Sampai di bahagian atas, Iman memerhatikan wanita-wanita Jepun berjubah mengambil gambar di sekitar ruang legar masjid. Ada juga yang mendongak melihat lukisan awan larat yang terlakar di kubah besar. Semoga Allah berikan hidayah kepada mereka.
“Abah, kenapa perempuan lebih banyak aurat dari lelaki? Ustaz kata, semua kena tutup, kecuali tapak tangan dan muka.”
‘Sudah, dah mula dah soalan mencemaskan untuk dijawab.’
“Orang lelaki pula, dari pusat ke lulut je, kenapa ye abah?” sambil memandang wanita-wanita Jepun berjubah yang berjalan lalu di hadapan kami. Pasti inilah punca soalan ini tercetus.
“Orang perempuan ni sangat berharga Iman. Tinggi nilainya. Cuba Iman tengok barang-barang mahal di kedai, semua berbungkus kan? Ada dalam kotak, ada dalam bungkus hadiah, diikat cantik-cantik. Sebab apa? Sebab nak jaga barang tu. Bila orang nak tengok, baru orang kedai bukakan bungkusan.”
(idea jawapan memang diceduk dari kisah-kisah pernah baca sebelum ini, abah tenang je jawab)
“Ooh, samalah macam lego Iman. Lego kan mahal, sebab itu dia masuk dalam kotak kan abah?”
“Haa, macamtulah lebih kurang.” ‘Macamana boleh tersasar ke lego pulak ni, takpelah, janji sel-sel otak mula berhubung’.
“Tapi abah, maknanya orang lelaki ni tak berharga lah eh?”
(Abah terjelepok ke lantai, berbuih mulut..)

>>>
Dua hari saya cuba mencari jawapan kepada soalan ‘mudah’ tetapi memerangkap diri sendiri. Takkanlah lelaki tidak berharga pulak kan? Selak-selak Al-Quran dan temui ayat ini,
“Lelaki (suami) itu pelindung kepada perempuan (isteri), kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan), dan kerana mereka (lelaki) telah memberikan nafkah daripada hartanya. Maka perempuan-perempuan yang solehah, adalah mereka yang taat (kepada Allah) dan menjaga diri ketika (suaminya) tiada, kerana Allah telah menjaga (mereka).... (hingga akhir ayat)”
Surah An-Nisa (4:34)
Lama saya mengulang-ulang memahami ayat ini.
Subhanallah, lelaki (suami) bukanlah tidak berharga, tetapi ‘kurang aurat’ itu disertakan dengan tanggungjawab besar agar mereka boleh menjadi pelindung kepada perempuan (isteri) dan membanting tulang lebih kuat (badan mesti tegap macam abang sado) untuk memberi nafkah kepada perempuan (isteri) dan anak-anak.
Manakala isteri pula membalas dengan taat kepada Allah dan memelihara diri hanya kepada suami.
Jelas, lelaki itu tugasnya melindungi, perempuan itu hadirnya disisi untuk dilindungi.
Malulah lelaki yang ‘kelebihan’ Allah beri hanya digunakan untuk makan, baring, dan tidur di rumah sambil mengharap isteri melakukan segala-segalanya .
Tiba-tiba saya teringat kata-kata pakcik Peter Parker (uncle Ben), “Remember, with great power, comes great responsibility."
__________
NOTA:
Dalam respon di FB kepada soalan Iman Ahmad ini, seorang rakan pembaca, Puan Jamilah Hassan memberikan jawapan yang menarik!
:)
#drMAK
No comments:
Post a Comment