Pages

Penulis di Facebook

Monday, 26 January 2015

(15) Ibu Bapa Sepatutnya Dirotan!

Semalam (Sabtu, 24/1/15) ada tajuk berita best. Sampai terbeliak mata membacanya "Rotan anak bakal jadi kesalahan jenayah". Terbayang ibu bapa yang akan digari macam kesalahan jenayah lain. Mungkin ada yang akan menarik baju menyerkup muka agar tidak dikenali.

"Rotan mendidik berbeza dengan rotan mendera"


Yang pasti, ramai terkejut kerana "merotan" adalah "budaya" yang telah sebati dalam masyarakat Malaysia terutama orang Melayu.

Lebih ke hadapan lagi, ada yang terus keras mengecam "ini undang-undang ciptaan Yahudi".

Baik, tulisan ini hanya pandangan seorang pelajar psikologi pendidikan, yang masih belum ada "kertas bukti" telah tamat belajar.

Daripada 'Amru bin Syu'aib, daripada ayahnya, daripada datuknya r.a katanya, sabda Rasulullah saw: "Perintahlah anak-anakmu mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun serta pisahkan tempat tidur mereka". (Hadith riwayat Abu Daud)

Ramai yang membaca hadith di atas dan menafsirkan dengan mudah, bahawa ini membuktikan anak-anak boleh dirotan. Dalil ini digunakan untuk "menghalalkan" merotan anak. Tetapi berapa ramai yang terlepas pandang, dalil ini juga dalil TANGGUNGJAWAB BESAR yang perlu ditunaikan oleh ibubapa.

Seawal anak berumur 7 tahun, ibu bapa telah dianjurkan supaya memerintahkan anak-anak untuk "mendirikan" solat (malah ada yang lebih awal). Bukan hanya sekadar tunggang tonggek solat, tetapi "mendirikan" dengan pemahaman yang jelas kenapa perlunya solat. "Roh" sebenar yang perlu ada dalam solat.

Ibu bapa diberikan 5475 waktu solat fardhu untuk mendidik anak mendirikan solat. 1095 set lengkap 5 kali sehari solat fardhu sebelum tiba umur 10 tahun.

Ibu bapa punya tanggungjawab memujuk, mengajar, menunjukkan, membetulkan, menyemak, memuji, dan mengimamkan mereka mendirikan solat. Berapa ramai yang melakukan itu sebelum merotan dibenarkan?

Malah, rotan yang dianjurkan adalah dalam isu akidah. Isu paling utama sebagai seorang Muslim. Berapa ramai yang hanya merotan apabila anak tak siapkan kerja rumah? Apabila anak bergaduh dengan rakan di sekolah? Apabila anak menolak air dalam cawan tertumpah? Tetapi masih rileks membiarkan anak menonton TV pada waktu Maghrib, sedangkan azan sedang berkumandang di masjid sebelah?

Dalam peringkat umur sebelum 10 tahun, fikiran mereka masih belum matang untuk menafsir ibrah. Cantiknya Islam mengajar kita supaya mengajar, memujuk, menunjukkan, memandu, menasihati, dan membetulkan setiap kali mereka tersilap arah. Hanya selepas semua telah dilakukan dan dicurah, barulah dibenarkan ibu bapa merotan. Malah rotan juga ada tertibnya. Bukan melepas geram sehingga cedera dan menyeksa jiwa.

Jangan dilupa, ibu bapa juga mempunyai 1095 set lengkap untuk menunjukkan kepada anak-anak bahawa mereka juga hamba Allah yang taat melakukan solat. Kerana ibu bapa adalah model paling hampir yang selalu dilihat. Jika ibu bapa juga masih celam celum dan meninggalkan solat. Maka, tangguhkan terlebih dahulu niat merotan. Kerana kemungkinan mereka sebenarnya yang perlu dirotan.

Mungkin hikmah berita ini adalah untuk mengejutkan kita supaya mencari semula apa yang diajar oleh Rasulullah. Apa pun, undang-undang ini tetap perlu diteliti lagi penjelasannya, kerana besar kesannya kepada perubahan sosiobudaya masyarakat.

Saya teringat di sekolah dulu, jika sudah berumur 15 tahun pun masih tidak tahu mengutamakan solat. Bukan sahaja rotan, malah sudah layak dilanggar dengan van kerana tak reti berhenti bermain bolasepak di tengah padang. Sedangkan azan Maghrib sedang berkumandang.

Terima kasih Ustaz.



#drMAK



Friday, 23 January 2015

(14) “Tiada Lagi Liat Subuh”


Kebanyakan ibu bapa biasa mengalami masalah ini, kesukaran mengejut anak-anak bangun tidur untuk ke sekolah. Jika terlewat bangkit, maka tiada masa untuk solat Subuh. Sudah pasti ini tidak baik untuk anak-anak, lebih-lebih lagi yang sudah berumur 10 tahun ke atas. Solat adalah wajib ke atas mereka.


Saya juga turut berhadapan masalah yang sama. Terutamanya si kecil Zahraa yang baru memulakan persekolahan darjah 1. Telah terbiasa bangun lewat sebelum ini kerana hanya ke taska. Sekarang, selepas kakak dan abangnya bersiap untuk ke sekolah, barulah dia akan bangun dengan langkah longlainya menuju ke bilik air. Tak suka bersiap awal.

Saya perhatikan, biasa mama mereka akan membuka lampu bilik dan mengejutkan mereka dengan memanggil nama mereka satu persatu sambil menolak badan mereka berkali-kali. Walaupun terdapat pergerakan, tetapi hanya sebentar. Apabila mamanya keluar bilik, mereka kembali kaku.

"Bisikkan kata-kata positif ketika fasa mamai sebelum bangun tidur"
 
Teringat ilmu yang baru dipelajari dari sebuah kursus. Saya naik ke atas katil dan sama-sama berbaring menghadap Zahraa. Pandang wajahnya yang sedang comel tidur.

Saya usap kepala Zahraa dan menampar lembut pipinya sambil membisikkan kata-kata pujukan, “Zahraa budak baik, suka bangun awal, seronok dapat solat subuh, suka doakan abah mama masuk syurga, orang rajin solat subuh dapat no. 1 kat sekolah, cikgu semua sayang”. 

Dalam keadaan “mamai” itu, saya yakin, saya sedang memasukkan “benih” kebaikan dalam sistem kepercayaannya yang akan tertanam dalam minda segar.

Selepas beberapa kali mengulangi dialog yang sama, Zahraa terus terjaga. Dia bingkas bangun, menuju ke bilik mandi. Bila ditanya “Eh, Zahraa nak pergi mana tu?”. 

“Nak pergi mandilah, nak solat suboh, nanti dapat no. 1”, dengan mata masih terpejam. 

Saya tersenyum dalam hati, “Dengar rupanya”. 

Mengejutkan dia bangun tidur untuk hari-hari seterusnya tidak lagi sesukar dulu, kerana minda segar sentiasa ada wayang "dapat No.1 dalam kelas".

Cuma peringatan buat ayah, semasa mengejutkan anak, jangan sampai ayah tertidur sekali! Haha...