Pages

Penulis di Facebook

Thursday, 5 March 2015

(25) Dadih Istimewa di Masjid UPM

Semasa belajar di UPM dulu, memang biasa kelihatan tong-tong dadih ditempatkan di tempat-tempat strategik di kolej-kolej kediaman seperti tangga tingkat bawah dan hadapan surau.

Ini adalah antara cara, pelajar mendapatkan duit poket tambahan untuk membayar yuran dan menampung belanja kehidupan sebagai seorang mahasiswa di Universiti.

Tong dadih ditinggalkan tanpa sebarang pengawasan. Satu cawan bertutup ditinggalkan untuk pembeli meletakkan wang pembelian. Dalam keadaan begini, kejujuran mereka yang membeli adalah sangat diperlukan. 

Bukan tidak ada kes penjual mengalami kerugian apabila pembeli mengambil tanpa membayar. Tetapi kebanyakannya redha risiko yang sudah dijangkakan.

Jumaat tadi, sudah menjadi kebiasaan apabila lalu di kawasan Serdang, singgah sebentar di Masjid UPM untuk menunaikan solat Jumaat.

Terlihat tong dadih yang diletakkan di pintu pagar utama bahagian hadapan masjid. Terkenang semula zaman pengajian lebih 10 tahun lepas. Masih ada lagi rupanya modus operadi penjualan sebegini.

Tekun memerhatikan jenis-jenis dadih yang dijual. Wow! macam-macam perisa ada. Paling menarik strawberi. Ambil satu untuk dicuba. Memang sedap.

Selesai makan. "Ala, mana pulak nak buang cawan ni," merungut seorang.

"Eh! ada plastik sampah rupanya." Terus campak cawan ke dalam plastik.

Dalam hati, saya memuji penjual ini. Jarang saya jumpa penjual dadih yang berfikiran jauh sebegini. Dia telah memikirkan tentang pembeli. Bukan saja untuk meletakkan bayaran, tetapi selepas selesai makan.

Saya teringat pesan mentor saya, "Nak jadi cemerlang, tak perlu susah-susah fikir benda besar yang nampak gah untuk dibanggakan. Cuma fikir, bagaimana nak buat lebih sedikit daripada orang lain."

Dalam kes ini, penjual memang lebih bagus daripada penjual lain. Hanya dengan menambah beg plastik untuk memudahkan pembeli membuang sampah. Jelas, dia berfikir, lebih sedikit daripada penjual lain.

"Lesson Learned."

:)

~Ammar Muhamad~
#drMAK

Dalam terik matahari, dadih menjadi penyegar!


(24) Jawapan Kepada Anak Yang Mencari Pintu Taubat

Sedang berbaring berehat di dalam bilik. Iman menghampiri perlahan-lahan ke tepi katil. Tersenyum seperti ada sesuatu yang ingin diberitahu.

"Hah, kenapa Iman? Sengih ni mesti ada apa-apa." Iman duduk memandang muka.

"Abah, Ustazah cakap, pintu taubat akan tertutup bila dunia dah kiamat nanti. Betul ke?" Memandang meminta kepastian.

"Haah, betullah tu Iman. Kalau Iman nak taubat, kena buat setiap hari."

Iman mengangguk seperti faham. Tetapi bertanya semula.

"Kenapa kita panggil "pintu" taubat?". Kelihatan keliru.

"Ooh, OK. Iman keluar bilik ni sekejap. Lepas tu tutup pintu. Abah tunggu belakang pintu."

Iman mula bergerak cepat keluar dari bilik dan menutup pintu. Sangat ingin tahu.

"OK, Boleh dengar tak suara abah?" bercakap sedikit kuat.

"Boleh dengar!", Iman sebelah pintu menyahut.

"Baik, sekarang, Iman nak masuk semula dalam bilik, boleh masuk tak?"

"Tak boleh, sebab pintu dah tutup."

"Kalau Iman nak masuk juga?", bertanya menguji.

"Abah kena tolong buka pintulah." Sedikit menjerit.

Pintu dibuka semula. Iman dibiarkan masuk dengan sengih yang masih tak putus dari tadi.
"Baik, sekarang, bila abah dah buka pintu, boleh masuk tak?"

"Baru boleh masuk..." Sambil berjalan duduk di birai katil.

"Haa, itulah sebabnya dipanggil pintu taubat." tersenyum.

"Kalau Iman ada buat dosa sekarang, Iman masih boleh taubat. Allah masih buka pintu. Doa Iman boleh masuk, sampai pada Allah."

"Tapi kalau dah hari kiamat. Allah dah tutup pintu. Doa Iman tak boleh nak masuk dah."

"Ooo.. Sebab tu orang panggil pintu taubat ye abah," minta kepastian.

"Betul...", mengangguk sambil tersenyum.

"Taubat tidak diterima apabila pintu telah tertutup"


>>>

Menjawab persoalan kepercayaan agama kepada kanak-kanak memang mencabar. Mereka masih belum mampu memahami sesuatu yang abstrak seperti "pintu" taubat.

Penerangan yang melibatkan apa yang mereka boleh lihat dan rasa lebih berkesan, daripada sekadar menerangkan melalui lisan.

Semoga ada kebaikan untuk rakan-rakan jika mahu dikongsikan.

~Ammar Muhamad~
#drMAK