Iman melompat masuk ke bahagian belakang Myvi dan menutup pintu. Kereta
mula bergerak dan masing-masing diam. Sengaja membiarkan dia
mengelamun, ‘Biarlah dia berehat, mungkin kepenatan berlatih
menyepak-nyepak tadi.’
Tiba-tiba Iman menyelit antara celah kerusi pemandu dan penumpang, “Abah, cuba teka, apa dia 3 binatang yang pemalu?”.
‘Allah. Kalau satu binatang, mudah lagi dijawab. Ini sampai tiga.’ Terpaksa berfikir juga sambil memandu.
“Ok, yang pertama, kura-kura, sebab dia akan sorok kepala dia dalam cengkerang bila jumpa orang.” Dengan yakin abah meneka.
“Ok betul, lagi?”
“Hmm.. kedua, siput, sebab kalau orang usik, dia akan masuk dalam cengkerang juga.”
“Orait, dua dah betul. Last? Ini yang paling pemalu.”
“Aduh, apa lagi ni. Ok Iman, abah rasa khinzir.”
“Eh, kenapa pula khinzir binatang pemalu abah?” Berkerut dahi cuba mencari kaitan khinzir dan sifat malu.
“Yelah dia pemalu, sebab mak dia khinzir. Khinzir kan pengotor.” Abah menjelaskan.
“Hmm.. abah mungkin betul, tapi jawapan Iman lain.” Iman berkompromi.
“Oh, bukan eh. Ok, abah ‘give up’. Apa jawapan dia?”
“Jawapan dia.. CICAK!”
“Aik, cicak macamana boleh pemalu pulak?” Giliran abah pula keliru.
“Cicak pemalulah abah. Bila nampak orang, dia lari laju-laju sampai terlupa nak ambil ekor!”
>>>
Anak-anak kita pasti suka bermain teka-teki. Dari teka-teki inilah datang jawapan yang kelakar dan menghiburkan.
Pemerhatian saya, jika tiba-tiba mereka bertanya soalan teka-teki, jawapannya pasti berada di sekeliling kita.
Zahraa pernah bertanya, “Apa dia kertas yang banyak nombor?” Selepas
memerhatikan sekeliling, saya menjawab, “Kalendar!” Ternyata jawapan itu
betul.
Kajian menunjukkan sifat kelakar yang ada dalam diri
kanak-kanak mempunyai kaitan dengan kecerdasan yang tinggi, kreatif,
mahir bersosial, mudah empati, tinggi harga diri, dan bijak menyelesai
masalah.
Menurut penyelidik psikologi, Louis Franzini dari San
Diego State University, kanak-kanak kelakar ini cenderung disenangi oleh
rakan-rakan dan guru.
Paul McGhee, penyelidik psikologi
kanak-kanak pula percaya, gelak ketawa yang dikongsi oleh kanak-kanak
bersama ibu bapa dapat mengeratkan lagi ikatan antara ibu bapa dan
anak-anak.
Sifat kelakar dalam diri anak-anak boleh dipupuk dengan cara;
1. Wujudkan satu masa untuk bergelak ketawa. Waktu makan adalah antara
yang terbaik. Ceritakan kisah kelakar, teka-teki , atau benarkan
anak-anak sendiri bercerita tentang kisah kelakar di sekolah. Cuma waktu
ini terdedah kepada risiko muka disembur nasi!
2. Berikan
‘subsidi ketawa’ apabila anak-anak menceritakan sesuatu yang kelakar
walaupun tidak kelakar bagi kita. Ketawa ibu bapa akan menjadikan
anak-anak lebih yakin untuk bercerita. (Namun, jika ada cerita yang
sensitif, tegur mereka supaya tidak menganggap pekara tersebut sebagai
lawak. Sebagai contoh, mengutuk rakan gemuk di sekolah)
3.
Galakkan mereka mencipta dan melontar teka-teki kepada ibu bapa. Semasa
menjawab, ibu bapa digalakkan memberi jawapan yang spontan dan diluar
pengetahuan anak (kadangkala tidak logik), supaya mereka dapat aktif
berfikir tentang jawapan yang diberi.
4. Ibu bapa sendiri menjadi
seorang yang kelakar. Jika ibu bapa adalah seseorang yang mempunyai
‘sense of humor’ yang tinggi, anak-anak pasti akan mengikut jejak
langkah. Jika ibu bapa mengalami keseriusan melampau, lupakanlah!
Menurut Norman Cousins, “Gelak ketawa adalah 'jogging mental' yang menyihatkan minda."
:)
#drMAK
Semoga harta memori kita dengan anak anak kekal sampai bila bila....
ReplyDeleteMama tengah drive di dalam hujan... tup tup anak dara bongsu (5 thn) yang di kerusi belakang bersuara, " Macam Adik dengan Long jer.... Adik yang pandek, sebab Adik kecik lagi, Adik dapat ketuk Long, tapi Long nak balas dendam, tak dapat-dapat.. hihihi".
Pening Mama sekejap. " Apa dia yg Adik cakap ni?".
"Tu! Yang gerak gerak kat depan cermin, sapu air hujan tu... hihihi... kesian Abang Long asyik kena ketuk".
Aduiih.... Di analogi kan wiper sebagai dirinya dan abangnya (geng wrestling).. Adik dapat 'ketuk' Abang (bila wiper pendek jatuh menyentuh bawah wiper panjang), tetapi Si Abang tak boleh balas ketuk Adik walaupun mengejar ke atas (bila wiper stop mid-way di atas)...
Blur sekejap Mama, sebelum ketawa berderai dengan si Kakak di sebelah... =)