Pages

Penulis di Facebook

Sunday, 2 August 2015

(69) Pemuda Membakar Al-Quran

Kebiasaannya ceramah agama hanya didengar di masjid dan surau. Di dalam dewan solat, jarang kelihatan kelompok remaja menekuni perkongsian ilmu oleh penceramah.

Apatah lagi remaja yang susuknya berambut panjang dan berwarna, memakai rantai, berbaju besar, dan bersubang di telinga. Tok siak pun mungkin berfikir sepuluh kali untuk mengajak mereka hadir ke surau.

Sungguhpun begitu, sebagai daie, saya merasai ada tanggungjawab besar yang perlu saya lunaskan kepada mereka. Saya mencari persamaan yang membolehkan saya memasuki dunia mereka dan memahami jiwa mereka.

Saya bermula dengan mengajak mereka bermain futsal bersama. Alhamdulillah, mereka mahu turut serta.

Sengaja saya mulakan permainan pada jam 4.00 petang sebelum masuk waktu Asar. Seronok mereka gelak ketawa sambil menyepak bola. Sengaja saya pilih gelanggang futsal yang terletak bersebelahan surau.

Apabila terdengar laungan azan Asar, saya mengajak mereka berhenti untuk solat Asar dulu dan sambung semula selepas solat. Seakan terpaksa (dan sudah terperangkap), masing-masing berhenti dan segera mengambil wuduk masing-masing.

Joe kelihatan berjalan lambat dan berfikir sesuatu.

"Kenapa Joe?" sambil berjalan beriringan dan merangkul bahu.

"Saya pakai seluar pendek ustaz, macamana nak solat?" Tuturnya perlahan dan risau.

Joe memakai seluar tiga suku yang labuh sedikit sahaja bawah lutut dan baju yang agak besar melebihi punggung. Sebelum sempat saya memberi saranan, dia telah menarik seluar sehingga mencecah ke keting dan bahagian atas punggung, masih ditutup oleh baju yang labuh.

"Macamni boleh solat ke ustaz?" Sambil memusingkan badannya untuk diperiksa.

Saya tersenyum, "Ok, cukup syarat tutup aurat."

Selepas solat Asar, mereka kembali bersegera menyambung permainan. Selepas bermain, semasa melepaskan lelah sebelum pulang ke rumah, saya memberi nasihat-nasihat agama yang mudah untuk mereka amalkan, ala-ala usrah santai.

Semakin hari, mereka semakin seronok meneruskan aktiviti riadah dan usrah. Perubahan semakin kelihatan pada tingkahlaku mereka.

------

Hari ini, kumpulan usrah berpeluang melihat proses pelupusan Al-Quran lama yang telah usang dan tidak lagi digunakan.

Kami dibawa menaiki kapal dan melihat bagaimana Al-Quran dibakar dan kemudiannya ditaburkan abunya ke laut.

Ahli usrah diberi peluang untuk merasai sendiri proses membakar dan membuang abu ke laut.

Masing-masing, diberikan senaskhah Al-Quran lama, dikoyak sehelai demi sehelai, dibakar dan dibuang abunya ke laut.

Selepas mendengar penerangan, masing-masing mengambil sudut masing-masing untuk melupuskan Al-Quran.

Saya melihat Joe, di satu sudut yang jauh dari rakan lain, masih kaku memegang Al-Quran dan termenung jauh menghadap Selat Melaka.

Saya menepuk bahu Joe, “Kenapa tak lupuskan lagi?”

Kelihatan air mata mula bergenang di kelopak matanya. Tangannya basah berpeluh memegang erat Al-Quran usang. Lama dia terdiam, mengambil masa untuk menuturkan kata.

Dalam lafaz tersekat-sekat, "Ustaz, seumur hidup saya, saya tidak pernah membaca Al-Quran. Saya tidak tahu membaca Al-Quran. Tiba-tiba pada hari ini, ketika saya dapat memegang Al-Quran selepas sekian lama, perkara pertama yang saya akan buat, mengoyak dan membakarnya. Saya tak sanggup ustaz."

Akhirnya tangisan yang lama tertahan terlerai. Joe menangis semahunya hingga terhenjut-henjut seluruh tubuh.

Saya terpempan.

"Ustaz, tolong ajar saya membaca Al-Quran ustaz. Saya nak membaca Al-Quran. Saya nak memahami Al-Quran.” Joe memeluk saya dan memohon bersungguh-sungguh.



>>>

Hari ini, Joe menjadi seorang Imam di surau berhampiran tempat tinggalnya. Joe bukan lagi Joe yang dulu. Benarlah, hidayah milik Allah. Bagaimana jelik seseorang di mata manusia. Allah tetap memandang penuh kasih sayang. Hidayah akan sampai pada mereka yang mencarinya.

Kita hanya diperintah berdakwah, tidak menghukum.


Nota:

*Saya dalam kisah ini adalah PU Izzat Fathi. Kisah inspirasi yang diceritakan dalam Grand Power Seminar (GPS) anjuran NLP Malaysia.

No comments:

Post a Comment