Abah fokus mengorek
isi ketam masak lemak yang sangat tebal. Sedap. Anak-anak sibuk bermain
kepit ketam masing-masing. Bagi budak-budak, kepit yang tiada isi itu
pula yang lebih menarik.
“Abah, tadi kat sekolah, kawan Iman
ejek. Diorang ejek Iman ramai-ramai.” Mengadu sambil bersusah payah
menghisap isi di dalam penyepit ketam.
“Diorang ejek Iman apa?” Mengalih pandangan dari ketam yang tergolek dalam pinggan.
“Iman tak usik diorang pun. Diorang kata Iman kentut busuklah. Apalah.
Macam-macam lagi merepek.” Berkerut wajah tidak puas hati.
“Ala Iman, memang semua orang kentut busuk pun. Mana ada yang wangi. Rilekslah.” Tenang menjawab.
“Esok, mesti diorang ejek Iman lagi.” Kelihatan runsing di wajah. Memikirkan kejadian sama akan berulang esok.
“Macamni Iman. Kalau diorang ejek lagi. Iman pandang diorang,
kembangkan hidung, muncungkan mulut, buat macam hidu bau busuk. Selepas
tu, Iman pusing, terus pergi tempat lain”.
Pecah gelak tawa di meja makan melihat memek muka abah menunjukkan contoh.
______
Esoknya,
“Abah! Jadilah cara abah ajar semalam. Kawan Iman pelik pastu terkejut
tengok muka Iman. Diorang terdiam. Terus Iman pergi. Diorang tak kacau
dah.” Senyum puas.
“Bagus. Macamtulah. Iman kool je. Diorang tergamam tu, tak tahu nak balas apa.” Abah menepuk bahu.
‘Nasib baik menjadi’, getus hati.
>>>
Ejek mengejek ini memang biasa berlaku di sekolah. Sejak zaman P.Ramlee
pun dah ada. “Ini kepala bapa kau, ini kepala bapa dia, sekarang
pijak,” kata-kata batu api dalam filem Do Re Mi.
Siapa yang tak bengang bila nama bapa atau mak diejek-ejek. Sanggup bertumbuk demi mempertahankan maruah.
Ejek atau usikan ni terbahagi kepada dua jenis. Ada yang sihat dan ada
yang sakit. Usikan yang sihat boleh mengeratkan hubungan. Contoh,
“Karipap ni sikit sangat, esok bawalah lebih ye.” Usikan sebegitu tanda
persahabatan yang erat. Ejekan yang menyakitkan tidak perlu pada contoh,
terlalu banyak.
Apa yang menyebabkan ada kanak-kanak suka mengejek?
1. Perhatian – Mereka mahu dilihat. Dirasai kehadiran di kalangan
rakan-rakan. Bagi mereka, perhatian negatif (tindak balas dari yang
diejek) lebih baik daripada tidak diberi perhatian langsung.
2.
Meniru – Mereka kerap diejek oleh adik beradik yang lain atau cara
layanan ibu bapa yang kasar dan mempelekehkan mereka di rumah.
3. Kuasa – Mereka ingin rasa berkuasa atas sesuatu. Menjatuhkan orang lain membuat mereka rasa berkuasa.
4. Penerimaan – Mereka mahu diterima oleh kumpulan yang paling popular
di sekolah. Kebiasaannya kumpulan popular di sekolah adalah sekumpulan
pelajar yang membuli pelajar lain.
5. Perbezaan – Mereka masih
tidak memahami perbezaan. Melihat rakan yang ‘istimewa’, mereka hanya
nampak ‘keanehan’ yang boleh diketawakan.
Ibu bapa tidak perlu
melatah dalam hal ejek mengejek ini (pergi ke sekolah dan pukul
pengejek, Jangan!). Yakin bahawa anak kita mampu mengendalikan situasi
ini. Ini adalah cara mengasah kemahiran sosial yang sangat diperlukan
bila dewasa nanti. Apa yang perlu dilakukan, ajari mereka cara
mengendalikan ejekan.
Antara strategi yang boleh diajar;
1. Fikir, betul atau tidak apa yang diejekkan? – Jika betul, apa nak
dimarahkan, rileks je terima. Jika salah, lagilah tak perlu peduli.
Tiada kesan apa-apa pada kita. Pendek kata, “Rileks sudah.”
2.
Buat selamba – Muka ‘stone’ boleh menyebabkan pengejek lemau. Reaksi
membalas dengan kemarahan akan menggalakkan ejekan, maka, buat ‘toye’
sudah.
3. Aura Pelindung – Ini mungkin kelihatan kartun sedikit.
Tetapi boleh dicuba. Beritahu anak, bayangkan mereka ada pelindung
sekeliling mereka, ala-ala duduk dalam balang kaca. Apabila diejek,
semuanya akan terpantul. Seperti Superman tak lut peluru.
4.
Kejutan – Balas dengan ‘punch line’, “Haah, memang kentut aku busuk.
Bapa aku pun cakap macamtu.” Senyum (ini penting) dan pergi.
Pengejek perlukan reaksi balas dari anak kita untuk ‘berjaya’. Melihat
emosi anak kita ‘tidak lut’ akan mengecewakan mereka. Anak kita tidak
akan dicari lagi.
Berbalik kepada kisah tadi, apa yang berlaku
adalah ‘element of surprise’, kejutan yang berlaku menyebabkan pengejek
terkaku sebentar. Belum sempat mereka pulih dari ‘frozen’, anak kita
telah berlalu pergi. Kool!
:)
#drMAK
______
Kredit kepada Freedman, Judy S. (1999, Spring). Easing the teasing: How parents can help their kids cope. EARLY CHILDHOOD.
No comments:
Post a Comment