukkan manusia lebih cepat mentafsir emosi seseorang
melalui tingkah laku orang tersebut seperti ketawa, menangis,
tersenyum, masam muka dan sebagainya berbanding jika emosi itu hanya
diungkapkan dengan kata-kata.
Semasa sedang bermain, anak-anak
akan merasai kegembiraan ibu bapa apabila kita gelak ketawa bersama
mereka tanpa perlu kita katakan, “Abah seronok betul dapat main dengan
Iman hari ini.”.
Ketika tidak mendengar panggilan kita,
anak-anak menjiwai kesedihan seorang ibu apabila kita menangis di
hadapan mereka tanpa kita kata, “Mama sedih sangat korang taknak dengar
cakap mama.”
Selepas mengoyak sehelai kertas dari buku sekolah,
anak-anak merasai kemarahan kita apabila kita tenung wajah mereka
dengan mata besar dan muka serius tanpa perlu kita kata, “Kan abah dah
pesan jangan koyak buku, kenapa koyak juga?”
Jadi, bagi ibu
bapa yang sibuk dan kurang masa bersama anak. Jaga air muka dan gerak
bahasa badan kita. Tanpa kata-kata sekalipun, semua emosi yang bersarang
dalam dada kita akan dapat dibaca oleh anak-anak.
Apabila
bergembira bersama mereka, zahirkan kegembiraan dengan gelak ketawa,
geletek menggeletek, dukung mendukung, peluk memeluk, tanpa perlu kita
sebutkan langsung kita gembira. Mereka tetap faham.
Cadangan kata-kata yang boleh digantikan dengan tindakan.
“Jaga diri baik-baik di sekolah.” – Cium pipi kiri dan kanan.
“Abah sayang Zahraa.” – peluk erat 10 saat.
“Abah ambil berat kerja rumah.” – duduk di tepi ketika mereka siapkan kerja. Dengan melihat saja kadangkala sudah mencukupi.
“Terima kasih tolong mama.” – usap kepala mereka. Dari atas membawa ke muka.
Bayangkan jika kita tidak berbicara, tetapi melakukan tindakan begitu. Insya Allah, mereka masih memahami maksudnya.
#drMAK
No comments:
Post a Comment