Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat |
Dulu,
Semasa masih bersekolah rendah,
Abah pernah bawa ke Ceramah Tok Guru di Kampung Kerinchi.
Ceramah Tok Guru tidak segarang Arwah Ustaz Fadzil Noor,
Tiada lawak jenaka seperti Mat Sabu,
Tetapi mantik Tok Guru sangat hebat,
Hingga budak kecil seperti aku boleh faham analogi yang dicerita.
Usai ceramah,
Berasak-asak orang berebut mahu bersalam Tok Guru.
Aku perhatikan dari jauh.
Apabila orang mahu mencium tangannya,
Sepantas kilat Tok Guru menarik segera.
Aku teringat,
Salam Ulama', boleh dapat berkat.
Entah kuasa luarbiasa dari mana.
Tubuh kecil aku menyusup di celah-celah orang ramai.
Sedar-sedar, Tok Guru sudah di depan mata.
Aku capai tangannya, aku cium lama.
Aku pelik.
Kenapa Tok Guru tak tarik tangan?
Siap usap kepala.
Aku bertanya abah.
Abah kata, sebab engkau budak-budak.
Ah, untungnya jadi budak-budak.
Bila dapat 4A,
Aku beritahu mak,
Ini berkat Tok Guru,
Mak hanya senyum.
Aku sayang Tok Guru.
Aku ikuti setiap ucapannya sehingga dewasa.
Pesannya sentiasa syurga dan neraka.
Tapi aku pelik,
Ramai juga yang caci maki Tok Guru.
Mungkin jubah putih lusuh itu kolot pandang mereka.
Hari ini, Tok Guru sudah tiada.
Pergi aman menuju pencipta.
Sukar mata ini untuk pejam lena.
Mata seperti berpasir pula.
Allah.
Aku sayang Tok Guru.
Layaknya dia sebagai ahli syurga.
Kerana dia bukan hanya membawa Islam untuk dirinya,
Malah dia berpesan pada aku sama.
Selepas ini tiada lagi bayang Tok Guru,
Yang tinggal hanya nama,
Bersemadilah dengan aman Tok Guru,
Semoga aku dapat berjumpamu di sana.
~Ammar Muhamad~
#drMAK
No comments:
Post a Comment