“Abah, cuba tengok ni Zahraa dapat berapa?” Mengunjukkan kertas peperiksaan yang dah terlipat-lipat.
“Uishh! Zahraa dapat markah penuh eh! Tahniah!” Memeluk ketat meraikan kegembiraan.
Dia tersipu-sipu menerima penghargaan. Mengamalkan Teknik Nabi, usaha dibuat sebelum itu yang perlu dipuji, bukan keputusan yang diperolehi.
“Alhamdulillah, Zahraa dapat markah ni sebab Zahraa rajin belajar setiap hari kan. Zahraa selalu buat latihan yang mama bagi.” Sambil memandang wajah melihat reaksi.
“Taklah! Zahraa main buat je.” Tersengih dan berlalu pergi meninggalkan abah yang terjatuh rahang.
>>>
Ibu bapa mana yang tidak gembira melihat anak mendapat markah tinggi di dalam peperiksaan. Selepas bertungkus lumus mengajar semasa minggu peperiksaan. Berdoa dalam setiap akhir solat agar anak diberikan ilmu dan keputusan yang baik.
Namun, ibu bapa perlu berhati-hati dalam memberi pujian. Benar, apa yang dicontohkan oleh Nabi Muhammad (selawat atas baginda). Pujian diberi kepada usaha melakukan kebaikan.
Menurut kajian, anak-anak yang dari kecil sentiasa mendapat markah tinggi dan diberikan pujian dengan kata-kata, “Abang ni, memang budak pandai”, “Otak adik memang genius”, “Ibu tahu, kakak memang cerdik”, dan apa sahaja dialog yang memuji kepintaran, akan sukar menerima diri mereka melakukan kesilapan.
Apabila mereka membesar dengan mindset “Aku budak pandai”, ketakutan untuk melakukan kesilapan semakin meningkat. Apabila hadir cabaran baru dalam hidup, mereka akan mengalami dua keadaan. Satu, mengelak dari mencuba cabaran baru, Dua, berada dalam tekanan melampau, untuk mengelakkan diri melakukan kesilapan dan mengalami kegagalan.
Mereka ‘percaya’, budak pandai tidak boleh atau tidak sepatutnya melakukan kesilapan. Kepercayaan ini bahaya untuk pembelajaran, kerana tanpa kesilapan, mereka tidak akan belajar.
Menurut Jo Boaler, Profesor pendidikan matematik dari Standford University, “Kesilapan membantu pertumbuhan otak. Apabila kanak-kanak berhenti melakukan kesilapan, maka perkembangan otak turut terbantut”.
Kenyataan ini turut berkait rapat dengan pandangan Carol Dweck, Profesor psikologi yang dikenali dengan idea “Fixed mindset” dan “growth mindset”.
“Growth mindset” adalah individu yang percaya bahawa mereka akan semakin pandai dengan berlatih dan kerap melakukan sesuatu perkara dalam apa jua bidang.
Berbeza dengan individu “fixed mindset” yang percaya bahawa kepandaian mereka terhad kepada bidang tertentu dan telah ditentukan oleh genetik atau keturunan.
Contoh paling dekat ialah kepercayaan dalam masyarakat Malaysia, budak Cina memang keturunan mereka pandai matematik, budak Melayu memang tak berapa bagus dalam matematik.
Apabila kepercayaan ini ‘dianuti’, usaha yang dilakukan untuk memahirkan matematik akan menurun. Budak Melayu seolah-olah pasrah dengan ‘hakikat palsu’, “Aku memang tak pandai matematik”.
Ada juga yang meletakkan had tertentu. “Aku boleh belajar matematik setakat janjang je, kalau kamiran ke, pembezaan ke, yang keluar simbol macam not muzik tu, memang aku out!”. Ini contoh “fixed mindset” yang telah terbentuk tanpa disedari.
Yang terbaik untuk ibu bapa, apabila anak mendapat markah tinggi, puji usaha mereka. Apabila anak mendapat markah rendah, ucapkan "Tahniah!" Kerana dia berpeluang belajar dari kesilapan.
Apa yang penting, mereka terus belajar dan seronok belajar.
:)
#drMAK
terima kasih, perkongsian yang baik
ReplyDeleteSama-sama puan.
DeleteBaclground warna warni sangat mengganggu pembacaan. Mohon tuan ubah background tersebut
ReplyDeleteTerima kasih atas cadangan tuan. Saya akan buat perubahan untuk keselesaan pembaca. :)
Delete