"Rotan mendidik berbeza dengan rotan mendera" |
Lebih ke hadapan lagi, ada yang terus keras mengecam "ini undang-undang ciptaan Yahudi".
Baik, tulisan ini hanya pandangan seorang pelajar psikologi pendidikan, yang masih belum ada "kertas bukti" telah tamat belajar.
Daripada 'Amru bin Syu'aib, daripada ayahnya, daripada datuknya r.a katanya, sabda Rasulullah saw: "Perintahlah anak-anakmu mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun serta pisahkan tempat tidur mereka". (Hadith riwayat Abu Daud)
Ramai yang membaca hadith di atas dan menafsirkan dengan mudah, bahawa ini membuktikan anak-anak boleh dirotan. Dalil ini digunakan untuk "menghalalkan" merotan anak. Tetapi berapa ramai yang terlepas pandang, dalil ini juga dalil TANGGUNGJAWAB BESAR yang perlu ditunaikan oleh ibubapa.
Seawal anak berumur 7 tahun, ibu bapa telah dianjurkan supaya memerintahkan anak-anak untuk "mendirikan" solat (malah ada yang lebih awal). Bukan hanya sekadar tunggang tonggek solat, tetapi "mendirikan" dengan pemahaman yang jelas kenapa perlunya solat. "Roh" sebenar yang perlu ada dalam solat.
Ibu bapa diberikan 5475 waktu solat fardhu untuk mendidik anak mendirikan solat. 1095 set lengkap 5 kali sehari solat fardhu sebelum tiba umur 10 tahun.
Ibu bapa punya tanggungjawab memujuk, mengajar, menunjukkan, membetulkan, menyemak, memuji, dan mengimamkan mereka mendirikan solat. Berapa ramai yang melakukan itu sebelum merotan dibenarkan?
Malah, rotan yang dianjurkan adalah dalam isu akidah. Isu paling utama sebagai seorang Muslim. Berapa ramai yang hanya merotan apabila anak tak siapkan kerja rumah? Apabila anak bergaduh dengan rakan di sekolah? Apabila anak menolak air dalam cawan tertumpah? Tetapi masih rileks membiarkan anak menonton TV pada waktu Maghrib, sedangkan azan sedang berkumandang di masjid sebelah?
Dalam peringkat umur sebelum 10 tahun, fikiran mereka masih belum matang untuk menafsir ibrah. Cantiknya Islam mengajar kita supaya mengajar, memujuk, menunjukkan, memandu, menasihati, dan membetulkan setiap kali mereka tersilap arah. Hanya selepas semua telah dilakukan dan dicurah, barulah dibenarkan ibu bapa merotan. Malah rotan juga ada tertibnya. Bukan melepas geram sehingga cedera dan menyeksa jiwa.
Jangan dilupa, ibu bapa juga mempunyai 1095 set lengkap untuk menunjukkan kepada anak-anak bahawa mereka juga hamba Allah yang taat melakukan solat. Kerana ibu bapa adalah model paling hampir yang selalu dilihat. Jika ibu bapa juga masih celam celum dan meninggalkan solat. Maka, tangguhkan terlebih dahulu niat merotan. Kerana kemungkinan mereka sebenarnya yang perlu dirotan.
Mungkin hikmah berita ini adalah untuk mengejutkan kita supaya mencari semula apa yang diajar oleh Rasulullah. Apa pun, undang-undang ini tetap perlu diteliti lagi penjelasannya, kerana besar kesannya kepada perubahan sosiobudaya masyarakat.
Saya teringat di sekolah dulu, jika sudah berumur 15 tahun pun masih tidak tahu mengutamakan solat. Bukan sahaja rotan, malah sudah layak dilanggar dengan van kerana tak reti berhenti bermain bolasepak di tengah padang. Sedangkan azan Maghrib sedang berkumandang.
Terima kasih Ustaz.
#drMAK
No comments:
Post a Comment