Pages

Penulis di Facebook

Wednesday, 18 February 2015

(22) Abah pernah merangkak tak?

Sedang tertonggeng-tonggeng mengintai anak kucing yang baru belajar merangkak di bawah katil.

Tengok kucing merangkak pun boleh khayal!


Iman tiba-tiba menyoal dari belakang, "Abah pernah merangkak tak masa kecik dulu?"

"Mestilah pernah Iman. Takkanlah abah terus berjalan je." Tergelak kecil. Soalan tak logik, tapi itulah budak.

Dalam tertawa, fikiran jauh melayang. Monolog.

>>

Bukan dulu je Iman. Ikutkan, sekarang pun abah masih merangkak Iman.

Dulu, merangkak untuk berdiri.
Sekarang, merangkak untuk membina legasi.

Dulu, masa mula nak merangkak, bersusah payah mencari kerusi sofa untuk pegang berdiri.
Sekarang, nak mencapai impian perlu bersusah payah, mencari sokongan membina potensi diri.

Dulu, masa mula merangkak, ramai yang suka. Ramai yang bertepuk tangan memberi semangat.
Sekarang, bukan semua orang suka. Jika jatuh, lebih ramai bertepuk tangan.

Dulu, jika tersungkur ke lantai, ada opah tolong angkatkan.
Sekarang, jika terjatuh, doa opah yang boleh membangkitkan.

Dalam hidup, setiap satu pusingan, kita akan merangkak semula Iman.
Masa kecil.
Masa kanak-kanak.
Masa remaja.
Masa dewasa.
Masa tua.

Kita sentiasa merangkak sebelum berlari.
Merangkak bukan bermakna kita orang lemah Iman.
Merangkak bermakna kita orang normal.
Kerana tidak ada orang yang terus berlari.

>>

Oh! hanya monolog rupanya.
Takpelah Iman, satu hari, Iman akan faham,
Bila baca ini.

~Ammar Muhamad~
#drMAK

No comments:

Post a Comment