Duduk
melangut di pusat servis kereta sememangnya membosankan jika tidak
diisi sebarang aktiviti. Siaran TV Astro yang terpasang seperti biasa
adalah ulangan cerita yang dah basi. Mujur ipad dibawa bersama, boleh
juga mengisi masa dengan hobi menulis yang baru berbunga.
Sedang
asyik menekan papan kekunci comel yang dihubung ‘gigi biru’ ke ipad,
tiba-tiba lengan saya dicuit berkali-kali oleh orang sebelah.
"Ayah, ayah, nak main game ni.” Jari telunjuk kecil menuding ikon aplikasi game di skrin telefon pintar Samsung.
"Nak main game yang mana satu?" Sambil buat-buat menjenguk telefon pintar yang dipegang.
Anak kecil berusia sekitar 3 tahun ini berpusing memandang. Matanya
bulat memandang wajah saya yang sedang tersenyum. Baru tersedar, suara
ayahnya berbeza. Dia tersipu-sipu.
"Haa, silap ayah ye.." Saya mengusik.
Rupanya tersalah cuit. Ayah duduk di sebelah kanan, yang dicuit di sebelah kiri.
Cepat-cepat berpusing ke kanan, mencuit ayah yang sebenar. Ayah tersenyum melihat anak yang malu-malu kucing.
Tidak puas hati agaknya termalu, dia menoleh merenung wajah saya.
Terus senyum meleret. Sangat comel.
>>>
Dalam kesibukan menjalankan tugas sebagai seorang pekerja, menjalankan
perniagaan, atau apa sahaja pekerjaan, masihkah kita punya masa untuk
bergurau dengan anak-anak?
Gurauan meninggalkan kesan emosi yang
sangat baik untuk anak-anak. Imej wajah ibu bapa yang tersenyum dan
bergelak ketawa semasa bergurau akan kekal sebagai kenangan bahagia yang
melekat di dalam memori anak-anak sehingga dewasa.
Sekurang-kurangnya, ketika kita sedang melalui fasa pekerjaan yang
sangat sibuk dan tiada masa untuk bergurau dengan mereka, mereka akan
lebih memahami dan boleh bergantung sementara kepada kebahagiaan yang
pernah mereka alami.
Agak-agak, bila kali terakhir kita bergurau dan mencium anak-anak?
Abu Hurairah R.A meriwayatkan, suatu ketika Baginda Rasulullah s.a.w
mencium cucu Baginda, Hassan, dan ketika itu Al-Afra bin Habis At-Tamimi
ada duduk bersama Baginda s.a.w. Al-Afra lalu berkata, “Aku ada sepuluh
orang anak, tetapi aku tidak pernah mencium seorang pun daripada
mereka. Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda, “Sesiapa yang tidak
menyayangi anak-anak, tidak akan disayangi dan dirahmati Allah.”
Ramai ibu bapa yang mengamalkan mencium anak ketika menghantar dan
pulang dari sekolah. Ini memang amalan yang sangat baik. Sebagai
tambahan, ibu bapa boleh bergurau saat itu untuk menghiburkan hati
anak-anak, malah ibu bapa juga boleh terhibur dengan keletah anak-anak.
Kita bekerja untuk kebahagiaan keluarga. Jika pekerjaan menghakis
perhatian dan masa kepada keluarga, dari mana datangnya keluarga
bahagia?
:)
#drMAK
No comments:
Post a Comment