Pages

Penulis di Facebook

Tuesday, 11 August 2015

(74) Anak 7 Tahun Bertanya Tentang Hilang Dara!

Sedang abah khusyuk membaca ‘Advantura Pulang Ke Malaya’, tiba-tiba Zahraa masuk ke bilik dan bertanya soalan.

“Abah, apa maksud dara?” Dengan wajah jujur tidak tahu apa-apa.

Abah terkesima. Ayat apa paling mudah untuk memahamkan budak 7 tahun tentang ‘dara’.

“Hmm.. dara tu maksudnya.. orang yang belum kahwin,” dengan nada yakin tetapi gundah. “Dari mana Zahraa baca perkataan ‘dara’ tu?”. Tertanya-tanya dari mana dia ‘memetik’ perkataan itu.

Zahraa bingkas bangun berlari keluar dan kembali dengan majalah ‘genit’ di tangan.

“Zahraa baca kat sini”, sambil menunjukkan artikel dalam majalah yang dibuka.

‘Mastikar, patutlah..’, getus hati.

“Abah, kenapa tajuk dia tulis, Anak Kita Hilang Dara. Hilang dara tu apa?”. Sambil menunjukkan gambar seksi yang menjadi hiasan.

‘Ah sudah, tolong Allah, turunkan ilham..’ Menggaru kepala yang tidak gatal. “Hilang dara tu, maksud dia, orang yang kahwin tapi tak bagitahu mama dengan abah dia.

Kita tak boleh buat macamtu. Zahraa esok dah besar, nak kahwin, bagitahu abah dan mama tau..”.
Zahraa angguk.



>>>

Sekali sekala anak-anak bertanya soalan cepu emas begini, mesti ramai ibu bapa yang ligat mencari jawapan terbaik. Bahaya betul ‘headline’ yang digunakan oleh pengamal media sekarang.

Menurut kajian, media sememangnya antara faktor yang mempengaruhi tingkah laku anak-anak. Pada zaman ini, cabarannya lebih lagi. Bukan sekadar surat khabar dan majalah, ditambah dengan TV, internet, video games, whatsapp, wechat, dan sebagainya. Maklumat ‘menjalar’ sepantas kilat.

Apa yang membimbangkan, menurut kajian di US, berlaku peningkatan 400% konten seksual (berkisar hubungan lelaki dan wanita) dalam waktu siaran perdana (jam 7 petang hingga 10 malam) yang juga dikenali sebagai ‘family hour’. Waktu inilah kebanyakan ahli keluarga berkumpul di hadapan TV.

Dalam kajian Jennings dan Steven itu, mereka mendapati pendedahan kanak-kanak kepada konten seksual pada waktu tersebut menjejaskan pertimbangan moral kanak-kanak apabila mereka meningkat remaja.

Di Malaysia, waktu ‘family hour’ inilah sering disajikan kisah drama Suamiku Encik Sotong, Hati Perempuan, Isteri Luar Biasa, dan banyak lagi drama-drama yang dipenuhi nilai songsang di dalamnya.

Kesan dan akibat dari perbuatan songsang mereka dipaparkan sebagai ‘normal’, malah dianggap ‘sweet’. Sedangkan, di alam realiti, perbuatan itu bertentangan norma masyarakat malah agama!

Untuk mengekang pengaruh media, cara paling mudah, tutup atau ‘hilangkan’ TV dari rumah.

Namun, menghalang mereka menonton TV atau akses kepada media-media lain akan melemahkan literasi media anak-anak. Mereka kehilangan peluang untuk belajar lebih kritis dalam menilai info yang ‘terhidang’ di hadapan mereka. Anak-anak tidak selamanya hidup dalam ‘kepompong’.

Renee hobbs, Profesor Sekolah Komunikasi dan Media di University of Rhode Island menjelaskan, literasi media adalah kemahiran yang diperlukan untuk lebih efisien dalam menganalisis dan menilai mesej yang diterima dengan kritis.

Dalam keadaan anak-anak boleh mengakses media di mana-mana, anak-anak perlu tahu untuk bertanya soalan yang penting tentang apa yang dilihat, didengar, dan dibaca. Kemahiran ini termasuk kemampuan menggunakan teknologi untuk meluahkan perasaan.

Kesempatan menonton bersama-sama boleh diambil oleh ibu bapa untuk mengasah kemahiran anak-anak menginterpretasi media dengan bertanyakan soalan-soalan yang kritis.

Semasa menonton TV, tanya anak-anak, apa yang berlaku dalam cerita itu?, kenapa watak melakukan itu?, apa yang cerita ini cuba sampaikan pada kita?, betulkah apa yang dilakukan?, apa perasaan anak-anak melihat cerita itu?, kenapa drama itu dibuat begitu?, dan pelbagai soalan kritis lain.

Ibu bapa boleh berbincang tentang mesej yang dibawa oleh rancangan yang sedang ditonton. Perbincangan santai akan dapat menanamkan nilai agama dan moral sebenar yang perlu dianuti dan mengurangkan kesan negatif media.

Interaksi ibu bapa turut membantu kanak-kanak berfikir dengan matang dan menguatkan keupayaan membuat keputusan sendiri apabila meningkat remaja. Mereka belajar untuk mengkritik apa yang mereka lihat dan mendiskriminasi media yang membawa mesej songsang.

Kanak-kanak yang lemah literasi media lebih terdedah untuk dipengaruhi oleh mesej songsang yang dibawa oleh pelbagai media. Mereka tidak mampu membezakan antara realiti dan fantasi. Itu antara punca semakin banyak ‘kelakuan pelik’ tersebar di media sosial.

Semoga Allah pelihara anak kita.

#drMAK

No comments:

Post a Comment