Pages

Penulis di Facebook

Wednesday, 19 August 2015

(78) Ayah Tidak Tahu Binatang Paling Pemalu, Anak Lelaki Beri Jawapan

Iman melompat masuk ke bahagian belakang Myvi dan menutup pintu. Kereta mula bergerak dan masing-masing diam. Sengaja membiarkan dia mengelamun, ‘Biarlah dia berehat, mungkin kepenatan berlatih menyepak-nyepak tadi.’

Tiba-tiba Iman menyelit antara celah kerusi pemandu dan penumpang, “Abah, cuba teka, apa dia 3 binatang yang pemalu?”.

‘Allah. Kalau satu binatang, mudah lagi dijawab. Ini sampai tiga.’ Terpaksa berfikir juga sambil memandu.

“Ok, yang pertama, kura-kura, sebab dia akan sorok kepala dia dalam cengkerang bila jumpa orang.” Dengan yakin abah meneka.

“Ok betul, lagi?”

“Hmm.. kedua, siput, sebab kalau orang usik, dia akan masuk dalam cengkerang juga.”

“Orait, dua dah betul. Last? Ini yang paling pemalu.”

“Aduh, apa lagi ni. Ok Iman, abah rasa khinzir.”

“Eh, kenapa pula khinzir binatang pemalu abah?” Berkerut dahi cuba mencari kaitan khinzir dan sifat malu.

“Yelah dia pemalu, sebab mak dia khinzir. Khinzir kan pengotor.” Abah menjelaskan.

“Hmm.. abah mungkin betul, tapi jawapan Iman lain.” Iman berkompromi.

“Oh, bukan eh. Ok, abah ‘give up’. Apa jawapan dia?”

“Jawapan dia.. CICAK!”

“Aik, cicak macamana boleh pemalu pulak?” Giliran abah pula keliru.

“Cicak pemalulah abah. Bila nampak orang, dia lari laju-laju sampai terlupa nak ambil ekor!”



>>>

Anak-anak kita pasti suka bermain teka-teki. Dari teka-teki inilah datang jawapan yang kelakar dan menghiburkan.

Pemerhatian saya, jika tiba-tiba mereka bertanya soalan teka-teki, jawapannya pasti berada di sekeliling kita.

Zahraa pernah bertanya, “Apa dia kertas yang banyak nombor?” Selepas memerhatikan sekeliling, saya menjawab, “Kalendar!” Ternyata jawapan itu betul.

Kajian menunjukkan sifat kelakar yang ada dalam diri kanak-kanak mempunyai kaitan dengan kecerdasan yang tinggi, kreatif, mahir bersosial, mudah empati, tinggi harga diri, dan bijak menyelesai masalah.

Menurut penyelidik psikologi, Louis Franzini dari San Diego State University, kanak-kanak kelakar ini cenderung disenangi oleh rakan-rakan dan guru.

Paul McGhee, penyelidik psikologi kanak-kanak pula percaya, gelak ketawa yang dikongsi oleh kanak-kanak bersama ibu bapa dapat mengeratkan lagi ikatan antara ibu bapa dan anak-anak.

Sifat kelakar dalam diri anak-anak boleh dipupuk dengan cara;

1. Wujudkan satu masa untuk bergelak ketawa. Waktu makan adalah antara yang terbaik. Ceritakan kisah kelakar, teka-teki , atau benarkan anak-anak sendiri bercerita tentang kisah kelakar di sekolah. Cuma waktu ini terdedah kepada risiko muka disembur nasi!

2. Berikan ‘subsidi ketawa’ apabila anak-anak menceritakan sesuatu yang kelakar walaupun tidak kelakar bagi kita. Ketawa ibu bapa akan menjadikan anak-anak lebih yakin untuk bercerita. (Namun, jika ada cerita yang sensitif, tegur mereka supaya tidak menganggap pekara tersebut sebagai lawak. Sebagai contoh, mengutuk rakan gemuk di sekolah)

3. Galakkan mereka mencipta dan melontar teka-teki kepada ibu bapa. Semasa menjawab, ibu bapa digalakkan memberi jawapan yang spontan dan diluar pengetahuan anak (kadangkala tidak logik), supaya mereka dapat aktif berfikir tentang jawapan yang diberi.

4. Ibu bapa sendiri menjadi seorang yang kelakar. Jika ibu bapa adalah seseorang yang mempunyai ‘sense of humor’ yang tinggi, anak-anak pasti akan mengikut jejak langkah. Jika ibu bapa mengalami keseriusan melampau, lupakanlah!

Menurut Norman Cousins, “Gelak ketawa adalah 'jogging mental' yang menyihatkan minda."

:)

#drMAK

Tuesday, 18 August 2015

(77) Tak Memotong, Ikut Kiri

Dua hari lepas, sambil memandu di atas Highway PLUS yang indah permai, saya memberi ceramah pemanduan berhemah kepada isteri.

Saya berada di lane kiri, dalam had kelajuan yang dibenarkan oleh PDRM.

"Cuba tengok kereta lane kanan ni, sampai kita yang memandu belah kiri boleh potong dia." Saya menunjukkan viva yang dipandu tenang seorang brader di lane kanan.

"Eh, tak salah kan? Kalau kita nak laju, memang ikut lane kanan kan?" Tingkah isteri.

"Kalau sampai kita yang di kiri boleh potong dia, laju apanye.." saya mencebik.

Saya berbesar hati nak kongsi 1 tips atas Highway yang ramai mungkin tidak perasan.

Lorong kanan adalah untuk memotong. Ulang sekali lagi MEMOTONG. Bukan kira, "Aku bawak LAJU."

Jika LAJU, jadilah macam brader viva tadi. Bawa 90km/j dah terasa laju. Ambil lorong kanan. Inilah penyebab 'tat jem' bermaharajalela di atas highway.

Orang belakang yang nak memotong dah bagi lampu macam disko, lip lap lip lap pun, buat donno je.

Etika sepatutnya, jika kita di lane kiri, dalam kelajuan yang hampir menghidu asap ekzos kereta hadapan, dengan sopan, bagi signal ke kanan, tik tik tik tik, ubah haluan bila pasti tiada kereta di lane kanan.

Selepas memotong, terus masuk semula ke lane kiri, kerana kita TIDAK LAGI MEMOTONG.

Tak kisahlah, jika kelajuan di lane kiri mencecah 150km/j (kena speed trap, tahniahlah). Kekal di lane kiri selagi tiada kereta di hadapan.

Yang penting, lane kanan hanya untuk MEMOTONG. Bukan untuk bersiar-siar di Taman Tasik Taiping.

Tak percaya?

Hari ni ramai akan pulang ke kampung, cuba perhati senario ini;
Masa menaiki bukit, kita akan perasan. Sebiji kereta yang merangkak memanjat bukit, tapi gigih duduk di lane kanan. Lori belah kiri rileks je potong. Apa hal?

#drMAK

~Gambar Hanya Semata-mata Hiasan~

Monday, 17 August 2015

(76) Ibu Hampa, Anak Lelaki Selalu Hilangkan Barang

Petang itu, saya menghenyakkan punggung di bangku marmar buat melepaskan lelah usai urusan melapor diri kembali bertugas (selepas 2 tahun bercuti).

Sekali sekala membiarkan diri melayang-layang berimaginasi liar adalah terapi terbaik membebaskan diri dari ‘penjara’ kehidupan rutin.

Dari jauh, kelihatan seorang ibu dan anak lelaki berjalan beriringan keluar dari Pusat Asuhan sambil bercakap-cakap.

Si anak khusyuk memberi fokus pada ‘bumble bee’ yang dipusing-pusing untuk ditukar menjadi kereta barangkali. Manakala si ibu tiba-tiba terhenti lalu memangku beg dan membuka zip atas yang sedikit terbuka.

“Abang, pencil box abang mana?” Merenung tajam wajah anak, menunggu jawapan.

Diam.

“Abang, ibu check dalam beg ni, takde pencil box abang. Abang tinggal kat mana-mana ke?”

Diam. Menggaru peha sehingga terjungkit seluar.

“Ibu tanya ni, abang ingat tak? Ingat tak kat mana abang letak pencil box abang?” Suara makin soprano.

Krik Krik Krik. Anak itu kelihatan merenung jauh menembusi badan ibunya hingga tiba ke Singapura. Sangat jauh.

Si ibu menggeleng kepala kehampaan. Untungnya, dia mengajak si anak berpatah balik. Operasi mencari barangkali (Ops! Pencil).

Saat itu, emosi si ibu masih ‘kental bertahan’.

Saya berbisik, ‘All the best ibu!’



>>>

Melihat senario begini, teringat anak lelaki saya. Hilang barang? Biasa. Tak hilang barang itu yang luar biasa, haha..

Pemerhatian saya, anak lelaki saya, kurang memberi tumpuan kepada apa yang berlaku di sekeliling, terutamanya bila dia sudah mula ‘tenggelam’ dalam aktiviti kegemarannya.

Ini yang menyebabkan dia sering kehilangan barang. Lebih tepat, lupa kat mana letak.

Budak lelaki memang terkenal dengan kelasakan. Mereka boleh melompat, berlari, berguling, main sepak-sepak tanpa henti dengan kawan-kawan seolah-olah telah dibekalkan ‘powerbank jenama pineng’.

Memang ini cara mereka menghabiskan tenaga berlebihan sebelum lampu merah ultraman mula menyala pada waktu malam (musim ultraman jadi makmum, sengaja selit).

Kelasakan ini yang sukar dibezakan oleh ibu bapa dengan penyakit seperti ADD, ADHD, atau hiperaktif (ibu bapa boleh buat kajian lanjut tentang penyakit-penyakit ini).

Ini kerana, 10% daripada kanak-kanak hari ini didiagnos mengalami ADD atau ADHD. Kebanyakan mereka pula LELAKI!

Kanak-kanak ini 2 KALI GANDA lebih mungkin ke bilik kecemasan berbanding kanak-kanak lain!
Jangan panik dulu. Secara umumnya, tempoh daya tumpu kanak-kanak lelaki sememangnya lebih pendek berbanding perempuan (namun, masih berbeza mengikut kanak-kanak itu sendiri).

Malah, anak-anak yang normal juga masih berkemungkinan untuk aktif bergerak secara rawak (lompat, guling, memanjat, berlari) tanpa henti.

Secara umumnya, daya tumpu normal bagi kanak-kanak 2 tahun kebiasaannya sekitar 6 minit. Ini adalah tempoh dimana mereka boleh memberi sepenuh perhatian pada aktiviti yang sedang dilakukan.

Bagi kanak-kanak yang memasuki taska pula kebiasaannya mereka mampu memberi tumpuan sekurang-kurangnya 15 minit (maaf, menonton TV sampai berjam-jam itu tidak menunjukkan daya tumpu anak-anak kita tinggi ye..hehe..).

Ramai ibu bapa mungkin tertanya-tanya, bagaimana mahu menjadikan anak lelaki lebih fokus, supaya mereka lebih mudah belajar, dapat markah tinggi, dan lebih penting, kurang mengalami kecederaan!

Sedikit perkongsian,

1. Rehat – Jika sedang mengajar apa-apa subjek, aturkan agar ada waktu rehat di antara sesi pembelajaran.
Susun seperti rancangan TV. Ada iklan antara drama. Daya tumpu mereka kan takat 15 minit je, cecah je minit terakhir, “Jom rehat! Kita lompat dulu.” Haha..
Anak lelaki perlukan pergerakan fizikal untuk mengembalikan daya tumpu mereka. Cuba search ‘energizer game’.

2. Tukar – Budak lelaki mudah bosan dengan informasi atau cara belajar yang sama. Bila matematik je, buku latihan. Buku latihan je, matematik.
Sekali sekala, cuba ubah kepada jawab secara lisan ataupun bermain apps matematik di tablet (sekali sekala ye..). Bukan apa, kepelbagaian cara ni menarik perhatian lalu memanjangkan daya tumpu mereka.

3. Sentuh – Anak lelaki tertarik kepada sesuatu yang boleh dirasa, disentuh, bau, dan lihat. Semakin banyak deria yang digunakan dalam aktiviti yang dilakukan, semakin mereka faham dan seronok untuk memberi tumpuan dalam sesi pembelajaran.

4. Bergerak – Biarkan mereka bergerak semasa belajar. Boleh saja meniarap, berjalan, beralih tempat, kerana inilah cara mereka ‘membuang’ tenaga.
Kadangkala kita terlupa, “Apa gerak-gerak ni, cuba duduk diam-diam, fokus sikit belajar”. Heheh.. mereka fokus sebenarnya, dalam bergerak. Tak perlu duduk ‘kejang’ di meja.

5. Lawak Sengal – Ibu bapa boleh cuba jadi pelawak. Semasa menyampaikan pengajaran, boleh je tiru gaya Farid ismeth (baca berita), gaya Ah Cai (Johan suka buat), gaya Dr. Fadzillah Kamsah (motivator), ikutlah..
Janji menghiburkan anak-anak. Budak-budak ni suka bersukaria. Hiburkanlah.

6. Soal – Takleh syok sendiri nak menghabiskan topik. Berhenti sebentar, tanya anak, ada tak yang dia tak faham? Pastikan kemusykilan mereka diatasi dulu, jika tidak, tak guna kita terus mengajar, kerana dalam otak mereka, ada ‘unsolved mystery’ yang sedang di’conan’kan (siasatlah tu..).

7. Positif – Berikan label yang positif. Tukar perkataan hiperaktif kepada energetik. Tak boleh dijangka kepada fleksibel. Kuat berangan kepada imaginatif. Tak ikut arahan kepada kreatif. Suka melawan kepada suka berdikari. Pelik kepada unik atau istimewa. 
Kita akan lebih positif dan kurang stress!

:)

#drMAK

Wednesday, 12 August 2015

(75) 'Tragedi' Six Pack

Iman baru sudah mandi. Keluar dari bilik air dengan badan sekeping berbalut tuala.

"Abah, respect tu apa?"

"Respect tu hormat." Tanpa menoleh kerana khusyuk membaca 'Pilo Toq'.

Lama Iman diam. Berfikir apa entah. Kemudian, dia bertanya lagi.

"Abah, yang kat perut Iman ni orang panggil apa?" Menunjal ruas di perut yang berbentuk 'potato bun'.

"Owh, itu 'six pack' Iman. Bukan 'respect'." Terhambur tawa.

"Apa fungsi 'six pack' ni abah?"

"Takde fungsi apa Iman. Kalau kita selalu 'exercise', perut kita jadilah six pack." Masukkan unsur nasihat menjaga kesihatan.

"Abah takde six pack kan? Sebab dah banyak lemak!" Berlalu pergi meninggalkan abah menggenggam keras buku 'pilo toq'.

'Ceh, orang dah bagi ilmu baru, kita pulak kena balik'

:)

#drMAK



Tuesday, 11 August 2015

(74) Anak 7 Tahun Bertanya Tentang Hilang Dara!

Sedang abah khusyuk membaca ‘Advantura Pulang Ke Malaya’, tiba-tiba Zahraa masuk ke bilik dan bertanya soalan.

“Abah, apa maksud dara?” Dengan wajah jujur tidak tahu apa-apa.

Abah terkesima. Ayat apa paling mudah untuk memahamkan budak 7 tahun tentang ‘dara’.

“Hmm.. dara tu maksudnya.. orang yang belum kahwin,” dengan nada yakin tetapi gundah. “Dari mana Zahraa baca perkataan ‘dara’ tu?”. Tertanya-tanya dari mana dia ‘memetik’ perkataan itu.

Zahraa bingkas bangun berlari keluar dan kembali dengan majalah ‘genit’ di tangan.

“Zahraa baca kat sini”, sambil menunjukkan artikel dalam majalah yang dibuka.

‘Mastikar, patutlah..’, getus hati.

“Abah, kenapa tajuk dia tulis, Anak Kita Hilang Dara. Hilang dara tu apa?”. Sambil menunjukkan gambar seksi yang menjadi hiasan.

‘Ah sudah, tolong Allah, turunkan ilham..’ Menggaru kepala yang tidak gatal. “Hilang dara tu, maksud dia, orang yang kahwin tapi tak bagitahu mama dengan abah dia.

Kita tak boleh buat macamtu. Zahraa esok dah besar, nak kahwin, bagitahu abah dan mama tau..”.
Zahraa angguk.



>>>

Sekali sekala anak-anak bertanya soalan cepu emas begini, mesti ramai ibu bapa yang ligat mencari jawapan terbaik. Bahaya betul ‘headline’ yang digunakan oleh pengamal media sekarang.

Menurut kajian, media sememangnya antara faktor yang mempengaruhi tingkah laku anak-anak. Pada zaman ini, cabarannya lebih lagi. Bukan sekadar surat khabar dan majalah, ditambah dengan TV, internet, video games, whatsapp, wechat, dan sebagainya. Maklumat ‘menjalar’ sepantas kilat.

Apa yang membimbangkan, menurut kajian di US, berlaku peningkatan 400% konten seksual (berkisar hubungan lelaki dan wanita) dalam waktu siaran perdana (jam 7 petang hingga 10 malam) yang juga dikenali sebagai ‘family hour’. Waktu inilah kebanyakan ahli keluarga berkumpul di hadapan TV.

Dalam kajian Jennings dan Steven itu, mereka mendapati pendedahan kanak-kanak kepada konten seksual pada waktu tersebut menjejaskan pertimbangan moral kanak-kanak apabila mereka meningkat remaja.

Di Malaysia, waktu ‘family hour’ inilah sering disajikan kisah drama Suamiku Encik Sotong, Hati Perempuan, Isteri Luar Biasa, dan banyak lagi drama-drama yang dipenuhi nilai songsang di dalamnya.

Kesan dan akibat dari perbuatan songsang mereka dipaparkan sebagai ‘normal’, malah dianggap ‘sweet’. Sedangkan, di alam realiti, perbuatan itu bertentangan norma masyarakat malah agama!

Untuk mengekang pengaruh media, cara paling mudah, tutup atau ‘hilangkan’ TV dari rumah.

Namun, menghalang mereka menonton TV atau akses kepada media-media lain akan melemahkan literasi media anak-anak. Mereka kehilangan peluang untuk belajar lebih kritis dalam menilai info yang ‘terhidang’ di hadapan mereka. Anak-anak tidak selamanya hidup dalam ‘kepompong’.

Renee hobbs, Profesor Sekolah Komunikasi dan Media di University of Rhode Island menjelaskan, literasi media adalah kemahiran yang diperlukan untuk lebih efisien dalam menganalisis dan menilai mesej yang diterima dengan kritis.

Dalam keadaan anak-anak boleh mengakses media di mana-mana, anak-anak perlu tahu untuk bertanya soalan yang penting tentang apa yang dilihat, didengar, dan dibaca. Kemahiran ini termasuk kemampuan menggunakan teknologi untuk meluahkan perasaan.

Kesempatan menonton bersama-sama boleh diambil oleh ibu bapa untuk mengasah kemahiran anak-anak menginterpretasi media dengan bertanyakan soalan-soalan yang kritis.

Semasa menonton TV, tanya anak-anak, apa yang berlaku dalam cerita itu?, kenapa watak melakukan itu?, apa yang cerita ini cuba sampaikan pada kita?, betulkah apa yang dilakukan?, apa perasaan anak-anak melihat cerita itu?, kenapa drama itu dibuat begitu?, dan pelbagai soalan kritis lain.

Ibu bapa boleh berbincang tentang mesej yang dibawa oleh rancangan yang sedang ditonton. Perbincangan santai akan dapat menanamkan nilai agama dan moral sebenar yang perlu dianuti dan mengurangkan kesan negatif media.

Interaksi ibu bapa turut membantu kanak-kanak berfikir dengan matang dan menguatkan keupayaan membuat keputusan sendiri apabila meningkat remaja. Mereka belajar untuk mengkritik apa yang mereka lihat dan mendiskriminasi media yang membawa mesej songsang.

Kanak-kanak yang lemah literasi media lebih terdedah untuk dipengaruhi oleh mesej songsang yang dibawa oleh pelbagai media. Mereka tidak mampu membezakan antara realiti dan fantasi. Itu antara punca semakin banyak ‘kelakuan pelik’ tersebar di media sosial.

Semoga Allah pelihara anak kita.

#drMAK