Pages

Penulis di Facebook

Wednesday, 25 February 2015

(23) Pelumba Basikal Negara Gembira Jika "Tidak Ternama"

Selepas era kepantasan kayuhan Rosman Alwi dan M. Kumaresan, sukan lumba basikal tidak lagi begitu menarik untuk ditonton. Sukan lumba basikal seperti kehilangan hero yang boleh dicanang dan dizikirkan setiap masa di bibir, terutama bagi kanak-kanak yang baru terhoyong hayang mengayuh basikal.

Terkenang semasa zaman kanak-kanak dulu. Sewaktu mula pandai mengayuh basikal laju-laju. Nama Rosman Alwi sentiasa diulas ala-ala Arwah Hasbullah Awang (Al-Fatihah) semasa melakukan kayuhan deras untuk memintas kawan di garisan penamat penghujung jalan. Gaya mengangkat dua belah tangan meraikan kemenangan sambil terus mengayuh memang terbaik. Hebat pengaruh Rosman Alwi.

Itu kisah dulu. Sukan basikal mengambil masa yang lama untuk mencari hero baru.

Selepas begitu lama menunggu. Nama Josiah Ng muncul sebagai wira baru yang memenangi acara Keirin dalam Kejohanan Basikal Dunia.

Josiah sering bertarung dengan anak muda bertubuh kecil dari Terengganu, Azizulhasni Awang yang turut  menyerlah dalam acara Keirin di peringkat dunia. Pelumba begelar "The Pocket Rocketman" ini sangat energetik dan menarik untuk ditonton aksinya.

Kehadiran mereka berdua, mewarnai kancah lumba basikal negara.


Duo negara ini sering mengejutkan dunia dalam acara keirin!

Namun, Josiah Ng telah mengumumkan persaraannya baru-baru ini daripada dunia lumba basikal. Keputusan nekad dibuat apabila Josiah menyebut, "Saya tidak akan menyarung semula jersi ini dan saya teruja untuk menikmati kehidupan baru selepas ini."

Apa yang menarik adalah kata-kata Josiah seterusnya dalam temubual apabila diminta mengulas keseluruhan pembabitannya dalam sukan lumba basikal negara.

"Saya puas dengan pencapaian sepanjang mewakili negara dalam sukan lumba basikal. Saya gembira kerana dapat meninggalkan LEGASI. Malaysia telah ada Azizulhasni Awang (sambil menunjuk ke arah Azizulhasni) yang boleh mencapai kejayaan yang lebih hebat daripada saya. Malaysia juga telah ada ramai lagi pelapis yang akan mengikut jejak langkah saya."

"Saya gembira jika nama saya tidak lagi disebut-sebut selepas bersara. Ini bermakna saya telah meninggalkan LEGASI yang lebih berjaya. Jika nama saya sering disebut, ini menunjukkan kejayaan yang dikecapi hanya untuk diri saya dan saya gagal membantu orang lain untuk berjaya."

 Wow! Sangat besar jiwa pelumba ini. Seorang yang hebat, akan terserlah kehebatannya apabila meninggalkan LEGASI. Orang hebat sangat gembira apabila orang lain boleh melakukan lebih baik daripada apa yang pernah dilakukan.

Memang orang lain tidak akan menyebut namanya lagi selepas ini. Tetapi mereka yang merasai sumbang baktinya akan terus mengingati dan menyebut namanya dalam setiap kejayaan.

Selamat Bersara Josiah Ng! Anda atlet hebat!

~Ammar Muhamad~
#drMAK

Wednesday, 18 February 2015

(22) Abah pernah merangkak tak?

Sedang tertonggeng-tonggeng mengintai anak kucing yang baru belajar merangkak di bawah katil.

Tengok kucing merangkak pun boleh khayal!


Iman tiba-tiba menyoal dari belakang, "Abah pernah merangkak tak masa kecik dulu?"

"Mestilah pernah Iman. Takkanlah abah terus berjalan je." Tergelak kecil. Soalan tak logik, tapi itulah budak.

Dalam tertawa, fikiran jauh melayang. Monolog.

>>

Bukan dulu je Iman. Ikutkan, sekarang pun abah masih merangkak Iman.

Dulu, merangkak untuk berdiri.
Sekarang, merangkak untuk membina legasi.

Dulu, masa mula nak merangkak, bersusah payah mencari kerusi sofa untuk pegang berdiri.
Sekarang, nak mencapai impian perlu bersusah payah, mencari sokongan membina potensi diri.

Dulu, masa mula merangkak, ramai yang suka. Ramai yang bertepuk tangan memberi semangat.
Sekarang, bukan semua orang suka. Jika jatuh, lebih ramai bertepuk tangan.

Dulu, jika tersungkur ke lantai, ada opah tolong angkatkan.
Sekarang, jika terjatuh, doa opah yang boleh membangkitkan.

Dalam hidup, setiap satu pusingan, kita akan merangkak semula Iman.
Masa kecil.
Masa kanak-kanak.
Masa remaja.
Masa dewasa.
Masa tua.

Kita sentiasa merangkak sebelum berlari.
Merangkak bukan bermakna kita orang lemah Iman.
Merangkak bermakna kita orang normal.
Kerana tidak ada orang yang terus berlari.

>>

Oh! hanya monolog rupanya.
Takpelah Iman, satu hari, Iman akan faham,
Bila baca ini.

~Ammar Muhamad~
#drMAK

Tuesday, 17 February 2015

(21) Apa ada dengan Caliph Busker?

Secara tiba-tiba, nama ini memenuhi skrin newsfeed facebook.

Ramai yang mengakui beremosi dalam tangis mendengar lantunan suara si vokalis.

Tidak kurang yang terpegun kerana memandang "sebelah mata" vokalis yang "tiada mata".

Saya bukan penonton setia AJL, lalu saya perlu memastikan "kegilaan" ini adakah sama seperti "kegilaan" K-POP-CORN yang bingit sebelum ini.

Saya menonton di youtube sambil menanti jika saya juga "tersampuk".

Caliph Busker

Lalu, saya dapati,

+ Vokalis bernama Azmi ini tidak nampak apa-apa.
+ Penonton yang membuat "standing ovation", tahu yang penyanyi ini tidak nampak mereka berdiri.
+ Sorakan ribuan penonton yang menggegar, menakutkan penyanyi yang biasa hanya ditonton orang lalu lalang.

Kesimpulannya,
+ Penyanyi "melihat" sorakan penonton dengan "hati".
+ Penyanyi "bercakap" dengan penonton dari "hati".
+ Penyanyi menyanyi sepenuhnya dari "hati".

Apabila yang memberi "dari hati",
Maka, yang menerima juga "tiba di hati".
Tak hairan Azmi menyentuh banyak hati.
Tahniah Caliph Busker!

~Ammar Muhamad~
#drMAK
:)

(20) Apa ada dengan Zamani Slam?

Susuk kurus ini kelihatan digari dan diminta menyanyi oleh polis. Lalu disebar atau tersebar atas nawaitu apa, Wallahua'lam.

Di zaman keemasan karier beliau. Suaranya hanya satu seumpamanya di corong radio. Istimewa. Sepertimana mendengar Awie Wings, Amy Search, dan Saleem Iklim.

Tangkap leleh kalau dengar suara Zamani

Walaupun sengaunya seakan mamat exist, tetapi lenggok suaranya boleh menyebabkan pelajar perempuan di asrama lemah lutut terduduk di kaki lima. Menangis tersedu-sedu. Alunan suara Zamani sangat mendayu, ibarat kucing bunting meminta ikan.

Bagi lelaki yang "jiwang karat". Lagu-lagunya wajib dihafal untuk mencairkan hati "bakal awek" semasa cubaan mengorat di kantin sekolah. Suara halus pitch tinggi belum baligh, itu tolak tepi.
Siapa yang mampu meluruskan rambut seperti Zamani sehingga menutup muka, saham abang angkat paling hot semakin tinggi. Perlu isi borang lagaknya.

Ya, bak kata Shaari Amri, kenapa dia jadi seperti sekarang, boleh tanya Dato' CT. Tapi aku tak akan bertanya. Dendam lama masih ada. CT sebaya aku. Ahh! malas nak ungkit. Sia-sia aku sokong dia nyanyi lagu "jerat percintaan" dulu. Dia lupa diri. Sama macam aku tak sedar diri. Padan muka aku.

Tapi, Zamani jatuh kerana "serbuk putih", bukan "Qu Puteh". Kemasyhuran adalah ujian besar untuk dia. Sebagai peminat, aku simpati. Dia tak sepatutnya jadi begini.

Jelas, populariti tak semestinya hadir dengan kebahagiaan. Bagi yang mengejar populariti, kita insafi kisah ini.

Buat abang polis, aku faham keterujaan berjumpa penyanyi lagu tema percintaan dengan isteri masa muda dulu. Tapi bak kata zombie kampung pisang, "Jangan over".

Simpan dalam handphone sendiri sudah. Tengok dengan isteri sambil makan kacang.

Hormatilah dia. Sebagai manusia.

~Ammar Muhamad~
#drMAK
:)

(19) Anak Yang Kecewa Dengan Bapa

Kisah hujung minggu.

Sedang bersiap-siap memakai baju. Mengenakan minyak wangi. Menyisir rambut dengan tergesa-gesa sambil memandang cermin.

"Abah nak pergi mana?" Memandang wajah abah kehairanan.

"Abah ada kursus hari ni dengan esok." Sambil membetulkan tali pinggang.

"Abah ni asyik takde kat rumah je. Hari cuti je abah takde," merungut sambil berjalan keluar bilik.

Menuruti dari belakang. "Abah nak tambah ilmu. Jadi orang pandai. Macam Zahraa juga, suka pergi sekolah."

"Yelah. Takpelah. Zahraa dapat salam abah pun jadilah." Menghulurkan tangan.

Sad Girls by JordansArt

>>

Allah.
Biasa je setiap hari bersalam waktu pergi dan balik sekolah.
Tapi sentuhan hari cuti juga yang dia nanti.

Apalah angan-angan dia sebenarnya?
Membayang keseronokan bergurau senda bersama abah?
Membayang buaian dihayun abah di taman permainan?
Membayang abah berbasikal sama di tepi tasik?

+ Harap abah tak hampakan Zahraa.

Sunday, 15 February 2015

(18) Bapa Bakal Ditinggal Anak

Sebelum Maghrib, aku baru pulang dari berjumpa pensyarah di Universiti. Berjalan longlai dalam keadaan penat fizikal dan mental.

Tiba-tiba disapa anak. "Abah, malam ni, jom main catur dengan Iman nak?". Sambil memegang pergelangan tangan abah.



"Abah penat ni Iman. Sakit kepala. Esok esoklah." Tanpa memandang wajah anak, terus masuk ke bilik.

Aku terdengar perbualan perlahan di luar bilik,  "Mama, abah taknak main. Iman nak berlatih dengan siapa?".

Isteri masuk ke bilik. "Abang tak tengok ke muka dia penuh harapan nak main dengan abang?".

Allah. Aku tersedar. Di bibir, kata menyokong. Tapi perbuatan, tidak mendorong.

Dengan wajah bersalah. "Iman, abah mandi, kita solat Maghrib sama. Lepas tu, kita main."

Sambil tersenyum, "Terima kasih abah". Iman mula mencari papan catur. Semangat semula.

Terdetik di hati. "Allah, semoga dia tidak menolak aku semasa hari tua nanti."

~Ammar Muhamad~
#drMAK

(17) Kenangan Bersama Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (Aku Sayang Tok Guru)

[ Aku Sayang Tok Guru ]

Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat


Dulu,
Semasa masih bersekolah rendah,
Abah pernah bawa ke Ceramah Tok Guru di Kampung Kerinchi.
Ceramah Tok Guru tidak segarang Arwah Ustaz Fadzil Noor,
Tiada lawak jenaka seperti Mat Sabu,
Tetapi mantik Tok Guru sangat hebat,
Hingga budak kecil seperti aku boleh faham analogi yang dicerita.

Usai ceramah,
Berasak-asak orang berebut mahu bersalam Tok Guru.
Aku perhatikan dari jauh.
Apabila orang mahu mencium tangannya,
Sepantas kilat Tok Guru menarik segera.

Aku teringat,
Salam Ulama', boleh dapat berkat.
Entah kuasa luarbiasa dari mana.
Tubuh kecil aku menyusup di celah-celah orang ramai.
Sedar-sedar, Tok Guru sudah di depan mata.
Aku capai tangannya, aku cium lama.
Aku pelik.
Kenapa Tok Guru tak tarik tangan?
Siap usap kepala.

Aku bertanya abah.
Abah kata, sebab engkau budak-budak.
Ah, untungnya jadi budak-budak.

Bila dapat 4A,
Aku beritahu mak,
Ini berkat Tok Guru,
Mak hanya senyum.

Aku sayang Tok Guru.
Aku ikuti setiap ucapannya sehingga dewasa.
Pesannya sentiasa syurga dan neraka.

Tapi aku pelik,
Ramai juga yang caci maki Tok Guru.
Mungkin jubah putih lusuh itu kolot pandang mereka.

Hari ini, Tok Guru sudah tiada.
Pergi aman menuju pencipta.
Sukar mata ini untuk pejam lena.
Mata seperti berpasir pula.

Allah.
Aku sayang Tok Guru.
Layaknya dia sebagai ahli syurga.
Kerana dia bukan hanya membawa Islam untuk dirinya,
Malah dia berpesan pada aku sama.

Selepas ini tiada lagi bayang Tok Guru,
Yang tinggal hanya nama,
Bersemadilah dengan aman Tok Guru,
Semoga aku dapat berjumpamu di sana.

~Ammar Muhamad~
#drMAK

Friday, 6 February 2015

(16) Anak-anak suka membaca? Tips galakkan lagi!

“Mar, hari tu, aku ada baca kau tulis pasal "multiple intelligence". Tapi masa tu kau just bagitau macamana tanda-tanda budak tu ada kepandaian yang pelbagai. 

Tapi macam aku ni, aku nampak anak aku memang suka sangat baca buku. Kalau dapat pegang buku, memang dia boleh hadap sampai khatam dalam sehari je”, Siti memandang aku tak berkelip.


“Baguslah macamtu, membaca kan jambatan ilmu. Orang bijak pandai cakap, kalau nak jadi bijak, kena banyak baca buku”, aku tersenyum.


“As parents, kalau dah tahu macamtu, apa kita kena buat eh?”, Siti kelihatan bersungguh.

Dah suka membaca, galakkan lagi!



“Ok, aku kongsi apa aku buat eh, tak semestinya berjaya, tapi kita usaha”, aku cuba membantu.



1. Jika tiba-tiba anak bertanya tentang sesuatu yang kita sendiri kurang arif. Kita boleh tolong carikan buku yang boleh menjawab soalan tu. Sebagai contoh, kalau anak bertanya tentang kisah Baginda Rasulullah, kita cari buku tentang Baginda Rasulullah yang mudah dihadam oleh kanak-kanak. Sekarang dah banyak buku-buku sirah yang sesuai untuk pemahaman kanak-kanak, berwarna-warni, ada ilustrasi. Hadiah pada dia untuk dibaca. Tak perlu diceritakan, minta dia baca dulu. 


2. Katakanlah dah habis baca satu kisah, minta dia ceritakan semula kisah yang dia telah baca. Lebih baik jika dia bercerita sambil menggayakan ala pertandingan bercerita di sekolah tu. Selain mendengar apa yang dia faham, boleh asah bakat bercerita sekali. Kita hanya jadi pendengar dan penepuk tangan yang setia. Sebab, bila kita rajin mendengar, dia akan semakin seronok bercerita. Bila kehabisan cerita, dia akan minta lebih buku untuk dibaca. Lebih banyak buku dibaca, lebih banyak ilmu ditimba.


3. Sekali skala, elok juga diberikan buku pantun, saja, gurindam, kisah klasik Melayu untuk pelbagaikan kosa kata dia. Sebab bahasa Melayu tinggi ni semakin pupus dah sekarang. Eloklah kalau kita kenalkan. Kalau kita tak faham, boleh minta dia bertanya pada cikgu di sekolah. Dari situ, kita mengajar “cara mencari jawapan”. 


4. Jika ada pesta buku, terutamanya yang besar seperti PBAKL atau BBW. Bawa dia memborong buku bersama. Kebiasaannya dia ada kecenderungan genre tertentu. Tapi elakkan novel cinta yang merapu seperti ikan bawal bercinta dengan ikan kerapu. Tak sama taraf, bla bla bla. Jauhkan. Pandu untuk dia memilih novel motivasi atau kehidupan realiti yang lebih memberi kesan kepada jati diri.


5. Jika dia minat penulis buku, contoh Ain Maisarah ke. Cubalah cari peluang untuk bertemu penulis. Bawa dia berhadapan, berinteraksi, dapatkan tandatangan penulis. Pengalaman interaksi akan membakar semangat. Tidak mustahil, dia juga akan mula menulis. Chop! Satu lagi, sekarang ni dah ada facebook. Bantu dia cari penulis diminati, galakkan dia memberi komen tentang buku yang dibaca kepada penulis. Jika dibalas penulis, ini juga motivasi besar untuk dia.


6. Jika dia dah mampu menulis, kita galakkan lagi dia menulis. Mula dengan menulis dalam FB sendiri pun boleh (kena pantaulah). Minta dia tulis komen tentang buku yang dia baca. Biar dia guna ayat dia sendiri. Mula-mula memang banyak kekurangan, nanti lama-lama mesti improve. Jika dah sedap dibaca, boleh bantu dia hantar penulisan ke mana-mana majalah, macam dewan pelajar ke. Jika disiarkan, bertambah-tambah lagi motivasi.


7. Jika dia minat dengan pementasan di sekolah. Galakkan dia menulis skrip-skrip drama. Kita ajar sikit ilmu penceritaan sinetron yang kita selalu tengok (kalau tak nonton sinetron, boleh nonton filem yang gred A). Minta dia tulis babak demi babak. Kita nasihatkan apa yang perlu ditambah atau dibuang. Satu hari, boleh menulis skrip drama bercorak keislaman yang nampaknya kurang di TV sekarang.


“Nampak macam susah nak buat je?”, kerut Siti.


“Mula-mula memang susah. Lama nanti, jadi senang. Kesan dia jangka panjang. Kita buat sikit-sikit, inshaa Allah”, aku senyum meyakinkan.

~Ammar Muhamad~