Pages

Penulis di Facebook

Wednesday, 9 December 2015

(103) Obses Origami

Balik hari ini masih berorigami lagi. Semalam origami. Dari minggu lepas membuat origami. Setiap hari origami. Budak apabila sudah sangat minat dengan satu-satu perkara seakan tidak boleh berhenti.

Petang balik ke rumah, terus campak beg atas sofa, hidupkan PC, buka Youtube, taip ‘origami dinasour’.

Selagi dinasour kertas tak dapat siap, selagi itu, duduk depan PC melipat kertas tanpa berkelip mata.
Sekejap terpusing sana. Sekejap terpusing sini. Sekejap lipat senget. Ada masa, klik semula video youtube untuk patah balik langkah yang terlepas pandang.

“Buat apa lagi tu Iman? Takkan tak siap-siap lagi lipat dinasour?”

“Ini dinasour yang lain pula.” Menarik helaian A4 dari rim kertas yang abah simpan untuk cetak tesis.

“Membazirlah iman kertas abah tu. Nanti dah siap, awak sepah-sepahkan pula.”

Mata tak tahan melihat hasil origami berselerak di ruang tamu. Bawah sofa, atas meja makan, atas rak TV, bawah meja PC, hampir semua ceruk ada.

Senyap. Dia terlampau asyik melipat dengan mulut termuncung-muncung.

Selepas 15 minit.

“Abah, cuba tengok ni, dah siap dinasour Iman.”

“Iman buat sendiri ni? Ini yang Iman tengok youtube tadi?” membelek setiap inci origami.

“Haah. Iman belajar dari youtube. Abah pandai tak buat origami macamni?” tersengih.

“Huish, susah sangat ni Iman. Abah tengok youtube pun belum tentu boleh buat. Bagus awak boleh belajar dengan tiru youtube.”

“Nanti Iman nak buat dinasour lain pula.” Mula mencari video lain.

“Hmmm, buat lagi. Dah selesai, kemas ya.” Harapan positif abah buat kali ke-100.

>>>

Memang tiada perkataan jemu dalam kamus belajar anak-anak sebenarnya. Cuma caranya yang kena betul. Iman saya perasan adalah seorang kanak-kanak yang visual dan kinestetik.

Bagaimana saya tahu?

Kanak-kanak visual tidak memberikan tumpuan apabila kita membebel. Mereka akan memandang ke lantai, pandang tempat lain, tanpa memandang wajah kita.

Itu tidak bermakna mereka biadap. Mereka sedang cuba membayangkan apa yang kita katakan, tanpa perlu melihat wajah kita.

Mengapa saya tahu dia kinestetik? Kerana dia seboleh mungkin akan menyentuh semua benda yang ada di depan mata.

Pernah kami bawa ke pameran inovasi dan teknologi yang mempamerkan pelbagai ciptaan yang menarik. Apabila ditegur jangan menyentuh pameran kerana bimbang rosak, kakak dan adik terus patuh, tetapi dia dengan selambanya menekan-nekan suis! OMG!

Anak tuan dan puan juga begitu?

Anak-anak kinestetik memang perlu menyentuh untuk belajar. Mereka tidak cukup dengan hanya mendengar dan melihat.

Biarkan mereka meneroka, cuma perlu diingatkan dan dipantau sekiranya apa yang ingin dicuba boleh membahayakan.

Perasan tak kanak-kanak suka mengulang-ulang? Mereka boleh menonton cerita sama berulang kali.
Itu memang cara mereka belajar, kerana dalam setiap ulangan, ada sahaja perkara baharu yang mereka akan belajar. Malah, kita yang dewasa juga perlu pada pengulangan.

Kadang-kadang, kita yang rimas melihat mereka membuat perkara yang sama. Pengulangan tidak bermaksud melakukan perkara yang sama berulang kali tetapi mengharapkan hasil yang berbeza.

Tetapi pengulangan yang berkesan ialah kemahiran yang sama diulang dalam konteks yang berbeza.
Dalam contoh Iman tadi, dia memang mengulang-ulang kemahiran origami setiap hari, tetapi dalam konteks menghasilkan dinasour yang berbeza.

Kemahiran yang diulang berkali-kali menyebabkan mereka menyedari terdapat corak sama untuk menyelesaikan sesuatu perkara. Mereka boleh menjangkakan apa yang akan berlaku sekiranya corak yang sama berulang.

Apabila bertemu keadaan yang serupa, secara automatik, sistematik dan lebih pantas mereka dapat menyelesaikan masalah tersebut.

Sebagai contoh, pernah tak kali pertama mereka menumpahkan air dari meja makan, mereka akan panik tidak tahu nak buat apa. Tetapi selepas berkali-kali, mereka akan tahu bahawa mereka perlu mengambil kain buruk dan lap.

Namun, apabila air sirap pula yang tumpah, mereka kantoi kerana lantai jadi melekit-melekit (mereka dah pandai cepat-cepat lap sendiri sebab takut kena marah).

Mereka belajar, jika air sirap, perlu direnjiskan air terlebih dahulu sebelum dilap. Selepas ini, jika air teh yang tumpah, mereka sudah tahu apa yang perlu dilakukan.

Pengulangan kemahiran yang sama dalam konteks yang berbeza ini dinamakan pembelajaran.

Tak mengapalah Iman, rumah bersepah untuk melatih kemahiran melipat origami, asalkan pandai mengemas semula. Dapat latih dua kemahiran, kemahiran melipat dan kemahiran mengemas rumah (tinggi menggunung harapan tu..).
_________

NOTA:
Kemahiran koordinasi jari jemari dan mata adalah kemahiran motor halus (fine motor).

:)

#drMAK
#BudakKripton
_________

Kredit:
Weibell, C. J. (2011). Principles of learning: 7 principles to guide personalized, student-centered learning in the technology-enhanced, blended learning environment.

Monday, 7 December 2015

(102) Kenapa Angkat Tangan Pada Lori Sawit?

Jalan kampung memang sempit. Pada satu-satu masa, hanya sebuah kenderaan sahaja boleh lalu. Dari jauh, lori besar sarat dengan buah sawit yang baru dikait bergerak senget menuju ke arah kami. Selisih dengan lori besar senget yang penuh dengan muatan memang menyeramkan.

Kereta dihentikan dan kami menanti di hujung jalan. Biarkan lori itu bergerak dulu.

Lori senget tadi melintas di sebelah kanan lalu pemandu lori mengangkat tangan.

Saya turut mengangkat tangan sambil tersenyum. Bahagia dapat memudahkan urusan orang lain, walaupun sekadar memberi laluan.

“Kenapa orang tu angkat tangan pada abah? Abah kenal ke?”

“Abah tak kenal.”

“Kenapa dia angkat tangan?”

“Itu tanda terima kasih sebab abah bagi dia jalan dulu.”

“Owhhh..”

>>>

Setuju jika dikatakan ibu bapa adalah model pertama yang membentuk tingkahlaku anak-anak.
Sama ada kita menunjukkan kelakuan yang baik ataupun buruk, mereka tetap belajar melalui pemerhatian. Mereka tidak perlu faham kenapa kita melakukan, mereka hanya meniru.

Kebanyakan orang dewasa kesabarannya akan teruji di atas jalanraya. Apabila memegang stereng, ‘warna’ sebenar akan kelihatan.

Langgar lampu merah, guna lorong kecemasan, buang sampah atas jalan, memotong tanpa signal, hon tak tentu fasal, memotong barisan di tol, dan banyak lagi.

Ketika inilah, peranan ibu bapa sebagai model sangat-sangat teruji. Sejauhmana ibu bapa dapat mempamerkan pemanduan berhemah akan diperhatikan oleh anak-anak. Zaman sekarang mereka telah belajar subjek lalulintas di sekolah, maka, hati-hati.

Sekali mereka sudah rakam apa yang kita lakukan di dalam memori, ianya akan tersimpan lama.
Apa yang kita sebut dan ajar, tidak sama kesannya dengan apa yang mereka lihat. “Iman, pakai seat belt duduk di belakang tu,” sedangkan abah tak pasang seat belt. Memang nasihat itu takkan berkesan.

Jika mereka lakukan sekalipun, ianya hanya sementara. Di saat mereka sudah bebas dari perhatian ibu bapa, mereka akan lakukan sama seperti apa yang mereka lihat. Kuatnya kesan model.

Dalam kajian tentang otak, pengkaji mendapati terdapat sel istimewa di dalam otak yang dinamakan ‘neuron cermin’.

Apa yang berlaku ialah, apabila kita melihat seseorang melakukan satu perbuatan, neuron cermin akan aktif di dalam otak seolah-olah kita sendiri melakukan perbuatan tersebut.

Neuron ini akan bersambung dengan neuron-neuron yang lain dan membentuk maklumat yang baru melalui pengalaman melihat tersebut walaupun sebenarnya bukan diri sendiri yang melakukan.

Tidak hairan jika anak yang berumur 5 tahun mula memarahi adiknya ketika sedang bermain walaupun sebelum itu dia kelihatan biasa sahaja.

Ianya mungkin disebabkan neuron cermin yang diaktifkan ketika melihat ibu atau bapa memarahi pemandu lain yang memotong kenderaan dengan bahaya (walaupun memang patut kita marah).

Itulah sebabnya ibu bapa perlu sentiasa tenang di dalam kereta dan atas jalanraya dalam apa jua keadaan kerana kebanyakan masa, anak-anak ada bersama kita terutamanya apabila pulang ke kampung atau hantar dan pulang dari sekolah.

Melalui model peribadi yang kita pamerkan, anak-anak mendapat maklumat, pengalaman, kemahiran, kepercayaan, nilai, dan sebahagian besar sikap dan tingkahlaku yang menjadi sebati dalam diri mereka.

Bagaimana ibu bapa menangani konflik, menangani tekanan atau ketakutan, dan berkomunikasi dengan orang lain, semuanya akan terjalin melalui neuron cermin mereka.

Sebagai manusia, kita tidak akan terlepas daripada beremosi seperti marah, geram, membentak, menengking, dan sebagainya.

Namun, dengan menyedari kelakuan buruk yang boleh memberi impak kepada peribadi anak-anak, kita perlu cuba sedaya upaya untuk menunjukan contoh terbaik terutamanya dalam mengekalkan hubungan baik sesama manusia. 

:)

#drMAK
#BudakKripton
___________
Kredit:
I Spy Daddy Giving Someone the Finger, By Alan Kazdin and Carlo Rotella, www.slate.com, January 2009.

Friday, 4 December 2015

(101) ‘Crunchie’ Bukan Untuk Dijual

“Hmm.. geramnya Crunchie ni, gebu sangat. Kalau jual ni, berapa boleh dapat kot yang..”

“Huih, mahal kucing parsi ni bang. Hari tu tengok di Petworld DePulze Cyberjaya, kucing macamni harga seribu lebih..”

Zulfa memasang telinga mencuri dengar perbualan mama dan abah.

“Zulfa, kita jual nak Crunchie ni. Boleh dapat duit seribu lebih.” Angkat kening bertubi-tubi.

“Hee, taknaklah, sayanglah Crunchie.” Muncung bibir.

“Ok, Zulfa suka ipad kan? Duit jual Crunchie, kita beli ipad. Nak tak?”

Dia mula memusing-musing bucu baju.

“Memanglah Zulfa suka ipad. Tapi Zulfa sayang Crunchie.”

Dia merangkul Crunchie dari pangkuan abah.

“Takpelah Zulfa takde ipad pun, Zulfa nak Crunchie”. Memeluk ketat Crunchie yang selesa di pangkuan.

Datanglah mengada-ngada Crunchie tu. Nyampah.

>>>

Abah menarik nafas panjang. Lega Zulfa lulus ujian. Dia sudah faham ada yang lebih berharga daripada ipad.

Zulfa mula mengenali kucing sejak berumur 3 bulan lagi. Sejak itu, haiwan kesayangan Nabi itu tidak pernah putus menghuni rumah ini. Ada yang hilang tak kembali. Ada yang mati depan mata.
Tetapi tidak lama, sudah pasti ada pengganti.

Ketika membuat keputusan membela kucing, memang niatnya cuma satu, agar mereka faham erti memberi kasih sayang.

Apa bagusnya kucing di dalam rumah?

1. Harga Diri

Kucing adalah peneman yang baik. Mereka membalas semula kasih sayang tanpa prejudis. Pernah lihat kucing menjauhi budak gemuk dan pilih budak kacak? Pernah lihat kucing lari dari budak comot dan pilih budak cantik?

Mereka tidak memilih untuk bermanja dengan budak yang comel sahaja. Mereka bermanja dengan semua kanak-kanak. Siapa sahaja.

Dalam satu kajian, kucing didapati membantu meningkatkan harga diri kanak-kanak istimewa. Kanak-kanak istimewa biasanya dibantu untuk melakukan sesuatu menyebabkan mereka berasa rendah diri.

Tetapi kehadiran kucing yang menggesel kaki dan meminta makanan menyedarkan mereka bahawa ada hidupan lain yang perlukan bantuan mereka.

Kucing seolah berkata, “Awak sahaja yang boleh membantu saya, tolong berikan saya makanan.” Perasaan dapat membantu, meningkatkan harga diri mereka.

2. Tanggungjawab

Sikap bertanggungjawab tidak hadir tiba-tiba dalam diri anak-anak. Mereka perlukan amalan praktikal untk belajar mengambil berat tentang sesuatu perkara.

Ibu bapa boleh menunjukkan bagaimana cara bertanggungjawab dengan memberi makan kucing dan menguruskan kesihatan kucing.

Istimewanya kucing, ia mengajar kita menjalin hubungan dulu, baru kemudiannya menjalankan tanggungjawab, kerana kucing tidak suka kepada orang asing.

Dalam Kajian Dr. Melson kepada kanak-kanak berumur 3 tahun ke atas, beliau mendapati, dalam tempoh 24 jam, kanak-kanak yang memiliki kucing memperuntukkan 10.3 minit untuk menjaga kucing secara aktif berbanding 2.4 minit sahaja yang diperuntukkan untuk menjaga adik-adik secara aktif (bermain bersama tidak dikategorikan sebagai menjaga).

Ini menunjukkan aktiviti menjaga kucing lebih melatih sikap bertanggungjawab.

Tambah Dr. Melson, memelihara kucing lebih penting untuk anak lelaki kerana ianya tidak kelihatan ala ‘keperempuanan’ seperti bermain susukan bayi, main rumah-rumah, atau main anak patung.

Menjelang umur 8 tahun, anak perempuan lebih terlibat dalam penjagaan bayi (adik mereka) berbanding lelaki. Namun, untuk penjagaan kucing kedua-dua gender masih boleh terlibat sama.

3. Redha

Sedia maklum, kucing mempunyai umur yang lebih pendek dari manusia. Kebiasaannya, pengalaman pertama anak-anak berhadapan dengan kematian adalah apabila perginya kucing tercinta.

Mereka belajar untuk bersedih dan menerima hakikat setiap yang hidup pasti akan mati. Apabila jenazah kucing mereka diuruskan dengan baik, ini adalah pengalaman yang tidak ternilai buat mereka. Mereka belajar untuk redha. Mereka lebih tenang menghadapi peristiwa sama pada masa akan datang.

4. Pembelajaran

Pernah tak melihat anak yang obses dengan kucing? Mereka membacakan buku kepada kucing, tidur bersama kucing, berkelubung selimut dengan kucing, dan main bawah katil dengan kucing.

Menurut Dr. Mary Renck Jalongo, Profesor bidang pendidikan di Indiana University of Pennsylvania, kucing boleh membantu kanak-kanak untuk belajar. Dalam satu studi, kanak-kanak diminta untuk membaca di hadapan rakan-rakan, orang dewasa, dan kucing. Pengkaji mengukur tahap stress mereka dan mendapati kanak-kanak sangat rileks bersama haiwan dan tidak manusia.

Bayangkan anak anda yang masih merangkak-rangkak membaca dan kita berkata, “Jom ambil buku dan baca.” Kita duduk di hadapan. Sudah pasti itu bukan sesuatu yang menarik untuk mereka, berbanding membaca sambil memeluk kucing tanpa sesiapa melihat. Mereka boleh membaca perlahan-lahan tanpa stress.

5. Ketenangan

Dr. Melson bertanya kepada kumpulan kanak-kanak berumur 5 tahun yang memiliki kucing, apa yang mereka lakukan apabila mereka berasa sedih, marah, takut, atau mempunyai rahsia untuk dikongsi.

Lebih 40% secara spontan mengatakan mereka luahkannya pada haiwan peliharaan. “Kanak-kanak yang mendapat sokongan dari haiwan peliharaan dikatakan kurang risau dan kurang merasa tersisih hasil pemerhatian ibu bapa masing-masing.”

6. Hubungan Kekeluargaan

Kucing mampu menyatukan seluruh keluarga. “Apabila ditanya pada kanak-kanak dan ibu bapa adakah kucing adalah sebahagian dari keluarga mereka? Kebanyakan kelihatan terkejut dan hampir melenting kepada soalan itu,” kata Dr. Melson. Kebanyakan akan menjawab, “Mestilah!”

Menjaga kucing kebiasaannya adalah aktiviti yang dikongsi oleh seisi keluarga. Memberi makan, menyikat bulu, melihat mereka berkejaran sesama sendiri, menonton mereka mengejar guli di atas lantai.

Memperuntukkan masa begini menawarkan peluang untuk meredakan ketegangan dalam dunia yang serba memenatkan ini.

Jika orang melihat, pasti ada yang akan bertanya, “sedang buat apa tu?”, dan kita pasti menjawab, “tak buat apa..”

Tetapi dalam zaman anak yang tidak berhenti dengan pelbagai aktiviti dan ibu bapa yang sentiasa sibuk dengan pekerjaan, “tak buat apa” boleh menjadi perkara yang paling penting untuk dilakukan.
:)

#drMAK
#BudakKripton

p/s: Jika terdapat alahan dan sebagainya. Membela kucing mungkin tidak sesuai, dapatkan nasihat doktor berhampiran rumah anda.

Wednesday, 2 December 2015

(100) UPSR Hanya Pembaris

Hari ini, pasti ramai anak-anak bersama ibu bapa yang sedang bergembira dengan keputusan UPSR masing-masing.

Tahniah! Tak salah untuk bergembira kerana usaha keras telah dibuat sebelum, semasa dan selepas peperiksaan (doa)

Eh, kenapa pula adik yang duduk menyendiri itu berduka?

Tak dapat 5A?

Tak mengapa. Apa sahaja keputusannya yang penting adik telah berusaha.

UPSR hanya pembaris.

Apa fungsi pembaris? 

Untuk mengukur panjang sesuatu objek, contohnya kertas, kadbod, kertas warna dan sebagainya.
 Sekali sekala digunakan untuk membuat garisan.

Boleh ke pembaris ukur tinggi adik?

Tak sesuai. Lebih baik gunakan pengukur ketinggian boleh laras biasa dilihat di klinik.

Boleh ke pembaris ukur ukurlilit perut adik?

Tak sesuai. Lebih baik gunakan tali tape yang mak guna untuk menjahit baju.

Boleh ke pembaris ukur panjang jalan?

Tak sesuai. Lebih baik gunakan pembaris gelek beroda yang biasa diguna untuk tar jalan.

Begitu juga UPSR.

UPSR hanya mengukur KEPANDAIAN adik untuk 5 subjek. Ada banyak lagi subjek yang tak dikira dalam UPSR walaupun adik belajar berbelas subjek dalam 6 tahun.

Mungkin kalau subjek UPSR adalah Pendidikan Seni, Muzik, Pendidikan Kesihatan, Pendidikan Islam, dan Bahasa Arab, adik dah dapat 5A!

Tidak dapat A tak mengapa, tetapi pastikan adik BELAJAR.

Adik mungkin tak dapat A matematik, tetapi adik tahu mengira duit baki selepas membeli roti john. Maknanya adik BELAJAR.

Adik mungkin tak dapat A bahasa Melayu, tetapi adik boleh mengirim surat kepada atok opah di kampung. Maknanya adik BELAJAR.

Adik mungkin tak dapat A Sains, tetapi adik tahu torch light yang tidak menyala perlu ditukar bateri. Maknanya adik BELAJAR.

Adik mungkin tak dapat A Bahasa Inggeris, tetapi adik boleh menunjukkan jalan kepada pelancong yang bertanya arah. Maknanya adik BELAJAR.

Menggunakan ilmu lebih baik daripada hanya tersimpan sebagai memori.

Teruskan belajar. Tak kisahlah tiada A sekalipun, kerana ilmu dicari untuk diamal bukan sekadar cantik diusung atas sekeping sijil.

Setuju?

:)

#drMAK