Pages

Penulis di Facebook

Monday, 3 August 2015

(70) Kongsi Keterujaan Anak, Kenangan Berkekalan

"Abah, cuba tengok ni." Sambil menggayakan pelindung badan taekwondo yang baru dibeli oleh mama dengan penuh keghairahan.

"Huih, hebatnya baju ni Iman. Ni kalau orang tumbuk, tak rasa sakit eh?" Sambil menumbuk kuat beberapa kali bahagian perut yang berlapik span tebal.

"Tak sakit pun, rasa sakit sikit je. Lepas tu, abah boleh pusing baju ni. Dua-dua belah boleh pakai. Boleh jadi warna merah, boleh jadi warna biru."

"Oo, canggih pelindung ni Iman. Abah dulu tak pernah belajar taekwondo, ini 1st time abah tengok baju pelindung taekwondo." Buat muka kagum dengan terangguk-angguk belek setiap inci baju.

“Kenapa abah tak belajar taekwondo dulu?”

“Atok tak bagi, takut abah jadi peminat K-Pop.” Tergelak besar berdekah-dekah.

Iman buat muka blur. Nampak sangat lawak tak jadi.



>>>

Memori akan kuat melekat dalam minda apabila ianya disertai emosi yang kuat seperti gembira, teruja, sedih, kecewa, marah, dan sebagainya.

Apabila anak-anak sedang mengalami emosi-emosi kuat ini, ibu bapa boleh mengambil kesempatan terbaik ini untuk ‘melekat’ dalam memori anak-anak dengan masuk ‘menyelam’ bersama emosi mereka dan raikan perasaan itu bersama-sama.

Cuba ingat kembali, apakah peristiwa semasa kecil yang masih lekat dalam memori kita sehingga dewasa melibatkan ibu bapa? Kebanyakannya mesti mempunyai jalinan emosi yang sangat kuat.

Sebagai contoh, semasa nak berkhatan buat kali pertama (Ops! Saya memang berkhatan sekali je, heheh). Ketika itu, perasaan ketakutan yang amat sangat datang apabila berhadapan dengan tok mudim. Tetapi, kehadiran abah memberi semangat yang menenangkan diri. Kata-kata semangat “Rileks, macam kena gigit semut je.” Semuanya masih jelas terbayang, sehingga dialog tadi juga masih diingati. (semutlah sangat!)

Lagi, peristiwa ‘sebatan tanpa bayang’ di kala maghrib masih jelas terbayang apabila bermain sehingga lewat pulang ke rumah. Kegerunan melihat tali pinggang terlilit di pinggang bertukar menjadi rotan segera dan abah yang tegak berdiri seolah-olah berkata “I am the power of universe!!!” (yang pernah tengok Heman tahula). Kesakitannya itu terasa-rasa sehingga kini. 2 hari, ‘mengengkang’ ke sekolah.

Satu lagi contoh akhir, tetapi ini dengan kawan. Kegemilangan disanjung dan dijulang sebagai hero kerana menangkap kayu sungkitan konda kondi dengan satu tangan menyebabkan habis mati giliran pihak lawan. Jeritan kegembiraan rakan-rakan sambil berlari berpelukan dan ucapan tahniah tidak putus seolah-olah menang emas gimnastik artistik senaman lantai (ehem!) sudah pasti tidak dapat dilupakan.

Semua kenangan di atas, sarat dan penuh dengan emosi. Gembira, takut, marah, dan teruja.
Maka, jika ibu bapa ternampak ada ruang untuk kita menyelit masuk ke ruang emosi anak-anak. Ambil segera kesempatan itu.

Dalam setiap emosi, ketika mereka sedih, gembira, teruja, kecewa, menangis, takut, dan sebagainya, dampingilah mereka. Cipta kenangan terindah yang ibu bapa mahukan bersama anak-anak pada saat itu.

Inshaa Allah, kenangan yang tercipta itu, akan kekal dalam memori anak-anak sampai bila-bila. Setiap kali mereka melalui emosi itu ketika dewasa, mereka akan teringat kenangan bersama kita.

Agak-agak ketika mereka sedang bersedih dan menangis gagal dalam peperiksaan, apakah kenangan yang ingin kita tinggalkan pada anak-anak?

------

Biasa dengar tak dialog macamni "Duduk gelak-gelak ni, teringat kenangan dengan abah dan mak masa kecik dulu.."

:)

#drMAK


No comments:

Post a Comment