Pages

Penulis di Facebook

Wednesday, 25 February 2015

(23) Pelumba Basikal Negara Gembira Jika "Tidak Ternama"

Selepas era kepantasan kayuhan Rosman Alwi dan M. Kumaresan, sukan lumba basikal tidak lagi begitu menarik untuk ditonton. Sukan lumba basikal seperti kehilangan hero yang boleh dicanang dan dizikirkan setiap masa di bibir, terutama bagi kanak-kanak yang baru terhoyong hayang mengayuh basikal.

Terkenang semasa zaman kanak-kanak dulu. Sewaktu mula pandai mengayuh basikal laju-laju. Nama Rosman Alwi sentiasa diulas ala-ala Arwah Hasbullah Awang (Al-Fatihah) semasa melakukan kayuhan deras untuk memintas kawan di garisan penamat penghujung jalan. Gaya mengangkat dua belah tangan meraikan kemenangan sambil terus mengayuh memang terbaik. Hebat pengaruh Rosman Alwi.

Itu kisah dulu. Sukan basikal mengambil masa yang lama untuk mencari hero baru.

Selepas begitu lama menunggu. Nama Josiah Ng muncul sebagai wira baru yang memenangi acara Keirin dalam Kejohanan Basikal Dunia.

Josiah sering bertarung dengan anak muda bertubuh kecil dari Terengganu, Azizulhasni Awang yang turut  menyerlah dalam acara Keirin di peringkat dunia. Pelumba begelar "The Pocket Rocketman" ini sangat energetik dan menarik untuk ditonton aksinya.

Kehadiran mereka berdua, mewarnai kancah lumba basikal negara.


Duo negara ini sering mengejutkan dunia dalam acara keirin!

Namun, Josiah Ng telah mengumumkan persaraannya baru-baru ini daripada dunia lumba basikal. Keputusan nekad dibuat apabila Josiah menyebut, "Saya tidak akan menyarung semula jersi ini dan saya teruja untuk menikmati kehidupan baru selepas ini."

Apa yang menarik adalah kata-kata Josiah seterusnya dalam temubual apabila diminta mengulas keseluruhan pembabitannya dalam sukan lumba basikal negara.

"Saya puas dengan pencapaian sepanjang mewakili negara dalam sukan lumba basikal. Saya gembira kerana dapat meninggalkan LEGASI. Malaysia telah ada Azizulhasni Awang (sambil menunjuk ke arah Azizulhasni) yang boleh mencapai kejayaan yang lebih hebat daripada saya. Malaysia juga telah ada ramai lagi pelapis yang akan mengikut jejak langkah saya."

"Saya gembira jika nama saya tidak lagi disebut-sebut selepas bersara. Ini bermakna saya telah meninggalkan LEGASI yang lebih berjaya. Jika nama saya sering disebut, ini menunjukkan kejayaan yang dikecapi hanya untuk diri saya dan saya gagal membantu orang lain untuk berjaya."

 Wow! Sangat besar jiwa pelumba ini. Seorang yang hebat, akan terserlah kehebatannya apabila meninggalkan LEGASI. Orang hebat sangat gembira apabila orang lain boleh melakukan lebih baik daripada apa yang pernah dilakukan.

Memang orang lain tidak akan menyebut namanya lagi selepas ini. Tetapi mereka yang merasai sumbang baktinya akan terus mengingati dan menyebut namanya dalam setiap kejayaan.

Selamat Bersara Josiah Ng! Anda atlet hebat!

~Ammar Muhamad~
#drMAK

No comments:

Post a Comment